Nekad tinggalkan kerjaya stabil iaitu juru ukur tanah (surveyor) demi impian buka tadika sendiri, Raihana Rosdan kini miliki 8 cawangan Al Kauthar Eduqids.
Impiannya untuk mendirikan perniagaan sendiri bersama suami akhirnya berjaya direalisasikan. Dalam tempoh yang singkat, ibu anak tiga ini berjaya bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Aqesyra Eduqids Sdn Bhd dan mendirikan lapan buah cawangan Al Kauthar Eduqids, merangkumi program asuhan dan didikan awal kanak-kanak di sekitar Selangor.
Nampak lembut dari luaran namun di dalam sebenarnya sangat cekal dan bersemangat tinggi, Raihana membuktikan kemampuannya sebagai usahawan tadika dan taska. Berusia 39 tahun, wanita yang memiliki kelulusan Sarjana Pengurusan Pejabat (UiTM Shah Alam) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik (UTM Johor) itu tidak kesal beralih bidang meski awalnya mendalami ilmu berbeza.
Tiba ke studio ditemani suami tercinta, Mohammad Faazil, Raihana tenang bercerita permulaan minatnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. “Sebelum ni saya dah bekerja berbelas-belas tahun dalam bidang ukur tanah serta terlibat dalam pelbagai projek di tapak bina. Sampailah suatu hari, saya diuji dengan sakit dan terpaksa berhenti kerja.
Dalam tempoh dua bulan berehat di rumah, terdetik hati untuk mulakan perniagaan sendiri yang boleh memanfaatkan orang lain. Niat itu saya bincangkan dengan suami kerana kebetulan kami ada sebuah lot kedai milik keluarga di Setia Alam.
Kami pernah berkira-kira untuk mulakan bisnes kelengkapan Umrah dan Haji. Saya buat solat istikharah minta petunjuk Allah jika inilah lorong rezeki yang ditetapkan-Nya, saya akan usaha bersungguh-sungguh. Tak lama kemudian, saya hadiri satu majlis reunion sekolah dan di sanalah saya bertemu Pengasas dan CEO Al Kauthar Eduqids (AKE) iaitu Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff Ibrahim. Beliau berhasrat mahu kembangkan bisnes AKE yang ketika itu baru mempunyai tiga cawangan.
Hasil perbincangan, kami bersetuju untuk sama-sama mengembangkan AKE. Saya mula mendalami bidang pendidikan awal kanak-kanak dan jatuh hati dengan keindahan bisnes tersebut. Tahun 2018, lahirlah Aqesyra Eduqids Sdn Bhd milik kami suami isteri dengan tadika dan taska pertama di Setia Alam.
Alhamdulillah, rupanya doa saya termakbul mahu menubuhkan bisnes yang memanfaatkan masyarakat. Saya bersyukur kerana segala proses memulakan bisnes juga dipermudahkan,” cerita Raihana yang mendapat ilham nama ‘Aqesyra’ dari singkatan nama anak-anaknya iaitu Aqeef, Aisyah dan Ayra.
Menyedari hakikat bahawa berniaga adalah sunnah Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda yang menjadi ibadah, Raihana tekad meninggalkan kerjaya lamanya biarpun sudah stabil dan berjawatan tinggi. “Sampai satu tahap sebagai wanita, saya fikir sampai bila mahu bekerja dalam site? Bekerja di tapak bina, kerja saya bukan di dalam pejabat tapi outdoor. Terpaksa tinggalkan anak-anak seawal pagi, keluar-masuk site dan proses data sampai ke larut malam.
Suami pula seorang kontraktor G7 dan sentiasa di tapak pembinaan. Dia pun cukup sibuk dengan kerja sehinggakan anak-anak kami tiada penjagaan yang sepatutnya. Jadi inilah yang mendorong kami suami isteri berniaga, satu kerana sunnah Nabi dan satu lagi kerana mencari keberkatan dalam famili,” ujar Raihana dengan lembut.
Ads
Lembut bicaranya namun tangkas berfikir dan bertindak sebagai usahawan, ikuti temu bual vodcast Nona bersama Raihana Rosdan ketika sesi fotografi Nona Superwoman Award baru-baru ini…
Nekad meninggalkan kerjaya ukur tanah (surveyor) demi impian mahu menubuhkan perniagaan sendiri dengan suami, Raihana Rosdan kini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Aqesyra Eduqids Sdn Bhd.
