Bertuah sungguh ‘si gebu’ yang diberi nama Money ini. Money merupakan kucing kesayangan milik jutawan Bawal Exclusive, Haliza Maysuri. Money bukan sekadar haiwan peliharaan biasa kerana ia juga dilayan seperti ahli keluarga sendiri termasuk dibawa ke tempat kerja dan bersiar-siar.

IKLAN

Melihat belaian kasih sayang yang dicurahkan oleh Haliza Maysuri buat kucing kesayangannya itu, tidak ubah seperti hubungan seorang ibu dengan anak.

PERTEMUAN PERTAMA
Seperti mana kita tahu kucing merupakan haiwan kesayangan Rasulullah SAW serta pembawa rezeki. Sejak kehadiran Money yang kini berumur tiga tahun satu bulan ini, rezeki Haliza Maysuri sekeluarga bertambah murah. Selain Money, Haliza Maysuri turut mempunyai seekor lagi kucing peliharaan.

“Sebelum Money menjadi sebahagian daripada keluarga kami, ada seekor lagi kucing bernama Gora dari baka Maine Coon. Umurnya sudah 14 tahun. Kisah pertemuan kami dengan Money bermula di suatu petang ketika saya dan suami hendak membeli makanan serta keperluan Gora di sebuah pet shop.

Suami saya memang suka kucing. Di kedai itulah kami berjumpa dengan Money buat pertama kali. Ketika itu umurnya baru empat bulan. Suami terus berkenan lalu mengambilnya dan membayar RM1,800. Kata suami, Money ini manja dan unik. Kami jadikannya sebagai ‘anak angkat’.

Nama MONEY (duit) telah dicadangkan oleh salah seorang pengikut setia Bawal Exclusive. Boleh dikatakan Money pembawa rezeki, pembawa tuah dan kegembiraan kepada kami sekeluarga. Anak-anak saya semuanya sudah besar. Masing-masing sudah berumur 21 dan 17 tahun. Saya dan suami memang sukakan kanak-kanak, jadi kami menganggap Money sebagai anak yang bongsu.

Kami membahasakan diri sebagai Mama dan Papa kepada Money. Memang sangat manja Money dengan kami terutama dengan Papanya. Tidur pun nak sebantal dengan Papa, bila Papa duduk dia nak berada atas pangku Papa. Bila solat suka duduk di sebelah.”

TEMPAH BAJU DENGAN MAN KAJANG
Jika layanan pun seperti anak sendiri sudah tentulah segala keperluan Money turut disediakan dengan lengkap, salah satunya baju. Baru-baru ini Haliza Maysuri telah berkongsi gambar baju raya Money di Instagram yang telah menarik perhatian para pengikutnya. Dress comel berwarna emerald green itu juga sedondon dengan Haliza Maysuri sekeluarga.

IKLAN
Money bersama pereka fesyen terkenal, Man Kajang.

Apa yang menariknya ialah baju tersebut telah direka khas oleh pereka fesyen terkenal tanahair, Man Kajang. Menurut Haliza Maysuri, Man Kajang berjaya menyiapkan baju tersebut dalam tempoh 24 jam sahaja. Rekaannya nampak kemas dan sangat sempurna.

“Tahun ini saya mahukan Man Kajang buatkan baju raya untuk kami sekeluarga. Tidak terkecuali baju raya untuk Money juga. Untuk hari biasa, setiap hari baju Money akan tukar-tukar. Money ada berpuluh pasang baju yang kami beli dari Bangkok. Papanya sanggup terbang ke Bangkok semata-mata untuk membeli baju dan keperluan Money yang lain.

IKLAN

Namun apabila COVID-19 melanda, memandangkan kita pun tak dibenarkan untuk ke luar negara jadi saya serahkan kepada Man Kajang untuk buatkan baju raya Money tahun ini. Setiap hari rutin harian Money akan ikut saya ke pejabat. Pergi pagi, balik petang macam orang kerja.”

Sesekali Haliza Maysuri turut membawa Money ke grooming spa. Bukan untuk mendapatkan rawatan untuk diri sendiri sebaliknya hanya untuk Money. Menurut Haliza Maysuri dia sering sibuk dan tidak berkesempatan untuk membelai diri di spa. “Mama pun tak sempat nak ke spa, Money budak bertuah..”

Money ketika dibawa ke grooming spa.

Ternyata, Money begitu istimewa buat Haliza Maysuri dan suami. Beruntungnya Money bila ditatang bagai anak kandung. Untuk melihat lebih banyak telatah Money, sila klik tanda pagar #moneyontel di Instagram.

Kredit Foto: IG @halizamaysuri & @blackpepperproduction