Isteri kepada pereka fesyen ternama, Rizman Nordin ini sememangnya seorang wanita yang miliki pesona tersendiri. Sejak diperkenal kepada umum yang mereka bakal disatukan sebagai suami isteri kira-kira tiga tahun lalu, ramai yang mengagumi kejelitaan Nurida Suraya.
Sampaikan ada yang berpandangan wanita ini seperti ratu cantik!
Nurida Suraya atau mesra disapa Suraya sebelum ini pernah bekerja sebagai model sambilan. Kecantikan Suraya nyata menambat hati Rizman yang mula melihatnya di media sosial menerusi satu sesi fotografi yang disertai Suraya.
Kenal dalam tempoh singkat, mereka akhirnya memutuskan untuk berkahwin. Kini, Suraya turut terlibat membantu perniagaan suami tercinta dan merupakan pengasas Rizman Ruzaini Beauty.
Disifatkan seorang wanita yang mesra, Suraya ketika ditemui Nona dalam sebuah majlis di ibu negara sudi berkongsi perkembangan diri. Mengulas aktiviti terbaharu, Suraya berkata rutin hariannya kian padat dengan urusan bisnes dan anak tersayang, Rizqaa.
“Since anak pun, Rizqaa dah masuk dua tahun dan Suraya dah terlibat dengan bisnes Rizman Ruzaini, bolehlah bahagikan masa. So far tak ada masalah.
Lagipun Rizqaa ada orang jaga. Jadinya, bolehlah saya bahagikan masa di antara bisnes dan famili. Alhamdulillah.”
Menyentuh regim kecantikan pula, lady boss ini berkata dia seorang yang tidak terlalu rumit dalam menjaga kecantikan diri. “As you know, kita memang ada produk sendiri dan saya consume produk saya everyday. Dalam masa sama, penting juga jaga tidur dan minum air.
Siapa yang kenal Suraya, mereka akan tahu yang saya memang suka sangat minum air kosong. Tak minum air manis. Jadi itulah tip dia.”
Rizman mendirikan rumah tangga bersama Nurida Suraya pada 13 September 2019. Mereka kemudian dikurniakan cahaya mata sulung diberi nama Rizqaa pada 2 September 2020.
Tahukah Anda, Stres Pemicu Masalah Kulit Gelap & Kusam? Atasinya Dengan BAHAN NATURAL Ini
Sebagai wanita Asia yang sering terdedah kepada sinaran matahari, masalah kulit gelap atau kusam adalah masalah yang biasa dihadapi. Kulit gelap dan kusam adalah disebabkan oleh kekurangan nutrisi yang seimbang, terdedah kepada pancaran matahari atau kerana kurangnya hidrasi serta kelembapan kulit.
Punca kulit yang kusam adalah kerana sel kulit yang mati terkumpul di permukaan kulit. Pengumpulan sel kulit yang mati ini telah menghalang sel kulit yang baru tumbuh.
Warna kulit bergantung kepada pigmen yang disebut melanin. Melanin dihasilkan oleh sel melanocyte yang terletak di bawah kulit. Melanin berfungsi untuk melindungi kulit wajah daripada sinar matahari yang berbahaya.
Perubahan kimia pada kulit akan terjadi apabila kulit terlalu terdedah kepada cahaya matahari. Melanin juga meneutralkan radikal bebas yang terhasil daripada sinar matahari terhadap kulit. Semakin banyak melanin pada kulit wajah lebih banyak perlindungan yang boleh diberikan kepada kulit.
Melanin yang terdapat di bawah kulit sebenarnya menentukan kulit wajah seseorang. Cerah atau gelap kulit wajah bergantung kepada kuantiti melanin tersebut. Wanita yang terdedah kepada cahaya matahari cenderung untuk memiliki kulit yang gelap kerana melanin di bawah kulit menjadi aktif.
Mempunyai kulit sensitif memerlukan penjagaan rapi. Pemilik kulit jenis ini tidak boleh menggunakan sebarang produk yang tidak sesuai dengan kulit. Jika tersalah produk kulit akan menjadi kemerah-merahan atau radang kulit. Mungkin juga kulit alah kepada habuk. Biasanya kulit sensitif peka kepada perubahan suhu dan bahan kimia tertentu yang boleh mengganggu kesihatan kulit.
