Sama seperti kebanyakan penyakit lain, penyakit kanser payudara juga tidak mendiskriminasikan jantina. Tanggapan masyarakat umum bahawa kanser payudara hanyalah penyakit wanita adalah tidak tepat kerana sebenarnya lelaki juga berisiko menghidapnya, bahkan berpotensi menjadi lebih berbahaya.

Pakar Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Sunway, Dr Nik Muhd. Aslan menjelaskan bahawa kanser payudara berpotensi untuk tumbuh dan merebak ke mana-mana sahaja tisu payudara yang terdapat pada seseorang individu, tidak kira sama ada mereka lelaki atau perempuan.

IKLAN

“Ia (kanser payudara) lebih jarang berlaku pada lelaki. Oleh itu, kes yang didiagnosis juga lebih terpencil.” Dr Nik Muhd. Aslan

Genetik Keluarga Punca Lelaki Hidap Kanser Payudara, Tak Sangka Tanda-Tanda Yang Dialami Pun Sama!
Dr. Nik Muhd. Aslan

 

Kanser payudara yang terjadi kepada lelaki dan wanita, bagaimanapun, berkongsi banyak ciri yang serupa. Jenis kanser payudara yang paling lazim berlaku terhadap lelaki adalah jenis sama yang terdapat pada wanita, iaitu karsinoma duktus invasif, karsinoma lobular invasif dan karsinoma duktal in-situ (DCIS).

Selain itu, kebanyakan tanda-tanda awal kanser payudara yang dialami oleh lelaki juga sama seperti yang didapati pada wanita, misalnya terdapat ketulan pada tisu payudara mereka, permukaan payudara menjadi seperti kulit limau yang mengeras dan menegang, retraksi puting menyebabkan ia termasuk ke dalam dan terdapat lelehan cecair yang luar biasa.

 

FAKTOR HORMON

Pertama, adalah penting untuk memahami bahawa majoriti kanser payudara akan merebak disebabkan tindak balas terhadap hormon estrogen atau progesteron.

Ini kerana sel-sel kanser payudara yang positif reseptor hormon (HR-positif) mempunyai reseptor di luar dindingnya yang boleh melekat pada hormon tertentu yang beredar melalui badan dan membolehkan pertumbuhan berlaku.

Dr Nik menjelaskan bahawa lelaki mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk mengembangkan sel kanser payudara yang positif HR, jika dibandingkan dengan wanita.

“Tisu payudara tumbuh dengan sendiri sebagai tindak balas kepada estrogen yang dominan terdapat pada wanita, dan ia disekat oleh testosteron.

Walaupun pada umumnya ia adalah hormon wanita, tetapi lelaki juga memilikinya dalam badan mereka, namun pada tahap yang lebih rendah.

Sel kanser payudara pada lelaki sangat sensitif terhadap ketidakseimbangan hormon. Disebabkan itu, sebarang faktor atau keadaan yang boleh menyebabkan lebihan estrogen dan kekurangan testosteron akan meningkatkan risiko mereka mendapat kanser payudara.”

Keadaan seperti sindrom Klinefelter (keadaan genetik yang jarang berlaku yang mana lelaki mempunyai kromosom X tambahan dan menghasilkan tahap androgen yang lebih rendah), kecederaan pada buah zakar, penggunaan perencat androgen, sirosis hati (parut pada hati) dan juga obesiti boleh menjadi faktor yang mengakibatkan paras estrogen lelaki meningkat.

Walau bagaimanapun, disebabkan majoriti kanser payudara pada lelaki adalah HR-positif, ini juga menjadikan mereka lebih cenderung untuk bertindak balas terhadap rawatan hormon.

“Lelaki yang didapati menghidap kanser payudara HR-positif boleh memilih kaedah rawatan sama yang kami gunakan untuk merawat wanita dalam situasi yang serupa, iaitu terapi hormon menggunakan rawatan seperti Tamoxifen.

Seperti kemoterapi, ia adalah satu bentuk terapi sistemik yang boleh digunakan untuk membantu mengurangkan risiko sel kanser daripada merebak, atau merawat kanser yang kembali semula selepas rawatan.” Dr Nik Muhd. Aslan

IKLAN
Genetik Keluarga Punca Lelaki Hidap Kanser Payudara, Tak Sangka Tanda-Tanda Yang Dialami Pun Sama!
Foto: Unsplash

 

FAKTOR GENETIK

Faktor utama lain yang menjadi penyebab terjadinya kanser payudara lelaki ialah, kira-kira 1 daripada 5 pesakit didapati mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit tersebut.

Ini kerana lelaki juga boleh mewarisi mutasi dalam gen BRCA1 atau BRCA2 atau gen lain, seperti CHEK2 dan PALB2, yang sangat meningkatkan risiko mereka mendapat kanser payudara.

“Walaupun kita tidak mempunyai pilihan untuk menentukan jenis gen yang kita warisi, namun melakukan pencegahan awal adalah lebih baik daripada mengubati.”

Tambahnya lagi, lelaki yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser harus mempertimbangkan untuk mendapatkan nasihat doktor untuk menjalani ujian saringan genetik secepat mungkin, terutamanya bagi mereka yang berumur lebih daripada 50 tahun.

IKLAN

Ujian ini dilakukan melalui persampelan darah, yang mana kaunselor genetik boleh membimbing anda tentang perkara yang perlu diberi perhatian dan apa yang boleh dilakukan dengan keputusan yang diberikan.

Jika positif, kaunselor genetik juga boleh memberikan nasihat tentang rawatan masa depan untuk pesakit, serta apa yang bersesuaian untuk dilakukan oleh keluarga dan anak-anak mereka, jika ada.

 

RUJUK DOKTOR

Ketika ditanya mengenai perspektif lelaki yang disahkan menghidap kanser payudara berbanding wanita, Dr Nik menegaskan bahawa lelaki yang dikesan awal boleh sembuh lebih awal.

“Berdasarkan pelbagai kajian yang saya lihat, lelaki yang didiagnosis dengan kanser payudara mempunyai kadar kelangsungan hidup 8 hingga 9 peratus lebih rendah daripada wanita, tetapi ini boleh disimpulkan bahawa lelaki yang menghidap kanser payudara sering didiagnosis lewat.

Lelaki kadangkala akan menunggu terlalu lama untuk mendapatkan diagnosis bagi simptom yang mungkin mereka alami, atau tidak mengenali tanda amaran kanser payudara yang dalam badan mereka. Ini menyebabkan mereka lewat untuk melakukan diagnosis iaitu apabila sel kanser telah bermetastasis kepada keadaan yang lebih berbahaya.”

Sebagai penutup, Dr Nik menasihatkan golongan lelaki supaya tidak takut untuk mendapatkan pendapat doktor jika mereka mendapati diri mereka mengalami mana-mana gejala yang disebut berkaitan dengan kanser payudara.

“Kanser payudara boleh diubati, dan ia sangat boleh dirawat sekiranya dikesan dari awal. Pengaruh persepsi lelaki dan kesediaan mereka untuk diperiksa memainkan peranan penting dalam mendapatkan diagnosis awal. Oleh itu, golongan lelaki harus diberi sokongan untuk mendapatkan bantuan apabila mereka memerlukannya.” Dr Nik Muhd. Aslan

Kredit: Sunway Medical

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI