DALAM PENERBANGAN Pun Kena Nampak Stylish & Paling Penting Selesa. Bawa ‘Sweater’ Sekali Okay!

11

Berada di dalam penerbangan adalah perkara yang disukai oleh ramai orang, akan tetapi untuk berada di tempat duduk dengan memakai tali pinggang keledar sehingga anda tiba ke tempat yang dituju, ia sudah pasti bukan suatu situasi yang selesa. Oleh sebab itu, anda haruslah memakai pakaian yang paling selesa apabila berada di dalam perjalanan untuk mendapatkan pengalaman yang lebih baik. Mari ikuti tip fesyen untuk berasa selesa dan bergaya semasa dalam penerbangan.

 

ELAK MEMAKAI PAKAIAN YANG TERLALU KETAT

Anda digalakkan untuk memilih pakaian yang agak longgar untuk memastikan anda selesa dan senang untuk bergerak. Pakaian-pakaian ini tidak perlulah kelihatan terlalu besar. Satu langkah yang boleh diambil untuk menguji kesesuaiannya ialah mencuba pakaian yang dipilih itu, dan bayangkan anda sedang duduk di dalam penerbangan. Jika anda berasa selesa, anda boleh terus memakainya.

MENGENAKAN PAKAIAN YANG RINGKAS

Pilihlah pakaian yang ringkas agar anda berasa lebih selesa dan memudahkan pergerakan anda. Pakaian yang ringkas tanpa perhiasan dan sehelai seluar paling selesa yang anda miliki  dapat memberi keselesaan yang tiada tara. Ini merupakan pilihan yang sesuai dan amat bijak sebagai pakaian semasa dalam penerbangan.

 

PILIHAN AKSESORI

Pilihlah aksesori yang senang ditanggalkan dan cuba untuk hanya memakai aksesori yang berguna seperti jam tangan. Lupakan tentang trend memakai barang kemas untuk sementara waktu. Anda boleh berbuat demikian setelah sampai di tempat yang dituju. Untuk tempoh penerbangan, pakailah aksesori seminima yang mungkin.

PILIH RONA-RONA YANG NEUTRAL

Gabungan rona neutral yang elegan dan bergaya kelihatan lebih cantik berbanding warna-warna terang dan berani. Lebih-lebih lagi apabila anda tidak mempunyai ekspresi gembira untuk dipadankan dengannya akibat tempoh penerbangan yang sangat panjang. Pilihlah warna neutral apabila anda berada dalam penerbangan kerana rona ini adalah lebih mudah untuk dipadankan dan tidak terlalu menonjol.

 

KENAKAN BEBERAPA LAPISAN

Pastikan anda mengenakan beberapa lapisan di atas pakaian anda kerana suhu di dalam penerbangan boleh menjadi sangat sejuk. Anda tidak disarankan untuk memakai baju panas yang tebal dan besar kerana anda mungkin menuju ke destinasi yang mempunyai cuaca yang panas. Dengan mengenakan lapisan lain di atas pakaian anda, anda boleh menanggalkannya dengan mudah.

Jangan Lupa Komen