Dalam tempoh yang singkat, ibu anak tiga dan isteri kepada Mohammad Faazil ini berjaya mendirikan lapan buah tadika serta taska cawangan Al Kauthar Eduqids, merangkumi program asuhan dan didikan awal kanak-kanak di sekitar Selangor. Kegigihan beliau mendapat pengiktirafan Nona Best Edupreneur Award dalam Nona Superwoman Award 2024 ✨
Tidak pernah mendalami mana-mana ilmu keusahawanan selain latihan yang dipimpin Pengasas Bersama Al Kauthar Eduqids, Datin Nor Fadilah Alias dan business coaching oleh Dato’ Bakhtiar, Raihana beruntung kerana berkat pendidikan akademik dan pengalaman lalunya sangat membantu untuk menguruskan perniagaan pendidikan awal kanak-kanak swasta, prasekolah serta taska berkonsep Montessori Islamik.
Ads
“Dulu waktu mula-mula buka tadika, setiap malam saya akan tengok YouTube untuk dalami ilmu Montessori. Rasa semangat untuk belajar dan kaji kebaikan sesuatu aktiviti untuk perkembangan minda kanak-kanak. Ditambah lagi dengan penambahbaikan oleh Dato’ Bakhtiar dan Datin Nor Fadilah, kursus-kursus dan sebagainya, langkah saya dalam bisnes ini semakin mara ke depan.
Sejak ditubuhkan enam tahun lepas, tadika AKE di bawah Aqesyra Eduqids Sdn Bhd sudah berkembang sebanyak lapan cawangan. Saya yakin apabila lebih banyak tadika dibuka, bermakna saya dapat bagi lebih banyak manfaat kepada orang lain. Umpamanya kepada ibu bapa dan anak-anak di kawasan setempat serta peluang pekerjaan kepada guru-guru yang mengajar. Ada rezeki tersendiri di setiap tempat baharu yang dibuka.
Tiga daripada tadika Aqesyra Eduqids Sdn Bhd juga adalah milikan bersama dengan bekas guru di tempat saya dulu. Saya tumpang bangga melihat pencapaian guru-guru ini yang akhirnya mampu memiliki tadika sendiri berkat pengalaman bekerja dengan saya. Ia sesuatu yang mengharukan apabila melihat kejayaan mereka.”
Menyifatkan musim pandemik sebagai detik paling sukar sepanjang berniaga, Raihana mengimbau semula kejutan yang dialami apabila tadikanya kosong tanpa penghuni. “Terkejut sangat masa tu kerana niche of business tadika dan taska ini adalah servis secara bersemuka. Dalam erti kata lain, jika ibu bapa tak menghantar anak-anak mereka, maka tiadalah bayaran yuran untuk kami.
Dengan inisiatif sendiri, pada awalnya saya dan team saya tekad adakan program membaca dan mengaji kepada anak-anak secara online dirumah. Kemudian, kami mula sediakan bahan mengajar yang diberikan oleh pihak AKE di sekolah dan kemudian hantar ke rumah. Dari situ kami akan adakan sesi online dengan anak-anak di bawah pantauan ibu bapa untuk bersama melaksanakan projek yang dibuat oleh anak mereka.
Usaha ini berhasil apabila banyak ibu bapa pada masa itu tetap membayar yuran meskipun tidak sepenuhnya. Namun fasa pandemik itu banyak mengajar saya tentang struggle ibu bapa bekerja dan dalam masa yang sama perlu menjaga anak di rumah. Sesungguhnya bukan mudah terutama sekali bagi yang mempunyai anak-anak berusia enam tahun ke bawah. Bayangkanlah, saya sendiri bergelut untuk uruskan sesi PDPR anak sambil buat bisnes!
Mujurlah kebanyakan ibu bapa di tadika saya merupakan frontliners. Mereka memang mengharapkan taska dibuka untuk menghantar anak dan keluar bekerja. Selepas mendapat kelulusan kerajaan, kami teruskan operasi bisnes seperti biasa dalam fasa pandemik,” kata Raihana sambil tersenyum mengimbau kenangan tersebut.
Bercakap tentang pencapaian terbaik Raihana sepanjang mengusahakan tadika dan taska AKE, wanita hebat itu menyifatkan kejayaan anak-anak didiknya pandai membaca, menulis, mengira dan menghafal surah-surah lazim sebagai satu momen paling membanggakan. “Satu lagi kejayaan apabila guru-guru saya berjaya menjadi rakan kongsi membuka cawangan tadika yang baru. Selain itu, kami juga pernah menerima anugerah Outstanding Preschool & Playschool (Selangor) daripada Malaysia Education & TVET Awards 2024. Semua ini menjadi the best moments in my life!”
