Menguruskan dua bidang berbeza, ada firma arkitek dan jadi pengusaha tadika swasta, bagi usahawan Ar Nalira Azmee semuanya miliki satu kompas iaitu wujudkan suasana yang gembira serta selesa.
Berawal daripada impian zaman kanak-kanaknya untuk memiliki bilik tidur sendiri, Ar. Nalira Azmee kini pemilik firma Nalira Azmee Architect dan juga pengusaha tadika Ridz Alira Integrated Sdn Bhd yang cukup berjaya. Meskipun menguruskan dua perniagaan berbeza dalam satu masa, wanita jelita itu membuktikan tiada perkara yang mustahil selagi kita berusaha dan bekerja keras.
Tiba lebih awal sebelum waktu yang dijanjikan, Nalira tampil elegan ditemani suami tersayang, Kamal Faridz Mohamad Noor. Sama cantik dan sama padan, pasangan yang memiliki tiga cahaya mata itu kedua-duanya memiliki karisma profesional serta menyenangkan. Keserasian ini turut menjadi kelebihan mereka untuk menubuhkan perniagaan bersama sebagai rakan kongsi.
Memiliki kelulusan Double Degree di dalam Sarjana Muda (Sc) Seni Bina dan Sarjana Muda Sains Seni Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Nalira mengorak langkah pertama dengan bekerja di sebuah firma antarabangsa di Kuala Lumpur. “Lima tahun pertama di firma ini, saya didedahkan dengan pelbagai projek komersil dan perumahan berskala mega. Kerjaya arkitek turut membawa saya ke serata pelosok dunia, umpamanya Singapura, Australia dan Jerusalem.
Di sinilah saya belajar pelbagai aspek perniagaan, daripada operasi sehinggalah cara mencari peluang perniagaan dengan membentangkan idea kepada pelanggan, menguruskan kewangan serta sumber manusia,” ujar Nalira yang turut memiliki sijil Pengurusan Profesional daripada BFM Business School pada tahun 2015.
Menjadikan struktur bangunan ikonik Burj Al-Khalifa di Dubai sebagai salah satu seni bina terbaik dalam ingatannya, Nalira menjadikan negara-negara membangun seperti Qatar atau Arab Saudi sebagai rujukan utama. “Bagi saya, negara-negara sebegini mempunyai dana serta peluang lebih besar untuk membina their dream building.”
Sering terlibat dengan pembinaan kediaman eksklusif, Nalira berkongsi kenangan termanisnya sebagai arkitek iaitu menguruskan sebuah projek melibatkan seorang pelanggan berstatus kerabat dengan nilai RM22 juta. “Saya terlibat dengan projek ini daripada fasa mereka pelan sehingga siap dibina. Sejujurnya projek kediaman lebih dekat di hati saya kerana setiap sudut penting dan mengambil kira pendapat arkitek dan pelanggannya. Keselesaan dan nilai estetik harus seimbang.”
Yang jelas, tempoh 12 tahun berkhidmat di firma arkitek antarabangsa bukanlah suatu tempoh yang singkat. Namun tidak hanya mekar sebagai arkitek, Nalira mengambil langkah drastik mengusahakan perniagaan tadika dan taska Al Kauthar Eduqids di Kuala Lumpur serentak menjelang fasa pandemik COVID-19 sebagai survival plan ketika itu.
“Memang ianya dua bidang berbeza tapi masih mempunyai satu tujuan yang sama. Dalam bidang seni bina, kerja kita membuat orang gembira dengan membina bangunan yang baik dan selesa. Sama seperti bidang tadika, kerja kita menyediakan tempat belajar yang menggembirakan. Jadi tak kiralah jadi arkitek atau pengusaha tadika, kedua-duanya dengan tujuan yang sama iaitu membuat orang gembira dan selesa dengan tempat itu.”
Ads
Merupakan seorang yang teliti, Nalira akan memastikan setiap cawangan tadika dan taska miliknya ada Pengurus untuk kelancaran operasi harian. “Dalam masa yang sama, saya akan memantau keadaan itu secara berkala melalui CCTV, selain menerima laporan harian daripada mereka. Bahkan dari semasa ke semasa, kami sebagai pengusaha sering mendapat bimbingan Pengasas dan CEO Al Kauthar Eduqids (AKE) iaitu Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff Ibrahim dan Datin Nor Fadilah Alias agar mahir menguruskan perniagaan.
