Puteri diraja yang menjadi kebanggaan rakyat Thailand ini begitu menghargai jasa dan perjuangan para barisan hadapan. Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya telah melancarkan “The White Gown Warriors Fighting Against COVID-19 Campaign”.
Kempen ini dilancarkan oleh puteri raja ini bagi menghargai jasa dan perjuangan frontliners yang telah bertungkus-lumus berusaha memutuskan pandemik COVID-19 ini. Puteri Sirivannavari berusaha mengumpul dana untuk membeli polisi insurans hayat kepada para doktor dan jururawat.
Ads
Selain itu, satu-satunya puteri Diraja yang sedang memerintah negara Thailand ini telah menyalurkan sumbangan topeng muka yang diperbuat daripada fabrik cotton-linen dan pensanitasi tangan di bawah label SIRIVANNAVARI Bangkok. Dalam pada itu, puteri jelita ini juga telah menyumbang Sodium Hypochlorite untuk kegunaan seluruh hospital di Thailand.
Ads
Puteri yang mendapat pendidikan di Universiti Chulalongkorn ini merupakan puteri sulung hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand. Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX.
Ads
Puteri yang hidup mewah dalam istana ini tidak menghabiskan masanya begitu sahaja. Puteri Sirivannavari seorang puteri yang sangat berbakat dan luar biasa. Puteri diraja Thailand ini menduduki tangga kedua daripada 20 senarai VVIP paling bergaya oleh majalah Forbes. Puteri Sirivannavari mampu mencipta dan melukis corak pada tekstil. Bahkan berjaya menghasilkan sendiri koleksi pakaian dan diperagakan di pentas Minggu Fesyen Paris.
Bukan itu sahaja, Puteri Sirivannavari merupakan satu-satunya puteri raja Thailand yang aktif dalam dunia sukan. Sebelum ini, beliau pernah mewakili Thailand dalam Sukan SEA 2013 di Myanmar, ASEAN Games 2014 di Korea dan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. Puteri Sirivannavari pernah memenangi pingat emas untuk negaranya pada tahun 2005 dan 2007.
Foto: Instagram @sirivannavari_th
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagi pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan kehadiran zuriat sebagai penyeri rumah tangga. Begitu juga kepada pasangan Dato’ Jamal Abdillah dan Datin Zai Izzati ini.
Setelah dua tahun berkahwin dan mengalami keguguran sebanyak tiga kali akhirnya kini Datin Zai Izzati Khairuddin, 25 tahun hamil 6 bulan. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Dato’ Jamal Abdillah.
“Alhamdulillah, doktor memberitahu keadaan bayi dalam kandungan sihat. Saya sangat bersyukur kerana doktor juga memberitahu kami bakal menimang cahaya mata perempuan nanti,” kata Dato’ Jamal Abdillah.
Saya bukannya mahu berahsia dengan kandungan isteri tetapi lebih berhati-hati kerana dia pernah mengalami keguguran tiga kali sebelum ini.
Justeru, saya sangat berharap semoga semua peminat turut mendoakan isteri selamat melahirkan bayi kami nanti,” kata Dato’ Jamal Abdillah.
Datin Zai Izzati Khairuddin, 25 tahun, telah berkahwin dengan Raja Pop ini pada 1 April 2017. Mempunyai keperibadian yang lembut lantas telah berjaya menawan hati Dato’ Jamal Abdillah ini untuk mengakhiri zaman dudanya.
Suri hati Dato Jamal Abdillah yang berasal dari Kulim, Kedah ini jarang muncul di majlis-majlis menemani suaminya. Jarak usia 35 tahun tidak pernah menjadi penghalang kepada pasangan ini menjalinkan ikatan cinta.
Menurut Dato’ Jamal ketika di awal usia perkahwinannya rasa janggal menjelma kerana jarak usia yang jauh. “Alhamdulillah lama-kelamaan rasa janggal itu hilang dengan sendiri kerana daripada tiga kegagalan perkahwinan sebelum ini banyak mengajar saya untuk lebih bijak mengemudi rumah tangga kami.
Apa paling penting, kita saling menghormati tidak kira isteri kita itu masih muda atau sebaliknya,” kata Dato’ Jamal.
