Keyakinan dan kualiti kesihatan merudum dek masalah berat badan dialami tidak mematahkan semangat Nur Jauhatul Dinnie, pengasas DN’S Beauty Solution bangkit melawan arus. Beliau mengeluarkan produk meal replacement Fitztox yang kian meniti bibir di kalangan mereka yang ingin tampil sihat dan menawan.
Di kala lambakan produk-produk kecantikan dan kesihatan di pasaran, Fitztox muncul sebagai satu solusi utama kepada masalah utama dihadapi kaum wanita, tidak lain tidak bukan isu berat badan berlebihan.
Diilhamkan oleh keinginan untuk membantu wanita mendapatkan saiz idaman tanpa perlu mengorbankan kehendak selera, Nur Jauhatul Dinnie Mohammad Johari atau lebih mesra disapa Dinnie hadir dengan produk Fitztox yang berasaskan bahan-bahan semula jadi serta selamat digunakan.
“Inspirasi utama saya adalah untuk membantu individu mencapai kesihatan dan kecantikan secara holistik. Saya percaya kecantikan sebenar datang daripada tubuh yang sihat dan seimbang, jadi saya mahu menawarkan produk yang bukan sahaja berkesan tetapi juga selamat untuk jangka masa panjang,” jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata ini membuka bicara.
Bermula daripada mengusahakan sebuah salon, Nur Jauhatul Dinnie tidak pernah terfikir transisi kehidupannya berubah 360 darjah saat dirinya disapa kegagalan. “Atas kehendak ayah, saya membuka salon sendiri. Namun atas kekurangan ilmu pemasaran dalam pengalaman meniaga, saya terpaksa menutup salon berkenaan dan mencari alternatif lain untuk bangkit semula.
Lantas saya berjinak-jinak meniaga produk orang lain dahulu, sehinggalah saya mendapat inspirasi untuk mengeluarkan produk sendiri hasil penelitian saya melihat ada sahabat-sahabat yang berjaya mengubah nasib dengan mengeluarkan produk sendiri. Anggapan saya, jika mereka boleh berjaya kenapa tidak saya?” akui dirinya yang berasal dari Perak.
Dalam tempoh dua tahun Fitztox di pasaran, dia menekankan pendekatan keseimbangan antara kecantikan dan kesihatan. “Visi kami adalah untuk membina keyakinan dalam diri setiap pelanggan melalui produk yang mereka boleh percayai tanpa kompromi terhadap kesihatan.”
Ads
Namun siapa menyangka, di sebalik perjalanan dirinya menembusi cabang perniagaan, Nur Jauhatul Dinnie turut pernah berhadapan dengan situasi sukar mengemudi empayar perniagaannya.
Suri hati kepada pengasas bersama iaitu suami tercinta Syukry Radzuan yang juga menjadi tulang belakang kejayaannya ini turut menjelaskan keinginan mendapatkan bentuk tubuh yang menawan menjadi inspirasi setelah berhadapan pelbagai kondisi kesihatan seperti mudah sakit pinggang, kesukaran untuk bergerak dan sebagainya.
Sebagai seorang usahawan wanita, Nur Jauhatul Dinnie turut tidak terlepas berhadapan pelbagai asam garam berniaga antaranya kekurangan modal, persaingan yang sengit, konsistensi malah sehinggalah pandangan sinis daripada orang sekeliling. Namun, semangatnya yang tidak pernah pudar dan keyakinan terhadap produknya membantunya untuk terus melangkah dengan bergaya.
“Saya tak bermula seorang diri. Saya mempunyai pasukan yang semestinya masing-masing punya emosi sendiri. Dalam masa kita nak membangunkan produk, orang-orang di bawah seliaan juga perlu diberikan perhatian namun ia tidak mudah. Bayangkan, pada waktu itu semua strategi tak berhasil, sehinggalah sales jatuh sampaikan satu tahap tiada lagi baki tinggal dalam akaun simpanan.”
Nur Jauhatul Dinnie percaya bahawa setiap wanita berhak untuk kelihatan cantik dan merasa yakin dengan diri mereka sendiri. “Di DN’S Beauty Solution, kami sentiasa melakukan kajian pasaran dan mendengar maklum balas pelanggan, agar dapat memahami kehendak mereka dan memastikan produk dihasilkan memenuhi ekspektasi mereka.”
