Sejak mula berkahwin dengan Rene Angelil, Celine Dion sudah merancang untuk memiliki anak yang ramai. Mana tidaknya, dia dilahirkan dalam keluarga yang besar dan sebagai anak bongsu daripada 14 orang beradik Celine sentiasa mendapat tumpuan dan perhatian keluarga.
Meskipun secara luaran, Celine disifatkan sebagai seorang wanita yang sukses, kaya, ternama dan mampu memiliki apa saja yang dihajati namun jauh di sudut penyanyi berkelas dunia ini, perjalanan hidupnya tidak berjalan begitu lancar.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal anak. Menghadapi kesulitan untuk hamil, Celine dan suami tercinta akhirnya dikurniakan anak lelaki sulung ketika berusia 33 tahun selepas menjalani rawatan kesuburan IVF.
Celine DionAnak sulung
Baik Celine mahupun Rene, kedua-dua tidak menyangka akan menghadapi masalah untuk mempunyai anak. Selepas bertahun-tahun ikhtiar dan cuba pelbagai kaedah untuk hamil, mereka masih menemui jalan buntu dan usaha pasangan ini untuk timang cahaya mata tetap gagal.
Ads
Pada tahun 1999, Rene disahkan menghidap kanser tekak dan sebagai langkah pencegahan, lelaki kesayangan Celine ini nekad membekukan sperma miliknya kerana khuatir kualiti terjejas akibat kesan kemoterapi.
Sementara itu, Celine pula melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kesuburan di New York pada Mei 2000 dan menjalani dua pembedahan kecil sebagai usaha meningkatkan peluangnya untuk hamil. Pada 25 Januari 2001, anak sulung mereka bernama Rene-Charles selamat dilahirkan secara pembedahan.
Ads
Selepas kelahiran Rene-Charles, suami isteri ternama ini menyimpan hasrat untuk menambah anak dan mereka sekali lagi menjalani rawatan kesuburan IVF. Pun begitu, Celine gugur pada tahun 2009 dan setelah enam kali berusaha akhirnya pada percubaan ketujuh, Celine disahkan hamil anak kembar ketika usianya mencecah 42 tahun pada 2010.
Dia terpaksa melahirkan bayi kembar Nelson dan Eddy secara pembedahan ketika usia kandungan baru mencecah 33 minggu. Bagaimana pun kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Ketika ulang tahun kelahiran baru-baru iniAnak kembar Celine Dion
Ads
Hasrat Celine untuk menimang cahaya mata perempuan tidak kesampaian apabila Rene akhirnya meninggal dunia akibat kanser yang dihidapi pada tahun 2016. Penyanyi kelahiran Canada ini baru sahaja menyambut usia 52 tahun pada 30 Mac lepas.
Sumber: Infertility Aide
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Diam tak diam, hari ini sudah pun memasuki 6 Syawal. Walau suasana lebaran tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat (PKPB) ekoran wabak Covid-19 yang masih belum reda, namun bahang Aidilfitri masih terasa. Juadah raya tetap terhidang di pagi Syawal, begitu juga dendangan lagu-lagu raya yang masih berkumandang di corong radio. Yang pasti Syawal kali ini disambut dengan cara sendiri.
Seperti rakyat biasa, golongan pemimpin negara juga tidak terkecuali menyambut raya di samping keluarga tersayang pada 1 Syawal. Kelonggaran kerajaan memberi kebenaran
untuk berkumpul bersama keluarga hanya pada hari raya pertama digunakan sebaik mungkin. Dengan syarat, tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa. Meskipun singkat tetapi memadai untuk melepas rindu selepas sekian lama tidak bertemu ahli keluarga kerana pematuhan PKP.
Selaku Menteri Kanan Kluster Keselamatan yang sering tampil di kaca televisyen menyampaikan maklumat terkini berhubung keadaan semasa negara sepanjang Covid-19, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak melepaskan peluang menyambut 1 Syawal di samping anak-anak dan cucu tersayang.