Kesan hidrasi kepada kulit adalah kerana kekurangan air dalam badan sehingga mengakibatkan kulit kering dan kusam. Ini secara tidak langsung memberi kesan kulit yang lebih gelap dan tidak bermaya.
Ketika mengalami stres, kulit akan terpancar lebih gelap dan kusam. Ini kerana fikiran yang terbeban dengan masalah akan mencetus stres. Ketika itu tubuh akan melepaskan melanocyte-stimulating hormone atau MSH.
Hormon ini menghasilkan pigmen warna pada kulit sehingga pada waktu tertentu hormon ini melepaskan butir melanin ke seluruh lapisan kulit sehingga kulit menjadi hitam. Stres akan mengakibatkan hormon ini memberi isyarat kepada otak dan hormon ini diaktifkan sehingga kulit menjadi lebih gelap.
CERAHKAN KULIT SECARA SEMULA JADI
(a) Kelapa
Mengandungi asid lemak tepu mampu melindungi kulit. Parutan kepala membantu menyingkirkan sel kulit yang mati, merangsang keanjalan kulit dan memberi kelembapan. Kelapa sangat berkesan mengurangkan risiko kulit gelap akibat terdedah kepada cahaya matahari.
(b) Madu
Tekstur yang lembut dan kaya dengan vitamin, mineral, anti oksida dan potassium yang bertindak melembap dan menyegarkan wajah. Madu juga berupaya memutihkan wajah dengan menyingkirkan sel kulit yang mati yang terdapat di permukaan luar kulit.
(c) Timun
Memiliki kandungan air yang tinggi, kaya dengan vitamin A,B,C serta mineral seperti mangan, silika, kalium dan magnesium. Timun memiliki sifat diuretik juga memiliki kandungan asid caffeic dan asid askorbik yang mampu mengurangi pembengkakan mata. Timun juga mempunyai peranan mencerahkan kulit wajah secara semula jadi.
(d) Ais
Sifat ais yang sejuk mampu memberi ketenangan dan kesejukan kepada kulit. Ais mampu mengurangkan ketidaksamaan warna pada kulit. Hamizatul Maizan Mohamed
Bukan Lagi Rahsia, 3 Jelitawan DE FAM Kongsi Tip Kecantikan! Boleh Tiru Ni
Penampilan yang menarik menjadi bonus buat tiga gadis ini. Gaya lincah tatkala mendendangkan lagu popular mereka #supergirls menjadikan nama mereka semakin popular dan meniti di bibir peminat lagu yang berunsurkan dance music ini. Membongkar kisah bagaimana tiga wanita ini begitu mementingkan penampilan dan penjagaan kecantikan, ia sememangnya boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan penampilan hebat dan menawan.
Nama: Azira Shafinaz Ramlan
Usia: 26 tahun
Kerjaya: Penyanyi dan Pelakon
DEFINISI CANTIK UNTUK DIRI ANDA?
Pada pandangan saya, cantik itu bukan sahaja terletak dari segi luaran semata-mata, malah kecantikan dari segi dalaman juga penting untuk setiap individu. Saya lebih mementingkan penampilan karektor seseorang kerana ia memberi nilai terhadap personaliti seseorang berbanding rupa luaran semata-mata. To me, someone character/personalities defines them beautiful inside and ou
BOLEH TERANGKAN RUTIN PENJAGAAN WAJAH YANG ANDA AMALKAN?
Saya amat mementingkan penjagaan kulit kerana kulit yang sihat mampu menaikkan lagi penampilan serta keyakinan diri/ Oleh itu, setiap hari saya akan menggunakan pembersih alat solekan atau makeup remover untuk membuang sisa kotoran di wajah. Antara jenama pembersih alat solekan yang saya gunakan ialah bioderma. Kemudian saya akan membasuh muka menggunakan sabun susu kambing seterusnya memakai pelembap wajah. Selain itu, saya akan menggunakan krim mata avokado dan serum wajah dari Kiehls dan Shiseido. Manakala pelembap wajah yang menjadi pilihan ialah dari jenama Kiehls dan jangan lupa mengenakan pelindung tabir suria. Jenama pilihan saya ialah Shiseido.