Ads
Lantas, salah satu matlamat utama Nur Jauhatul Dinnie adalah untuk memberdayakan wanita. Melalui inisiatif seperti program latihan keusahawanan untuk wanita contohnya suri rumah dan pelajar, beliau menggalakkan wanita untuk mencipta peluang mereka sendiri dan tidak terikat kepada norma biasa.
“Salah satu produk teras DN’S Beauty Solution, Fitztox, telah membuktikan daya tarikannya sejak dilancarkan pada Julai 2022. Kejayaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat tetapi juga kepada para usahawan yang bernaung di bawahnya. Para usahawan, yang merupakan pengedar produk ini, telah mengalami perubahan positif dalam kehidupan dan ekonomi mereka.
Fitztox bukan hanya membantu meningkatkan pendapatan, tetapi juga membina potensi diri, di mana ramai yang memperolehi kejayaan besar dalam perniagaan dan kehidupan peribadi mereka. ‘Fitztox bukan sekadar produk kecantikan; ia adalah simbol keyakinan dan kepercayaan dalam potensi diri,’ yakini Nur Jauhatul Dinnie.”
DN’S Beauty Solution tidak hanya bergantung kepada produk yang berkualiti tinggi, strategi pemasaran yang bijak juga memainkan peranan penting dalam kejayaan jenama ini. Nur Jauhatul Dinnie turut memanfaatkan kekuatan media sosial untuk membina komuniti yang menyokong dan terlibat. Dengan menjalin kerjasama dengan pempengaruh kecantikan dan pakar dalam bidang ini, Fitztox dapat mencapai lebih ramai pengguna dan meningkatkan kesedaran tentang produk mereka.
Ads
Fitztox juga mengambil pendekatan mengambil kira maklum balas daripada pelanggan untuk memperbaiki dan meningkatkan produk. Ini menunjukkan betapa seriusnya jenama ini dalam memastikan kepuasan pelanggan dan kualiti produk. Melihat kepada kejayaan yang dicapai di Malaysia, DN’S Beauty Solution kini bercita-cita untuk mengembangkan sayap perniagaan ke negara jiran di Asia Tenggara seperti Brunei, Singapura dan Indonesia. Ini adalah langkah strategik untuk memperluaskan pasaran dan memberikan lebih banyak peluang kepada para usahawan untuk mengubah nasib mereka.
“Kami mahu pastikan semua prosedur dan undang-undang negara pengimport dipatuhi sebelum kami mula memasuki pasaran luar. Ini adalah bukti bagaimana syarikat ini sentiasa mengutamakan kualiti dan pematuhan undang-undang bagi memastikan produk mereka diterima dengan baik di setiap pasaran,” jelasnya lagi.
Sebagai usahawan, Nur Jauhatul Dinnie turut akui dirinya tak pernah berhenti menenun mimpi dan angan-angan kerana baginya ia perkara biasa sebagai seorang peniaga. “Saya bercita-cita untuk membina kilang serta pusat penyelidikan dan pembangunan bagi produk kami, yang akan memberi peluang meneroka inovasi baru dalam bidang kecantikan dan kesihatan. Dengan cara ini, kami berharap dapat mencipta produk yang lebih berkesan dan memenuhi keperluan pengguna dengan lebih baik.”
Dalam setiap langkahnya, Nur Jauhatul Dinnie sentiasa memegang prinsip bahawa kejayaan adalah hasil daripada usaha gigih, kesungguhan, dan keyakinan diri. Baginya, setiap cabaran adalah peluang untuk terus maju, dan impiannya untuk menjadikan Fitztox sebagai jenama kecantikan dan kesihatan terkemuka di peringkat global kini semakin hampir menjadi kenyataan.
Nur Jauhatul Dinnie adalah contoh seorang wanita yang berani mengejar impian dan mengubah nasib menerusi perniagaan. Kejayaan DN’S Beauty Solution bukan sahaja mencerminkan kejayaan peribadi, tetapi juga kejayaan kolektif yang menginspirasi lebih ramai wanita untuk terlibat dalam dunia keusahawanan.
