Romantiknya Nelydia Senrose dan suami! Nampak simple tapi satu momen yang sangat bermakna buat pasangan suami isteri ini. Paling teruja bila tengok penampilan Nelydia yang manis bertudung.
Sempena ulang tahun kelahiran suaminya, Mohd Hafez Halimi, dramatis jelita Nelydia Senrose membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah skuter vespa.
Menerusi video yang dimuat naik di laman sosial, suami Nelydia kelihatan terkejut dan teruja dengan pemberian isterinya itu.
“Happy birthday my world,” tulis Nelydia.
Selain memberi ucapan buat suami Nelydia, rata-rata para peminatnya turut memuji sikap pasangan suami isteri ini yang dianggap tidak menunjuk kemewahan dan kemesraan di sosial media.
“Best couple.. takyah nak menunjuk hadiah yang grand-grand walaupun mampu. Sederhana nampak ikhlas sangat.”
Mereka juga sangat teruja apabila melihat imej bertudung adik kepada pelakon Uqasha Senrose ini yang menyerlahkan lagi kecantikannya.
Ads
“Nely ni naik moto pun nampak lawa kemass je..aku naik moto macam nek kebayan dah ngan tudungnya ngan begnya.”
“Comel je hadiah. Ni mesti Nely yang nak sebenarnya kan? Semoga bahagia selalu you both.”
“Cantikk nyaa..pakai helmet tudung macam tu pun cantikk…kalau saya tentu-tentu dah macam apooo.”
“Tak masalahnya sekarang Nely yang nampak comel pakai helmet naik motor Hahaha..”
Ads
Mereka juga tak lupa mendoakan kebahagiaan Nelydia dan suami.
“Happy birthday husband Nelly..kaklong doakan korang bahagia dan kekal sampai syurga..Insyallah.
“Sempoi..didoakan moga kalian bahagia, kaya di dunia dan di akhirat. Amiinnn..”
Ads
“Elok je simple sweet semoga diberkati selalu rumahtangga awak.”
Untuk rekod, Nelydia dan suami yang merupakan seorang usahawan mendirikan rumah tangga pada April 2019. Mereka kini masih belum dikurniakan cahaya mata.
Pada Julai 2022 baru-baru ini, Nelydia dan suami selamat menunaikan ibadah Haji di tanah suci Mekah. Semoga kekal bahagia sampai syurga buat pasangan sweet ini.
Kredit Foto: Instagram Nelydia Senrose
Majalah Nona juga ada di Telegram. Jom follow sekarang untuk akses lebih banyak artikel dan video-video terkini. Klik link DI SINI
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh ini bukan calang-calang wanita. Status suami tercinta yang merupakan ahli politik dan individu berpengaruh sama sekali tidak membuatkan Datin Dr Fatin Nadhirah Idrus ini rasa ‘selesa’ dengan kehidupan yang dilalui.
Sebaliknya dia mahu memanfaatkan kelebihan dan ilmu yang dimiliki bukan sekadar untuk kepuasan diri. Malah berbakti kepada masyarakat. Sama seperti Datuk Dr Akmal.
Difahamkan pasangan suami isteri ini mempunyai kelulusan dalam bidang perubatan. Jika Datuk Dr Akmal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ini memperoleh Ijazah Perubatan di Russian State Medical University, Datin Dr Fatin pula memiliki kelulusan dalam bidang pergigian. Hebat!
Tak dinafikan, pesona Datin Dr Fatin yang dikurniakan raut wajah lembut dan gaya sopan cukup menyenangkan. Sekaligus menyerlahkan aura suri hati anak jati kelahiran Melaka tersebut yang anggun dan cantik dalam kelas tersendiri.
Selain mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, penampilan Datin Dr Fatin Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dr Fatin ini sering menjadi perhatian khalayak.
Sebagai isteri kepada ahli politik dan individu terkenal, pastinya wanita berjiwa kental ini tidak terlepas daripada tumpuan masyarakat.
Pun begitu, wanita bijak berusia 34 tahun ini selesa tampil bersederhana dan enggan mencampuri karier politik Datuk Dr Akmal namun tetap setia menemani suami tercinta ke majlis rasmi atau turun padang bertemu komuniti setempat jika ada kelapangan.
Dalam kesibukan suami menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan membela nasib penduduk, Datin Dr Fatin juga sebenarnya merupakan pemilik sebuah klinik pergigian.
