Kehadiran pensyarah vokal, Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap program realiti Gegar Vaganza bagi musim yang kelapan benar-benar mencuri tumpuan. Penampilannya yang anggun dan elegan menarik perhatian orang ramai ditambah pula dengan komennya yang membina itu.
Melihat kejelitaannya bagai tidak percaya wanita ini bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-49 pada 11 Januari akan datang. Wanita ini juga sering berkongsi pengalamannya di pentas hiburan tanah air.
Penyanyi kelahiran Johor ini telah dianugerahkan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. Pingat berkenaan dikurniakan oleh Yang Dipertuan Agong Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara sempena Hari Wilayah Persekutuan pada tahun 2018.
Ads
Datuk Syafinaz juga telah kembali aktif di persada seni apabila telah melancarkan single terbaharu, yang berjudul Persis Salju pada April lalu. Kerinduan peminat kepada penyanyi bersuara emas ini terubat menerusi lagu ini lantaran sudah hampir 20 tahun menunggu lagu baharu beliau.
Foto: Instagram @datuksyafinazofficial
Kalau diputar kembali masa dari awal pembabitan wanita kelahiran Pontian, Johor ini dalam industri seni sejak berumur seawal 7 tahun, telah banyak kejayaan dan pengiktirafan yang berjaya dirangkulnya.
Ads
Bahkan, pengetahuan serta pengalaman Syafinaz dalam dunia hiburan, seni suara dan persembahan juga telah menjadikan beliau antara juri popular yang sering diundang dalam pertandingan nyanyian dan program realiti.
Wanita tinggi lampai yang terkenal dengan suara soprano ini juga merupakan konduktor dan vocal master untuk Koir Permata Seni. Selain itu, Datuk Syafinaz juga pernah bertindak sebagai juri program nyanyian popular seperti Malaysian Idol, AF Megastar dan terbaharu Gegar Vaganza 8.
Ads
Bukan itu sahaja, Datuk Syafinaz yang popular menerusi lagu Ingin Bersamamu ini juga adalah pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pensyarah Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) serta vokal master untuk Koir Kebangsaan Malaysia.
Nona tumpang berbangga dengan pencapaian yang berjaya dikecapinya. Kejayaan beliau ini juga wajar dijadikan inspirasi kepada semua wanita untuk terus berusaha mencapai cita-cita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bergelar pewaris kekayaan lelaki terkaya di dunia, kehidupan anak sulung Bill dan Melinda Gates ini sering menjadi perhatian ramai. Tidak seperti teman sebaya lain yang menyenangi kemewahan, Jennifer Gates lebih selesa bersederhana – sesuai statusnya sebagai penuntut di Sekolah Perubatan Mount Sinai Icahn dan menunggang kuda.
Merupakan anak sulung daripada tiga beradik, Jennifer yang kini berusia 25 tahun adalah kakak kepada Rory dan Phoebe.
Bapa mereka, Bill Gates pernah menyatakan bahawa mereka bakal mewarisi sebahagian kecil kekayaannya yang dianggarkan bernilai $116 bilion atau RM528 bilion.
“Walau bagaimanapun mereka harus menemukan jalan hidup masing-masing.” Bill Gates
Kisah Jennifer yang tidak dibenarkan memiliki telefon pintar sendiri sehingga berumur 14 tahun, pernah tular memandangkan beliau adalah anak pengasas Microsoft yang kaya-raya.
Jennifer memiliki kelulusan ijazah dalam jurusan Biologi Manusia. Selepas menamatkan pengajian beliau di Universiti Stanford pada tahun 2018, gadis jelita ini ‘berehat seketika’ demi menumpukan perhatiannya dalam bidang ekuestrian.
Beliau juga gemar melancong dan pernah dilihat menjejakkan kaki di Kuwait, Sepanyol, Australia dan banyak lagi.
Selang setahun kemudian, Jennifer kembali menuntut di sekolah perubatan. Dalam temu bualnya dengan Sidelines, beliau sangat terinspirasi dengan kerjaya doktor kanak-kanak atau paediatrik sejak zaman kecil lagi.
Memetik kata Jennifer dalam hantaran Instagram pada Februari 2021, ibu bapanya juga sangat menyokong minat beliau dalam bidang perubatan.
PEMINAT EKUESTRIAN
Barangkali ramai beranggapan bahawa golongan hartawan seperti Jennifer suka memandu dan bertukar kenderaan mewah. Tanggapan itu silap kerana gadis ini sangat meminati kuda sejak berumur 6 tahun.
Salah seekor kuda kesayangannya bernama Alex. Jennifer menyifatkan kuda itu mampu berlari pantas, berkeyakinan tinggi, mudah dipelihara dan menyenangkan, selain selalu membuat beliau teruja untuk menunggang.
Bill Gates turut menunjukkan sokongan kepada Jennifer apabila beliau membeli sebuah hartanah di Wellington, Florida – sebuah kawasan popular di kalangan pencinta ekuestrian jutawan. The Miami Herald melaporkan hartanah tersebut bernilai $37 juta dan terletak berdekatan hartanah Laurene Powell Jobs.
Bakat ekuestrian Jennifer melayakkan beliau bersaing dengan penunggang kuda hebat yang lain seperti anak perempuan Michael Bloomberg iaitu Georgina, anak perempuan Bruce Springsteen iaitu Jessica dan anak perempuan Steven Spielberg, Destry.
Ketika masih menuntut di Stanford, Jennifer pernah memberitahu Horse Network bahawa beliau sangat menyukai hobi menunggang kuda dan belajar kedoktoran.
“A little busy, but I love doing both.” Jennifer Gates
Ibu bapa Jennifer menghadiahkan beliau sebuah kondo jutaan ringgit berhampiran Sekolah Perubatan Mount Sinai Icahn bagi memudahkan aktiviti anak mereka.
Pada Januari 2020, Jennifer mengumumkan pertunangan beliau dengan ekuestrian Mesir, Nayel Nassar yang turut merupakan bekas rakan universitinya di Stanford. Akhirnya mereka berkahwin pada Oktober 2021.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantik dan berpendidikan tinggi! Siapa sangka, penyanyi rap terkemuka, Eminem mempunyai anak gadis yang bijak dan kini menjadi pempengaruh terkenal di Amerika Syarikat.
Hailie Jade Mathers, menggunakan akaun @hailiejade, di mana dia sering berkongsi gambar-gambar mengenai aktiviti hariannya. Hailie juga sering memuat naik selfie dan panduan solekan untuk para pengikut di laman Instagram miliknya. Sehingga kini, Hailie mempunyai jumlah pengikut seramai 3 juta di Instagram miliknya. Hailie juga merupakan hos untuk saluran pod cast @justlittleshadypodcast.
Ketika di usia bayi, Hailie sering ‘muncul’ di dalam lirik Eminem seperti untuk lagu Mockingbird. Penyanyi rap itu juga ada menceritakan mengenai hubungan mereka di dalam lagu Hailie’s Song. Sayang betul Eminem pada dia!
Sejak dua dekad lalu, penyanyi rap tersohor dari Amerika Syarikat ini sudah banyak kali menggegarkan dunia dengan muziknya. Eminem yang kini mencecah usia 50 tahun masih aktif dalam industri muzik dan bergelar usahawan dengan mengusahakan sebuah restoran dikenali sebagai Mom’s Spaghetti Restaurant. Selain Hailie, Eminem turut mempunyai dua orang anak perempuan, Whitney Scott Mathers dan Alaina Marie Mathers.
Menjengah ke laman Instagram milik Hailie, dia tidak pernah memuat naik foto bersama bapanya itu. Walaupun Hailie tidak pernah berkongsi gambar Eminem, Hailie memberitahu Daily Mail bahawa hubungan mereka sangat rapat.
Hailie memilih kerjaya sebagai pempengaruh media sosial selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang Psikologi dengan keputusan cemerlang 3.9 (GPA) dari Michigan State University. Dengan pengikut mencecah 3 juta followers, tidak hairanlah mengapa gadis cantik ini begitu dikenali apatah lagi perkongsian foto yang cantik mengenai destinasi yang dikunjunginya serta tips solekan yang menjadi kegemarannya.
Hailie Jade Mathers kini bergelar tunang kepada Eksekutif Pembangunan Perniagaan Scout, Evan McClintock. Gadis berusia 27 tahun itu mengesahkan perkara tersebut menerusi beberapa keping gambar yang dimuat naik di Instagram.
Antara yang dikongsikan adalah gambar cincin pertunangan yang tersarung pada jari wanita berusia 27 tahun itu. Dia dan Evan merupakan graduan Michigan State University.
Pasangan itu mula menjalin hubungan istimewa sejak 2016, namun sebelum ini menyembunyikan status percintaan mereka dan jarang berkongsi kemesraan di media sosial. Pasangan itu dilaporkan mengikat tali pertunangan pada 4 Februari lalu selepas mula menjalinkan hubungan sejak 2016.