Sementara di firma arkitek pula, saya banyak membuat architectural submission untuk tadika-tadika. Ia menjadi satu kelebihan untuk saya sebagai arkitek, menguruskan segala authority submission pengusaha tadika selain urusan-urusan renovasi bangunan mereka. Untuk kerja seni bina, saya akan menguruskan pada setiap Selasa dan Khamis sahaja.
Selain firma sendiri, saya juga merupakan Pengarah di DTM Architects Sdn Bhd. Syarikat ini mempunyai empat orang Pengarah dan kami semua menguruskan pelbagai projek dalam Malaysia. Saya biasanya akan menguruskan projek-projek di sekitar Kuala Lumpur,” terang Nalira yang turut mengikuti pelbagai kelas dan kursus jangka pendek untuk menambah kemahiran, antaranya kursus SKM, KAP, EIP serta ABAT berkaitan pengurusan anak-anak autism.
Cantik dan bergaya, karisma Ar Nalira Azmee jelas terserlah ketika sesi fotografi Nona Superwoman Award baru-baru ini…
Ads
Ditanya perkara apa yang menggerakkan hatinya untuk menceburi dunia pendidikan awal kanak-kanak, Nalira termenung sejenak mengingatkan cabaran yang dihadapi. “Awalnya timbul juga perasaan skeptikal terhadap potensi industri ini. Tapi lama-kelamaan, kami nampak kesungguhan dan matlamat murni Dato’ Bakhtiar yang merupakan sahabat lama suami saya dalam meningkatkan taraf tadika dan taska swasta di Malaysia.
Sebagai seorang wanita pula, kita memang dianugerahkan naluri keibuan dan sifat sayangkan anak. Saya mula mendalami ilmu tentang pendidikan awal kanak-kanak selepas berkahwin dengan impian mahu menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak kami, Adam Faridz, Arman Faridz dan Aryan Faridz.
Kebetulan juga pada tahun tersebut (2018), perniagaan arkitek agak kurang memberangsangkan, projek pula berkurangan dan saya baru saja lulus peperiksaan seni bina untuk mendapatkan sijil profesional Ar. Justeru, kami perlu bersungguh-sungguh memajukan tadika AKE yang baru dibuka ketika itu, meskipun laporan enam bulan pertama menunjukkan kerugian.
Dengan seluruh tawakal, saya tekad mahu mendapatkan semula modal yang dilaburkan. Dan akhirnya berkat beberapa strategi dan nasihat daripada Dato’ dan Datin, alhamdulillah bisnes ini berkembang pesat. Jujurnya ia bukan satu bisnes yang mudah kerana melibatkan nyawa kanak-kanak dan berisiko tinggi. Kita juga harus menjaga amanah serta kepercayaan yang telah diberikan oleh ibu bapa. Jadi kami hanya copy paste apa yang telah dilakukan di cawangan pertama dan menjaga kualiti servis sehingga terdapat 6 cawangan sekarang.”
Jauh di sudut hati, Nalira sentiasa menganggap setiap kanak-kanak yang mereka asuh dan didik adalah Istimewa. “Setiap satunya ada karakter berbeza. Tapi saya selalu ingat bahawa cabaran yang datang daripada kanak-kanak ini adalah cabaran dari Allah SWT yang patut diharungi dengan sabar serta penuh kesyukuran. Jadi bila fikir macam tu, hati terus sejuk balik.”
Mengakui bahawa sukar mendapatkan persetujuan ibu bapa sewaktu ingin membuka tadika AKE, Nalira dalam nada sebak berkongsi kepayahan yang dilalui. “Mulanya mereka tak setuju saya buat perniagaan ni, mungkin sebab dah spent banyak duit untuk biaya pengajian saya dalam bidang arkitek. Masa dulu kalau belajar arkitek memang pakai banyak duit, bayangkan kalau ada field trip pun terpaksa ke luar negara. Pada mereka, kenapa saya nak tukar kerjaya sedangkan ada kelulusan profesional Ar. kan? Tapi akhirnya mereka bagi juga sokongan dengan syarat saya lakukan dengan bersungguh-sungguh.”
