
Orang kata, zaman sekarang nak cari cinta sejati bukan senang. Seperti yang tular sekarang tentang kes orang ketiga, lihatlah betapa ramainya yang tak setia, seolah-olah harga cinta tu terlalu murah…
Tunggu dulu. Bukan semua pasangan begitu. Masih ada golongan yang menghargai cinta setulusnya seperti wanita Thailand ini yang memilih untuk setia walaupun pasangannya menderita kanser.
Kisah benar ini tular selepas ramai netizen berkongsi pengalaman Attiya Chumkeaw yang setia menjaga kekasihnya iaitu Pooh Chokchai Kaew yang menghidap sejenis kanser di bahagian mata, yang dikenali sebagai retinoblastoma.
Penyakit berbahaya itu membuatkan wajah Pooh membengkak dan menakutkan. Namun rupa paras itu langsung tidak mematahkan semangat Attiya, malah dia setia menjaga Pooh hingga memasuki tahun ketiga kini.
‘Ulang tahun ketiga, rasa cinta yang sama.’ Begitu tulisnya pada kapsyen foto.
Tambahnya, keluarga Pooh sudah buntu berubat untuk memulihkan penyakit tersebut. Tapi Pooh, 21 tahun, tetap bersemangat bahawa suatu hari nanti akan ada keajaiban yang menyembuhkan tumornya.
Semoga cinta sejati Attiya mampu menjadi tangkal buat lelaki malang ini. Kekuatan wanita itu juga boleh menyuntik rasa optimis agar pasangannya sembuh. Attiya sendiri adalah lambang wanita berhati bersih, cintanya begitu tebal dan semakin membara biarpun dalam keadaan Pooh yang kesakitan.
Sumber: Nextshark
Miliki Rumah Mewah Awal 20an, Terpegun Tengok Rumah ASYALLIEE! Tersusun Kemas & Bersih Je

Seronok tengok kejayaan dan gaya hidup usahawan Loveliee Beauty ni. Mana tidaknya, dalam usia muda dia bukan saja ada empayar niaga sendiri. Malah, mampu kumpul beberapa aset mewah dan salah satu daripadanya ialah rumah!
Yang pasti, kesenangan yang dinikmati Asyalliee atau nama sebenarnya Siti Syasya Rosaelmi Baba kini tak datang bergolek. Inilah hasil kerja kerasnya bersama suami, Eboy Arbaain dalam mengusahakan jenama kosmetik milik mereka.
Mengintai media sosial Asyalliee atau mesra disapa Asya, usahawan muda tersebut baru-baru ini berkongsi minatnya dalam menghias ruang kediaman. Tak sangka Asya ada bakat dekorasi rumah. Daripada foto-foto yang dikongsikan, memang cantik sentuhan dekorasi Asya.
Walau ada tiga anak kecil tapi rumah Asya sentiasa nampak kemas dan bersih. Dia juga mengaku menghias rumah membuatkan kesihatan mentalnya menjadi lebih baik.
“My current obsession. Simpan sini buat kenangan sebelum ia bertukar lagi. In planning untuk decorate lain dalam bermain warna white & gold. You know what? My mental health is getting better dengan apa yang I tengah buat sekarang.
I rasa tenang, nyaman dan bahagia bila tengok rumah dalam keadaan yang kemas, tersusun dan bersih. Itulah pernah dengar orang kata, duduk setahun dua berubah la rumah tu.
Memang tengah berlaku sekarang, nak tukar beberapa sikit untuk bagi kena dengan concept yang Asya nak. For now, concept rumah Asya tengah bercampur-aduk habis.”
Asya turut memberitahu dia mula mengemas rumah selepas anak-anak ke sekolah dan tidur.
“Barulah tenang nak pergi kerja kalau rumah kemas. Memang satu kepuasan kan bila rumah kemas, bersih dan tersusun.”
Meniti usia 25 tahun, penerima anugerah Nona Top Beauty Entrepreneur 2020 ini pernah menjelaskan kepada Nona yang perkongsian sisi peribadinya bukan untuk menunjuk jauh sekali riak dengan apa yang dimiliki sekarang.
Sebaliknya mahu pengalaman hidup yang dilalui dijadikan pembakar semangat buat wanita untuk berjaya.
Asya mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta pada 25 Februari 2017. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata comel iaitu Haider Mikael, Siti Helena Adrianna dan Hayyan.