Nama: Sophia Liana Mohamed Sobri
Usia: 27 tahun
Kerjaya: Penyanyi dan Usahawan
IDOLA ANDA DALAM BERFESYEN DAN MENGAPA ANDA MEMILIH PERSONALITI TERSEBUT?
Idola sophia dalam fesyen ialah Rihanna kerana dia sentiasa dalam penampilan yang sangat unik. Fashion scenes yang digayakan oleh Rihanna lebih forward dan mainstream. Pendek kata, walau apapun gaya yang dipilih, dia sentiasa tampil menarik.
GAYA SOLEKAN DAN PAKAIAN YANG ANDA GEMAR DAN MENGAPA?
Gaya solekan yang saya gemari lebih kepada natural look dan pakaian yang saya gemari lebih pada classy, streetstyle dan kasual.
ALAT SOLEKAN YANG WAJIB ADA DI DALAM TAS TANGAN ANDA IALAH…
Alat solek yang wajib ada dalam tas tangan saya ialan pelembap bibir, bedak asas, maskara dan pensil mata. Alat solek ini sering ada di dalam tas tangan untuk digunakan semasa keluar bersiar-siar mahupun menghadiri majlis formal dan tidak formal.
Nama: Nurshazwani Binti Shamsuddin (CIK MANGGIS)
Umur: 28 Tahun
Pekerjaan: Penyanyi / Pelakon / Pengacara
BERAPA KERAP ANDA MELAKUKAN RAWATAN WAJAH DAN MENGAPA?
Dua minggu sekali saya akan melakukan rawatan wajah di spa yang dipercayai. Penjagaan wajah sangat penting bagi saya lebih-lebih lagi apabila sudah berada dalam industri seni kerana penampilan akan sentiasa diperhatikan dan menilai wajah dulu sebelum aspek yang lain.Selain itu, selepas menjalani penggambaran atau persembahan yang memerlukan saya mengenakan solekan yang tebal, sudah semestinya wajah perlu dirawat agar masalah seperti jerawat tidak singgah di wajah
ADAKAH ANDA MENGAMALKAN PENGAMBILAN SUPLEMEN ATAU JAMU UNTUK MEMELIHARA KESIHATAN?
Ya. Saya mengambil supplemen untuk kecantikan dan kesihatan. Supplemen banyak membantu saya untuk mengekalkan keadaan kulit juga membuatkan saya kekal aktif pada hari-hari yang sibuk
SEBELUM TIDUR, APAKAH PERKARA WAJIB YANG ANDA LAKUKAN BERKAITAN REGIM KECANTIKAN?
Sebelum tidur, saya akan memakai krim rawatan wajah untuk malam di samping mengamalkan pengambilan minuman kolagen dan segelas air putih. Ia baik untuk memastikan kulit sentiasa kekal lembap ketika tidur. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Seleksi Produk Cantik Mesti Ada Sempena Bulan MAC 2018, Buat Facial Tu Paling Penting!
Februari berlalu dan kini Mac pula menyapa. Jangan dibiarkan kulit terus kusam dan tidak bermaya tanpa dibelai dengan penuh rasa cinta. Lindungi kulit daripada segala anasir luar yang berbahaya terutama cahaya UV.
Bajai kulit dengan nutrisi yang terbaik agar kulit tidak akan dimamah usia dan kekal cantik. Pilih rejim kecantikan kulit biar berpadanan dengan jenis kulit dan kemampuan.
KUASA MAGIS BEDAK ASAS
Bedak asas mempunyai fungsi membantu kulit yang bersih dan cantik. Shu Uemura telah memperkenalkan Petal Skin Fluid Foundation yang mampu menutup segala cela pada kulit wajah dengan sempurna. Mengandungi SPF 20 PA ++ untuk melindungi kulit daripada sinar UV yang berbahaya.
NUTRISI TERBAIK KULIT
Rangkaian produk penjagaan wajah Albion telah memperkenalkan Exage, serum khusus untuk menyuntik kadar lembapan yang tinggi di bawah kulit. Keistimewaan serum ini apabila mampu menghidratkan kulit dengan kesan yang serta-merta. Krim yang diperkaya dengan bahan-bahan semula jadi seperti ekstrak Rooibos, ekstrak Royal Jelly dan Ekstrak Gyokura Tea.
