Pada usia mencecah 32 tahun dan ibu anak 3, Nurul Ainaa Zulkifli sudah memiliki 10 cawangan tadika dan taska Al Kauthar Eduqids, sekaligus menjadikannyq penerima anugerah Nona Best Young Edupreneur yang paling ideal.
Meskipun baru saja beberapa hari melepasi tempoh berpantang anak ketiga, Ainaa sudah kembali ligat menguruskan perniagaan. Tiada istilah penat lesu. Baginya waktu istirahat sudah berakhir dan kini beliau perlu fokus memastikan segalanya di atas landasan.
Energi yang dibawa cukup luar biasa, lincah dan profesional di studio menjadikan sesi fotografi kami berjalan lancar.
Berkelulusan BSc Biomedical Science (Hons) dari sebuah universiti swasta, minat Ainaa terhadap bidang pendidikan awal kanak-kanak bermula sejak menjadi guru tadika sebaik tamat SPM.
“Semuanya berlaku ketika saya berusia 17 tahun. Timbul rasa seronok apabila kanak-kanak memanggil saya dengan panggilan Teacher. Tapi tak lama kerana saya ambil keputusan untuk menyambung pengajian ke IPT dalam bidang lain.
Rezeki untuk bergelar Teacher datang sekali lagi apabila saya membuka cawangan Al Kauthar Eduqids (AKE) ke-20 di Bukit Jalil, pada tahun 2019. Dalam masa yang sama, saya dalami bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak dan terus jatuh cinta dengan dunia perniagaan baru ni.
Alhamdulillah, sambutan juga memberangsangkan, ia menjadi perangsang semangat saya untuk terus maju mengembangkan sayap cawangan,” ujar Ainaa membuka mukadimah.
Mula terlibat dengan perniagaan sejak di bangku universiti, Ainaa rupa-rupanya pernah menjalankan perniagaan kereta sewa pada tahun 2015.
“Dulu-dulu rakan universiti yang selalu meminjam kereta saya. Daripada situ, muncul peluang baru untuk mulakan perniagaan kereta sewa sendiri secara kecil-kecilan. Selepas graduated, saya kembangkan lagi perusahaan sehingga memiliki lebih daripada 20 buah kereta sewa dalam satu masa.”
Tambah Ainaa, banyak cabaran yang pernah dilalui antaranya kereta hampir dicuri, disorok, tidak dipulangkan serta bermacam-macam lagi ragam manusia yang menyewa kenderaan.
Semuanya dihadapi dengan sabar sepanjang menjalankan perniagaan kereta sewa tersebut. Namun Allah sebaik-baik Perancang, perniagaan tersebut akhirnya terkubur berikutan fasa PKP yang mengehadkan orang ramai untuk keluar dan menyewa kereta.
Penutupan operasi kereta sewa Ainaa berganti dengan kesibukannya sebagai pengusaha tadika dan taska.
“Pada awalnya, perniagaan ini mencabar juga kerana ia melibatkan tanggungjawab dan amanah daripada ibu bapa yang sangat besar untuk dipikul. Tapi walaupun saya tidak pernah menyertai mana-mana kelas ‘business coaching’, Pengasas dan CEO AKE iaitu Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff Ibrahim serta isteri Datin Nor Fadilah Alias banyak mengajar saya dari zero sehingga saya mampu memiliki lebih daripada 8 cawangan sekarang!” kongsi Ainaa.
Wanita ini bertuah kerana di AKE, pelbagai kursus dan latihan diberikan antaranya Leadership Training, Management Training serta bermacam-macam lagi latihan untuk memantapkan ilmu dan kemahiran pengusaha.
Biarpun hanya memiliki pengalaman minimum, segala ilmu perniagaan yang dicurahkan oleh pengasasnya cukup bermakna seterusnya membantu Ainaa sebagai pengusaha, menjalankan operasi taska dan tadikanya dengan lebih profesional.
Disebabkan minat dengan ilmu pengetahuan kanak-kanak, kini Ainaa mengambil peluang melanjutkan pelajaran di dalam bidang Perkembangan Kanak-Kanak. Beliau baru sahaja graduasi pada tahun 2023 dalam jurusan BA (Hons) Early Childhood Education.
Ditanya bagaimana perasaan Ainaa apabila cawangan miliknya mula berkembang maju, beliau dalam nada teruja bercerita dengan rasa tidak percaya. “Saya yakin inilah hikmah di sebalik musibah PKP. Mulanya saya hanya memiliki satu cawangan di Bukit Jalil.
Saya rasa tak percaya pada tahun 2020 dan dalam tempoh yang singkat, saya mampu memiliki cawangan kedua. Memang gembira yang amat dan saya bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT berikan kepada saya.