Akhir kata, apa agaknya nasihat Nur Jauhatul Dinnie buat semua wanita di luar sana yang ingin terjun dalam bidang keusahawanan? “Saya nasihatkan semua wanita di luar sana untuk terus berpegang kepada nilai diri, sentiasa berinovasi, dan jangan takut untuk mengambil risiko. Kejayaan akan datang jika kita gigih berusaha dan tidak mudah berputus asa.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tanggal 8 Januari 2025 terpahat satu lagi sejarah! Majlis penganugerahan Nona Superwoman Award 2024 yang diadakan oleh Majalah Nona ini merupakan kesinambungan daripada edisi terdahulu iaitu pada tahun 2018, 2020 dan 2022.
Sebanyak 39 kategori anugerah disampaikan kepada individu dan tokoh wanita yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuklah korporat, seni, fesyen, bisnes dan sukan yang mencetus revolusi Malaysia sepanjang tahun 2024.
Nona Superwoman Award 2024 dibawakan khas oleh Bartech Beautee dan penaja bersama, Furniture and Choice Malaysia.
NONA SUPERWOMAN AWARD 2024
Bertemakan ‘Diamonds Are Forever’, malam kemuncak Nona Superwoman Award 2024 berlangsung di M World Hotel, Petaling Jaya. Lebih Istimewa, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan berangkat ke majlis pengiktirafan yang penuh gilang-gemilang ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu YAM Tengku Puteri Dato’ Sri Zahariah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Mantan Ahli Dewan Negara iaitu YB Datuk Seri Dr Zurainah Musa.
Menariknya, Nona Superwoman Award 2024 menyaksikan tiga tokoh wanita berjaya dipilih mengungguli anugerah utama Nona Superwoman Award iaitu Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Hajah Faiza Bawumi.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Syamil Fahim berkata, “Nona Superwoman Award bukanlah sekadar untuk memberi penghormatan tetapi ia adalah platform transformatif yang membolehkan wanita memandang semula perjalanan mereka, meraikan kejayaan mereka, dan mencipta peluang baharu.
Kejayaan seorang wanita bukan hanya miliknya seorang, ia adalah milik keluarga, komuniti, dan negara. Nona Superwoman Award adalah manifestasi penghargaan terhadap keupayaan wanita untuk mencorakkan masa depan dengan keberanian, daya tahan, dan kecemerlangan.”
Sementara itu, Editor Pengurusan (Wanita) Nu Ideaktiv Sdn Bhd iaitu Kiffy Razak berkata, “Setiap wanita yang diraikan malam ini adalah seperti berlian yang terbentuk daripada tekanan, mereka telah melalui perjalanan sukar, mengharungi rintangan, tetapi akhirnya bersinar sebagai permata yang tiada bandingannya.”
Tambahnya, “Anugerah ini adalah simbol keberanian dan keazaman. Ia bukan hanya meraikan pencapaian, tetapi menyokong wanita untuk terus melangkah ke hadapan, mencipta perubahan, dan menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing. Nona Superwoman Award adalah janji untuk terus memberikan ruang kepada wanita untuk berkembang, berinovasi, dan meninggalkan legasi.”
SENARAI PENERIMA NONA SUPERWOMAN AWARD 2024
Tahniah buat barisan wanita unggul yang diiktiraf dalam Nona Superwoman Award 2024!
Nona Superwoman Award – Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Hajah Faiza Bawumi.
Nona Royal Award – YM Datin Paduka Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz.