Siapa Sangka Dek Kerana Cinta Orang Kebanyakan Mampu Bertukar Status Ke Kerabat Diraja

Cinta tak pandang darjat! Jika sejak kecil kita disogokkan cerita dongeng gadis desa yang baik hati bertemu jodoh dengan kerabat diraja, namun cerita tersebut bukanlah fantasi semata-mata. Cerita dongeng zaman kanak-kanak ini telah menjadi realiti dari dahulu sehingga ke sekarang. Nyata apabila cinta menguasai antara ‘uda’ dan ‘dara’ semua halangan termasuk perbezaan antara dua darjat dapat diatasi seperti 6 pasangan diraja ini.
GRACE KELLY, PRINCESS OF MONACO
Grace Kelly merupakan bintang yang bersinar di Hollywood dan salah seorang selebriti cantik paling ikonik sehingga hari ini. Bertemu Prince Rainier III ketika penggambaran foto dan dari situ kehidupan wanita anggun ini berubah 360 darjah. Pasangan ini berkahwin pada tahun 1956 dan dikurniakan tiga cahayamata sebelum meninggal dalam kemalangan kereta tragis pada tahun 1982. Anak lelakinya Albert II merupakan Prince of Monaco kini.
RANIA, QUEEN OF JORDAN
Wanita berkerjaya ini memperoleh ijazah perniagaan dari American University of Cairo, dan kemudian bekerja di Citibank dan Apple sebelum bertemu Putera Abdullah II. Pasangan ini berkahwin hanya selepas lima bulan bertemu. Sejak itu Rania aktif menjadi duta untuk banyak pusat kebajikan dan menjadikan perkara ini sebagai salah satu agenda utamanya sebagai seorang permaisuri. Citarasa fesyennya yang tinggi dan menarik menjadikan beliau kerap dipaparkan di dalam majalah fesyen Amerika.
LETIZIA, QUEEN OF SPAIN
Letizia adalah wartawan penyiaran dan merupakan seorang janda apabila dia menangkap mata Putera Mahkota Felipe, yang melihatnya di kaca televisyen lantas meminta ketua di lokasi bekerja Letizia memperkenalkan mereka. Kedua-dua mereka bercinta secara rahsia sebelum mengumumkan pertunangan mereka pada tahun 2003, dan telah berkahwin di Madrid pada tahun 2004. Selepas ayahandanya turun takhta, Felipe menjadi raja dan Letizia secara automatik menjadi permaisuri.
MASAKO, CROWN PRINCESS OF JAPAN
Masako adalah seorang graduan dari Univeristi Harvard dan merupakan anak seorang diplomat ketika dia bertemu dengan Putera Mahkota Jepun ketika majlis minum teh. Kehidupan kedua pasangan bercinta ini banyak disensasikan oleh pihak media sekitar akhir tahun 80-an. Pada mulanya beliau enggan berkahwin dengan putera mahkota kerana terpaksa mengorbankan kerjayanya. Akhirnya setelah melihat kesungguhan putera mahkota, Masako menerima lamaran ketiga pada tahun 1992 dan kedua-duanya berkahwin pada 1993. Kini Masako merupakan Permaisuri Jepun terbaharu selepas majlis pertabalan suaminya baru-baru ini.
PRINCE DANIEL, DUKE OF VASTERGOTLAND
Pasti anda selalu mendengar cerita mengenai gadis-gadis biasa yang menjadi puteri, tetapi ia juga berlaku pada lelaki! Putera Daniel atau nama asalnya Daniel Wesling merupakan jurulatih peribadi Puteri Mahkota Victoria dari Sweden sebelum menjadi suaminya pada tahun 2010. Sebelum berkahwin dia memiliki tiga gimnasium di Stockholm.
MARY DONALSON, CROWN PRINCESS OF DENMARK
Seperti mana-mana gadis biasa, Mary bertemu dengan bakal suaminya, Putera Frederik dari Denmark secara kasual di sebuah bar di Sydney. Dia yang ketika itu merupakan seorang eksekutif pemasaran, dan Putera Frederik hanya memperkenalkan dirinya sebagai ‘Fred’ sahaja berbanding memperkenalkan diri sebagai seorang putera raja. Mary terpaksa belajar bahasa Belanda sebelum berlansungnya majlis perkahwinan diraja pada tahun 2004. Walaupun kini dia bergelar kerabat diraja tetapi masih sangat merendah diri dan pernah dilihat keluar membuang sampah sendiri!
Sayang Pengasuh Daripada Ibu Sendiri? Ini Rungutan IBU IBU BEKERJA Bila Anak Terlalu Manja Pada Bibiknya

Aduh, kecewa rasa apabila pulang ke rumah melihat anak anda sedang bergembira bersama pengasuh. Si kecil langsung tidak menghiraukan anda yang sedang tersenyum lebar di muka pintu menanti untuk memeluknya.