Dia dilapor mengusahakan Klinik Pergigian Fatin yang beroperasi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Lebih istimewa, klinik milik Datin Dr Fatin berkenaan mesra untuk kanak-kanak Autistik atau Autisme Friendly Dental Clinic.
Datin Dr Fatin Nadhirah Idrus sah bergelar isteri kepada Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pada 24 Januari 2014. Hasil perkongsian hidup selama 11 tahun, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Muhamad Ziyad dan Muhamad Ali.
Pada Ogos 2024, bapa kepada dua orang anak ini menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk atas khidmat dan jasanya terhadap pembangunan dan rakyat di Melaka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buku umpama jendela dunia. Walaupun kini buku tidak lagi dianggap sebagai bahan bacaan penting dek kerana pengaruh teknologi, ia tetap bernilai buat mereka yang menghargainya.
Masih ada yang memerlukan bahan bacaan ini kerana ia sumber ilmu yang paling dipercayai. Itulah yang ada dalam fikiran para pemungut sampah di Cankaya, Ankara, Turkiye.
Beberapa pemungut sampah di daerah tersebut mendirikan perpustakaan dengan buku-buku yang dibuang oleh pemilik asalnya. Mereka memungut buku itu dari jalanan atau tong sampah. Perpustakaan kemudiannya digunakan untuk tujuan peribadi dan keluarga.
Apabila koleksi buku bertambah, kisah tentang perpustakaan turut tersebar dari mulut ke mulut. Penduduk tempatan kemudiannya tergerak untuk menyumbangkan buku-buku yang dianggap tidak lagi digunakan.
Melihat koleksi buku yang banyak, Jabatan Kebersihan kemudiannya membuka perpustakaan itu kepada orang ramai. Salah seorang pemungut sampah, Serhat Baytemur, mengakui tidak menyangka akan membina perpustakaan buku terpakai.
“Sebelum ini, saya hanya berharap mempunyai perpustakaan di rumah. Sekarang kami mempunyai perpustakaan di sini dan ia sangat bagus. Saya ingin membaca semua buku ini,” kata lelaki berusia 30an ini.
“Ada orang yang meninggalkan buku-buku ini di jalanan namun ada yang mencarinya. Kami mula membincangkan idea membina perpustakaan buku-buku ini. Apabila semua orang menyokongnya, projek itu berjaya,” kata Datuk Bandar Cankaya City, Alper Tasdelen.
Perpustakaan itu dipenuhi dengan lebih 6,000 buku yang terdiri daripada pelbagai bidang bermula daripada sastera sehinggalah bukan fiksyen. Bahagian yang paling popular di perpustakaan ialah bahagian kanak-kanak yang dipenuhi dengan komik. Turut disediakan bahagian khas untuk buku sains.
Buku bahasa asing juga disertakan dalam Bahasa Inggeris dan Perancis untuk menggalakkan pengunjung dari luar negara. Bahagian kosong di Jabatan Kebersihan kini telah bertukar menjadi rumah untuk buku terbiar.
Ibu Pejabat Jabatan Kebersihan mempunyai koridor yang panjang menjadikannya sesuai dijadikan perpustakaan. Koleksi buku boleh dipinjam selama dua minggu dan boleh dilanjutkan jika perlu. Kerajaan Cankaya turut menggaji pustakawan profesional bagi menguruskan perpustakaan.
“Semasa kami mula, banyak rak tetapi buku tidak mencukupi. Saya sendiri agak gementar kerana takut rak tidak penuh. Saya melihat ke rak dan berkata kepada diri sendiri, ‘Kita memerlukan sekurang-kurangnya 3,000 buku.”
Sejak dibuka pada September 2017, koleksi buku telah melebihi kapasiti. Akhirnya beberapa buku disumbangkan ke sekolah, program pengajaran dan penjara. Alpar Tasdelen memberitahu guru dari kampung di Turki mahukan buku itu di perpustakaan.
Anak-anak pegawai kerajaan bandar dan pelajar pernah memenuhi perpustakaan. Pengurus menyediakan tempat khas untuk membaca dengan tenang termasuk ruang permainan. Perpustakaan ini cukup popular di kalangan pengayuh basikal yang biasanya singgah berehat untuk secawan teh.
Sumber: www.okezome.com
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Impian MimiFly sejak usia 20-an akhirnya jadi kenyataan apabila wajahnya terpampang di billboard ikonik Times Square, New York. Lebih daripada sekadar pencapaian peribadi, momen ini menempatkan MimiFly sebaris dengan penyanyi wanita Malaysia yang berjaya menembusi perhatian pencinta muzik global.