Selain berniaga, Raihana tidak lupa memberi semula kepada masyarakat melalui sumbangannya dalam aktiviti kebajikan. Beliau sebagai Bendahari di AKE Care, banyak turun padang menyertai program amal AKE umpamanya menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa di Sri Muda dan Padang Jawa, Shah Alam lewat bencana banjir 2022.
Pernah juga mereka menyalurkan sumbangan melalui program kemasyarakatan di penempatan Orang Asli Kuala Mu di Perak, selain Raihana sendiri terlibat secara aktif dalam Pertubuhan Pembangunan Kanak-Kanak Istimewa Malaysia (PPKIM) untuk menyebarkan kesedaran terhadap kanak-kanak berkeperluan khas.
“Tulang belakang kekuatan saya adalah suami dan team yang banyak membantu. Dari segi inspirasi menjalankan bisnes tadika, sudah tentulah Datin Nor Fadilah kerana minat mendalam beliau untuk memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak ke tahap tertinggi. Kalau dalam Islam pula, saya menjadikan isteri Rasulullah SAW iaitu Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid RA sebagai idola usahawan wanita.
Sejujurnya sebagai pengusaha tadika dan taska, tiada istilah Sabtu atau Ahad kerana kami sentiasa sibuk dengan pelbagai program. Cuma kadangkala dapatlah saya bawa anak-anak iaitu Aqeef, Aisyah dan Ayra ke tadika untuk tunjuk apa yang Mama dan Papa buat setiap hari. Dan kalau ada cuti sekolah, kami selalunya akan pergi berjalan untuk ‘our we-time’.
Meskipun memakai pelbagai topi kehidupan, saya tetap memilih untuk duduk rumah, kalau tidak menonton video untuk belajar saya akan membaca buku sebagai terapi ‘me-time’ yang paling berkesan. Saya perlukan waktu sunyi atau ‘quiet time’ saya walau setengah jam untuk diri sendiri,” jelas Raihana yang menggemari buku-buku berunsurkan motivasi.
Mengakhiri temu bual, Raihana menyatakan harapannya untuk melihat lebih ramai guru-guru di bawah kendaliannya memiliki tadika sendiri. Beliau juga berhasrat meningkatkan lagi mutu dan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia agar berkembang pesat, bahkan membuka peluang agar lebih ramai wanita untuk menyertai perniagaan ini.
Keberanian Aliza Ali membawa masuk jenama Chatime ke pasaran Malaysia kira-kira 14 tahun lalu sememangnya wajar diberi pujian. Kewujudan minuman bubble tea berasal dari Taiwan tersebut ke pasaran negara ini bukan hanya satu bentuk pelaburan menguntungkan. Malah berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam industri makanan dan minuman (F&B) tanah air.
Chatime ialah rantaian francais kedai teh terbesar di dunia yang berpangkalan di Taiwan dan Aliza merupakan Pemegang Lesen Induk serta Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia. Sepanjang lebih sedekad mengemudi syarikat makanan dan minuman berkenaan, anak jati kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini menempa pelbagai kejayaan dan pengiktirafan di dalam dan luar negara.
Dianugerahkan Nona F&B Business Award 2024, Aliza tanpa berselindung menjelaskan perjalanan beliau sebagai usahawan bermula dari bawah dan bukan berasal dari keluarga yang mempunyai latar belakang perniagaan.
CHATIME, EMPAYAR KEBANGGAAN ALIZA ALI
“Saya dibesarkan di Kuala Pilah sampai usia 11 tahun. Kemudian, keluarga berpindah ke luar Negeri Sembilan dan seterusnya menetap di Kuala Lumpur. Mengusahakan perniagaan memang menjadi impian saya. Disebabkan itu, saya tak kisah melibatkan diri dalam apa jua bidang sekalipun asalkan ia saya dapat berniaga.
Tak ada dalam kalangan ahli keluarga saya yang menceburi bisnes. Hanya saya seorang saja. Sebelum mula perniagaan F&B ini saya juga pernah cuba banyak benda lain. Saya pernah timba pengalaman dalam bisnes melibatkan pembinaan. Bahkan saya juga pernah jual produk usahawan lain hanya untuk memahami bagaimana proses perniagaan itu berlaku.