Tambah Dato’ Jamal isterinya yang cantik itu seorang yang sangat memahami. Kehadiran Datin Izzati dalam hidup Dato’ Jamal ini telah memberikan ketenangan setelah sekian lama menduda.
Kematangan yang ada dalam diri Datin Zai Izzati juga antara faktor Dato’ Jamal terpikat. “Ada isteri ni kehidupan saya lebih tenang dan ada teman bicara untuk berkongsi cerita dan masalah.
Alhamdulillah, Izzati pandai menguruskan rumah tangga, menjaga keperluan saya dan paling penting dia seorang yang matang dan memahami kerjaya saya sebagai penyanyi. Dia anugerah Allah SWT buat saya,” ujar Dato’ Jamal.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian & MStar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka, kerjaya sebagai personal shopper mampu merubah kehidupan dan memiliki butik sendiri! Pengasas butik dalam talian dan fizikal, Sellection, Nor Rafidah Khairuddin kini memperluaskan empayar perniagaannya dengan memiliki butik sendiri yang terletak di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
Berkat kesungguhan dan rasa cinta terhadap bidang yang diceburinya sejak sembilan tahun yang lalu, hujung tahun lalu butik Rafidah telah berpindah ke lokasi baharu dengan keluasan tiga kali ganda besar dari butik terdahulu yang terletak di Wangsa 118, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Mengukuhkan tagline ‘Embracing Confidence’ atau meraikan keyakinan dan #impianjadikenyataan dengan merealisasikan impian ramai wanita dan lelaki untuk memiliki barangan berjenama antarabangsa serta kekal bergaya dan berkeyakinan.
“Bagi saya kejayaan memiliki butik baharu yang turut menempatkan gudang dan pejabat ini dianggap sebagai peristiwa penting dalam perjalanan saya mengembangkan empayar serta legasi bisnes. Saya amat berterima kasih kepada pasukan saya dan tak lupa pelanggan setia.
“Bermula sebagai seorang personal shopper dan memiliki butik kecil sebelum ini, saya anggap sebagai pencapaian penting dan diharap boleh menjadi inspirasi kepada orang diluar sana. Walaupun bermula dari kecil, sesiapa sahaja boleh berjaya dan maju jika mahu. Syukur kini perlahan demi perlahan jenama ini mula dikenali ramai.
“Paling penting, jenama saya ini melebarkan pengaruh bukan dalam masa singkat. Ia sebuah perjalanan panjang yang menuntut kesungguhan, minat, keazaman dan komitmen tinggi diiringi dengan sepenuh jiwa. Cabaran datang tetap dilalui, namun lebih terkawal,” katanya.
Rafidah menambah misinya untuk membolehkan semua golongan wanita dan lelaki tanpa mengira status memiliki barangan berjenama dari Amerika Syarikat seperti Coach, Michael Kors, Kate Spade dan Fossil juga sudah menjadi kenyataan.
“Dulu orang selalu anggap jenama mewah hanya untuk golongan tertentu termasuk “mak datin”. Tapi kini sebaliknya semua golongan termasuk wanita bekerjaya, sektor kerajaan seperti guru, suri rumah dan peniaga indusri kecil dan sederhana (IKS) juga boleh memilikinya.
“Kami meraikan keyakinan semua golongan tanpa prejudis. Tambah pula, dengan pelan ansuran bayaran tiga ke enam kali kami perkenalkan. Lebih banyak peluang dibuka untuk merasai pengalaman bergaya. Hanya bayar deposit, terus dapat barangan diimpikan.
“Melalui siaran lintas langsung di media sosial Facebook Page kami, Branded Handbags by Rafidah, banyak “review”, tips fesyen dan pengayaan kami kongsikan buat pelanggan. Ia bukan sekadar menjual, tetapi berkongsi ilmu dalam pemilihan handbag yang tepat dan ideal.
Wanita kelahiran Ipoh, Perak itu turut berbangga kerana sejak tahun lalu kerana jenamanya sudah memiliki aplikasi mobil sendiri iaitu Sellection.
“Biarpun sedar 80 peratus jualan diraih dalam talian www.sellection.com, kami cuba imbanginya dengan butik fizikal. Ada orang nak juga rasa barangan depan mata dan merasai memakai. Nak ‘walk-in’ ke butik amat dialu-alukan.
