
Menjadi seorang penyampai berita bukanlah mudah seperti yang disangka, terutama sekali apabila bersiaran secara langsung. Apa saja boleh terjadi di luar kawalan. Inilah yang terjadi pada penyampai berita Global News Canada, Farah Nasser yang mengalami satu momen yang pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila.


Menurut laporan Daily Mail UK, berdasarkan rakaman yang tular di media sosial, Farah Nasser dilihat telah tersedak akibat tertelan lalat ketika sedang menyampaikan berita mengenai tragedi banjir yang berlaku di Pakistan.
Saat insiden itu berlaku, eskpresi wajah Farrah terus berubah malah sedikit tidak selesa. Beliau dilihat seperti tersedak apabila haiwan itu memasuki rongga mulutnya hingga membuatkan beliau terdiam seketika. Meskipun sedikit cemas, Farrah tidak melatah atau menunjukkan reaksi malu.

Sebaliknya beliau bertindak profesional apabila meneruskan kembali tugasnya menyampaikan laporan berita, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Sikap profesionalisme Farrah juga turut dipuji oleh warga maya yang melihat video tersebut dan memuji sikapnya berhadapan dan mengawal situasi yang tidak dijangka.
Dalam temu bual berasingan bersama ET Canada pula, wanita berkenaan menerangkan dengan lebih terperinci bagaimana keadaan itu berlaku. “Saya hanya bimbang kalau haiwan itu boleh menutup lensa kamera, tetapi tanpa disangka haiwan berkenaan ‘singgah’ di kerongkong saya. Bagi saya, ia bukanlah satu situasi yang memalukan, tetapi sesuatu yang lucu bagi saya”. katanya.

Untuk rekod, Farah Nasser ialah seorang wartawan Kanada yang pernah memenangi anugerah.Beliau merupakan graduan Ryerson University dalam jurusan Seni Radio & Televisyen. Pada Mei 2015, beliau dinamakan oleh Shaw Media sebagai penaung bersama siaran berita 5:30 petang dan 6 petang Global Toronto, bersama Alan Carter. Sebelum peranan ini, beliau adalah seorang wartawan dan penaung dengan CablePulse24 di Toronto pada tahun 2010.
Beliau juga merupakan Anggota Lembaga Pengarah untuk Yayasan Penyelidikan Arthritis, Rangkaian Kesihatan Universiti dan menjadi tuan rumah untuk pengumpulan dana yoga Power of Movement setiap tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bangkit Wanita, Rina Harun Umum Malaysia Bakal Tuan Rumah World Women Leadership Summit 2023

Sepagi di Kuala Lumpur, Majalah Nona berbesar hati memenuhi jemputan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun bagi menyaksikan pra-pelancaran World Women Leadership Summit 2023 (WWLS 2023) yang bakal diadakan pada 2 dan 3 Mac 2023, buat julung-julung kalinya di Malaysia.
Dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Convention Centre), penganjuran WWLS 2023 itu bertemakan ‘New Norms, Fresh Hopes, Big Dreams’.
Ia bakal membincangkan kepimpinan wanita di peringkat global dalam segenap aspek termasuk kesihatan, sains dan teknologi, perniagaan, kewangan, pendidikan, tadbir urus kerajaan dan isu-isu alam sekitar.



WWLS 2023 bakal dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan menampilkan lebih 20 ikon bertaraf dunia termasuk pemimpin-pemimpin sektor awam, tokoh-tokoh korporat serta ketua-ketua negara dalam kalangan wanita.
Lebih 2000 delegasi dari 30 buah negara termasuk pemimpin wanita tersohor dunia dijangka akan menyertai WWLS 2023.
“Tema WWLS 2023 adalah bertepatan dengan fokus negara selari dengan hasrat Keluarga Malaysia dalam menunjukkan semangat serta agenda untuk wanita bangkit selepas pandemik COVID-19 khususnya memartabatkan peranan wanita dalam menerajui kepimpinan keluarga dan juga dalam komuniti.
WWLS 2023 akan menjadi sebuah pentas global untuk berbincang secara terbuka mengenai kesediaan wanita dalam menghadapi cabaran-cabaran khasnya dalam dunia baharu pasca-pandemik dan sejajar dengan matlamat Kerajaan untuk memperkasakan wanita seta meningkatkan kesaksamaan gender di Malaysia.
WWLS juga akan menghasilkan resolusi yang dijadualkan disytiharkan oleh YAB Perdana Menteri bagi mengetengahkan agenda pemerkasaan kepimpinan wanita hingga ke peringkat global.” Datuk Seri Rina Mohd Harun
Tonton video bersama Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam majlis pra-pelancaran ini…
Pada masa yang sama, KPWKM dan Yayasan Kepimpinan Wanita (Women Leadership Foundation) selaku penganjur bersama juga mengalu-alukan kolaborasi dan sumbangan daripada sektor korporat, kerajaan dan swasta bagi menjayakan WWLS 2023.
Maklumat lanjut berkenaan program in boleh didapati menerusi laman web ini (klik). Majlis Pra-Pelancaran in turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Strategik KPWKM, Chua Choon Hwa; Pengerusi Women Leadership Foundation, Datuk Dr. Hafsah Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Wan Nur Ibtisam binti Wan Ismail.
Tak ketinggalan temu bual Lensa Nona bersama wanita besi, Datuk Dr Hafsah Hashim! Memang seronok bersembang dengan Datuk…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita Ini Pilih Teraju 2 Perniagaan Sendiri, Walau Boleh Duduk Goyang Kaki Di Rumah