Bagaimanapun pada Julai 2021, Hailie pernah berkongsi foto dengan Evan dan memberitahu dia memang jarang berkongsi gambar teman lelakinya itu di media sosial.
“Saya jarang berkongsi foto bersama di Instagram, tetapi apabila saya melakukannya itu bermakna saya gembira bersama si dia,” katanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melangkah masuk ke galeri seni milik YM Sharifah Bahiyah Jamalullail yang terletak di Desa Sri Hartamas, mata terpaku dengan hasil kerja tangannya yang penuh berseni. Elemen alam semulajadi menjadi elemen utama yang diketengahkan di dalam koleksinya. Tema flora seperti bunga mawar menjadikan ianya nampak begitu hidup dan menyerikan segenap ruang.
Berpeluang melihat dan menghayati hasil karya artis berdarah keturunan diraja ini antara pengalaman menarik buat diri penulis yang sememangnya kurang kemahiran dalam menilai sesuatu hasil seni. Ini kerana, setiap lukisan yang digantung pada dinding ruang pameran milik Sharifah bahiyah yang terletak di Desa sri hartamas ini seakan-akan ‘hidup’ dan penuh penceritaan.
Terhasil daripada terjemahan rasa dan ekspresi artis di atas kanvas, lukisan abstrak ekspresionis yang ditampilkan bukan saja menampilkan nilai estetika tersendiri malah turut mengajak anda untuk berfikir lebih jauh. Malah tidak salah jika dikatakan, koleksi lukisan yang ditampilkan oleh YM Sharifah Bahiyah memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan karya bermula daripada karya awal ketika pembabitannya.
Terkenal dengan lukisan bermotif flora, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan unsur bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni. Sambil berkongsi beberapa lukisan yang pernah dihasilkan, YM Sharifah Bahiyah sememangnya menggemari keindahan flora sebagai elemen utama lukisannya selain kini berjinak menghasilkan lukisan dalam bentuk abstrak selaras dengan perkembangan hasil seninya.
Menurut wanita berketurunan diraja Perlis dan Negeri Sembilan ini, motif flora sering menjadi pilihan di awal pembabitannya dalam dunia lukisan kerana gemarkan keindahan bunga yang membawa maksud kecantikan dan keceriaan.
“Sememangnya motif bunga amat sinonim dalam kehidupan sehari-hari. Bayangkan bagaimana gembiranya seseorang sekiranya menerima jambangan bunga sebagai hadiah daripada yang tersayang. Ia sekaligus dapat menceriakan seseorang terutamanya untuk hari-hari istimewa seorang wanita. Jadi, saya mengabadikan signifikasi bunga dan wanita dalam lukisan yang dihasilkan kerana bunga melambangkan kebahagiaan untuk setiap wanita,” jelas Sharifah Bahiyah yang anggun dengan solekan oleh Vee Muhammad dan persalinan menawan dari Syomirizwa Gupta.
BERMULA DARI HOBI
Sambil membelek beberapa koleksi yang dipamerkan di ruang pameran, penulis sempat diberi kesempatan untuk melihat sendiri ruang kerja di mana Sharifah Bahiyah menghabiskan masa menghasilkan karya seninya. Aroma cat akrilik, pelbagai jenis berus dan kanvas menjadi teman setia Sharifah Bahiyah menterjemahkan sesuatu melalui lukisan cat yang dihasilkannya.
Selain memilih motif bunga-bungaan, kini Sharifah Bahiyah turut menampilkan unsur abstrak dan sebagainya sebagai elemen utama hasil seninya. Tidak hairanlah mengapa hasil seninya amat halus memandangkan dirinya mengabadikan sepenuh minat dalam seni lukisan sejak kecil lagi.
Ketika ditanya mengenai bagaimana minat dalam dunia lukisan mula bercambah di dalam dirinya, wanita anggun ini berkata sejak zaman kanak-kanak lagi dia sudah didedahkan dengan minat melukis dan mewarna oleh bonda tersayang, Almarhum YAM Tunku Mudziah bte Tuanku Munawir.
“Sejak kecil saya mempunyai hobi melukis dan mewarna. Ketika itu, di tangan pasti akan ada scatch book untuk membolehkan saya melukis apa juga yang dilihat seperti melukis pokok, bunga dan apa sahaja yang menarik untuk dilukis. Hanya kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini saya mula mengambil serius mengenai seni lukisan ini dengan mengambil peluang mendaftarkan diri di kelas-kelas lukisan.