Untuk berjaya dengan cemerlang sebagai arkitek dan pengusaha tadika bukanlah suatu usaha yang mudah. Namun Nalira membuktikan keupayaan dirinya mengimbangi dua perniagaan serentak dengan skop pekerjaan yang bertentangan secara profesional, malah tidak sekalipun mengabaikan peranan dirinya sebagai seorang isteri dan ibu tiga anak.
Ditanya tentang ciri-ciri yang perlu dimiliki untuk bergelar Superwoman, Nalira menekankan pentingnya nilai pemerkasaan. “Fokus pada peluang. Bukannya kelemahan. Latih staf kita agar mengenal kekuatan dan pengetahuan produk. Kalau kita nak buat sesuatu, buatlah dengan bersungguh-sungguh tak kira apa pun halangan di depan. Set the directions right.
Empowerment pula adalah memberi autoriti serta memperkasakan pihak lain. Dalam konteks saya, bagaimana saya menggunakan empowerment ialah dengan menaikkan pangkat staf saya kepada seorang leader dan kemudiannya kepada seorang pengusaha. Kini saya telah merealisasikan Impian dua orang staf saya yang ingin merasa memiliki perniagaan sendiri dalam bidang yang sama.
Kedua-duanya adalah bekas leader saya dan kini mereka bergelar rakan niaga. Dalam syarikat, saya memegang share majoriti sementara mereka pula menguruskan hal operasi, pentadbiran dan kewangan.”
Lebih membanggakan, Nalira sempat membahagikan masanya untuk masyarakat. Menerusi badan NGO AKE Care, beliau pernah turun padang menyalurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli di Kuala Mu, menyertai program Singgah Sahur bersama PERKEP Shah Alam, memberi sumbangan kepada Ronald McDonald’s House UKM serta tidak dilupakan, bergelar panel juri arkitek di Tatamatra, Indonesia, juri pengkritik di Universiti Malaya serta Universiti Taylor’s.
Mengakhiri perbualan, Nalira berkongsi pelan masa depannya untuk membuka lebih banyak cawangan tadika dan taska AKE di bawah syarikat Ridz Alira Integrated Sdn Bhd serta mengembangkan sayap DTM Architects Sdn Bhd ke Borneo. Beliau juga berhasrat untuk memperkasakan lebih banyak pihak, umpamanya staf-staf syarikat menjadi leader dan seterusnya bergelar business owner sebagai usaha mengembangkan rezeki yang dikurniakan-Nya.
Wanita ini pernah memiliki kerjaya hebat sebagai seorang pensyarah dan penyelidik namun akhirnya memilih untuk bergelar usahawan dan pengasas kepada produk penjagaan kulit, Dr Anne Skincare. Selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Anne sangat komited untuk terus memperkenalkan produk tersebut bukan hanya di negara-negara Asia bahkan melangkau sempadannya.
Namun untuk berada di tahap sekarang bukan mudah kerana kisah permulaannya penuh ranjau dan duri. Satu perjalanan yang bersulamkan air mata dan pengorbanan yang bukan sedikit.
“Sebelum terlibat dalam perniagaan, saya saya merupakan seorang pensyarah dan penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM). Selama lebih kurang lima tahun saya memikul tanggungjawab sebagai pensyarah kanan di UPM. Pada tahun 2016 saya meletakkan jawatan sebagai pesyarah kerana perlu fokus untuk membesarkan anak-anak. Setahun kemudian, barulah ‘perjalanan’ saya sebagai pengasas dan CEO kepada Dr Anne Skincare bermula,” kongsi penerima Nona Best Skincare Award ini.
Produk Dr Anne Skincare tercetus daripada pengalaman beliau sendiri. Menurut Dr Anne, beliau pernah mengalami masalah kulit yang teruk ketika kecil.