Setiap wanita mempunyai matlamat hidup yang tersendiri. Ada wanita yang memang target mengahwini lelaki kaya dengan tujuan mahu duduk goyang kaki di rumah dan keluar bershopping atau travel ke luar negara. Ada juga wanita yang mengahwini lelaki biasa-biasa tetapi berusaha sendiri untuk mengecap kemewahan hidup. Aleeya Zailan pula beruntung memiliki suami yang ‘berada’ tetapi tetap mahu bekerja dan mengecap kepuasan atas usaha sendiri.
“Saya tidak pernah terfikir untuk mencapai impian yang saya miliki sekarang kerana selepas berkahwin suami meletakkan syarat untuk tinggal di rumah dan membesarkan anak-anak. Tetapi, alhamdulillah suami akhirnya membenarkan saya untuk mengusahakan perniagaan yang saya miliki sekarang.

Kini saya boleh berbangga dengan pencapaian diri sendiri mengendalikan jenama kosmetik Avenys dan Aleeya’s Kitchen di samping membesarkan tiga orang anak yang masih kecil. Suami kata tiada istilah 9 to 5, saya kata okay tetapi saya bekerja 24/7. Tetapi kebanyakan masa kerja saya dihabiskan di rumah dan sekali-sekala sahaja saya akan turun ke pejabat.
Saya percaya kepada ketentuan Sang Pencipta whatever happens, there always a HIKMAH. Alhamdulillah I am stronger now. Kini saya mahu membantu wanita di luar sana untuk menambah pendapat di samping membina kekuatan mental dan fizikal.

Mengimbau tentang keterlibatan dalam bisnes, tutur Aleeya, “Saya berkahwin pada usia muda ketika pulang ke tanah air cuti semester akhir pengajian. Dilahir dan dibesarkan di Melaka kemudian menetap selama 10 tahun di New Zealand tidak menjadikan saya lupa daratan. Masakan Melayu sentiasa beraja di hati dan kini hobi tersebut menjadi punca pendapatan. Saya memang suka masak sementelah saya dibesarkan oleh nenek di Melaka sebelum mengikut ibu. Banyak petua dan resipi yang saya belajar menerusi pengalaman nenek.
Ketika berada di New Zealand saya suka masak kemudian diberikan kepada jiran dan kawan rapat. Suami juga penggemar masakan Melayu dan menyukai sambal hitam dan juga pucuk ubi goreng. Secara suka-suka saya menghasilkan sambal hitam serta memuat naik di laman Facebook dan Instagram dengan tagline Sambal Hitam Pedas Giler Masuk Hospital.

Permintaan yang menggalakkan di kalangan rakan dan juga kawan sepejabat suami telah menaikkan semangat dan mereka memesan setiap hari dan memaksa saya membuat penghantaran ke pejabat. Daripada sekadar suka-suka, saya fikir sambal hitam ini boleh dikomersialkan. Melalui jenama Aleeya’s Kitchen saya mula mempromosi sambal untuk laman Facebook dan Instagram agar menampakkan lebih profesional.
Menyertai bazar makanan untuk mempromosi sambalnya seperti Food Mega, Damansara Street Fest, di Menara TM dan Food Hunter turut memberi ruang wanita berkulit putih ini meneroka bidang perniagaan yang baru. Siapa sangka dalam keterujaan mempromosi sambal, wanita berusia 33 tahun ini berjaya menembusi bidang kecantikan pula.

“Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka boleh melahirkan produk kecantikan sendiri. Segalanya bermula apabila saya keluar berjumpa orang ramai mempromosi sambal. Selain membeli sambal, ramai yang bertanya produk kecantikan yang saya guna pakai. Apabila semakin ramai bertanya, saya berbincang dengan suami mengapa tidak saya mengeluarkan produk untuk berkongsi rahsia kecantikan.
Setelah melalui pelbagai perbincangan maka lahirlah Avenys. Bermula dengan tiga rangkaian produk, pencuci muka, esen dan krim muka telah mula memasuki pasaran. Buat masa ini Avenys hanya dipasarkan secara atas talian dan pemintaannya sudah melebihi penawaran,” ungkap isteri kepada Mohd Azri Aziz.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
BAWA DUA HELAI BAJU KELUAR KAMPUNG, DEMI MENGEJAR CITA-CITA DI AWAN BIRU. SEKARANG SELESA BERNIAGA DI DAPUR PRAMUGARI – LIZ RASHID

“Cubalah untuk mencapai setinggi mana pun impian anda. Tapi harus ingat, ini semua pinjaman! Apa yang pernah kita lalui, susah atau senang. Jangan hanya berfikir untuk waktu dan ketika itu sahaja. Fikirlah apa yang ingin kita capai itu untuk 30 tahun akan datang dan sehingga kita menutup mata. Setiap masalah dan halangan cuba selesaikan, jangan buang masa! Percayalah setiap pengalaman itu akan jadikan kita lebih kuat di masa hadapan,” tegas Azliza (Liz) berusia 48 tahun.
“Saya tidak pernah menyesal atau malu mengaku dilahirkan dalam keluarga miskin. Malah saya rasa bersyukur kerana kehidupan saya punya kisah yang berwarna-warni. Pendek kata, macam-macam fasa kehidupan telah saya lalui dan kerana kemiskinan itulah menjadikan saya kuat dalam mengharungi dugaan kehidupan.”

Mengimbas kembali perjalanan hidup Liz, sebelum terlahirnya perniagaan Dapur Pramugari, cukup memberi inspirasi buat semua wanita lain. Kisah pengalamannya, menjadi simbol kekuatan dan kejayaan dirinya hari ini. Bagaimana dari seorang bekas pramugari dan kini terus mengukuhkan empayar perniagaan F&B Dapur Pramugari.
“Saya memang pasang niat untuk ada perubahan kehidupan yang lebih baik. Saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan akan sentiasa mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Kami ada ramai anak, tanggungjawab besar tentang masa depan mereka dari segi pendidikan, insuran dan sebagainya. Ini semua menjadi kekuatan semangat untuk saya masuk dalam bidang perniagaan. Alhamdulillah, dalam keadaan fizikal kita yang masih sihat, kita gunakanlah anugerah ini sebaik mungkin. Bukan kata, kehidupan sebelum ini tidak mencukupi tetapi saya rasa sampai masanya untuk mengakhiri tugas berbelas tahun di awan biru. Lagipun dari kecil lagi saya punya cita-cita untuk jadi businesswoman. Masa dulu, dari sekolah rendah lagi saya jual mi, nasi lemak, terompah, keropok sambil kayuh basikal keliling kampung.”

Liz terus membawa kita mengimbau kisah hidupnya. “Saya dari keluarga miskin, nak beli buku atau kasut pun sangat susah. Saya juga keluar pergi cari kerja di pasar malam. Di situ saya kerja dengan seorang makcik tua jual makanan, pengalaman kerja waktu itu bukan mudah. Macam lipas kudung bekerja dan hasil upah bermula RM5 dan kemudiannya naik kepada RM10, alhamdulillah. Dengan hasil duit kerja sendiri itulah saya beli barang-barang sekolah. Bila teringat kembali kenangan itu, membuatkan saya bertekad untuk mengubah kehidupan dan berusaha untuk berjaya.”
Perjalanan susah dalam meniti kehidupan tidak bernoktah di situ. Hari-hari di usia remaja yang dilaluinya penuh dengan pelbagai rintangan, namun tidak sedikit meruntun kelemahan semangat dan kekuatan jiwanya untuk mengubah kehidupan yang lebih baik.
“Selepas SPM, saya tidak melanjutkan pelajaran di Universiti disebabkan keluarga susah dan saya ingin membantu keluarga. Saya lupakan cita-cita untuk menjadi peguam atau doktor. Pada waktu itu, saya rasa dengan kelulusan yang ada, pekerjaan sebagai pramugari paling sesuai dengan kelayakan dan untuk memperoleh gaji lumayan kerana saya tidak mahu lagi hidup susah.