Menerusi foto yang dikongsikan anak perempuan Datuk Seri Ismail Sabri yang juga isteri Datuk Jovian Mandagie iaitu Datin Nina Ismail Sabri, kelihatan keluarga ini memilih busana sepadan untuk digayakan di pagi 1 Syawal. Terserlah keanggunan isteri Menteri Kanan ini iaitu Datin Seri Muhaini tatkala memakai busana raya sedondon di samping suami tercinta dan anak-anak.
Jika Datuk Seri Ismail Sabri memilih rona senada dengan ahli keluarga, berbeza pula bagi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. Menerusi gambar yang dikongsikan
Tan Sri Annuar di laman Instagramnya, kelihatan hanya beliau dan isteri tercinta iaitu Puan Sri Rosniah Abdul Rahman menyarung persalinan sedondon lilac. Manakala anak-anak
pula memilih baju raya berlainan warna.
Ujar Ahli Parlimen Ketereh ini, “Cukup berbeza raya tahun ini, buat pertama kalinya saya tidak dapat berada di Kelantan pada hari raya pertama. Walau bagaimanapun syukur alhamdulillah dapat menunaikan Solat Aidilfitri di Masjid Saidina Umar Al-Khattab. Harap pagi raya ini membawa barakah dan kegembiraan buat semua. Ahli keluarga ada 19 orang jadi tak berkumpul lebih daripada 20 orang. Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada kami sekeluarga.”
Seorang lagi isteri menteri yang tampil anggun mempersona di pagi 1 Syawal ialah Tengku Datin Seri Marsilla, suri hati kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Terkenal dengan raut wajah lembut dan cantik, penampilan ibu empat anak ini nyata mencuri perhatian. Beliau memilih persalinan raya corak abstrak rona senada di samping Datuk Seri Hishammuddin yang segak berbaju melayu warna kuning lembut dan lengkap bersamping.
Walau tidak tampil sedondon dengan anak-anak namun keluarga ini tetap ceria menyambut Aidilfitri dalam suasana sederhana. Kongsi Ahli Parlimen Sembrong ini, “Selamat pagi Syawal semua! Korang sambut raya kat mana tu? Saya, isteri, anak-anak, semua menantu dan cucu sambut kat rumah KL je. Sayu juga hati masa solat sunat Aidilfitri tadi, biasanya awal pagi dah ke masjid.
Takpelah, demi lawan #COVID19, kita redha. Biarpun sambut raya dengan ahli keluarga terdekat je, jangan lupa tanya khabar saudara mara yang duduk jauh. Cara paling mudah, video call. Moga cara new normal ini eratkan silaturrahim sesama kita, insyaAllah.”
Dalam pada itu, Datuk Seri Hishammuddin dan isteri juga melahirkan rasa rindu terhadap ketiga-tiga cucu mereka. “Tahun lepas sambut Syawal dengan dua cucu. Alhamdulillah tahun ni bertambah lagi sorang – Nasha Alayna. Sorry Alayna, tahun ni Tok Dad tak boleh bawa Alayna pergi ziarah raya rumah orang lain lagi. Kita kena duduk rumah kita je. Kejap lagi bila Tok Dad dan Tok mum video call dengan saudara mara, boleh la Alayna join sekali!”
Walau terpaksa sambut raya dalam norma baharu namun ikatan kekeluargaan masih terpaut utuh! Tidak kira di mana sahaja berada, Aidilfitri tetap dirai dan bersama-sama berjuang melawan wabak Covid-19.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum melihat gaya hidup puteri diraja Thailand, Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya. Biarpun berstatus puteri diraja namun personaliti beliau yang cantik, merendah diri dan berbakat membuatkan dirinya disenangi ramai. Apatah lagi Puteri Sirivannavari sering mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai kejayaan membanggakan.
Meniti usia 33 tahun pada 8 Januari lalu, tidak keterlaluan jika penulis menyatakan bahawa Puteri Sirivannavari seorang yang bergaya sederhana dalam penampilan. Ini dibuktikan apabila kebanyakan foto-foto beliau memperlihatkan sisi santai apabila gambarnya dirakam ketika mengenakan persalinan ringkas seperti T-shirt dan berwajah polos tanpa solekan.