Tapi yang paling membanggakan adalah saya berjaya merealisasikan impian mentor saya, Datin Nor Fadilah untuk melahirkan guru-guru tadika yang berkualiti dan menjadi usahawan. Impian itu terlaksana apabila saya berjaya membuka cawangan baru untuk teacher-teacher saya bersama saya,” katanya dengan gembira.
Ads
Saksikan temu bual eksklusif bersama Ainaa sewaktu sesi fotografi baru-baru ini…
“Tapi yang paling membanggakan adalah saya berjaya merealisasikan impian mentor saya, Datin Nor Fadilah Alias untuk melahirkan guru tadika berkualiti dan menjadi usahawan,” luah wanita hebat yang jatuh cinta dengan bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak tersebut.
Bagi Ainaa, mengasuh dan mendidik kanak-kanak menuntut kesabaran serta kasih sayang dan minat yang tinggi. Energi luar biasanya menjadikan beliau penerima Nona Best Young Edupreneur Award dalam Nona Superwoman Award 2024 ✨
Dalam mana-mana perniagaan pasti ada ujian dan cabaran yang perlu ditempuhi. Bagi Ainaa, detik paling struggle adalah ketika dirinya berdepan ragam manusia. Umpamanya ragam kanak-kanak, guru tadika atau taska, ibu bapa dan orang sekeliling.
“Pada saya, guru-guru perlu sentiasa diberikan suntikan semangat, pengetahuan dan hala tuju yang jelas untuk memastikan mereka menjadi guru yang berdedikasi, bertauladan dan berpendidikan.
Ads
Dan cabaran apabila berhadapan dengan ibu bapa pula untuk mereka percaya dan memilih AKE sebagai tadika atau taska yang selamat sebagai pusat perkembangan awal kanak-kanak. Ini termasuklah dari segi silibus pembelajaran, program luar bersama ibu bapa serta sebagainya, yang berkaitan dengan anak-anak yang dihantar ke tempat kami.
It’s all about passion. Passion is energy and feel the power that comes from focusing on what excites you. Jadi pada saya, pengalaman mengasuh dan mendidik kanak-kanak memerlukan kesabaran serta kasih sayang disamping passion yang tinggi. Bahkan dalam mengasuh dan mendidik kanak-kanak, kita perlukan ilmu untuk memahami dunia mereka bagi memastikan perkembangan awal yang positif.
Minda yang cergas menjadikan kanak-kanak membesar dengan sihat dan kuat. Saya percaya gabungan ini pasti melahirkan pelapis generasi yang cemerlang,” kata Ainaa yang pernah menerima anugerah Best in Early Childhood Education Services oleh Malaysia Education & TVET Award 2024, baru-baru ini.
Mengakui bukan mudah untuk menguruskan masa bagi mengimbangi kerjaya, keluarga serta anak-anak, Ainaa mengungkap penghargaan tidak ternilai buat suami tercinta. “Suami saya banyak membantu dari belakang sepanjang saya menjalankan perniagaan.
Beliau banyak memberi nasihat dan kata-kata semangat agar saya tidak mudah berputus asa. Begitu juga guru-guru dan team saya, tanpa mereka belum tentu saya mampu untuk berjaya. Ada waktunya jika saya down atau penat, merekalah yang menjadi pembakar semangat agar terus berjuang bersama-sama. Tak lupa juga Dato’ dan Datin yang sentiasa memberi tunjuk ajar serta bimbingan kepada saya.
Biasanya saya sering mengimbangi masa dengan merancang waktu ‘me time’ sambil beriadah atau membuat kebajikan bersama keluarga. Selain itu juga, program-program AKE seperti hari sukan, konsert serta acara amal AKE Care turut memberi ruang untuk saya menghabiskan masa dengan keluarga dan anak-anak.
Alhamdulillah di AKE, kami sebagai pengusaha dapat sama-sama melakukan program kemasyarakatan atau kesukarelawanan. Hampir semua program anjuran AKE Care saya sertai dan yang paling melekat di fikiran adalah ketika kami bersahur dan berbuka puasa di perkampungan Orang Asli Pos Kuala Mu, Perak pada hujung minggu pertama bulan Ramadan,” ungkap Ainaa.
Mengakhiri temu bual, ibu muda ini berazam mahu melatih guru-guru di bawahnya agar mereka mampu menjadi rakan perniagaan dengan membuka tadika atau taska sendiri. Ainaa tekad ingin terus memberi panduan dan mengubah mindset mereka daripada seorang guru kepada usahawan. Berkat pengalaman dan pengetahuan yang mencukupi, pastinya impian yang direncana dapat direalisasikan, suatu hari nanti.
