Sebagai seorang wanita yang bergelar isteri tanpa mengira darjat atau warna kulit pasti mengimpikan kehidupan bahagia bersama pasangan kekal sehingga ke jannah. Namun, sudah menjadi lumrah kehidupan dalam setiap perhubungan pasti akan diuji. Ujian yang datang dalam pelbagai cara secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan pasangan suami isteri tersebut.
Pasangan selebriti yang sama cantik sama padan, Datuk Farid Kamil dan Datin Diana Danielle juga seperti pasangan suami isteri lain yang tidak terkecuali diuji dalam melayari kehidupan berumah tangga. Berkahwin pada 3 November 2012 dan kini telah pun dikurniakan dengan sepasang cahaya mata yang comel, Muhammad dan Nur Aurora.
IKLAN
Ramai wanita dan juga isteri di luar sana yang mengagumi sikap Datin Diana yang kelihatan begitu tenang dalam menghadapi ‘situasi sukar’ apabila suaminya menghadapi dugaan kehidupan sedikit masa lalu. Mencungkil rahsia ketenangan yang diperoleh wanita pan asian ini, “Saya rasa setiap orang ada masa-masa yang getir dalam kehidupan.
Sebagai manusia biasa, kita perlu beri peluang dan ruang untuk berkembang. Di saat dia jatuh bagi dia masa untuk bangun balik. Itu adalah perkara yang di ajar oleh mak saya sejak daripada dulu lagi. Pengalaman melihat ibu saya menghadapi dugaan naik turun naik turun dalam bisnes, menempuh ujian dalam kehidupan serta menghadapi situasi sakit dan sebagainya benar-benar mengajar saya erti sebuah kehidupan.
Sebagai seorang anak kita tak pernah pun terfikir nak abaikan ibu kita yang sedang menghadapi dugaan sebab beliau adalah darah daging kita sendiri. So, apa pula bezanya suami. Dalam keadaan yang macam itu, kita fikir balik suami sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan keluarga kita. Orang kata bila kita tua-tua nanti pun dia lah juga akan menjadi peneman kita.
Saya juga sering ingat dan semat dalam hati pesan dan kata-kata orang tua kita, apabila diuji dengan dugaan yang kecil kita dipermudahkan dengan sikap tolak ansur dan memaafkan. Tak perlu diperbesarkan masalah yang ada atau mahu menyusahkan lagi keadaan. So daripada situ kita cuba bertindak untuk kebaikan keluarga bukan hanya untuk kebaikan pasangan sahaja,” bicara Datin Diana dengan tenang.
Kehidupan selebriti kini lebih terdedah dengan kritikan netizen di laman sosial yang kadang-kadang boleh mempengaruhi kehidupan. Namun, Datin Diana mengambil pendekatan yang bijak dengan tidak membaca langsung kritikan yang dilemparkan oleh netizen. Menurut wanita tinggi lampai ini, tindakan tidak membaca kritikan itu adalah jalan yang terbaik supaya tidak memberi reaksi yang dimahukan oleh mereka.
IKLAN
Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, Datin Diana kini sedang sibuk mengendali program Kata Serasi untuk siaran NTV7. Rancangan ini mengetengahkan isu-isu keluarga, perhubungan antara pasangan, dan membongkar segala isu mengenai perspektif lelaki dan wanita yang dihoskan bersama Naz Rahman.
Ketika diajukan pertanyaan tentang perniagaan kosmetik yang diceburi sedikit masa lalu, “Selepas melahirkan anak kedua saya dah tak boleh nak tanggung komitmen menguruskan perniagaan. Sebab semuanya saya buat sendiri dan partner saya juga sudah ke luar negara. Bebanan komitmen tersebut dah buat saya sampai jatuh sakit.
Namun saya ada membuat perancangan untuk mulakan balik atau penjenamaan semula cuma saat dan ketika ini memang saya tak mampu. Fikir tentang perniagaan itu pun saya rasa lelah. Banyak pelanggan yang bertanya kenapa tak bagi pada stockist tapi saya tak pandai nak membuat urusan sebegitu. Era saya dulu bukan macam itu. Lebih baik saya stop dulu dan nanti bila ada kelapangan masa dan sumber kewangan mencukupi, baru saya akan mula balik,” tutur Datin Diana mengakhiri perbualan.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Agak lama Ustazah Nor Bahyah menyepikan diri daripada dunia media sosial. Walaupun begitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
“Masa saya banyak dengan cucu-cucu lebih-lebih lagi cucu saya yang kembar. Jadi biarlah saya beri peluang kepada generasi muda pula untuk berdakwah melalui medium media sosial agar mereka dapat bersama-sama menyumbangkan ilmu anugerah Allah dan mendidik ummah.