Malah, rata-rata rakyat Thailand yang melihat gambar Puteri Sirivannavari mengagumi wajah anggun semula jadi anakanda Raja Maha Vajiralongkorn tersebut.
Enggan hanya menikmati gaya hidup selesa dan mewah di istana, puteri kesayangan Negara Gajah Putih berkenaan lebih selesa mendekati rakyat dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain yang bebas bersukan, berkarya dan berbakti kepada negara. Menelusuri latar belakang puteri ini, beliau merupakan puteri hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand.
Puteri Sirivannavari ialah puteri sulung hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand. Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX. Khabarnya perkahwinan tersebut tidak direstui bonda Raja Maha Vajiralongkorn iaitu Permaisuri Sirikit.
Bagaimana pun jodoh di antara Raja Maha Vajiralongkorn dan bekas anak seni berkenaan tidak berpanjangan yang akhirnya membawa kepada penceraian kerana Sujarinee dituduh curang. Ia sekaligus menyebabkan Sujarinee dilucutkan status diraja.
Pun begitu, Puteri Sirivannavari kekal berstatus puteri dan ternyata beliau disayangi ayahandanya yang kini menaiki takhta pemerintahan Thailand. Anak perempuan Sujarinee ini tidak hanya menjadi buruan media tempatan dan antarabangsa bahkan beliau turut disayangi rakyat jelata yang ‘dahagakan’ perkembangan semasa beliau. Percaya atau tidak, Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005!
Bukan hanya sukan badminton, beliau juga mewakili Thailand dalam sukan berkuda dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 yang lalu. Selain berbakat besar dalam bidang sukan, beliau turut memiliki bakat melukis dan merupakan aktivis hidupan laut serta pemilik label fesyen Sirivannavari.
Selain pernah dijemput menghadiri pertunjukan fesyen jenama mewah antaranya Chanel, Elie Saab dan Pierre Balmain, Puteri Sirivannavari baru sahaja selesai membuat pertunjukan fesyen bagi jenamanya sendiri pada penghujung Oktober lepas. Atas kejayaan itu, puteri kesayangan Raja Maha Vajiralongkorn ini turut telah beberapa kali menjadi wajah penghias majalah elit seperti Vogue, Elle dan Thailand Tatler.
Pada pertengahan April lalu, Puteri Sirivannavari melancarkan produk hand sanitizer dan mask jenamanya sendiri untuk diagihkan kepada hospital kerajaan terlibat dalam usaha memerangi wabak Covid-19. Melihat kredibiliti, bakat dan pesona Puteri Sirivannavari… terbukti beliau sememangnya seorang puteri berjiwa rakyat, penyayang dan sumber inspirasi wanita Thailand!
Kredit foto: Instagram & Facebook Princess Sirivannavari
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Petah berbicara, gelagat spontan dan gaya bersahaja Asni Abu Mansor ketika menyampaikan ceramah mahupun mengacarakan sesebuah program di kaca televisyen tidak pernah mengecewakan.
Senyuman manis yang sentiasa terukir di bibir saat berdakwah menerbitkan rasa tenang kepada setiap mata yang memandang. Di sebalik kelembutan, terserlah sisi ketegasan insan istimewa ini yang lebih dikenali sebagai Ustazah Asni.
Beliau yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan sudah berkecimpung dalam dunia dakwah dan pembangunan kemahiran serta potensi diri masyarakat sejak lebih 20 tahun lalu. Bukan hanya bergelar penceramah motivasi, Ustazah Asni juga merupakan seorang Al-Hafizah.
“Saya dibesarkan sebagai anak peneroka felda di Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan. Biasalah anak felda ini dia lasak orangnya. Masa kecil saya selalu ikut mak saya pergi ke kuliah di kampung. Kesan daripada selalu ikut mak ke kuliah itu jadi saya jatuh minat kepada bidang dakwah.
Dari situlah saya mahu bersekolah agama. Bila belajar Al-Quran, saya mahu mendalami lebih banyak lagi. Asalnya saya belajar dengan mak dan kemudian minta untuk berguru dengan ustazah-ustazah lain,” bicaranya.