“Saya percaya superpower saya adalah kemampuan untuk beradaptasi dengan cepat dalam situasi yang berbeza. Saya sentiasa bersedia untuk belajar dan berkembang serta mendepani segala cabaran dengan positif. Selain itu, saya juga berusaha untuk menjadi sumber inspirasi bagi orang lain di sekeliling saya, terutamanya di kalangan guru-guru dengan menunjukkan bahawa kita semua memiliki potensi untuk berjaya. Yang penting, set your goal, mission and vision,” akhiri Ainaa yang menyifatkan setiap usahawan perlu ada team untuk bergelar Superwoman, kerana team yang kuat pasti dapat menempuhi segala halangan dengan mudah.
Sama cantik sama padan! Jumaat lepas telah berlangsungnya majlis perkahwinan gilang-gemilang keluarga diraja Brunei Darussalam. Seperti upacara perkahwinan sebelum ini, pernikahan Yang Amat Mulia (YAM) Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Yang Mulia (YM) Dayang Syafiqah Niqmatullah Amraan turut menarik perhatian rakyat di Malaysia.
Memetik laporan Borneo Bulletin, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Bersanding bagi Majlis Perkahwinan YAM Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar dan isteri.
Difahamkan, YAM Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar merupakan sepupu kepada Sultan Brunei. Istimewanya, makeup artist ternama negara iaitu Syed Faizal Syed Noh berpeluang mendandan pengantin perempuan dari majlis berbedak, upacara pernikahan, sanding, majlis ambil-ambilan dan resepsi. Memang cantik solekan Syed Faizal!
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Baitun Na’aim dijunjung oleh bonda dan ayahanda pengantin lelaki, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam binti Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Pasangan pengantin YAM Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar dengan YM Dayang Syafiqah Niqmatullah selamat diijab kabul pada Jumaat lalu tanggal 24 Jun 2022.
Upacara persandingan diadakan dalam suasana penuh adat dan mewah dengan pasangan mempelai mengenakan persalinan tradisional rona sedondon. Moga kasih sayang dan rumah tangga kedua-duanya berkekalan hingga ke syurga!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ini masa terbaik untuk anda mengambil kesempatan menghabiskan masa bersama anak-anak dan mungkin aktiviti yang boleh dilakukan ialah mengajar memasak. Alam kanak-kanak sentiasa dipenuhi oleh benda baru.
Ia suatu proses pembelajaran biarpun usianya baru setahun jagung. Jadi, sudah pasti banyak perkara yang mahu dicubanya termasuklah membantu ibunya memasak dan menyediakan hidangan di dapur.
Kerja dapur biasanya dilakukan oleh anak perempuan. Namun, peranan anda sebagai ibu amat penting bagi memantau keselamatannya. Panduan berikut boleh dimanfaatkan.
(a) Buat pemantauan
Pemantauan berterusan perlu dilakukan untuk menjaga keselamatan anak anda tidak kiralah anak anda itu sudah mahir di dapur atau tidak. Sentiasalah memerhati gerak gerinya ketika di dapur. Tegur dengan segera jika dia melakukan kesilapan.
(b) Tetapkan peraturan
Gunakan ayat yang ringkas dan mudah difahami untuk membuat peraturan keselamatan yang perlu diturutinya. Terangkan kepada anak semua peraturan itu. Jika anak anda enggan ikut peraturan, bermakna dia masih belum bersedia untuk bersama anda di dapur.
(c) Sesuaikan waktu
Bukan semua waktu memasak sesuai dilakukan bersama anak, lebih-lebih lagi jika anda berada di dalam keadaan yang tergesa-gesa. Mungkin anda tidak dapat memantau anak. Mungkin juga dia akan melakukan kesilapan hingga menyebabkan kecederaan dirinya. Pastikan suasana dapur dalam keadaan selesa semasa si kecil membantu anda di dapur.
(d) Penjelasan ringkas
Kanak-kanak hanya akan merasa seronok jika dapat membantu ibunya di dapur tanpa memikirkan bahaya yang mungkin dihadapinya. Jadi, sebelum memasak terangkan kepadanya akibat jika dia main-main atau tidak serius.
(e) Nilaikan kelayakan
Tidak semua anak kecil boleh dibenarkan berlegar bebas di dapur apatah lagi jika anda sedang memasak. Nilai sejauh mana anak anda dapat membantu anda di dapur. Jika dia masih terlalu kecil, sukar dipantau dan tidak betah duduk diam lebih baik jauhkan dia dari ruang dapur.
(f) Bantu dan ajar anak
Jika anak anda baru belajar menggunakan perkakasan dapur atau memotong bawang, bantunya terlebih dahulu. Peralatan seperti pisau membahayakan dirinya. Pemantauan daripada anda dapat mengelakkan kecederaan.