Saya tidak meletakkan minat bisnes terhadap satu-satu produk semata-mata atau kena buat perniagaan F&B saja. Saya terbuka untuk menjalankan apa juga bisnes lain. Cuma bila mengusahakan Chatime dan lihat potensi perniagaan ini yang semakin berkembang maju, saya terpaksa buat keputusan ketepikan bisnes lain untuk fokus kepada hanya satu benda.
Tak boleh bagi tumpuan kalau terlampau banyak sangat buat cabang bisnes. Lebih-lebih lagi kalau nak ia berkembang lebih besar. Saya percaya untuk fokus kepada satu bisnes saja dan tinggalkan bisnes yang lain untuk fokus dengan Chatime.”
Ujar graduan Kejuruteraan Kimia dari Imperial College London ini, mengendalikan empayar Chatime banyak mengajarnya tentang selok-belok dunia perniagaan dan menghidangkan pelbagai prospek untuk beliau meneroka peluang di peringkat global.
Mengimbas kembali momen pembukaan cawangan pertama Chatime di Genting Highlands pada tahun 2010, detik berkenaan sentiasa terpahat segar di ingatan Aliza. Beliau sama sekali tidak menyangka menerima sambutan luar biasa daripada pelanggan dari segenap lapisan umur dan bangsa.
“Saya ingat lagi waktu itu tengah bulan puasa. Tak jangkakan apa-apa pun masa pembukaan outlet pertama di Genting sebab pada tahun 2010 kebanyakan yang datang ke sana ialah mereka yang berbangsa Cina kerana ada banyak pusat hiburan. Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada pihak pengurusan pusat beli-belah di Genting yang minta saya segera datang kerana ada masalah.
Berdebar-debar hati saya fikir apa yang dah jadi. Lagipun baru pertama kali buka outlet. Tiba saja di sana, saya terkejut tengok pelanggan beratur panjang nak beli minuman Chatime. Sampai lif-lif di depan kedai kami terpaksa ditutup sebab tak boleh masuk dan ramai orang. Itulah satu-satunya masalah yang saya sangat gembira dengar,” imbau Aliza sambil ketawa.
CABARAN
Sepanjang mengusahakan Chatime selama lebih sedekad, Aliza kini mampu tersenyum bangga apabila perniagaan tersebut sudah pun memiliki 130 buah cawangan di seluruh negara.
“Saya bermula dari bawah dan zero sama seperti orang lain. Faktor modal dan funding menjadi salah satu cabaran utama untuk majukan bisnes. Terutama sekali bila kita mahu buka banyak kedai. Bayangkan, satu kedai saja kena keluarkan modal sebanyak RM400,000. Kalau mahu buka 100 kedai sudah tentu melibatkan banyak wang.
Ditambah pula orang nampak saya ini seorang wanita muda lagi dan baru start company, jadi tak ramai orang lagi yang percaya dengan apa yang saya mampu buat ketika itu. Mereka mahu melabur dalam syarikat saya pun, mereka kurang yakin.
Those are the things that I faced. Tapi sekiranya kita sangat passionate about it, semua itu tak rasa susah sangat. Kalau kita betul-betul nak buat, insyaAllah benda itu boleh jadi kenyataan.”
Sedar kehendak dan selera pelanggan yang kian berubah-ubah, Aliza Ali rancak melakukan eksperimen dan inovasi demi memenuhi cita rasa khalayak.
“Kebanyakan orang sekarang lebih suka alternatif untuk dairy milk. Tambahan pula, orang Asia ramai yang mengalami lactose intolerance atau mengalami sakit perut atau ketidakselesaan pada perut selepas minum susu atau makanan berasaskan tenusu. Di Chatime, saya dapati pelanggan sekarang lebih memilih minuman yang ada oat milk dan tak mahu lagi minum susu lembu.”
Mengambil serius situasi tersebut, Aliza teruja menghasilkan satu produk jenama baharu berasaskan susu bijirin oat.
“Kami baru saja mula dengan jenama baharu yang menjadi produk susu berjenis oat milk pertama Malaysia iaitu OATING. Produk jenama ini akan ada di kebanyakan industri F&B macam Chatime dan beberapa jenama F&B lain. Buat permulaan, ia akan memasuki pasaran Malaysia dan Indonesia dalam Quarter 1 tahun 2025.