“Semasa kecil saya pernah mengalami masalah kulit. Saya ada ekzema yang teruk. Bila dah besar saya susah nak mencari produk penjagaan kulit yang sesuai. Berbekalkan pengalaman dalam bidang kejuruteraan genetik, saya menceburi bidang kecantikan. Dengan ilmu yang ada saya dapat memahami serba sedikit bagaimana untuk memperbaiki sel kulit termasuklah bahan-bahan yang memberi kesan yang baik kepada kulit. Dari situlah saya mula menghasilkan formulasi produk penjagaan kulit untuk diri sendiri.
“Apabila sering berkongsi di media sosial tentang produk yang dihasilkan, saya mula mendapat permintaan untuk membantu mereka yang ada masalah kulit sama seperti saya. Dari situlah tercetusnya Dr Anne Skincare.”
DETIK MENCABAR
Dalam setiap perniagaan pasti ada cabarannya yang tersendiri. Dr Anne tidak terkecuali, apatah lagi ketika itu beliau masih baharu dalam dunia perniagaan produk kecantikan.
“Detik paling struggle ialah ketika saya hendak memperkenalkan produk Dr Anne Skincare di pasaran. Ketika itu kebanyakan produk lokal memfokuskan kepada memutihkan kulit dan glowing sahaja. Saya pula fokus kepada repairing. Saya nak membantu mereka yang ada masalah kulit seperti ekzema, kulit sensitive serta tekstur yang kasar atas faktor kesihatan dan sebagainya.
“Namun ketika itu saya datang dengan produk yang tiada permintaan di pasaran. Saya tahu kewujudan bahan-bahan aktif seperti peptida tetapi ketika itu bahan itu tidak popular di Malaysia dan sukar didapati. Kebanyakan formula adalah untuk memutihkan kulit sahaja. Apabila saya approach formula saya dari satu kilang ke satu kilang, sukar untuk saya dapatkan sokongan daripada pengilang.
“Saya juga tiada kemudahan untuk pengilangan dana tidak boleh keluarkan produk. Saya terpaksa buat secara homemade. Akibatnya, saya mendapat amaran kerana menjual produk tanpa NOT number. Namun, saya teruskan perjuangan. Perjalanan itu sangat sukar. Duit habis dan saya struggle dari segi kewangan. Rumah disewa dan saya terpaksa membesarkan anak-anak di pejabat. Mereka juga pernah tak ke sekolah.
“Cabaran ini tetap tidak mematahkan semangat. Saya tetap berpegang kepada niat dan matlamat untuk menghasilkan produk penjagaan kulit untuk mereka yang mempunyai masalah kulit. Saya nak bantu mereka sehingga sehingga mendapat kulit yang sihat. Syukur, akhirnya saya berjaya mendapat sokongan daripada sebuah pengilang untuk menghasilkan produk Dr Anne Skincare. Produk ini mula diterima dan mendapat permintaan di pasaran Malaysia,” luah Dr Anne.
Menurut beliau lagi, produk Dr Anne Skincare mempunyai dua kelebihan berbanding produk-produk lain di pasaran. “Pertama, produk ini sememangnya halal bukan hanya untuk pengguna Muslim bahkan semua. Kedua, produk ini ternyata berkesan. Ia sebenarnya datang daripada Advanced Formulation. Produk-produk yang berstatus halal mungkin tidak banyak yang memfokuskan kepada Advanced Formulation kerana mengikut arus teknologi. Dr Anne Skincare adalah pertama di Malaysia yang mengeluarkan produk mengandungi advanced metabiotic,” jelas Dr Anne.
Lebih tujuh tahun berada di pasaran, antara pencapaian terbaik pernah diterima Dr Anne Skincare ialah NanoTrusted Certification Award daripada Nano Malaysia, dan Superbrand Award. Baru-baru ini, Dr Anne turut terpilih sebagai salah seorang penerima China-ASEAN Young Leaders Award. Anugerah ini diberikan kepada hanya 30 penerima (bawah 45 tahun) yang dipilih melalui saringan ketat dari 12 negara ASEAN.
“Saya berpegang kepada dua perkataan iaitu stay focus. Dalam perjalanan nak mencapai sesuatu, kita bermula dengan satu impian. Apabila memiliki perniagaan sendiri, matlamat saya ialah untuk mengembangkannya lagi dan membantu lebih ramai orang untuk dapat manfaat. Saya juga mahu berkongsi rezeki dengan menyediakan lebih banyak peluang perniagaan.”