Saya mengambil keputusan untuk berhijrah dan mencari kerja di lapangan terbang. Keluar dari kampung dengan berbekalkan sepasang kasut dan dua helai baju, saya dan jiran mengambil bas menuju ke Lapangan Terbang Subang demi mengejar cita-cita. Ini kenangan yang amat berharga dalam hidup saya, bila sewa di rumah Kampung Subang.
Keadaan ketika itu sangat sengsara, duduk rumah papan. Tandas pun hanya dikelilingi zink tak beratap dan mandi menggunakan air perigi. Bayangkan waktu pagi kalau mandi jam 5.30 pagi sangat sejuk, embun menitis sampai ke tanah. Nak keluar pergi kerja, saya kena jalan selama 20 minit melalui laluan kebun getah untuk ke jalan besar mengambil bas. Kalau balik kerja tengah malam, saya terpaksa tukar kasut sport untuk memudahkan saya membuat pecutan larian tanpa menoleh ke kiri, kanan dan belakang. Lorong menuju ke rumah sangat gelap tanpa lampu hanya mengharapkan belas kasihan bulan purnama,” jelas Liz sambil ketawa.
“Kalau awal bulan pula, boleh makan meriah beramai-ramai dengan rakan sewa lain. Tapi bila tengah bulan sampai hujung bulan, saya hanya makan roti dengan sumbat ais krim di tengah-tengah. Kalau nak bercerita lagi, terlalu banyak peristiwa menyentuh hati. Tapi itulah antara kenangan yang paling saya tidak boleh lupa.
Di terminal lapangan terbang, saya bekerja di kedai bunga dan restoran, sambil melihat dan bertanyakan beberapa kakitangan penerbangan yang lalu-lalang di situ kiranya saya berpeluang untuk menjadi pramugari. Kemudian saya dapat peluang untuk bekerja di kedai coklat, Duty Free Terminal 1. Alhamdulillah, satu hari saya dapat peluang temuduga sebagai ticketing officer dan diterima bekerja bersama Indonesian Airlines. Di situ, saya belajar selok-belok tentang penerbangan dan sebagainya selama 5 tahun.

Kemudian saya berhenti dan meneruskan cita-cita untuk menjadi seorang pramugari. Saya pernah berkhidmat sebagai seorang pramugari bersama Malaysia Airlines dan kemudianya saya berkhimat menjadi ketua pramugari di AirAsia. Saya amat bersyukur dengan perubahan hidup saya. Dari seorang anak gadis kampung seperti katak di bawah tempurung, akhirnya saya berjaya mengecapi apa yang saya mahukan dengan usaha sendiri,” bicara Liz sambil tersenyum mengimbas kenangan lalu.
Diringkaskan cerita, saya berhenti kerja, berkahwin dan fokus membesarkan anak seramai 4 orang. Bila anak-anak sudah membesar, saya yang tidak tahu duduk diam mulakan bisnes Mamours bersama kakak. Pada masa yang sama saya juga buat sedikit jualan makanan. Setelah itu, saya rasa jiwa ini sebenarnya lebih kepada perniagaan makanan. Lalu saya meninggalkan dunia perniagaan Mamours dan beri fokus kepada dunia perniagaan secara online sepenuhnya.”
Rezeki melimpah dengan Dapur Pramugari. “Alhamdulillah permintaan untuk lauk-pauk dan kuih mendapat sambutan sangat menggalakkan. Saya tidak membuka kedai atau restoran kerana tidak mahu komitmen untuk berada di kedai setiap masa, maka aktiviti perniagaan dijalankan secara online. Dan sekarang tumpuan saya lebih kepada produk baru saya Sambal First Class. Dalam masa enam bulan banyak perkara yang perlu diuruskan dari segi pemasaran, promosi dan sebagainya. Kerja siang malam untuk memastikan produk ini diterima dalam pasaran dengan baik.”

Menurut Liz, bisnes Sambal First Class berkonsepkan airlines di mana ia sedikit sebanyak berkait dengan pekerjaan beliau sebelum ni. Contohnya, saiz botol sambal mengikut konsep Boeing yang paling kecil diberi nama 737 dan yang besar diberi nama Jumbo. Tentang kualiti, Sambal First Class diperbuat daripada 100% cili segar dan ikan bilis mata biru sebiru langit di angkasa. Ini menunjukkan bahan-bahan yang digunakan berkualiti tinggi dan mahal.
Selepas ini antara rangkaian produk yang sedang menunggu untuk dikeluarkan adalah Sambal Economy Class. Maksudnya menggunakan cili yang lebih murah iaitu cili kering. Ini jelas bagi menunjukan perbezaan antara sambal murah dan sambal mahal.
Harapan Liz, “Saya berharap perniagaan ini terus berkembang dengan pelbagai jenis produk sambal lagi. Saya percaya ia mampu untuk dibawa ke luar negara. InsyaAllah dengan memperoleh pendapatan ini, saya harap dapat membantu lebih ramai lagi mereka di luar sana,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