Menelusuri latar belakang figura terkenal berusia 49 tahun ini, beliau mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran melalui pengajian peringkat Diploma Tahfiz Al-Quran di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Walau pada awalnya hasrat Ustazah Asni untuk beralih arah dalam jurusan tahfiz Al-Quran dipersoal ahli keluarga memandangkan beliau merupakan pelajar cemerlang. Namun penulis buku Kuasa Cinta Al-Quran ini nekad meneruskan impian berkenaan. Hatinya terdetik untuk mendalami kitab suci itu selepas membaca hadis sebuah buku ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Waktu itu saya tengah berehat sekejap dan baca buku hadis bertajuk Fadilat Al-Quran. Dalam hadis itu memberitahu, “Barangsiapa yang menghafaz Al-Quran dan mengamalkannya, nescaya Allah akan memakaikan ibu bapanya di akhirat kelak dengan mahkota yang begitu indah dan bersinar cahayanya melebihi cahaya matahari yang menyinari dunia.”
Ia terus menusuk ke dalam kalbu dan dalam hati saya berkata apa lagi cara untuk membalas jasa mak bapa melainkan dengan cara ini. Saya bertegas cakap pada diri sendiri, apa pun keputusan saya, saya mahu hafaz Al-Quran nanti. Alhamdulillah saya dapat teruskan dengan matlamat tersebut. Bagi saya niat yang baik akan memberi kesan yang baik.”
BAKAT
Selain aktif menganjurkan ceramah dan program keagamaan, Ustazah Asni juga mempunyai bakat seni terpendam dan gemar melakukan aktiviti lasak seperti sukan selam skuba dan menunggang kuda. Walau berstatus agamawan tetapi beliau enggan mengehadkan kemahiran dan sering mencuba perkara baharu untuk menguji potensi diri.
“Islam tak kaku dan tidak membataskan kita menjadi orang yang kaku. Islam ini merupakan satu agama yang sangat mudah. Kita boleh letak diri kita walau di mana saja terutamanya dalam seni. Saya ialah seorang yang sangat berjiwa seni.
Saya minat melukis, suka muzik, saya main piano, percussion, seruling, flute dan sebagainya. Walau saya tak ada asas dalam muzik mahupun bidang seni lukis. Saya rasa seni ini sangat membantu dalam urusan dakwah saya. Macam lukisan, saya boleh luahkan perasaan melaluinya.
Pada pandangan sayalah, kalau seni ini lebih mudah menyentuh orang seni. Kadang-kadang satu gambaran atau visual yang kita buat tak perlu berbicara seribu kata. Cukup dengan lukisan. Sekarang ini saya banyak melukis mengenai Palestin sebab ia begitu dekat di hati.
Malah, saya banyak kali ke sana dan belajar banyak benda sepanjang di sana,” dedahnya yang menjadikan lukisan sebagai alat bantu mengajar bagi memberi gambaran kepada penonton ketika beliau menyampaikan ceramah.
Karya indah Ustazah Asni Abu Mansor kebanyakannya berkisarkan mengenai keagungan terhadap Allah SWT dan islam semakin mendapat perhatian banyak pihak. Antara yang membeli lukisan beliau termasuklah golongan kenamaan dan rakan-rakan artis seperti Dato’ Alha Alfa, Datin Paduka Umie Aida, Uqasha Senrose, Nora Danish dan Mimi Lana.
Bukan itu sahaja Ustazah Asni juga merancang untuk membuka galeri dan menerima jemputan seni di luar negara.
CABARAN
Lumrah bergelar individu berpengaruh pasti tidak terlepas daripada menjadi perhatian khalayak. Begitu juga dengan kehidupan Ustazah Asni yang turut berdepan kecaman. Enggan menjadikan ia halangan untuk saling memesan dan menyebar agama Allah, beliau kekal tenang berfikiran positif dan bermuhasabah diri.
“Kecaman itu normal. Nabi Muhammad SAW bukan hanya disanjung tapi juga dikecam oleh ahli keluarga sendiri. Baginda berhijrah ke Madinah kerana dakwah tidak diterima. Sukar untuk buat orang suka dengan kita. Jadi, bersedialah. Bila kita buat dakwah, kita hendak cari reda Allah.