Nona Professional Award – Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim
Nona Fashion & Beauty Award – Fasha Sandha
Nona Celebrity Award – Aina Abdul
Nona Legend Award – Uji Rashid
Nona Best Trusted Beauty & Whitening Brand Award – Nurul Adlinna Mohammad Bakri, Bartech Empire Sdn Bhd
Nona Corporate Award – Chryseis Tan
Nona Active Award – Natasha Roslan
Nona Motivator Award – Ustazah Asni Mansor
Nona Best Multipreneur Award – Ar Nalira Azmee, Ridz Alira Integrated Sdn Bhd
Nona Entrepreneur Award – Dato’ Seri Vida
Nona Best Event Organizer Award – Juliahayyu Mohamad, Time Reveal (M) Sdn Bhd
Nona Best Woman Entrepreneur Achievement Award – Sharifah Nori Bahar, PinkandBelle Sdn Bhd
Nona Best Edupreneur Award Future Education Fund Award – Raihana Rosdan, Aqesyra Eduqids Sdn Bhd
Nona Best Financial Coach Award – Azlin Mohd Said, AMS Empire
Nona Top Trusted OEM Factory Award – Mardiana Made, DS Rich Manufacturing
Nona Best Kitchenware Business Award – Anis Mastura Azmin, A&A World Premium Cookware
Nona Celebrity Business Award – Hanis Zalikha
Nona Legacy Award – Allahyarhamah Datuk Wira Dr Maznah Hamid
Nona Best Young Entrepreneur Award – Tiara Suraya A Rahman Scott, Venus Rose Ventures
Nona F&B Business Award – Aliza Ali
Nona Influencer Award – Nur Nabilah Zulyadaini
Nona Best Business Development SME Award – Nurul Adlinna Mohammad Bakri, Bartech Empire Sdn Bhd
Nona Best Kurung Fashion Brand Award – Noraini Hanipah
Nona Best Beauty Lens Award – Fatin Amirah Zaabar, Temyracle Sdn Bhd
Nona Best Perfume Entrepreneur Award – Nur Afiqah Amran, Perfume Paradise
Nona Best Aesthetic Award – Dr Wan Hidayu Wan Ahmad, Klinik Nur Raisha
Nona Best Halal Skincare Award – Nurulain Syahirah Mat Hasmuni, Twin Rich (M) Sdn Bhd
Nona Business Strategist Award – Cikgu Samm
Nona Best Young Edupreneur Award – Nurul Ainaa Zulkifli, CMI Smart Little Sdn Bhd
Nona Best Halal Slimming Supplement Award – Nur Jauhatul Dinnie Mohamaed Johari, DNS Beauty Solution Sdn Bhd
Nona Best Entrepreneur Beauty Award – Eda Afinie Dato’ Mohd Fauzi, Jardyn Empire Sdn Bhd
Nona Best Beauty Supplement Award – Noor Faqirah Abdullah, Qayra Beauty
Nona Best in Health & Beauty Manufacturing Award – Sitti Fatimah Janna, SFJ Beauty Sdn Bhd
Nona Best Skincare Award – Dr Nurhidayah Roslan, DASC International Sdn Bhd
Nona Best Fragrance Brand Award – Athira Mohamed Shahid, Beauboss Perfume
Nona Inspired Muslimah Salon Award – Shasha Masrey, Nieza Salon
Nona Best Effective & Scientifically Researched Skincare Award – Wahida Ismail, Glowing Beauty
Nona Media Award – Priya Dharshini Prabakaran
Malam penuh gemilang ini dikemudikan oleh Hunny Madu, seorang pengacara berbakat yang juga tampil menerusi program Borak seeNI di Astro. Dengan sentuhan profesionalisme dan pesona, Hunny memastikan setiap momen majlis ini berjalan lancar dan meninggalkan impak mendalam kepada para hadirin.
Selain anugerah yang dinanti-nantikan, majlis ini turut diserikan dengan persembahan eksklusif daripada penyanyi hebat seperti Datin Alyah, Amir Masdi, dan Aina Abdul. Keseluruhan acara penganugerahan ini telah distrim secara langsung menerusi Facebook, Youtube dan TikTok Majalah Nona.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uji Rashid sinonim dengan gelaran ‘penyanyi bersuara manja’ yang juga pemilik nama sebenar Fuziah Haroun Al Rashid atau nama pentasnya Uji Rashid sangatlah mengagumkan. Penyanyi legenda ini pernah menempa zaman kegemilangannya yang tersendiri sebagai penyanyi dan pelakon pada tahun 1970-an.
Sewaktu popularitinya berada di kemuncak, bukan sahaja gaya fesyen dan rambut beliau menjadi bualan, tetapi mata besar beliau turut menjadi ciri yang ikonik. Malah, sehingga kini ada sejenis ikan yang diberi nama Ikan Uji Rashid dan duit syiling 50 sen yang diberi gelaran duit Uji Rashid di Melaka. Populariti beliau ketika itu adalah sesuatu yang menjadi fenomena sehingga orang ramai mula mengaitkan namanya dengan benda-benda unik sebagai tanda penghargaan.