Dalam masa setahun yang lepas, saya banyak buat research untuk kenal pasti bisnes apa yang saya nak buat lagi pada masa akan datang. Saya dah menjalankan Chatime selama 14 tahun dan mungkin inilah masa untuk move on daripada bubble tea kepada bisnes yang lebih membawa makna lagi. Antaranya memberi fokus kepada produk lactose intolerance yang lebih berfaedah kepada kesihatan pengguna,” telus Aliza mengenai strategi perniagaannya kelak.
INSPIRASI
Atas pencapaian membanggakan sebagai usahawan, Aliza Ali melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama Malaysia dijemput sebagai penyampai di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) 2023 di samping tokoh usahawan wanita dari China.
“Saya sangat terkejut apabila dijemput untuk berada di situ bersama seorang wanita yang juga usahawan berjaya, Joey Wat. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Yum China yang mempunyai cawangan F&B terbesar di China.
Walau syarikat saya tidaklah segah syarikat Yum China yang bernilai berbilion-bilion Dolar, tapi mereka kagum dengan kejayaan kami yang menjadi salah sebuah syarikat Asia Tenggara yang bermula daripada zero tapi boleh berjaya dan tersenarai dalam Bursa Saham.”
Menyentuh sumber inspirasi yang menjadi kekuatan Aliza dalam kehidupan dan perniagaan, tanpa berfikir panjang nama Allahyarham ibu tersayang iaitu Fuziah Yusof meniti di bibir anak kelapan daripada sembilan adik-beradik ini.
“Allahyarham ibu saya meninggal dunia pada tahun ini ketika berusia 79 tahun. Bagi saya, beliau besarkan kami adik-beradik daripada bukan sesiapa menjadi orang berjaya. Saya ingat lagi momen bila kawan-kawan arwah ibu tanya pekerjaan saya, dia jawab saya jual air. Jadi ramai kawan-kawannya ingat saya jual air di pasar malam dan beliau tak betulkan pun sampai akhir hayatnya,” ulas Aliza.
“I learned that she was just very humble. Tiada apa pun yang mengubah peribadi dirinya dari dulu sampai beliau meninggal dunia dan itulah yang memberi saya inspirasi untuk menjadi sepertinya. Arwah selalu percaya dengan apa saja yang saya buat. Tak pernah paksa saya belajar tapi selalu percaya saya akan jadi orang berjaya. Saya tahu yang beliau selalu mendoakan kejayaan saya.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Aliza Ali turut menitipkan kata-kata semangat ini buat golongan wanita.
“Kebanyakan wanita rasa dia berdepan banyak kekangan dari segi masa, pekerjaan dan sebagainya. Saya selalu tekankan kepada staf bahawa tiada orang yang boleh bagi anda kekangan melainkan ia datang daripada mentaliti anda sendiri. Kalau anda rasa anda boleh jadi hebat, percayalah anak boleh jadi hebat.
Dengan peluang dan teknologi hari ini anda boleh berjaya walaupun tanpa ada staf dan tanpa menggunakan duit yang banyak. Kita kena ada perasaan ‘lapar’ untuk belajar dan berjaya. Selalu percaya pada diri dan rebut peluang yang ada di depan mata. Saya yakin semua orang boleh berjaya dan tidak wujud istilah lambat untuk memulakan sesuatu perniagaan dari sekarang.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seorang usahawan perlu kreatif kerana kreativiti adalah elemen penting dalam membezakan perniagaan daripada pesaing. Antara usahawan yang mempunyai tahap kreativiti yang tinggi dalam menarik tumpuan pelanggan ialah Dato’ Seri Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman.
Bukan sekadar usahawan biasa, beliau menjadi simbol ketabahan, keberanian, dan kreativiti usahawan wanita dalam dunia perniagaan.
Dengan pendekatan luar biasa yang sering mencuri perhatian, Dato’ Seri Vida membuktikan bahawa untuk berjaya, seseorang harus berani untuk menjadi unik dan tidak takut mengambil risiko.
Melalui Vida Beauty yang terkenal dengan produk seperti Pamoga dan Qu Puteh, Dato’ Seri Vida atau lebih mesra dikenali sebagai DSV telah meluaskan empayarnya sehingga ke tahap antarabangsa. Walaupun berdepan pelbagai rintangan dan kritikan, kejayaan beliau berdiri sebagai inspirasi kepada ramai usahawan tempatan.