(g) Tugasan bersesuaian
Jika anda mahu memberikan sebarang tugasan kepadanya, lihat dahulu sejauh mana kebolehannya. Lihat kepada usia dan kemahiran yang ada padanya. Jika anak anda itu rendah daripada ketinggian dapur dan masih belum pandai menggunakan senduk, usahlah sesekali memintanya mengacau gulai di dapur.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Alahai, tengok gambar zaman kanak-kanaknya sahaja sudah jelas terserlah kecantikan asli milik Marian Rivera Gracia Dantes! Dikurniakan hidung yang mancung, sepasang mata cantik, bibir mungil dan kening cantik terukir sejak kecil, pesona aktres popular Filipina ini nyata memukau.
Raut wajah sempurna dan susuk tubuh langsing Marian mampu membuatkan peminat memandangnya berkali-kali. Tidak hairanlah ibu muda berusia 35 tahun tersebut dinobatkan sebagai selebriti wanita paling seksi di Filipina lebih daripada tiga kali.
Nama Marian mula bersinar di negara kelahirannya selepas kejayaan drama Marimar diikuti Dyesebel, Amaya dan Temptation of Wife. Selain berbakat dalam lakonan, selebriti berdarah keturunan Sepanyol ini juga rupa-rupanya memiliki bakat menyanyi. Sebelum ini Marian sudah menghasilkan dua album iaitu Marian Rivera Dance Hits dan Retro Crazy.
Lahir pada 12 Ogos 1984 di Madrid, Sepanyol… anak kepada Francisco Javier Gracia Alonso dan Amalia Revera ini mempunyai pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari De La Salle University Dasmarinas. Bapanya, Francisco ialah warganegara Sepanyol manakala ibunya pula Amalia ialah rakyat Filipina.
Di samping ayah tersayang ketika kecil
Disebabkan perkahwinan campur tersebut, Marian mampu bertutur dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Inggeris dan Tagalog. Beberapa tahun mencipta nama dalam industri seni Filipina, jelitawan ini akhirnya memutuskan untuk berkahwin dengan aktor kacak Filipina, Dingdong Dantes pada 30 Disember 2014. Berdasarkan populariti mereka berdua dan kejayaan masing-masing, perkahwinan mereka turut mendapat julukan The Royal Wedding di Filipina pada tahun berkenaan.
Hampir setahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan romantis ini dikurniakan anak perempuan comel iaitu Maria Letizia pada 23 November 2015. Empat tahun kemudian, rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata lelaki yang dinamakan Jose Sixto G. Dantes IV pada tanggal 16 April 2019.
Meskipun sudah bergelar ibu dua anak, Marian masih kekal menawan dan ramping. Anak perempuan sulungnya, Maria Letizia kini berusia lima tahun sementara anak kedua iaitu Jose Sixto G. Dantes IV dilahirkan pada 16 April 2019.
Sejak kelahiran Sixto, Marian dilihat selesa dengan penampilan lebih segar dan memilih potongan rambut pendek. Ternyata, ramai yang memuji imej baru tersebut. Pendek kata, apa sahaja fesyen yang digayakan selebriti kesayangan Filipina ini pasti disambut baik peminat setianya.
Berbekalkan bakat, wajah yang cantik dan personaliti menarik dimiliki Marian, aktres yang memiliki ketinggian 158 cm ini turut menjadi buruan syarikat pengiklanan yang mahu melantiknya sebagai duta atau penghias kempen pelbagai jenama mewah. Difahamkan sehingga tahun lepas, nilai kekayaan Marian dianggarkan mencecah USD 6 juta!
Selain aktif dengan aktiviti seni, Marian juga sebenarnya pengasas perniagaan bunga-bungaan segar Flora Vida by Marian. Ujarnya, bukan mudah untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga namun kerana tanggungjawab terhadap peminat dan anak anak serta suami dia tetap akan memastikan semuanya berjalan lancar.
“Pada mulanya memang agak sukar menguruskan keluarga dan kerjaya dalam satu-satu masa. Tapi apabila anda sudah dapat membezakan masa satu yang menjadi keutamaan, ia akan menjadi mudah.
Di samping menjaga keluarga, dalam masa sama saya juga akan memantau perniagaan yang diusahakan kerana kedua-duanya adalah penting bagi saya. Walau ada ketikanya susah, tapi saya mampu uruskan keluarga dan perniagaan dengan baik.”
Bagi merancakkan lagi perniagaan tersebut, pada 10 Jun lepas Marian telah melancarkan edisi terbaharu Flora Vida by Marian yang berkonsepkan dried bloom collection. Menariknya, dalam masa hanya 5 hari selepas ia dilancarkan, koleksi ini habis dijual! Sememangnya aura Marian cukup berbisa. Apa sahaja yang dijual mahupun dipromosikan pasti laris di pasaran. Patutlah ramai pengusaha dan syarikat berskala besar berebut-rebut menjadikan jelitawan Filipina ini sebagai duta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!