Di sebalik jatuh bangun dalam perniagaan, pastinya ada tulang belakang yang sentiasa menyokong dan memberi kata-kata semangat. Dr Anne sangat bertuah kerana dikelilingi insan-insan terdekat yang baik-baik.
“Mentor dan sumber inspirasi saya dalam perniagaan ialah Dr Sunny Ooi yang merupakan CEO dan pengasas ClickAsia. Beliau bukan sekadar sukses dalam perniagaan bahkan pencapaiannya dalam kehidupan. Beliau bijak merancang perjalanan hidupnya termasuk untuk anak-anak an keluarga. Saya amat terinspirasi dengan pencapaian dan karakternya yang tenang.
“Seterusnya keluarga, yang menjadi sumber kekuatan dan tulang belakang saya selama ini. Selepas berkahwin dan mula berniaga, tulang belakang utama saya ialah suami. Ada ketikanya saya tak kuat, beliaulah yang menjadi penguat semangat. Ketika saya di atas mahupun di bawah, beliaulah yang selalu ada untuk angkat saya lebih tinggi. Pengorbanannya sangat banyak. Suami seorang yang bercita-cita tinggi dan lulusan luar negara. Beliau korbankan kerjaya untuk sokong saya dan menjadi yang terbaik dalam hidup saya. Saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang bertanggungjawab dan ayah yang sangat baik untuk anak-anak.
Kami sekarang dalam usaha untuk menembusi pasaran global. Kami fokus untuk eksport produk ke beberapa buah negara bukan sekadar Asia bahkan melangkaui benua. Syukur tahun ini kami berjaya menembusi beberapa negara. Saya sangat bangga jika dapat membawa nama dan produk Malaysia ke mata dunia. Saya mahu buktikan, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai rakyat berpotensi tinggi dan kita mampu mencapai pelbagai kejayaan di luar negara. Saya dapat melihat penerimaan terhadap produk Dr Anne Skincare terutama di benua Eropah agak mengejutkan. Alhamdulillah.
“Nasihat saya buat seluruh wanita. Sebagai wanita kita tidak boleh bersendirian. Perlu ada lingkungan yang boleh menyokong kita, yang boleh positifkan kita contohnya keluarga,suami, ibu bapa atau adik beradik. Ataupun sokongan luar seperti rakan-rakan baik, jiran atau persatuan. Jika kita bersendirian, halangan itu sukar ditangani. Emosi boleh menjadi lebih teruk. Wanita kena cari sistem sokongan yang betul,” akhiri Dr Anne.
Memulakan kerjaya awalnya sebagai pegawai perubatan kerajaan, nyata membibitkan rasa cinta yang mendalam terhadap bidang estetik buat Dr Wan Hidayu Wan Ahmad yang akhirnya menubuhkan Klinik Nur Raisha kerana minat terhadap dunia kecantikan.
Dress labuh Shanell Harun direka khas untuk Dr Ayu yang lekuk tubuhnya langsing sempurna. Walau sudah beranak tiga, badannya sepertikan anak dara. Setiap tutur kata disusun kemas, Dr Ayu sememangnya seorang wanita moden yang bijak dan tahu apa yang terbaik untuk dilakukan.
Pegawai Perubatan Kerajaan
Berusia 37 tahun, Pengarah Klinik Nur Raisha ini memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Surgeri dari Universiti Malaya. Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai perubataan kerajaan selama tujuh tahun, antaranya di Hospital Sungai Buloh, Pusat Darah Negara dan klinik kesihatan di daerah Kuala Selangor.
“Sebenarnya ketika saya masih bekerja sebagai doktor, ramai pesakit yang mengadu masalah kulit antaranya parut jerawat dan jeragat. Mereka bimbang dengan kesihatan kulit wajah mereka. Jadi itulah yang membuat saya terpanggil untuk membantu.
Selepas meninggalkan sektor kerajaan, saya kembali meneruskan pengajian dalam bidang estetik. Banyak yang perlu didalami walaupun pendidikan saya berlatarkan perubatan. Gabungan ilmu dan pengalaman yang ditimba membuatkan saya bertambah yakin menerokai perniagaan ini,” luah Dr Ayu sambil tersenyum.
