
Datuk Wira Ameer Mydin merupakan antara tokoh korporat terkemuka Malaysia yang berjaya mengembangkan empayar peruncitan Mydin daripada sebuah kedai papan sederhana hingga menjadi antara rangkaian pasar raya terbesar negara.
Di sebalik kejayaan tersebut, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali Mydin, membuktikan bahawa kejayaan dalam perniagaan bukan sekadar diukur melalui keuntungan, sebaliknya sejauh mana sesebuah perniagaan mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Prinsip kepimpinan yang berteraskan nilai kemanusiaan ini turut melayakkan beliau menerima pengiktirafan Nona Superhero Award sempena Nona Gala Awards 2026.
Bagi Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali Mydin, kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui keuntungan atau jumlah cawangan yang dimiliki. Sebaliknya, beliau percaya bahawa sesebuah perniagaan harus membawa manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan yang berdepan cabaran kos sara hidup. Pegangan inilah yang menjadikan beliau antara figura korporat disegani, sekali gus menerima pengiktirafan Nona Superhero Award pada Nona Gala Awards 2026.
Dilahirkan pada 4 Jun 1956, figura berusia 70 tahun ini merupakan generasi kedua yang meneruskan legasi perniagaan keluarga yang diasaskan oleh Allahyarham Tuan Mydin Mohamed di Kota Bharu, Kelantan.
Menariknya, beliau bukan terus terjun ke dunia perniagaan selepas menamatkan pengajian. Sebaliknya, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia) dari Western Michigan University dan Sarjana Pengurusan Antarabangsa dari Sonoma State University, California ini terlebih dahulu membina pengalaman selama hampir lapan tahun dalam sektor perbankan di Arab-Malaysian Merchant Bank sebelum kembali menyertai Mydin pada tahun 1989.
Pengalaman tersebut membentuk perspektif kepimpinannya yang berbeza. Beliau memahami bahawa sesebuah syarikat perlu diurus secara profesional, namun tidak boleh kehilangan sentuhan kemanusiaan yang menjadi asas sebuah perniagaan keluarga.
Sebagai Pengarah Urusan, Datuk Ameer Mydin aktif bertemu pelanggan walaupun memimpin antara rangkaian peruncitan terbesar negara. Baginya, seorang usahawan tidak boleh hanya membuat keputusan di bilik mesyuarat, sebaliknya perlu memahami sendiri realiti yang dihadapi pengguna.
Keperibadiannya yang sederhana, mudah didekati dan sentiasa merendah diri menjadikan beliau bukan sekadar tokoh korporat yang disegani, malah suara penting dalam memperjuangkan kebajikan pengguna serta pembangunan industri peruncitan tempatan. Beliau juga sering menjadi rujukan kerajaan dan industri dalam isu berkaitan kos sara hidup, harga barang, pembangunan PKS serta sektor peruncitan negara.

Mengambil kira semua pengalaman dan sumbangan tersebut, beliau dipilih menerima Nona Superhero Award sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan yang mengutamakan nilai kemanusiaan.
Empayar Mydin Dibina Bukan Sekadar Mengejar Keuntungan
Bagi Datuk Ameer Mydin, keuntungan bukanlah matlamat mutlak sesebuah syarikat. Sebaliknya, keuntungan perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Kepuasan paling besar ialah apabila pelanggan datang mengucapkan terima kasih. Terutama golongan B40 yang memberitahu Mydin membantu mereka berjimat. Itulah kepuasan sebenar saya,” katanya.
Prinsip itulah yang menjadi pegangan Mydin sejak dahulu. Walaupun beroperasi dalam industri yang sangat kompetitif, beliau memilih untuk mengambil keuntungan secara munasabah supaya pelanggan dapat menikmati harga yang lebih rendah.
Selain menawarkan harga mampu milik, Mydin turut aktif melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), membantu golongan asnaf, rumah kebajikan serta komuniti setempat di kawasan operasinya. “Kita mungkin tidak mampu membantu satu dunia, tetapi setiap bantuan yang diberikan tetap membawa perubahan kepada kehidupan seseorang.”
Di sebalik kejayaan yang dikecapi hari ini, perjalanan Mydin bermula dengan cukup sederhana. “Pada peringkat awal, Mydin bukanlah seperti pasar raya yang dilihat hari ini. Kami bermula dengan berniaga di pasar malam dan menjual barangan secara lelong.
Selepas itu barulah kami mempunyai sebuah kedai papan yang sangat sederhana di belakang kampung. Kedainya bukanlah cantik atau mewah, tetapi di situlah titik permulaan kami.
Walaupun hari ini Mydin sudah berkembang dan berusia lebih enam dekad, saya sentiasa berpegang kepada satu prinsip iaitu jangan sesekali lupakan asal-usul diri. Kejayaan tidak datang dalam sehari. Kita perlu membinanya perlahan-lahan, melangkah satu persatu sehingga akhirnya berkembang menjadi apa yang ada pada hari ini.”
Tambah Datuk Ameer Mydin, ketika mula mengambil alih perniagaan keluarga, beliau tidak pernah bercita-cita memiliki puluhan cawangan seperti hari ini. Fokusnya hanya membuka sebuah kedai, kemudian kedai kedua sebelum mengembangkan perniagaan sedikit demi sedikit.