Uji Rashid ‘Penyanyi Bersuara Manja’
Di sebalik senyuman manis dan suara merdu yang dialunkan rupa-rupanya tersembunyi sebuah perjalanan hidup yang penuh dengan kegetiran, pengorbanan dan cinta yang mendalam terhadap keluarga serta para peminatnya. Selama 50 tahun, beliau bukan sahaja menghiburkan rakyat Malaysia, malah telah menanam benih kasih sayang yang mengikat dirinya dengan peminat-peminat setia.
Mengimbau kenangan paling sukar dilupakan Uji Rashid menyatakan dirinya trauma menyanyikan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu kerana terkenangkan peristiwa berdarah kematian salah seorang peminat setianya yang bernama Siti Rashidah akibat kemalangan jalan raya. Arwah merupakan seorang remaja yang sentiasa mengikuti setiap persembahannya. Hubungan mereka bukan sekadar peminat dan idola, tetapi lebih kepada adik dan kakak, penuh kasih dan setia.
“Sehingga ke hari ini, saya masih beruka dengan tragedi peminat yang terkorban dalam kemalangan jalan raya selepas pulang berjumpa saya. Arwah sangat meminati saya dan sanggup melakukan apa saja. Saya tidak pernah menyampaikan lagu berkenaan dalam sebarang pertunjukan pentas sejak ia dirakamkan pada 1977 kerana tidak mahu mengingati detik tersebut,” kongsi Uji Rashid.
Tanpa sedar air mata mengalir tatkala bercerita tentang arwah Siti Rashidah, gadis remaja itu sanggup memandu dari Pulau Pinang bersama rakan-rakannya semata-mata untuk bertemu Uji Rashid. “Di mana sahaja saya buat persembahan, gadis muda itu pasti ada, setia menyokong dan memberikan dorongan. Malah arwah Siti Rashidah sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menunjukkan dia berjaya mendapat lesen memandu dan seolah-olah kejayaannya itu perlu diiktiraf oleh saya dulu.
Kenangan itu sangat menyentuh hati, malah menjadi bukti betapa peminat telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Namun, perpisahan juga menghampiri apabila arwah Siti Rashidah dan rakan-rakannya terlibat dalam kemalangan tragis. Pemergian mereka menyentap jiwa saya yang menganggap mereka seperti keluarga sendiri.
Saya menangis apabila mendapat perkhabaran tersebut. Lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu dihasilkan sebagai penghormatan kepada arwah dan saya masih tidak berupaya untuk menyampaikan lagu itu sehingga kini walaupun lagu itu sudah berusia lebih 47 tahun. Setiap kali dengar lagu itu, saya akan menangis terkenangkan arwah yang pernah baik dengan saya. Walaupun ramai yang meminta saya dendangkan lagu itu, saya tidak mahu berbuat demikian. Biarlah keindahan lagu itu diabadikan saja sebagai kenangan,” ungkap Uji Rashid sambil mengelap air mata yang jatuh di pipi.
Buat Laci 10 Tingkat Mudahkan Ibu Berbelanja
Uji Rashid merupakan anak yang sangat baik dan mentaati orang tua. Seawal usia remaja lagi dirinya sudah memikirkan bagaimana hendak mengumpul duit dan memberikan kehidupan yang senang buat ibu tercinta. Membesar dalam keluarga yang berpindah-randah kerana pekerjaan ayahnya sebagai Pegawai Kastam, Uji Rashid menggalas tanggungjawab besar untuk membantu ibunya, seorang wanita cekal yang membesarkan lima anak sendirian dalam keadaan ibunya yang tidak tahu membaca. Malah Uji Rashid juga memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran demi kekal bersama ibu tercinta dan terjun ke dunia seni sebagai satu-satunya jalan yang mampu membantunya menjana pendapatan untuk keluarga.
Menerusi gaji yang diterima sebagai pelakon dan penyanyi, Uji Rashid menyimpan wang untuk ibunya dalam laci bertingkat, seolah-olah penyanyi itu mahu memastikan setiap hari ibunya tahu bahawa dia dicintai, dijaga dengan baik. Uji Rashid juga bersyukur pada ketika itu dirinya mampu menghadiahkan kesenangan kepada ibu, walaupun dalam bentuk yang sederhana namun kasih sayang seorang anak yang mahu memastikan tiada satu hari pun ibunya menghadapi masalah kewangan.