Di sebalik beberapa siri kejayaan, DSV merupakan seorang ibu yang sangat penyayang. Keluarga merupakan tunggak utama kekuatannya di mana anak-anak menjadi penggerak untuk beliau terus berusaha. Cik B dan Kacak, sering menjadi sebahagian daripada hidupnya yang dipaparkan di media sosial, menunjukkan sisi lain yang lebih peribadi dari seorang wanita yang kelihatan kuat di mata umum.
“Saya sentiasa menekankan nilai kerja keras dan keazaman pada Cik B dan Kacak agar mereka memahami betapa pentingnya usaha untuk berjaya dalam hidup. Darah usahawan sememangnya mengalir dan sebati dalam diri dua beradik ini sehingga mereka mampu mengusahakan perniagaan sendiri dan meraih pendapatan mencecah jutaan ringgit.
Erti Berdikari
Sebagai ibu, saya beri dorongan untuk mereka membina keyakinan diri, selebihnya saya serahkan untuk mereka belajar selok-belok perniagaan,” ujar DSV yang sangat gigih berusaha mengukuhkan lagi jenamanya. Cik B, atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, telah mengasaskan perniagaan makanan ringan yang dikenali sebagai Salmon Skin Salted Egg di mana ia mendapat sambutan hangat di pasaran.
“Walaupun Cik B dan Kacak telah ‘memegang duit sendiri’, saya tetap mementingkan pendidikan untuk anak-anak. Baru-baru ini, Cik B telah mengambil langkah besar dalam pendidikannya dengan melanjutkan pelajaran ke Sepanyol. Dia kini mengikuti pengajian dalam tiga bidang berbeza iaitu Bahasa Sepanyol, perniagaan dan kulinari di sebuah kolej di Barcelona.
Pengajian Cik B di Sepanyol dijadualkan berlangsung selama setahun, dengan perancangan untuk meneruskan ke peringkat ijazah. Perbelanjaan bagi pengajian dan kos sara hidup di sana dianggarkan sekitar RM500,000 sebulan, termasuk kos penginapan, makan dan minum,” ujar DSV yang turut menemani Cik B ke Sepanyol pada November lalu untuk memastikan segala persiapan berjalan lancar.
Dato’ Seri Vida turut dilihat terlibat sama dalam sesi pembentangan dalam kelas bersama Cik . Usahawan terkenal ini mendedahkan bahawa dia kini menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan dan Perniagaan di London Examination Board.
Menurut Vida atau Hasmiza Othman, 54, sejak menyambung pengajian untuk tempoh setahun, dia banyak belajar mengenai perkara baru terutamanya dalam bidang pemasaran.
Alhamdulilah sangat seronok menuntut ilmu di sini, banyak belajar perkara baru tentang ilmu perniagaan dan pemasaran.
“Malah sejak sambung belajar saya rasa lebih segar dan muda! Saya ambil jurusan pengurusan dan perniagaan, untuk master setahun dan selepas ini akan sambung buat PhD pula,” katanya.
Meskipun pernah menerima pelbagai kritikan, terutama dari segi perbelanjaan dan cara beliau mempamerkan kemewahan melalui perhiasan barang kemas serta tas tangan yang dipadankan dengan penampilannya, beliau tetap teguh dan tidak tergugat dengan komen negatif.
“Setiap kontroversi adalah peluang untuk membuktikan bahawa diri saya seorang yang tahan diuji dan mampu bangkit lebih kuat daripada sebelumnya. Itulah antara semangat Superwoman yang perlu ada dalam diri setiap wanita!” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai Nona Superwoman Award 2024 yang turut mengiktiraf siri kejayaannya, DSV menganggap ia merupakan satu pencapaian besar dalam hidupnya.
“Pengiktirafan ini dianggap sangat bermakna kerana ia mengangkat dan meraikan dedikasi serta pengorbanan yang telah saya lakukan sepanjang perjalanan hidup dan kerjaya. Saya mahu berkongsi inspirasi bersama wanita lain untuk bangkit dan berani merealisasikan impian mereka,” ujarnya yang sentiasa bersemangat untuk memperbaiki kelemahan diri.
Selain itu, beliau meletakkan anugerah ini adalah simbol semangat wanita yang tidak pernah pudar dan membuktikan bahawa wanita boleh menjadi kuat, berani dan berjaya tanpa perlu mengorbankan identiti unik mereka. DSV turut mengajak wanita di luar sana untuk sentiasa percaya pada kebolehan diri.
