
Penampilan Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Utama Raja Tengku Dato’ Seri Nadhirah Zahrah sering meraih tumpuan khalayak. 8 November lalu, puteri sulung Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu ini berangkat ke Majlis Kulinari, Songket & Tengku Puteri yang berlangsung di Kompleks Tuanku Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Dato’ Seri Nadhirah Zahrah binti Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) tampil anggun dalam persalinan kurung pada majlis berkenan.
Penampilan YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah

Tengku Nadhirah diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTNZ dan YM Puteri Noor Afzan binti Dato’ Seri Mohamad Toufic Al Ozeir telah menyempurnakan majlis Kulinari, Songket dan Tengku Puteri yang penuh bermakna.
Menerusi perkongsian di media sosial rasmi Royal Terengganu Songket, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah turut meluangkan masa memasak bersama Prof Dato’ Chef Zam dan Chef Rodi.
Terpesona melihat gaya Tengku Nadhirah memasak sajian Terengganu. Penuh kelembutan dan sarat kesopanan gadis Melayu.
Penganjuran majlis anjuran YTNZ ini berjaya menyatukan dua cabang seni yang hebat iaitu tekstil dan kulinari. Pada majlis ini juga empat motif Songket Terengganu telah dipadankan dengan hidangan tradisional Terengganu serta disyarah oleh Pereka Corak YTNZ, Norita Abas dan Faraha Latifah Mohd.
View this post on Instagram

Ia merangkumi Motif Beras Patah dipadankan dengan Nasi Minyak Hujan Panas, Motif Lawi Itik disaji sebagai Kerutup Itik, Motif Nenas dihidangkan dalam Pajeri Nanas dan Motif Potong Seri Kaya disempurnakan dengan Kuih Seri Kaya.
Tetamu yang hadir turut berpeluang merasai sendiri keenakan air tangan YAM Tengku Puteri Nadhirah.
YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Terima Kunjungan UMT
Sementara itu, pada 7 November YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Puteri Nadhirah menerima kunjungan delegasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Melalui hantaran di Instagram rasmi UMT, kunjungan berkenaan adalah bagi mempersembahkan cadangan (proposal) penerbitan buku bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat KDYMM Sultan Terengganu.
YAM Tengku Puteri Nadhirah menerusi Instagram miliknya turut berkongsi momen kunjungan UMT.

“Satu sesi perbincangan yang menarik bersama Universiti Malaysia Terengganu mengenai cadangan penerbitan sebuah buku, di samping berkongsi pandangan dan meneroka idea-idea baharu.
Semoga perbincangan ini menjadi titik permulaan kepada sebuah inisiatif yang bermakna dan memberikan manfaat kepada semua pihak.”
YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah bakal menginjak usia 30 tahun pada 18 Disember nanti. Tengku Puteri Nadhirah merupakan graduan Ijazah Sarjana Seni Tekstil dari University for The Creative Arts (UCA), United Kingdom.

sekarang!

