Beruntung siapa yang pandai ‘sayang’ duit. Betul kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Simpanan yang dibuat sejak awal sangat membantu di kala ekonomi sedang ‘sakit’ kini. Mujur pihak kerajaan memperkenalkan moratorium. Walaupun hanya pengangguhan bayaran balik pinjamin tetapi sekurang-kurangnya meringankan beban rakyat.

IKLAN

Tapi pelik juga bila sejak PKP Mac lalu ramai yang tukar kereta baru, ubahsuai rumah, beli barang-barang berjenama. Andai mereka memilih untuk membelanjakan wang moratorium itu dengan pembelian yang membazirkan, lebih baik cepat-cepat sedar kerana ini bukan masanya untuk tayang kehebatan harta benda.

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management di CIMB, Puan Munirah Khairuddin berkongsi ilmu kewangan yang patut kita semua ambil berat.

 

Saya amat bersimpati dengan situasi yang dihadapi rakyat Malaysia ketika ini. Pada saya, menyimpan dan melabur sama penting lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang dimana kita dilanda pandemik.”

SIMPANAN:

  • Mengenepikan wang yang dimiliki untuk perbelanjaan seharian kecemasan atau bagi tempoh sekurang-kurangnya 3 bulan. Maksudnya, wang ini boleh kita pakai atau guna serta merta. Simpanan ini tidak ada sebarang risiko kerana nilainya tidak bertambah.

PELABURAN:

  • Memperuntukkan wang di mana nilainya akan meningkat dalam satu jangka masa ditetapkan; khususnya untuk MASA HADAPAN. Contohnya, pembelian aset seperti saham, bon, dana unit amanah atau mutual fund, dan hartanah atau property.

“Sekiranya seseorang itu masih mempunyai pendapatan tetap dan stabil, mempunyai simpanan yang mencukupi untuk perbelanjaan harian dan kecemasan, serta mempunyai lebihan wang, maka saya syorkan agar mereka melabur dalam dana unit amanah.”

Ini kerana melabur dalam situasi kita dilanda pandemik ini tidak akan memberikan kesan negatif kerana matlamatnya adalah untuk mencapai potensi pulangan atau penambahan nilai kepada wang kita pada masa hadapan.

Menurut Puan Munirah lagi, sebaik-baiknya duit moratorium digunakan untuk menambahkan lagi simpanan dan menggunakan peluang ini untuk pelaburan. Ini kerana apabila berakhirnya moratorium, pulangan dari simpanan atau pelaburan jangka masa panjang dapat digunakan untuk tujuan menampung segala kekurangan.

Ada juga perkongsian daripada Perunding Kewangan, YM Puteri Carrina untuk jadi penaik semangat kita agar menabung dengan cara lebih bijak.