Ditebak mengenai dirinya adakah pernah menerima apa-apa gelaran seperti Datuk? Lantas Uji Rashid menyatakan dirinya berniat hadir dalam dunia seni demi ibu. “Saya tolak gelaran. Niat saya pada mulanya nak mak saya hidup senang. Bila gaji pertama saya terima RM160 saya cuma ambil RM10 selebihnya saya beri pada mak. Jadi bila saya dapat RM2000 dari hasil lakonan saya akan serahkan pada mak.
Orang takkan percaya saya buat laci 10 tingkat. Tiap-tiap laci ada duit. Dulu nak pergi bank susah, nak ke pejabat pos mak saya tak kenal huruf. Jadi pulang saja ke rumah saya akan letak duit dalam laci. Bila mak susah dia boleh ambil bila-bila masa.
“Mak saya pula pemurah orangnya, macam kedai pajak gadai. Mak saya tak pinjamkan orang tapi dia beri orang duit. Dalam sebulan saya cuma pulang ke rumah empat hari, jadi memang kaya-raya mak ketika itu. Apa saja mak nak dia akan beli. Kerusi meja ada dua set. Bila saya balik rumah saya tengok satu set lagi hilang sebab mak sedekahkan pada orang,” luahnya.
Bagi Uji Rashid, ibu merupakan teman dan penyokong setia. Walaupun pada masa itu pandangan masyarakat terhadap wanita yang menceburi seni seringkali dipandang rendah, ibunya berdiri teguh menyokong dirinya. Namun seiring waktu, takdir memisahkan mereka dan kehilangan ibu adalah kehilangan paling besar dalam hidup.
“Saya tak tahu nak bercerita dengan siapa lagi selepas ibu pergi buat selamanya,” luahnya penuh kesedihan. Malah Uji Rashid juga sangat bersyukur kerana diberi peluang menjaga arwah ibu sepanjang terlantar sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Uji Rashid juga memegang prinsip jika sesuatu rezeki itu kalau dah bukan rezeki kita, dah masuk mulut pun boleh jatuh ke tanah jua. Rezeki tidak pernah salah alamat. “Kalau rezeki tak masuk mulut kita ertinya ia bukan rezeki kita. Macam-macam orang janji. Apapun kalau bukan rezeki, tak akan dapat. Semakin dewasa semakin banyak yang kita belajar. Saya serahkan segalanya pada Allah dan reda. Setiap rezeki itu Allah akan aturkan,” ungkap Uji Rashid.
Tersedar Rezeki Menyanyi Untuk Ibu & Anak-Anak
Sebagai penerima Nona Legend Award, Uji Rasjid berasa sangat terharu. Ini kerana dia beranggapan dirinya tidak layak sebaris dengan wanita hebat yang terpilih. “Masa team Nona hubungi dan nyatakan saya sebagai penerima anugerah, ada terfikir nak nak undur diri sebabnya saya tengok ramai wanita hebat yang terpilih sebagai penerima anugerah. Saya cuma orang biasa.
Saya sedar kebanyakkan lagu-lagu ciptaan Datuk Ahmad Nawab, saya hanya menyampaikan saja. Saya tak pandai menyanyi dan saya tak suka menyanyi pada awalnya. Kemudian saya tersedar daripada nyanyianlah rezeki itu datang untuk mak dan anak-anak saya,” sambung Uji Rashid.
Ibu tunggal yang kuat bekerja ini juga menasihati golongan muda agar patuhi perintah Allah dan hormatilah orang yang lebih tua. InsyaAllah hidup akan senang. Menyentuh tentang isu dirinya yang kini sudah berniqab, tenang jawapannya berniqab kerana masalah kesihatan.
“Pasti ada yang keliru kenapa dalam gambar tak berniqab tapi di atas pentas dan sewaktu temu bual vodcast saya berniqab. Sebenarnya berniqab ni tak wajib. Masa pandemik COVID-19 kita semua pakai mask. Kakak saya meninggal dunia sewaktu era pandemik, saya tengok ketika itu kita tak boleh dekat dengan jenazah. Pada ketika itu Cico dan menantu arwah kakak yang turun ke dalam liang lahad. Kalau tak ada orang nak sambut, jenazah akan dicampak saja. Pada ketika itu semua orang pakai mask untuk perlindungan.