Selain itu, mungkin dek kerana minat terhadap bidang ini terlalu mendalam, saya banyak belajar sendiri melalui latihan dan pembacaan mengenai hasil karya pelukis-pelukis ternama yang boleh dijadikan sumber inspirasi,” ujar Sharifah Bahiyah yang menghargai karya agung Monet dan Van Gogh.
Ditanya mengenai pandangannya mengenai industri seni terutamanya lukisan di Malaysia, beliau berpendapat Malaysia telah berjaya melahirkan ramai pelukis yang mempunyai bakat yang besar dan boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Namun jika diberi ruang yang lebih untuk masyarakat Malaysia lebih menghargai keindahan seni, sudah tentu hasil kerja artis tempatan mampu setanding dengan karya antarabangsa.
“Hasil seni sebenarnya adalah salah satu bentuk pelaburan untuk sampai ke pemikiran dan hati seseorang manusia. Bayangkan jika sebuah kediaman tanpa sebarang lukisan, sudah tentu ia akan terasa kosong dan tidak bermaya. Hasil seni ini memberikan anda satu dimensi baru dan suasana yang lebih nyaman. Jadi, saya melihat konteks ini sebagai salah satu kombinasi kehidupan yang memberikan sumber ketenangan buat seseorang,” ujar Sharifah Bahiyah lagi.
Hampir 10 tahun berada dalam industri, karya terbarunya banyak memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan dan nyata berbeza daripada karya ketika awal pembabitan.Secara peribadi, karya yang dihasilkan olehnya kini adalah penanda aras bagi perjalanan kerjaya seni sejak 10 tahun yang lalu sehingga kini. Sisi kematangan bukan saja menjelaskan pengalaman dan perjalanan karya seni tapi turut diterjemahkan dari sudut penghasilan karya itu sendiri.
Terkenal dengan lukisan campuran media cat minyak di atas kanvas, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan warna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni.
Menyentuh pula mengenai kedatangan Ramadan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, anakanda kepada YAM Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail ini tidak terkecuali dari merasai keseronokan menyambut kedatangan Ramadan kerana ia merupakan antara momen indah yang dikenang sepanjang hayat.
Menurutnya, setiap kali kedatangan Ramadan, dia dan keluarga akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk sama-sama menyertai umat Islam mengerjakan solat sunat terawih di masjid ataupun di kediaman saudara-mara terdekat untuk mengeratkan ukhwah persaudaraan.
“Namun begitu, malam ke 20 Ramadan lebih istimewa kerana seluruh keluarga akan berkumpul di Istana Besar Seri Menanti dan menunaikan solat sunat terawih bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan kerabat diraja yang lain,” ujar YM Sharifah Bahiyah yang juga merupakan anakanda saudara kepada Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selain menunaikan solat sunat terawih, Ramadhan merupakan bulan yang istimewa untuk melihat refleksi diri dan muhasabah diri serta bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diperolehi. Selain itu, Sharifah Bahiyah juga menjadikan bulan istimewa ini untuk lebih bertenang dan sumber ketenangan tersebut membolehkan dirinya menghasilkan hasil seni yang lebih dekat di hatinya.
Selain menantikan kedatangan Ramadan, bulan Syawal juga menjadi momen yang ditunggu olehnya memandangkan ia membolehkan kebanyakan kaum kerabat berkumpul. Kesibukan dengan tugas seharian pastinya membataskan waktu untuk bertanya khabar.
“Sememangnya sambutan Hari Raya merupakan saat paling dinantikan kerana ia merupakan momen untuk berkumpul bersama keluarga. Kebiasaannya, saya akan mengambil giliran menyambut Hari Raya sama ada di Perlis dan Negeri Sembilan. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, seluruh kaum kerabat akan berkunjung ke Makam Diraja sebelum meneruskan tradisi memenuhi jemputan rumah terbuka di istana.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan supaya masyarakat Malaysia lebih berhati-hati dalam memilih juadah untuk berbuka puasa agar pembaziran tidak berlaku. Tambahnya lagi, Ramadan sewajarnya menjadi bulan untuk setiap insan bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan soal pembaziran dari segi makanan tidak seharusnya berlaku.
“Ramadan adalah saat yang istimewa kerana nikmat dan syukur seharusnya melebihi dari segalanya. Usah terlebih berbelanja, ingat kepada umat islam lain yang berpuasa dalam keadaan serba kekurangan. Semoga Ramadan dan Syawal ini lebih diberkati untuk setiap umat Islam,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jumaat Terakhir Rejab mengingatkan umat Islam tentang malam Israk dan Mikraj. Ketahui 3 amalan ringan yang sahih dan menenangkan jiwa, khusus buat wanita.