“Malah kehadiran aplikasi mobil, Sellection dilihat sebagai menyokong kecenderungan ramai membeli dalam talian. Pilihan lain untuk membeli, selain online atau walk-in ialah menghubungi Sellection Business Partner yang sah atau #TeamSellection untuk konsultasi.
“Komunikasi dan perkhidmatan hubungan pelanggan menjadi teras dan kunci ‘kekuatan’ kami. Hingga kini di laman sesawang saja kami mendapat sebanyak 4594 ulasan positif, selain di Google Review pula sebanyak 453 ulasan,” katanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Semoga Allah SWT mengurniakannya syurga tertinggi” Itu antara cebisan kata-kata menyentuh hati daripada figura terkenal, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin. Di sebalik kelembutannya tersirat satu perasaan sukar diungkap. Ustazah Fatimah Syarha merupakan isteri kepada Dr Farhan Hadi yang kini berjuang sebagai frontliner memerangi wabak COVID-19.
Selayaknya Ustazah Fatimah Syarha digelar isteri solehah yang sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya. Bersama anak-anak, beliau yang kini berusia 36 tahun terus cekal mengharungi ujian ini bersama suami yang dikasihi.
Dr Farhan Hadi bertugas di bahagian kecemasan Hospital Pakar al Islam, Kampung Bharu Kuala Lumpur. Tugasnya, melakukan saringan pesakit-pesakit yang disyaki. Sekiranya didapati positif, Dr Farhan akan menghantarnya ke hospital kerajaan.
“Sebagai isteri seorang doktor, banyak perkara menyentuh hati saya. Sehari sebelum perintah PKP diumumkan, suami membuat perbincangan sama ada mahu menghantar saya dan anak-anak di kampung atau sebaliknya.
Sebagai frontliner suami mahu keluarga terselamat daripada risiko di mana seorang doktor mungkin membawa balik kuman dan virus setelah bertugas. Pada masa sama, suami juga mempertimbangkan saranan agama. Akhirnya, kami memutuskan untuk mengikut petunjuk agama agar tidak lari dari kawasan wabak.
Kami teguh di belakang perjuangan Abi (panggilan kepada suami) dan yang seangkatan dengan Abi! Saya lihat semangat suami untuk berbakti bukan hanya di hospital bahkan di rumah. Anak-anak juga faham erti kesabaran, menahan rindu terhadap Abi mereka.
Pernah menitis air mata saya melihat suami pulang lewat malam dalam keadaan menahan lapar. Katanya, sempat menjamah sedikit sahaja makanan hari itu. Sebelumnya, suami oncall semalaman, pulang sekejap waktu pagi dan tengahari masuk kerja lagi sampai tengah malam. Saya tak dapat bayangkan betapa penatnya dia. Di rumah, suami tak banyak berehat. Kerja bertali arus. MasyaAllah.
Sekarang ini suami bertolak ke hospital lebih awal daripada biasa dengan menaiki motorsikal bagi elak kesesakan jalan raya. Katanya, dia perlu menyiapkan diri dengan pakaian khas dan sentiasa dalam keadaan hygine. Kadang berhujan, kadang berpanas suami rempuhi jua. Katanya, “Abi perlu selamatkan nyawa“.
Apabila berinteraksi dengan ramai pesakit, suami perlu melalui proses saringan di hospital. Sebelum keputusan saringan keluar, suami banyak memencilkan diri di ruang pejabatnya di rumah kerana mahu elak risiko terhadap kami. Anak-anak sering bertanya, “Kenapa Abi tak macam dulu?” Saya jelaskan kepada mereka sambil ajak berdoa dan solat hajat bersama.
Suami berpesan kepada saya, “Kita perlu bersedia jika Abang kena kuarantin” Saya terus merasakan hakikat hidup ini sebentar cuma. Sekejap atau lama, cepat atau lambat, semua orang pasti akan diuji perpisahan. Hanya syurga tempat abadi yang tiada lagi kematian dan perpisahan.