“Jangan takut untuk bermimpi besar,” pesannya. Bagi beliau, setiap wanita mempunyai potensi yang luar biasa dan dengan usaha yang gigih serta keyakinan, kejayaan pasti akan datang.”-DSV
Sebelum mengakhiri pertemuan empat mata bersama penulis, DSV sempat berpesan kepada wanita yang baharu berjinak dalam dunia perniagaan untuk lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil dalam perniagaan.
“Pengalaman-pengalaman ini telah mematangkan saya, menjadikan saya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil. Saya buktikan bahawa setiap kontroversi boleh menjadi batu loncatan untuk mencapai kematangan dan kejayaan yang lebih besar dalam dunia perniagaan,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keinginan untuk mengubah nasib hidup dan menjana ekonomi dengan lebih baik adalah motivasi utama Noriey Bahar dalam memulakan perniagaan. Bermula dengan sekecil kecil modal, beliau terus mengorak langkah dalam bisnes seterusnya mula membina jenama PinkandBelle, yang kini membantu orang lain mencapai kulit yang lebih sihat dan cerah.
Membuka bicara mengenai jenama yang diusahakan, Sharifah Nori Bahar atau mesra disapa Noriey Bahar akui asam garam dilalui dalam kehidupan peribadi membuka ruang untuk dirinya bertapak dalam bidang kecantikan dan keusahawanan. “Saya pernah berhadapan dengan masalah kulit yang teruk seperti ekzema dan sunburn yang teruk.”
Pada ketika itu, kebanyakan produk tempatan lebih memberi tumpuan kepada penjagaan wajah, dan hanya sedikit yang memfokuskan kepada penjagaan kulit badan. Dari pengalaman peribadi ini, Noriey menyedari perlunya produk yang khusus untuk menyelesaikan masalah kulit badan. Selepas melakukan kajian menyeluruh mengenai formulasi terbaik, dia melancarkan produk di bawah jenama PinkandBelle, yang bertujuan membantu individu lain mendapatkan kulit badan yang sihat dan cerah.
Memulakan jenama ini dengan matlamat untuk membantu wanita menangani cabaran penjagaan kulit, berjaya mencipta jenama kecantikan yang bukan sahaja diminati dan dipercayai ramai tetapi juga memperoleh pengiktirafan industri.
“Saya dahulu bermula sebagai seorang mak andam. Orang tak panggil saya Noriey Bahar, tapi Noriey Bridal. Bermula dari situ, saya mengenal pasti masalah-masalah utama dihadapi bakal pengantin seperti tona kulit tak sekata dan sebagainya. Lalu, saya membuat keputusan untuk mendalami ilmu kosmetik serta kecantikan dengan menjual produk orang.
Dengan hasil jualan yang memberangsangkan, saya membuat keputusan untuk mengeluarkan produk sendiri pada tahun 2020, dengan formulasi lebih unggul untuk produk penjagaan tubuh dan kulit. Dan alhamdulillah, produk PinkandBelle kini sudah mendapat kelulusan SIRIM serta KKM,” jelas ibu kepada dua orang cahaya mata ini.
Namun siapa menyangka, di sebalik perjalanan dirinya menembusi cabang perniagaan, Noriey Bahar pernah berhadapan dengan pilihan sukar. Memiliki kelulusan diploma dalam perniagaan malah pernah ditawarkan jawatan dalam bidang sumber manusia, namun terpaksa menolaknya ke tepi demi impian membina keluarga sendiri, lantas membuka pintu rezeki baru buat dirinya menjana pendapatan dan mengubah nasib diri dan keluarga.
“Saya menjadi ibu pada usia yang agak muda, pun begitu saya enggan dilabel sekadar seorang isteri dan ibu di rumah. Saya percaya seorang suri rumah juga boleh berjaya dan membantu membesarkan keluarga dengan berbisnes, dan itu yang saya lakukan.”
Mengakui selok-belok perniagaan tidak semudah yang disangka, Noriey meminjam semangat arwah bapa yang mahu dirinya berjaya dalam berniaga. “Dulu niat nak sambung pengajian dalam ijazah, tetapi ayah pula tidak sihat. Lalu saya membuat keputusan tidak lagi menyambung pelajaran demi menjaga kebajikan ayah memandangkan saya seorang saja anak perempuan. Selepas ayah pergi, kemudian adik pula menyusul memberikan saya semangat untuk berhadapan dengan apa jua rintangan, baik bisnes mahupun kehidupan.”