“Seperti biasa saya menerima undangan ceramah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura. Selain itu saya juga akan mengadakan seminar atau kem motivasi pada musim cuti sekolah November dan Disember ini. Jika tiada jemputan atau undangan untuk menyampaikan ceramah, saya akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sekarang ini saya mempunyai lima orang cucu yang tinggal bersama,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah membuka bicara kata.
Tidak dapat dinafikan kelibat Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dan imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dalam rancangan Semanis Kurma amat dirindui. Rancangan yang berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sejak 2008 itu benar-benar meninggalkan impak yang berkesan dan berpanjangan kepada penonton.
“Terima kasih kepada pihak TV9 kerana memberi kepercayaan kepada saya dan Ustaz untuk mengacarakan rancangan Semanis Kurma. Rancangan semanis kurma di TV9 habis kontraknya pada 2016. Memang menjadi cita-cita saya dan Ustaz untuk menghidupkan kembali rancangan Semanis Kurma kerana rancangan ini menjadi sumber inspirasi dan juga menjadi pedoman dalam membina keluarga bahagia. Alhamdulillah ke mana-mana saya pergi, orang akan memanggil saya dan Ustaz dengan panggilan Semanis Kurma. Semoga ada penaja untuk rancangan ini diteruskan,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Jadual beliau agak padat dengan undangan ceramah-ceramah agama. Kebiasaannya dalam seminggu tiga hingga empat kali. Ada ceramah pada waktu siang hari dan ada juga pada malam hari.
“Kebanyakan ceramah di luar kawasan terutamanya di Terengganu. Setiap bulan saya akan ke sana bagi menyampaikan ceramah atas undangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sejak tahun 2000. Saya juga kerap pergi ke Singapura, Sabah dan Sarawak serta Brunei. Ada juga undangan daripada pelajar dari luar negara seperti Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya juga banyak turun padang ke kawasan pendalaman seperti kampung-kampung dan Felda-Felda,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
CABARAN BERDAKWAH
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
Wajahnya seayu namanya. Ayu Yoneda, kebelakangan ini menjadi sorotan di media sosial apabila terpilih sebagai angkasawan di Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) sekaligus membuktikan kemampuan wanita meneroka ruang angkasa.
Saat ditemui wartawan, Ayu Yoneda berkongsi kegembiraannya selain mengakui terkejut dengan pemilihan tersebut. Beliau mengungkap bahawa menjadi angkasawan membuatkan dirinya memiliki rasa tanggungjawab yang lebih besar.
Dua kali mendaftar di JAXA, usaha beliau akhirnya berhasil apabila mengalahkan calon peserta lain dengan rekod terbanyak tahun ini iaitu seramai 4,127 orang.
Selain Ayu Yoneda, turut terpilih adalah Makota Suwa yang bekerja di Bank Dunia lulus setiap ujian dengan cemerlang.
Berusia 28 tahun dan bekerja sebagai doktor bedah di Pusat Perubatan Palang Merah Jepun, Ayu Yoneda muncul sebagai angkasawan termuda di JAXA sekaligus memecah rekod sebagai wanita ketiga yang berjaya lulus dalam sejarah Negara Matahari Terbit itu.
Demi mengejar impiannya ke angkasa, beliau terpaksa meletakkan jawatan kerana perlu menyertai JAXA pada April 2023. Ayu Yoneda seterusnya bakal mendapat latihan di NASA sebelum diakui sebagai angkasawan rasmi sekitar Mac 2025 nanti.
Wanita hebat ini juga dikatakan bakal menyertai projek eksplorasi ke bulan bersama Makota dan tinggal di stesen angkasa lepas yang mengorbit bulan.
Satu pencapaian wanita yang patut dibanggakan. Syabas Ayu Yoneda!
Memetik perkongsian tazkirah oleh personaliti agama tersohor, Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman tentang makna dan hikmah Tabayyun @ Teliti Dulu Bimbang Jatuh Fitnah!
Di Facebook Majalah Nona slot Me Time membincangkan senario hari ini yang banyak dipengaruhi media sosial. Banyak pengaruhnya dari sudut positif mahupun negatif.
Berikut dikongsikan intipati daripada tazkirah beliau.
“Hari ini ustazah ingin membincangkan tentang satu perkara yang sangat penting dewasa ini. Mutakhir ini dalam era globalisasi kita semua hidup di dalam keadaan serba cangih, serba moden. Kita ada media sosial seperti Whatsapp, Facebook, Telegram dan Twitter yang bila mana kita post satu dunia tahu.
“Perkara ini hanyalah di hujung jari kita sahaja. Ditambah pula dalam era globalisasi dan serba moden ini hanya dengan sekali klik sahaja akan tersebar luaslah segala berita, baik berita yang baik mahupun berita yang tidak baik.