Klinik Nur Raisha ditubuhkan pada Januari 2018 di Puncak Alam, Selangor. “Mengambil inspirasi nama anak kedua saya yang kebetulan baru lahir, saya mula memperkenalkan rawatan estetik di kalangan penduduk setempat. Sekarang anak saya dah berumur lapan tahun, dan alhamdulillah klinik juga sudah memiliki ramai pelanggan tetap.
Kami mengambil sedikit masa untuk dikenali kerana memandangkan ada banyak klinik di Puncak Alam. Selepas setahun, Klinik Nur Raisha mula mendapat sambutan dan meningkat dari semasa ke semasa.
Demografi pelanggan juga berkembang, bukan setakat di kalangan warga Puncak Alam malah dari pelbagai negeri. Berkat rezeki yang mengalir, saya berjaya membuka cawangan kedua Klinik Nur Raisha di Publika, Solaris Dutamas pada September 2022.”
Selain layanan mesra, Klinik Nur Raisha cukup disenangi kerana servis dan rawatan estetik yang ditawarkan membantu menyelesaikan masalah pesakit. Kata Dr Ayu, mereka amat mementingkan pendekatan holistik termasuk teknologi yang digunakan.
Umpamanya teknologi rawatan laser yang diiktiraf FDA (Food and Drug Administration), selamat dan efektif untuk merawat sesuatu masalah. “Majoriti pesakit yang datang mengalami masalah jeragat, bintik-bintik hitam, jerawat dan parut jerawat. Semua ini boleh diselesaikan dengan berkesan menggunakan rawatan laser kami,” terang Dr Ayu.
Berbicara soal kenangan manis sepanjang penubuhan Klinik Nur Raisha, Dr Ayu tanpa berfikir panjang terus berkongsi perihal testimonial pesakit yang berjaya dirawat. “Ya, mestilah ramai. Banyak pelanggan saya mengalami masalah jeragat atau melasma. Ia perlukan banyak rawatan yang berulang.
Ada yang datang selepas pergi ke pelbagai klinik dan habis ribuan ringgit untuk merawat jeragat. Jadi apabila mereka berjumpa saya, saya akan pantau pada setiap sesi. Rawatan ini biasanya mesti dibuat lima ke lapan kali untuk menampakkan kesan. Ada pelanggan Klinik Nur Raisha yang dah buat rawatan 13 kali dan wajahnya memang betul-betul bersih tanpa cela!
Beliau pun sangat gembira walaupun datang dari Subang setiap tiga minggu sekali. Kerana puas hati, beliau selalu bercerita tentang klinik saya kepada kenalannya. Bila kulit sihat, pelanggan pun happy!” kongsi Dr Ayu dengan teruja.
Ditanya pendapat Dr Ayu tentang pertumbuhan klinik estetik yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, wanita jelita ini pantas menjawab, “Memang sekarang ia berkembang pesat dan ramai doktor estetik membuka klinik sendiri kerana permintaan tinggi. Tapi saya rasa itu adalah persaingan yang sihat. Pelanggan ada pilihan untuk memilih klinik yang terbaik, selamat dan menawarkan harga paling kompetitif.
Sebagai usahawan, saya perlu fikir cara terbaik untuk pemasaran dan gunakan strategi bijak untuk menarik pelanggan. Saya fikir usaha perlu lebih dari segi marketing agar Klinik Nur Raisha makin dikenali.”
Menyedari lumrah perniagaan ada naik dan turun, Dr Ayu terbuka bercerita detik paling struggle sepanjang menjalankan perniagaan. “Pertama mestilah modal. Modal untuk membuka klinik sangat besar, apatah lagi kami perlu membeli mesin rawatan yang termaju dan berteknologi tinggi. Semakin bertambah mesin, semakin banyaklah servis rawatan yang boleh ditawarkan.
Macam saya, start dari kecil-kecil dulu. Bila ada duit, baru beli mesin baru dan tambah secara berperingkat. Tak perlu buat besar-besar pada peringkat awal kerana risikonya sangat tinggi,” nasihat Dr Ayu.
