Obsessive-compulsive disorder (OCD) ialah sejenis penyakit kecelaruan mental, yang timbul disebabkan kewujudan pemikiran-pemikiran yang menghasilkan kebimbangan. Kebimbangan itu kemudiannya menuntut tindak balas yang berulang-ulang bertujuan mengurangkannya. Atau dengan kata lain, penyakit ini adalah gabungan pemikiran ketaasuban (obsession) dalam perlakuan, dan sikap ke atasnya (compulsion) yang berulang-ulang.

IKLAN

Tanda-tanda kecelaruan yang membimbangkan ini wujud pada perkara ringan seperti membasuh tangan berulang-ulang. Selain kelakuan, pesakit-pesakit OCD mungkin kadangkala nampak tidak waras dan kurang siuman, bahkan mereka kerap kali percaya bahawa pemikiran dan tindakan susulan sesuatu perkara yang dilakukan sebagai tidak wajar, dan mereka akan berasa lebih tertekan selepas menyedari perkara tersebut.

Ketaasuban fikiran OCD terbahagi kepada:

a) Waswas

b) Kebersihan

c) Kewaspadaan (melakukan sesuatu dengan perlahan)

Kebiasaannya penghidap juga akan menghadapi simptom-simptom seperti kemurungan, sedih, kurang selesa, cepat letih, penurunan berat badan, cepat marah dan tidak menghiraukan aspek pengurusan diri seperti kebersihan atau kecantikan. Simptom OCD akan menjadi lebih teruk jika penghidapnya menghadapi masalah dalam kehidupan seharian. Bagaimanapun, sekiranya masalah yang dihadapi berjaya diatasi dengan baik, simptom-simptom ini akan berkurangan.

Risiko bergantung kepada:

  1. Genetik keturunan – Risiko tinggi kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidapinya.
  2. Konflik – Masalah hidup seperti kerja, rumah tangga dan sebagainya.
  3. Personaliti penghidap – Terlalu berhati-hati, cerewet, terlalu patuh pada peraturan.
  4. Pengalaman lalu – Kemalangan ngeri yang menimbulkan fobia dan seterusnya OCD.
  5. Masalah organ dan saraf – Kecederaan di bahagian tertentu otak. Masalah saraf seperti meningitis dan enkefalitis juga boleh menjadi punca.

IKLAN

PENYEBAB BIOLOGI

OCD dikatakan berpunca daripada ketidaknormalan paras serotonin dalam otak. Serotonin berperanan mengawal perasaan kurang senang atau perkara-perkara yang menimbulkan gangguan. Pesakit OCD menghadapi masalah di mana reseptor serotonin kurang dirangsang. Mereka diberikan ubat SSRi (English-selective serotonin reuptake inhibitor) untuk meningkatkan paras serotonin.

Keputusan penyelidikan terbaru pula menyatakan bahawa mutasi juga boleh menyebabkan OCD. Penyelidikan yang dibiayai oleh Institut Kesihatan Kebangsaan (AS), menyatakan terdapat mutasi pada gen pengangkutan serotonin manusia yang menghidap OCD. Namun, penyelidikan lanjut dalam aspek-aspek yang lain masih dijalankan dan keputusannya masih dalam perbincangan. Terdapat berbagai-bagai lagi punca OCD yang masih dalam penyelidikan para saintis dan masih belum dipastikan lagi akan kesahihan keputusannya.

IKLAN

RAWATAN

Dalam proses soal selidik, doktor akan mengambil kira latar belakang dan sejarah pesakit termasuklah:

  • Tempoh berlakunya masalah tersebut.
  • Punca sebenar tercetusnya masalah.
  • Tempat simptom OCD sama ada lebih ketara di rumah atau di pejabat.
  • Keseriusan simptom sekiranya penderita menghadapi masalah.
  • Peringkat keterukan yang dihadapi.

Pendekatan psikologi yang merangkumi terapi cara berfikir dan terapi tingkah laku:

  1. Terapi cara berfikir – pesakit akan dibantu mengatasi masalah ini melalui cadangan dan perbincangan berdasarkan pemikiran yang rasional.
  2. Terapi tingkah laku – terapi ini lebih bercorak kepada pendedahan dan tindakan pencegahan yang berperingkat-peringkat.

Bagaimanapun, sembuh atau tidak seseorang pesakit bergantung kepada:

  • Keseriusan masalah yang dihadapi.
  • Kerjasama terhadap rawatan yang diberi.
  • Sokongan individu yang hampir seperti ahli keluarga, rakan-rakan atau teman.
  • Tempoh mengidap penyakit tersebut.