Saya pula disahkan ada penyakit lelah. Masa saya pakai mask saya tak boleh bernafas. Saya cakap kenapa saya tak cuba niqab, saya pergi nyanyi pun pakai. Tak ada masalah saya nak selamatkan diri saya agar dilindungi dari kuman. Saya nak semua orang gembira dan dengan nyanyian dapat hiburkan peminat,” akhiri Uji Rashid.
Minat, ilmu dan pengalaman yang mendalam menjadi nadi kejayaan, inilah yang menjadi tunjang kepada Juliahayyu Mohamad, pengasas syarikat perhubungan awam dan pengurusan acara, Time Reveal Sdn Bhd. Syarikat ini bukan sekadar menguruskan acara tetapi merealisasikan impian dan mencipta kenangan yang kekal dalam ingatan kliennya.
Kelulusan dalam Komunikasi Massa dengan pengkhususan Komunikasi Korporat membentuk asas perniagaannya,disertai pula dengan kelulusan Sarjana dalam Pemasaran Antarabangsa. Pada peringkat awal, Julia mencabar diri untuk melangkah lebih jauh dengan melakukan dua pekerjaan serentak. Akhirnya setelah pulang dari umrah, Julia nekad memberi sepenuh perhatian kepada perniagaan.
Kredit: The Loft Studio Asia
Perjalanan Time Reveal bermula daripada sebuah persahabatan dengan seorang rakan baik yang dikenalinya sejak zaman sekolah. Mereka membina empayar Time Reveal dengan fokus menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam pengurusan acara.
“Kami memperibadikan setiap acara mengikut bajet dan keinginan klien. Dari sidang media, perlancaran produk sehinggalah ke pameran besar, kami ada solusi untuk semua,” ujar penerima Nona Best Event Organizer Award ini.
BERINOVASI
Pandemik COVID-19 adalah ujian besar bagi kebanyakan usahawan termasuk Juliahayyu. Namun begitu, syarikat Time Reveal menjadi antara konsultan yang dipilih oleh MARA sebagai Perunding Cara untuk membantu usahawan Bumiputera mempelajari pemasaran digital tatkala pandemik. Pelbagai kursus dianjurkan untuk menambah ilmu pengetahuan mereka bagi memantapkan perniagaan.
Bagi Juliahayyu, cabaran ini memperkukuh daya tahan syarikat dan menjadi inspirasi untuk terus berinovasi. Time Reveal di bawah pimpinan Julia telah membina reputasi yang kukuh sebagai rakan pilihan Utama bagi pelbagai acara khas bersama klien.
Kredit: The Loft Studio Asia
Keunikan utama yang menjadikan Time Reveal sering menjadi pilihan adalah kebolehannya untuk memastikan setiap projek disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan, dengan perancangan yang rapi dan dan konsep yang segar, menarik dan praktikal. Julia dan pasukannya menekankan aspek komunikasi yang baik efisien dengan pihak klien, yang membolehkan mereka memenuhi jangkaan klien serta menyesuaikan bajet yang diperuntukkan dengan sewajarnya.
Pengalaman Julia mengendalikan acara berskala besar dengan kerjasama klien sektor awam mahupun sektor swasta sangat berharga kerana dia memahami perbezaan antara pengurusan acara kedua-dua. Dalam kerjasama dengan kedua-dua sektor ini Julia menekankan keperluan mematuhi garis panduan ketat dan protokol yang telah ditetapkan di mana mereka lebih terbuka terhadap idea-idea baharu yang lebih kreatif atau selaras dengan trend semasa. Namun, satu faktor utama yang perlu ada ialah keterbukaan fikiran dalam mengendalikan kedua sektor ini.
Julia dan pasukannya memastikan setiap acara bermula dengan sesi brainstorming yang menyeluruh, diikuti dengan perancangan rapi dari laporan awal hingga laporan akhir pasca acara. Pendekatan hati-hati ini bukan sahaja menjamin kelancaran acara tetapi juga memberi rujukan lengkap bagi memperbaiki mutu acara akan datang.
Walapun setiap acara adalah unik, Julia sentiasa berusaha untuk mencapai impak yang melampaui ekspektasi. Matlamatnya adalah untuk memberi pengalaman berharga kepada hadirin dan meningkatkan reputasi Time Reveal dalam penganjuran acara berkualiti tinggi.