Selain modal, beliau juga berdepan tentangan ibu bapa yang bekerja dalam sektor kerajaan. Jadi agar sukar pada awalnya untuk meyakinkan mereka ketika berhasrat meninggalkan kerjaya pegawai perubatan. Mujurlah kini ibu bapa Dr Ayu memahami dan menjadi pendorong terkuatnya untuk terus cekal berniaga.
“Alhamdulillah saya buat keputusan tepat. Saya sebenarnya didorong push factor tersendiri. Saya mahu anak-anak menjadikan saya contoh untuk berjaya. Jadi sebab tu saya kena kuat semangat walaupun ada waktu-waktu tertentu kita rasa down.
Sebagai manusia biasa, memang normal untuk rasa down tapi jangan terlalu lama dibuai perasaan tu. Betulkan mindset dan fikir positif, insyaallah kita akan baik,” ujar Dr Ayu yang gemar menjadikan hobi melancong sebagai terapi ‘me time’.
Selain berniaga, Dr Ayu rajin menyertai aktiviti kemasyarakatan sebagai usaha kebajikan membantu orang ramai. Antaranya bergiat aktif sebagai ahli PEKAWANIS dan menyumbangkan pengalamannya bersama Biro Hal Ehwal Wanita & Kebajikan di Puncak Alam.
“Saya suka beri kesedaran kepada wanita agar berdikari. Perlunya ada pendapatan sendiri dan jangan terlalu bergantung pada lelaki. Di Puncak Alam umpamanya, kawasan ini terdiri golongan middle-class yang mana ramai wanita tidak bekerja dan menjaga anak sepenuh masa.
Jadi yang mana datang ke klinik saya, saya akan galakkan mereka agar membuka mata dan rebut peluang pekerjaan dari rumah. Buat bisnes kecil-kecilan asalkan ada duit sendiri.”
Sebelum bual bicara kami berakhir, wanita yang diiktiraf Nona Best Aesthetic Award ini bercerita perancangan masa depannya. “Sebenarnya saya dalam proses untuk menghasilkan satu produk baharu iaitu produk kesihatan untuk wanita.
Idea untuk menghasilkan formula produk ini tercetus ketika saya mendapati ramai pelanggan di klinik, hampir 50% daripadanya mengalami masalah stres, depresi dan insomnia. Jadi produk suplemen ini dirumus khas untuk menstabilkan hormon kita. Apabila emosi stabil, insyaallah keluarga juga akan harmoni.
Mengakhiri perbualan, Dr Ayu menyifatkan karakter seorang Superwoman itu bukan berdasarkan kecantikan mata, tapi mestilah berkeyakinan dan berilmu. “Wanita kena selalu ada azam untuk belajar. Sebab dengan setiap ilmu itu, hidup kita akan meningkat dan menaikkan level ke satu tahap lebih tinggi,” akhiri wanita yang menjadikan sikap tidak mudah berputus asa sebagai superpower yang dimilikinya.
Dalam dunia perniagaan, ramai wanita berani melangkah keluar daripada zon selesa untuk mencapai impian. Mardiana Made, antara wanita yang berani berhadapan risiko dalam usaha untuk merubah kehidupan.
Usahawan berasal dari Tawau, Sabah ini nekad mengharungi cabaran kehidupan melangkah ke dunia perniagaan yang tidak pernah disangka bakal merubah kehidupan.
Sebagai pemilik DS Rich Manufacturing, sebuah kilang OEM, pakar dalam penghasilan produk kosmetik dan kesihatan, beliau kini menjadi inspirasi bagi usahawan tempatan terutama wanita di Sabah.
Pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup, Mardiana sempat berkongsi pernah diuji sekitar tahun 2018 di mana dia dan suaminya kehilangan sumber pendapatan dalam sekelip mata. Tanpa sebarang pilihan, Mardiana memilih untuk mengubah nasib keluarganya dengan membina perniagaan dari bawah.
“Saya mulakan langkah dengan menjadi orang tengah kepada kilang OEM di Semenanjung Malaysia. Dari situ, saya belajar tentang servis, formula dan pembungkusan. Semuanya bermula dengan kesungguhan untuk mengubah kehidupan keluarga,” kata Mardiana mengenang kembali kesukaran hidup yang dihadapinya empat tahun yang lalu.
