DERITA SERANGAN GOUT, Ketahui Faktor Mengapa Ia Menyerang.

446

Keseronokan menyambut musim perayaan, majlis keraian dan sebagainya barangkali tidak wujud dalam kamus penghidap gout. Sakitnya tidak terperi, menyucuk dan menikam sehingga seluruh jiwa tertekan. Bermula dengan kesakitan teruk di bahagian ibu jari kaki, serangan selalunya berlaku secara tiba-tiba diikuti rasa panas dan membengkak. Kata mereka yang menderitainya, bukan saja sukar berjalan, malah geseran dengan selimut pun sudah amat menyeksakan!

IKLAN

Tercatat sebagai salah satu di antara penyakit yang paling lama dihidapi oleh manusia, gout tercetus akibat asid urik berlebihan di dalam badan. Asid urik ini merupakan bahan kumuhan yang berasal dari sejenis protein yang dipanggil purin. Jika lazimnya tubuh kita menyingkirkan bahan kumuhan ini melalui air kencing, tetapi bagi penghidap gout, asid itu tidak dibuang tetapi berkumpul di dalam sendi.

IKLAN

Laporan kes gout mendapati ia jarang sekali dialami oleh kaum wanita sebelum menopaus. Sebaliknya, gout sering menyerang kaum lelaki dalam lingkungan usia 30 ke 60 tahun. Antara tanda-tandanya:

  • Sakit menyerang ibu jari kaki.
  • Sendi yang diserang menjadi bisa.
  • Sakit berlarutan sehingga 1-2 minggu jika tanpa rawatan.
  • Boleh menyerang sendi-sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan jari.

PUNCA

Timbunan sisa asid urik berlebihan dalam darah (hyperuricemia) atau jika buah pinggang gagal menghapuskannya dalam kuantiti yang besar boleh membentuk kristal yang berkumpul di dalam sendi, buah pinggang, kulit dan tisu lembut yang lain. Sesetengah makanan berprotein tinggi dan minuman seperti teh, kopi dan koko juga boleh menghasilkan asid urik berlebihan, selain perubahan mendadak dalam diet atau penurunan berat badan secara drastik akan meningkatkan risiko gout.

 

Penghidap gout juga sering menghidapi masalah kesihatan lain seperti kegemukan, darah tinggi, hiperlipidemia dan diabetes. Selain modifikasi diet, rawatan di bawah boleh dilakukan untuk menyembuhkan gout.

  1. Rehatkan sendi semasa serangan gout.
  2. Ubat-ubatan anti-radang berkesan untuk mengurangkan sakit dan keradangan sendi.
  3. Colchicine (boleh menyebabkan loya, muntah dan cirit-birit).
  4. Sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal serangan. Jika rawatan dimulakan awal, penyakit ini tidak akan melarat.

RAWATAN JANGKA PANJANG

Oleh kerana gout disebabkan oleh asid urik yang berlebihan dalam badan, anda haruslah mengelakkan faktor-faktor yang boleh menambahkan paras asid urik. Menjaga berat badan – kegemukan boleh mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan asid urik yang berlebihan.

  1. Elakkan minuman keras.
  2. Elakkan pengambilan makanan yang tinggi purin seperti organ dalaman haiwan (hati, paru-paru, ginjal), ikan bilis, ikan kembung atau sardin, daging cincang, ekstrak daging (Marmite atau kiub rebusan daging) serta makanan laut seperti ketam, udang dan kerang.
  3. Kurangkan pengambilan makanan seperti asparagus, bunga kubis, cendawan dan bayam, kekacang, ayam serta bijirin.

PENCEGAHAN

  1. Amalkan gaya hidup sihat untuk memastikan paras asid urik yang normal dan mengelak dari penyakit yang berhubungkait dengan gout.
  2. Ambil allopurinol secara berterusan. Jangan mengubah atau menghentikan dos allopurinol semasa serangan gout.
  3. Minum banyak air.