LEMBUT MENYINGKIR KOTORAN
Singkir segala kotoran dan noda yang tidak diingini dengan Brightening Cleansing Gel-in-Oil daripada Melvita ini. Pembersih wajah unik 3 dalam 1 ini bertindak berkesan sebaik sahaja disapu ke atas kulit. Bertekstur gel namun bertukar menjadi minyak apabila bertindak balas dengan kulit dana bertukar kepada tekstur losen apabila bersentuh dengan air.
BELAI KULIT KETIKA TIDUR
Grown Alchemist mempersembahkan Detox Night Cream yang diformulasikan dengan Peptides, Echinacea, Vitamins, Hyaluronic Acid dan Essential Omega Fatty Acids yang merangsang kulit ketika tidur dan berupaya menyingkirkan garis-garis halus serta kedutan yang tidak diingini pada bahagian kulit wajah.
CECAIR PEMBERSIH MINYAK
Rangkaian penjagaan kulit dari Korea, Erborian telah memperkenalkan Black Cleansing Oil. Menggunakan charcoal sebagai sumber utama meninggalkan kulit yang bersih dan segar sebaik sahaja bersentuhan dengan kulit. Ditambah pula dengan 7 herba terpilih membuatkan pembersih kulit ini mampu menyingkir kotoran yang degil.
UKIR KEINDAHAN KULIT
Rangkaian penjagaan produk terkenal dari Korea Innisfree telah berkolaborasi dengan PEANUTS® yang menghasilkan koleksi Edisi Terhad Snoopy. Menyegarkan diri serta memulakan hari dengan kombinasi My Body Cedar Wood Set ini pasti mencipta momen terindah. Haruman yang segar berkekalan sepanjang hari meningkatkan keyakinan wanita terutama ketika sedang melalui hari yang sukar.
EFEKTIF MENGANJALKAN KULIT
The Body Shop telah mempersembahkan Firming Shaping Serum yang diperbuat daripada 99 peratus bahan asli. Serum ini berupaya membantu membentuk semula wajah yang sudah lari daripada garisan penuaan. Bukan sahaja bertindak menganjalkan kulit malah boleh menyalurkan kadar lembapan yang diperlukan oleh kulit. Hanya dalam masa empat minggu serum ini boleh menunjukkan kesan yang drastik.
HARUMAN DUA DALAM SATU
Avon telah mempersembahkan Eve Duet merupakan gandingan dua haruman dalam satu yang ikonik. Dua haruman ini direka secara harmoni untuk di sembur secara berasingan atau melapisi di antaranya bagi mencipta kombinasi haruman tanpa batasan. Daripada nota segar buah-buahan hinggalah ke haruman flora sensual memikat.
INTENSIF MERANGSANG KULIT
Pelihara kulit saat menyapu MultiBright Night Cream daripada Shiseido ini. Bertindak multi fungsi mencerahkan kulit secara semula jadi dan menyasarkan tona kulit tidak sekata dan bintik-bintik hitam. Rehatkan kulit wajah dengan krim yang telah diformulasikan dengan begitu lengkap. Sapu ke seluruh wajah setelah kulit dibersihkan sebaik sahaja sebelum masuk tidur.
TERAPI IMPIAN WANITA
Aster Spring telah memperkenalkan rawatan facial terbaharu iaitu Intense Hydra-Light Therapy. Rawatan ini merupakan perawatan Dermalogica yang berprestasi tinggi. Menggunakan sejumlah IonActive Hyaluronic Acid, pati pekat Gelloids dan bt-accent LES light untuk hasil maksimum. Terapi cahaya ini juga dikatakan mampu merawat masalah kulit dengan amat berkesan.
BIBIR MEREKAH INDAH
Elianto telah memperkenalkan Brilliant Riche Lip Colour yang mampu menyempurnakan stail yang dibawa oleh setiap wanita. Lipstik yang mampu bertahan sepanjang hari kekal di bibir ini menyerlahkan gaya indah anda. Matte lipstik ini tampil mewah, bertekstur ringan dan mengandungi pelembap menjadikan ia pilihan utama wanita. Hadir dengan 10 rona menggoda.