“Sebab itulah apa sahaja berita yang diperolehi kita perlulah bertabayyun. Apa itu tabayyun? Hari ini satu kupasan topik yang menarik dan perlu kita sebarkan ilmu. Allah Ta’ala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidiklah dulu untuk menentukan kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum itu dengan perkara yang tidak diingini. Dengan sebab kejahilanmu mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al Hujarat: 6)
“Sebab itu kitalah perlu bertabayyun. Tabayun bermaksud menyemak dengan lebih teliti lagi. Maknanya daripada orang yang fasik itu bila sampai sesuatu berita kepada kamu sebenarnya berita ini sudah tentulah ianya berita yang kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya.
“Kita perlu bertabayyun serta meneliti kesahihan sesuatu cerita atau berita. Dalam era globalisasi ini ustazah ingin mengingatkan jangan sesuka hati hendak forward, komen yang bukan-bukan. Kadang-kadang ustazah baca komen pun ustazah takut.
“Sentiasalah menjaga tatasusila bukan sekadar di dalam rumah, bersama ahli keluarga atau orang-orang yang kita kenal tetapi di khalayak orang ramai juga iaitu di sosial media kerana semua orang boleh baca walaupun kita menipu nama atau menggunakan akaun palsu.
“Ingatlah, amalan-amalan kita walaupun sebesar zarah Allah SWT akan nilai. Zarah ini sangat kecil. Maka, jangan ingat kalau kita pakai akaun palsu kita boleh buat sesuka hati. Sebenarnya apa yang kita lakukan itu telah direkodkan di dalam satu ‘chip’ yang memang ada di dalam tubuh badan kita.
“Chip itulah yang akan menjawab semua amalan kita. Kadang-kadang kita ini suka sangat hendak teropong hidup orang, kenapa suka hendak teropong masalah orang? Ustazah sebenarnya suka menggunakan perkataan teropong.
“Sebenarnya hal kita pun tak habis tetapi kita sibuk cari hal orang. Sibuk mencari masalah dan kekurangan orang. Kenapa?
“Sedangkan orang yang berakhlak dengan Al Quran yang mana Al Quran mengajar kita untuk melihat kebaikan sahaja. Allah tak ajar kita untuk melihat keburukan orang, Allah tak ajar kita untuk melihat kelemahan-kelemahan orang.
“Maka, hentikanlah fitnah! Tambah lagi satu mengumpat. Sudahlah fitnah bercerita pula dengan kawan-kawan yang lain. Mengumpat pula dalam media sosial. Tambah pula pengikut-pengikut Like berpuluh-puluh ribu.
“Gunakan platform ini ke arah kebaikan kerana semua perbuatan kita akan disoal di akhirat kelak. Oleh itu ustazah nak nasihatkan kita selidik dulu. Lebih-lebih lagi dengan berita-berita yang tidak betul supaya ia dapat mengelakkan kita daripada menyesal di kemudian hari.
“Nasi kalau sudah menjadi bubur sudah tiada gunanya. Sebab ia dah beri kesan pada seluruh masyarakat. Sebab itu bahayanya fitnah ini. Jadi, sebelum kita hendak forward, taip dan komen benda-benda yang kita sendiri tak tahu kesahihannya hentikan dan janganlah kita memanjangkan fitnah-fitnah yang boleh memecah belahkan masyarakat.
“Akhlak Al Quran adalah yang membina kasih sayang, membentuk mawaddah, warahmah, membentuk hubungan sesama Islam, kemasyarakatan yang harmoni, yang bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.
“Berlumba-lumbalah dalam mencari akhirat, berlumba lumbalah dalam mencari kebaikan. Nasihat ustazah hentikan semua perbuatan fitnah, hentikan komen perkara-perkara yang tak perlu.
“Ada dalam Al Quran, akan diangkat jari jemari kamu ke atas langit. Kenapa jari jemari? Sebabnya suka sangat hendak komen yang bukan-bukan.
“Kalau perkara itu tidak betul maka dosa kering saja yang kita dapat. Begitu juga dengan orang yang gemar mengumpat. Dosa orang mengumpat ini ibarat memakan bangkai atau makan sesama insan. Sanggupkah kita makan benda-benda yang tidak elok? Tentunya ini adalah untuk ahli neraka sahaja yang berbuat demikian.
“Justeru, eloklah kita berlumba-lumba untuk mencari reda Allah SWT, berlumba-lumba mencari kebaikan. Wallahu’alam.”
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Semakin kejar akhirat, semakin melimpah ruah rezeki Rozita Che Wan. Sebut sahaja nama selebriti popular ini pasti ramai yang membayangkan kejelitaan dan imej glamor isteri Zain Saidin ini ...