Gaya Hidup

Dikurniakan Anak Autistik, CATRIONA ROSS Tidak Rasa Malu & Guna Media Sosial Sebar Kesedaran

Pelakon Catriona Ross atau nama sebenar, Catriona Norhayati Ross binti Bahrin Ross, 42, yang popular dengan video ‘slang’ Britainnya di media sosial berkongsi mengenai anak istimewanya yang menghidapi autisme.

Menurut Catriona, dia tidak berasa malu dan bersifat terbuka dengan kurniakan dari Yang Maha Esa itu dan jadikan ia sebagai sebuah hadiah dalam hidupnya. Bagi pelakon ini, golongan seperti anaknya mempunyai hak dan kehidupan seperti manusia normal.

Bagi pelakon yang pernah membintangi drama Bidadari Kiriman Tuhan, memiliki anak autisme bukan sebagai bebanan malah ia sebuah kurniaan yang paling berharga.

Menurutnya, ibu bapa tidak perlu malu apabila memiliki anak-anak istimewa ini. Malah mereka harus diberikan peluang untuk mereka meneroka dunia dan merasai kebebasan hidup bersama yang mereka sayangi.

Jujurnya, masih ada golongan yang tabu untuk ketengahkan anak seperti ini. Sorok anak sampai jiran tidak tahu. Susah macam mana sekalipun, mereka layak mendapat kehidupan seperti kita.

Menggunakan kuasa media sosial sebagai platform untuk menyebarkan kesedaran mengenai perkembangan anaknya, pelakon berdarah kacukan Scotland ini mahu menunjukkan bahawa kanak-kanak autisme ini juga sama seperti yang lain.

Golongan ibu bapa harus memahami serta memberi sokongan kepada ibu bapa yang memiliki anak autisme.

Tambahnya lagi, dia seringkali meluangkan masa untuk membaca segala bahan bacaan mengenai autisme supaya dapat menambahkan info mengenai golongan istimewa ini. Malah, ia turut boleh berkongsi kepada ahli keluarga demi mendapatkan sistem sokongan. Ternyata, tidak semua memahami tentang perkara ini.

Sekadar info, Catriona mempunyai seorang anak lelaki yang menghidap autisme berusia 10 tahun, Jammal Al Raess Shaharuddin.

Sumber gambar: Instagram Catriona Ross

IKLAN
Share