Saya tak dapat bayangkan kerinduan anak-anak terutama yang berusia 6 dan 4 tahun andai ‘kuarantin’ itu benar-benar terjadi. Setiap malam mereka akan tercari-cari Abi. Mereka mahu tidur sambil dipeluk Abi. Kadang kala mereka menangis kerana ketiadaan Abi.
Syukur, keputusan saringan mengesahkan suami negatif COVID-19. Suami pernah memeriksa pesakit positif COVID-19 sehingga pihak hospital mempertimbangkan beliau untuk dikuarantin. Mujurlah saat itu suami lengkap berbaju khas. Risiko tetap ada namun boleh dikurangkan.
Bila saya mendengar rakan sejawatannya, seorang doktor wanita disahkan positif COVID-19 saya amat bersimpati namun pada masa sama menambah debaran saya setiap hari. Mujur ada Allah SWT tempat memohon perlindungan.
Anak-anak memang rapat dengan suami. Setiap kali dengar ekzos motor dengan pantas mereka akan berlari ke pintu dan menyangka itu Abi. Ketika pulang kerja, suami terpaksa menyorok mengikut laluan khas kerana bimbang diterkam anak-anak. Suami bimbang menularkan kuman kepada mereka. Selepas mandi sebersih-bersihnya dan menyiapkan diri, barulah suami akan luangkan masa bersama kami.
Saya kini dalam fasa akhir PhD, mengejar due date. Memandangkan tiada pembantu rumah, semua urusan rumahtangga kami buat bersama. Anak-anak yang besar (11 dan 9 tahun) tugasnya memajukan diri dan mendidik adik-adik. Tugas saya selain menyiapkan tesis PhD, perlu mengemas, menyapu dan memasak. Suami pula rajin uruskan kain baju walaupun sibuk di hospital. Bila memasak, suami selalu mahu turut serta memberikan sinergi. Ia menyebabkan saya sebak sendiri. Semoga Allah SWT memberinya syurga tertinggi.
PESANAN
Buat mereka yang pasangannya doktor seperti saya, ingatlah Allah Maha Pelindung, Maha Penjaga, Maha Pemelihara. Jaga zikir-zikir terpilih dalam al-Quran dan al-Sunnah seperti dalam al-Ma’thurat, Manzil atau Hisnul Muslim sebagai doa perlindungan pagi dan petang. Pujuk hati dengan keindahan maksudnya. Jadikan musibah ini asbab kita makin dekat dengan Allah SWT.
Saat Rasulullah SAW dipulau di perbukitan selama 3 tahun dalam keadaan lapar dan serba kekurangan isteri baginda, Khadijah menemani perjuangan dengan rela dan cinta. Kita cuma perlu berada di rumah, sabar sepanjang ketiadaan pasangan yang berjuang di barisan hadapan. Walaupun terpaksa menempuh kesukaran menguruskan anak-anak sendirian, insyaAllah inilah peluang kita meraih pahala syahid meskipun tidak mati, sebagai mana dikhabarkan dalam riwayat yang sahih.
Cipta bahagia di rumah bersama keluarga tersayang dan nikmati detik bersama. Rasai semua musibah ini, ada rahmat indah dari Ilahi. Biar pasangan pulang dalam keadaan bahagia dan terubat melihat anak-anak menerima jagaan dan pendidikan sebaiknya. InsyaAllah, kita juga sedang berjuang di medan kita.
Saya mohon dan merayu, patuhilah arahan PKP. Kasihani diri kita, insan yang kita sayangi dan insan lain yang mungkin terjejas. InsyaAllah, pelangi akan segera tiba andai kita sabar dan patuh dengan arahan ini.”
Ibu kepada 5 orang anak ini juga merupakan Jawatankuasa Majlis Perundingan Wanita, MAWAR YADIM. Ustazah Fatimah Syarha dan suami turut menguruskan syarikat penerbitan buku milik mereka iaitu Sebarkan Bahagia.
Kredit Foto: Instagram Ustazah Fatimah Syarha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tengok wajah Hazlin Hussain pasti ramai terkenang aura wanita ini ketika mengacarakan program dokumentari popular, 999! Tidak lagi aktif di kaca televisyen, bakat Hazlin dalam dunia penyiaran mula bersinar apabila dia menyertai pencarian bakat ‘Gadis Melayu’ Musim Kedua pada tahun 2019.