Berdakwah memang perkara mulia tapi jangan rasa kita mulia. Dakwah yang kita lakukan kini tak semua orang boleh terima. Bismillah dan teruskan berdakwah. Ya Allah, saya berdakwah bukan untuk saya betulkan orang. Saya hendak betulkan diri saya sendiri. Pada saya, jalan dakwah ini sebenarnya adalah proses kita memperbaiki diri.
Kalau saya hendak perbaiki diri dan ‘locked’ diri saya dengan beramal di rumah saja ertinya proses itu tidak sampai. Kerana proses membaiki diri adalah kita kena jadi baik, beramal baik dan ajak orang berbuat baik. Jangan perasan kita baik,” nasihatnya.
Sepanjang pembabitan dalam industri ini Ustazah Asni turut berdepan dengan bermacam-macam cabaran yang menguji ketahanan mental dan fizikalnya. Tidak ketinggalan, terpaksa berjauhan dengan keluarga dan anak-anak.
“Sebelum keluar pergi menyampaikan ceramah atau dakwah, saya selalu berdoa kepada Allah. ‘Aku tinggalkan anak-anakku di bawah jagaan dan pengawasanMu, Ya Allah.’
Syukur alhamdulillah sekarang mereka bukan saja dah menginjak usia remaja. Bahkan kedua-dua anak perempuan saya sudah menjadi ibu. Saya suka anak-anak didik anak mereka dengan buat kelas Al-Quran di rumah,” titip Ustazah Asni Abu Mansor yang merupakan ibu empat orang anak dan nenek kepada tujuh orang cucu.
Bersandarkan populariti beliau sebagai pendakwah bebas, Ustazah Asni menjalin kolaborasi bersama agensi pelancongan ‘World Travel Ambassador’ (WTA) khusus bagi trip perjalanan ke bumi Anbia seperti Jordan dan Palestin. Katanya, destinasi terkenal dalam kalangan umat Islam iaitu Al-Aqsa di Palestin meninggalkan banyak momen indah kepada beliau terutamanya pada tahun 2014.
“Pengalaman saya ketika di sana ialah apabila saya bersama tiga orang anak dan seorang anak murid mendapat ijazah Al-Quran dalam satu bilik di mana bilik itu ialah bilik kuliah Imam Al-Aqsa bernama Imam Sheikh Yusuf Abu Snieneh.
Saya diberitahu dalam bilik kuliah yang sama juga ada makam Nabi Sulaiman. Selain itu, Allah juga izin dan rezekikan untuk anak saya melaungkan azan di dalam masjid pada Hari Raya pertama tahun 2014. Ia adalah jemputan daripada Imam 1 Masjid Al-Aqsa,” imbas Ustazah Asni.
Sebelum mengakhiri perbualan, Ustazah Asni sempat menitipkan kata-kata hikmah ini agar kaum wanita tabah dan kuat melalui liku kehidupan.
“Hati milik Allah. Menangislah untuk Allah dan keranaAllah. Tangisan ini ialah keinsanan yang Allah beri dari lubuk hati paling dalam. Menangis tak salah tapi menangisi hidup itu salah. Banyak menangis juga akan buat kita jadi lemah.
Kita tak boleh menentukan takdir sebab itu takdir bukan untuk difikir, takdir untuk kita zikir. Kalau orang asyik fikir takdir, ia akan merosakkan jiwa. Kalau hati rasa sedih, gantikan dengan tasbih. Jangan layan sedih itu.
Kalau kita rasa risau, jangan dilayan risau itu sampai tak boleh tidur. Kalau kita risau, hati kita galau gantikan dengan doa banyak-banyak. Serahkan kepada Allah SWT. Percayalah Allah takkan buat sesuatu yang buruk untuk kita. Walau kita rasa benda itu tidak menarik untuk kita, tapi sebenarnya Allah tengah sediakan benda yang menarik untuk kita. Tugas kita adalah sabar dan bersangka baik.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.