Modal Kecil Jadi Asbab Kejayaan
Memulakan perniagaan dengan modal yang kecil, Mardiana berjaya membuka DS Rich Manufacturing yang beroperasi di Sabah, berkat pengetahuan yang semakin berkembang.
“Bermula hanya dengan empat orang pekerja dan beberapa mesin asas, saya membina perniagaan ini atas dasar ketabahan, tidak berputus asa dan keyakinan terhadap diri sendiri,” ujar Mardiana yang ternyata boleh berbangga dengan pencapaiannya kini.
Kejayaan DS Rich Manufacturing bukan sekadar kisah pencapaian individu, ia juga membawa misi besar untuk membantu usahawan tempatan, khususnya di Sabah. Mardiana menubuhkan kilangnya dengan impian untuk menyediakan perkhidmatan OEM yang berkualiti, selamat dan halal, menjadikannya pilihan bagi usahawan kecil yang ingin memiliki jenama sendiri.
“Saya melihat potensi besar dalam industri kosmetik dan saya mahu menyokong lebih ramai usahawan tempatan yang mempunyai impian tetapi kekurangan fasiliti pengeluaran,” ujar Mardiana.
Mardiana mempunyai matlamat dan cita-cita untuk menjadikan DS Rich Manufacturing sebagai kilang OEM pilihan di Malaysia, tidak hairanlah mengapa dia memastikan setiap produk yang dikeluarkan memenuhi standard kualiti tinggi serta sesuai untuk pasaran yang lebih luas.
“DS Rich Manufacturing komited untuk membina reputasi di dalam dan luar negara, membantu mereka menjangkau impian mereka,” tambahnya lagi.
Ketika ditanya mengenai industri OEM di Sabah, Mardiana mempunyai pandangannya yang tersendiri. Katanya, industri OEM di Sabah sedang berkembang pesat dan dapat dilihat ramai usahawan kini sedar tentang potensi dalam industri kecantikan dan kesihatan dan mencari kilang yang boleh dipercayai.
“Meskipun kedudukan kilang berada di Tawau, ia tidak menghalang klien dari Semenanjung Malaysia dan Sabah untuk memilih DS Rich Manufacturing sebagai pengeluar produk mereka. Dengan kualiti formula dan servis cepat, kedudukan kilang di Sabah tidak menjadi penghalang untuk mendapat kepercayaan pelanggan,” ujarnya dengan penuh keyakinan.
Cabaran
Di sebalik kejayaan yang dikecapi, Mardiana tidak menafikan cabaran mengurus kilang OEM di Sabah bukannya mudah apatah lagi apabila bercerita soal kos penghantaran bahan mentah dari Semenanjung Malaysia dan luar negara memerlukan perancangan logistik yang teliti.
“Kami cuba mengatasi cabaran ini dengan mencari pembekal tempatan berkualiti serta merancang dengan teliti bagi mengurangkan risiko kelewatan dan kos tinggi,” tambah Mardiana.
Bercerita soal kejayaan DS Rich Manufacturing di peringkat nasional, bagi Mardiana ia terletak pada keunikan formulasi produk yang dihasilkan. Mengakui cerewet dan amat menitikberatkan formulasi yang sentiasa mengikut perkembangan pasaran, Mardiana memastikan usahawan yang bekerjasama dengannya memiliki produk yang relevan dan unik.
“Kami menyediakan perkhidmatan konsultasi R&D untuk mencipta formula khas yang disesuaikan mengikut kehendak klien. Ini membantu mereka mempunyai USP (Unique Selling Point) yang membezakan produk mereka di pasaran,” jelas Mardiana.
Tidak puas dengan pencapaian sedia ada, Mardiana bercita-cita untuk mengembangkan DS Rich Manufacturing ke peringkat antarabangsa. Malah syarikatnya sedang dalam perancangan memperkenalkan formula baharu yang memenuhi trend kecantikan global.
Baginya, impian ini adalah untuk melihat jenama yang dihasilkan oleh kilangnya berjaya menembusi pasaran luar negara dan membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!