Hendak berhenti kerja dan menumpukan 100% perhatian kepada mereka, susah pula kerana terlalu banyak komitmen yang perlu diselesaikan. Hendak dihantar ke rumah asuhan, bimbang pula dengan kes penderaan terhadap kanak-kanak yang sedang berleluasa.
Anda berada di dalam dilema. Rasa cemburu mula menguasai diri namun anda perlu bertindak agar si kecil tidak melupakan ibunya sendiri. Beberapa tip di bawah mungkin berguna untuk dimulakan dari sekarang.
(a) Aktiviti di tempat tidur
Mulakan dengan bacaan sebelum tidur. Anda boleh memilih untuk memperdengarkan kisah-kisah mengenai para nabi, kisah dongeng atau kisah tauladan. Sebagai ibu, anda perlu mula menghafal cerita-cerita kanak-kanak atau lebih sesuai kisah yang mereka gemari. Atau, anda boleh mencuba khayalan anda mencipta sebuah cerita tauladan yang mungkin mereka akan sukai.
Aktiviti fizikal juga boleh dilakukan. Ajak mereka berguling di lantai atau baring menghadap siling rumah, seolah-olah anda berdua sedang memerhatikan bulan dan bintang. Bawa mereka dalam khayalan sambil mengambil kesempatan untuk bermesra dengan mereka melalui pelukan dan ciuman.
Putarkan muzik yang sering anak-anak dengar atau yang mereka sukai. Ajak mereka memejamkan mata sambil anda berbual mengenai aktiviti hari ini. Biarkan mereka bercerita dan sekiranya perlu, tambahkan dengan pujian. Jangan sampai anda pula tertidur dahulu!
(b) Lupakan urusan pekerjaan
Anda sudah banyak meluangkan masa di pejabat. Apabila tiba di rumah, inilah masanya untuk anda luangkan bersama keluarga terutamanya si kecil. Telefon bimbit dan komputer riba seharusnya berada jauh dari tempat anda bersama anak-anak kerana inilah halangan yang akan membantutkan kemesraan anda bersamanya.
(c) Cipta aktiviti rutin
Luangkan sedikit masa pada waktu pagi bersamanya. Sebelum ke tempat kerja, mandikan si kecil dan ajak si kecil memilih baju yang ingin dipakainya. Siapkan sarapan pagi yang paling digemarinya.
Sukar untuk menjadikan aktiviti pagi sebagai rutin harian tetapi anda perlu berusaha demi kebahagiaan si kecil dan anda. Ketika mandi, cubalah bermain dengannya. Buihkan muka mereka contohnya dalam bentuk janggut atau rambut. Pagi hari yang gembira akan meninggalkan kesan positif dalam hari-hari si kecil.
(d) Belajar daripada pengasuh
Jangan ego untuk belajar daripada pengasuh. Ambil seberapa banyak maklumat dari mereka mengenai apa yang disukai dan yang tidak disukai. Fahami keletah si kecil dengan baik agar anda juga boleh mengikat tali kasih sayang bersamanya. Jadikan perkara ini sebagai motivasi untuk lakukan yang lebih baik daripada pengasuh.
(e) Tingkatkan bonding
Teruskan usaha untuk mendekatkan diri anda dengan si kecil. curahkan perhatian yang berkualiti kepada mereka misalnya dengan tutur kata yang lembut, belaian pada rambut mahupun tatapan mata yang membuat si kecil merasa dekat dan disayangi. Hal ini dapat anda lakukan semasa menonton televisyen atau menonton filem kesukaannya.
(f) Hadkan masa bersama pengasuh
Pada waktu cuti, luangkan masa sepenuhnya bersama anak. Tidak perlu membiarkan pengasuh mengambil alih tugas anda. Jika boleh, jangan melibatkan langsung pengasuh dalam hal di antara anda dan si kecil.
(g) Jelaskan aturan kepada pengasuh
Pengasuh bukan musuh anda tetapi mereka adalah support system yang mendukung peranan anda sebagai wanita berkerjaya dan sebagai ibu. Jika anda ingin menerapkan pola asuh yang tepat mengikut anda, beritahu pengasuh dari awal.
(h) Jalin komunikasi dengan anak
Walaupun sibuk bekerja, sedikit waktu yang diambil untuk menghubungi anak amat bermakna buat mereka. dalam sehari, cuba hubungi mereka dua atau tiga kali sehari. Tanya khabar mereka? Apa yang mereka makan,? Apa yang mereka lakukan di rumah atau dengan siapa mereka bermain? Dengan komunikasi begini, mereka tahu bahawa mereka sentiasa diperhatikan dan menjadi satu kepentingan untuk anda. KR