Kredit: The Loft Studio Asia
Melangkah ke masa depan, Time Reveal bercita-cita lebih jauh. Julia merancang kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti Brunei, Thailand dan Indonesia serta membantu lebih ramai wanita berjaya dalam bidang pengurusan acara.
“Nasihat saya kepada wanita di luar sana sentiasalah belajar, cekal dan rajin. Tanpa ilmu dan ketabahan kita mungkin boleh berjaya, tapi untuk kekal relevan memerlukan lebih dari itu.”
Juliahayyu Mohamad bukan hanya seorang usahawan, beliau adalah seorang pemimpin, inspirasi dan pencetus semangat bagi wanita lain untuk berani bermimpi besar dan melangkah jauh. Time Reveal pula bukan sekadar syarikat tetapi lambang impian yang terwujud melalui usaha keras, kebijaksanaan dan kekuatan wanita luar biasa ini.
Dalam perniagaan, Julia memandang usahawan dan pempengaruh tersohor Khairul Aming sebagai inspirasi.
“Saya belajar betapa pentingnya menghargai staf kerana merekalah pelaksana kejayaan syarikat. Time Reveal juga mengamalkan budaya kekeluargaan bagi memotivasikan mereka agar memberi yang terbaik.”
Menjadi penerima Anugerah Nona Superwoman pula, adalah satu penghormatan yang besar buat Julia, yang sejak sekian lama mengimpikan untuk bersama-sama dengan wanita inspirasi yang telah memenangi anugerah tersebut sebelum ini. Bagi Julia, anugerah ini bukan sahaja tanda pengiktirafan tetapi juga peluang untuk mengangkat usaha dan kerjayanya ke tahap yang lebih tinggi.
The Loft Studio Asia
Julia mendefinisikan kepimpinan yang berkesan sebagai kemampuan untuk membimbing dan memberi inspirasi kepada pasukan dengan kejujuiran dan kepercayaan yang kukuh. Prinsip ini menjadi pegangan teguh Julia dalam memimpin Time Reveal, di mana beliau melihat pasukannya sebagai rakan sepasukan yanag memainkan peranan penting dalam menjayakan setiap acara. Dengan komitmen terhadap kejujuran dan kepercayaan, Julia percaya bahawa setiap individu dalam pasukannya diberi motivasi dan keyakinan untuk memberikan yang terbaik dalam setiap projek yang diusahakan.
“Saya berhasrat untuk menjadikan Time Reveal sebagai satu jenama unggul dalam induistri pengurusan acara, di mana setiap projek bukan sahaja memenuhi keperluian klien tetapi turut memberikan impak positif kepada masyarakat. Saya harap dapat meluaskan lagi rangkaian pelanggan dan menjadikan Time Reveal sebagai peneraju dalam pengurusan acara berprestij di dalam dan luar negara.”
Dalam menghadapi era digital yang serba pantas, Julia memastikan Tme Reveal sentiasa selangkah ke hadapan dengan mengintegrasikan teknologi dalam setiap aspek pengurusan acara. Time Reveal memanfaatkan platform digital untuk tujuan promosi, acara penstriman langsung dan pengurusan komunikasi klien yang bukan sahaja memudahkan pengurusan tetapi juga meningkatkan kecekapan kerja.
The Loft Studio Asia
Penggunaan teknologi ini memastikan setiap acara dapat disesuaikan dengan kehendak semasa dan memberikan pengalaman yang lebih interaktif dan mendalam kepada klien serta hadirin. Julia percaya bahawa kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi adalah kunci utama untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam industri ini.
Sebagai seorang wanita yang berjaya dalam bidang yang mencabar, Julia tidak lokek untuk berkogsi nasihat kepada wanita muda yang ingin menjadi usahawan atau menerokai bidang pengurusan acara.
Julia menekankan pentingnya mempunyai ilmu yang mendalam dalam bidang yang diceburi kerana ia adalah asas kepada kejayaan jangka panjang. Di samping itu, Julia menekankan sikap positif, ketabahan dan kerajinan sebagai sifat penting untuk terus maju dan bersaing. Dalam industri yang sentiasa berkembang, ini adalah kunci untuk terus maju dan relevan dalam industri yang bergerak secara dinamik.
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.