Berbekalkan RM200 yang diberikan suami tercinta, Noriey dilihat berjaya meluaskan empayar perniagaannya, dan tidak sampai lima tahun penubuhan, PinkandBelle kini diiktiraf dengan pelbagai anugerah, antaranya The Best Market Development Award dan Superbrand Malaysian Choice Award. Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kualiti produk PinkandBelle, tetapi juga usaha gigih Noriey Bahar dalam mengukuhkan jenama ini sebagai pilihan utama dalam kalangan wanita Malaysia.
Noriey turut percaya bahawa setiap wanita berhak untuk kelihatan cantik dan merasa yakin dengan diri mereka sendiri. Oleh itu, visi dirinya untuk PinkandBelle adalah untuk menyediakan rangkaian produk kecantikan yang boleh digunakan oleh semua wanita tanpa mengira jenis kulit.
Dengan falsafah ini, Noriey boleh berbangga dengan pencapaiannya mencipta produk asli tanpa bahan kimia berbahaya, serta diformulasikan untuk mencapai hasil yang boleh dilihat dalam masa singkat untuk wanita yang ingin menjaga kecantikan mereka sambil memastikan kulit kekal sihat dan berseri.
Noriey juga kerap kali menekankan bahawa kejayaan produk PinkandBelle bukan hanya bergantung pada keberkesanan produk, tetapi juga kepada kepuasan pelanggan. Sebagai ‘ketua kapal’ dalam PinkandBelle, pelanggan yang gembira adalah pencapaian yang tidak ternilai dan menjadi motivasi utama beliau untuk terus berinovasi dan mengembangkan jenama ini dengan sokongan PinkandBelle Squad yang menjadi tulang belakang kejayaannya hari ini.
Kewujudan dan kejayaan PinkandBelle bukan sahaja bergantung pada dirinya sebagai seorang founder tetapi juga pada kekuatan pasukannya.
“Saya seboleh-bolehnya ingin memastikan setiap team dalam PinkandBelle mendapat latihan sewajarnya dalam memahami nilai-nilai syarikat dan visi jenama tersebut. Pasukan saya adalah aset penting dalam memastikan operasi berjalan lancar dan produk berkualiti tinggi sentiasa tersedia untuk pelanggan. Malah saya cukup berpegang teguh dengan nasihat ibu saya yang menasihati saya untuk menjadi manfaat bukan pada diri sendiri namun pada orang sekeliling.”
Menguruskan perniagaan diiringi jatuh bangun dalam perniagaan, Noriey akui tidak mudah namun percaya itu adat dalam berniaga. Memahami perniagaan kecantikan memerlukan kesabaran dan inovasi yang berterusan, Noriey tidak terlepas berdepan cabaran keperluan untuk bersaing dalam industri yang kompetitif dan memastikan perniagaannya kekal relevan.
“Sebagai pengasas produk, saya perlu bijak dalam mencari solusi untuk memperbaiki produk yang sedia ada dan mencipta produk baru yang memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai. Dengan teknologi moden, komunikasi dengan pelanggan serta mengumpul maklum balas dalam pembangunan produk adalah salah satu cara bagi mengembangkan perniagaan ini,” jelas Noriey sambil mendedahkan Queen Booster Whitening Cream menjadi salah satu produk hot seller jenamanya.
Noriey Bahar adalah inspirasi buat wanita yang ingin menceburi bidang keusahawanan. Melalui PinkandBelle, dia telah membuktikan bahawa dengan kesungguhan dan komitmen, setiap wanita mampu mencapai impian mereka. Jadi, apa agaknya kata-kata nasihat Noriey untuk semua wanita di luar sana yang ingin terjun dalam bidang perniagaan?
“Kita harus berani memulakan langkah, serta kena yakin dan percayakan diri. Jika saya tak berbuat demikian dahulu, saya tak rasa PinkandBelle wujud seperti sekarang. Terus bekerja keras dan konsisten dengan apa jua yang dilakukan. Dan yang paling penting, jangan sekadar ingin mengejar keuntungan semata-mata. Memang bisnes nak untung tapi kualiti produk harus dijaga,” akhiri Noriey Bahar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap anak pasti menjadikan ibu mereka sebagai sosok inspirasi dalam kehidupan. Tidak terkecuali, Lisdawati Nazaruddin yang mengagumi dan menghargai jasa ratu hati kesayangan hingga ke saat ini ...