Membuka kedai pertama diibaratkannya seperti menyambut kelahiran anak sulung. Cabarannya paling besar kerana semuanya baharu. Namun pengalaman itulah yang menjadi asas kepada perkembangan Mydin sehingga muncul sebagai antara rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar di Malaysia.
Di Sebalik Kejayaan Datuk Ameer Mydin, Ada Pengorbanan Ibu Dan Isteri
Dalam perjalanan hidupnya, ada dua wanita yang memainkan peranan paling besar iaitu ibu dan isteri tercinta. Beliau masih ingat pengorbanan ibunya yang membesarkan tujuh orang anak sambil membantu menguruskan kedai ketika bapanya keluar berniaga.
“Mak saya bukan sahaja mengurus rumah, malah menjaga kedai. Wanita zaman dahulu bekerja sangat kuat. Mereka menjadi tulang belakang keluarga.” Bagi Datuk Ameer Mydin, didikan itulah yang membentuk disiplin serta rasa hormat beliau terhadap wanita.
Begitu juga isterinya, Datin Wira Dr. Siti Hawa Mohd, yang sentiasa berada di sisi sejak hari pertama membina perniagaan. Ketika beliau meninggalkan kerjaya di sektor perbankan untuk mengembangkan Mydin, isterinya menjadi individu yang paling kuat memberi sokongan. Malah ketika kewangan masih belum stabil, gaji isterinya digunakan bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Kini apabila Mydin berkembang, Datin Dr. Siti Hawa Mohd turut meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah untuk membantu menguruskan syarikat. Bahkan ramai wanita diberi peluang memimpin cawangan Mydin kerana beliau percaya mereka lebih teliti, berdisiplin serta mempunyai sifat empati yang tinggi. “Wanita mempunyai hati yang lebih lembut. Mereka memahami pelanggan dan kakitangan dengan lebih baik,” ujarnya.
Bagi Datuk Ameer Mydin, kepimpinan bukan sekadar memberi arahan, tetapi membina kepercayaan. Dalam syarikat yang diterajui olehnya dan adik-beradik yang lain, beliau percaya setiap organisasi perlu mempunyai seorang pemimpin yang dipersetujui bersama. Perbezaan pendapat boleh diraikan, namun keputusan akhir perlu dihormati oleh semua.

Mengamalkan rutin makan tengah hari bersama, Datuk Ameer Mydin utuh menjaga silaturahim keluarga yang bekerja di bawah satu bumbung. Bagi mereka, setiap orang menerima imbuhan serupa tanpa membezakan siapa abang atau adik.
Usia 70 Tahun, Datuk Ameer Mydin Masih Belajar AI Dan TikTok
Walaupun telah membina sebuah empayar perniagaan, Datuk Ameer Mydin tidak pernah berhenti belajar. Dalam era kecerdasan buatan (AI), media sosial dan teknologi digital, beliau sentiasa mencabar diri untuk menguasai perkara baharu agar terus relevan.
“Saya pun masih belajar AI, TikTok dan macam-macam lagi. Jangan pernah rasa kita dah terlalu tua untuk belajar. Umur mungkin bertambah, tetapi hati dan fikiran mesti sentiasa muda,” katanya sambil tersenyum.
Sepanjang kerjayanya, beliau menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1999 serta Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira pada tahun 2012. Beliau turut menerima pelbagai anugerah kepimpinan korporat yang mengiktiraf sumbangan terhadap pembangunan industri peruncitan dan ekonomi negara.
Beliau percaya generasi hari ini memiliki lebih banyak peluang berbanding generasi terdahulu. Namun peluang itu hanya bermakna jika disertai usaha, disiplin dan integriti. “Tiada jalan pintas untuk berjaya. Kita mesti rajin, sanggup berkorban dan jangan mudah berputus asa.”
Kongsi Datuk Ameer Mydin lagi, legasi sebenar bukanlah jumlah cawangan yang berjaya dibina atau keuntungan yang dicatatkan setiap tahun. Sebaliknya, ia terletak pada sejauh mana sesebuah perniagaan mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Barangkali itulah rahsia mengapa nama Mydin terus dekat di hati rakyat Malaysia. Di sebalik kejayaan sebuah empayar peruncitan, berdiri seorang pemimpin yang masih mengingati asal-usulnya, tidak pernah berhenti belajar dan percaya bahawa rezeki paling bernilai ialah rezeki yang mampu dikongsi bersama.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: The Loft Studio
Solekan: Ayang Kamell
Artikel berkaitan: Nona Gala Awards 2026, Malam Gemilang Meraikan 40 Tahun Legasi, Fesyen & Inspirasi

sekarang!

