Hidayah itu milik Allah dan Dia berhak menurunkan kepada sesiapa saja yang dikehendakinya. Model, pempengaruh dan juga bintang televisyen Perancis, Marine El Himer memaklumkan dirinya telah memeluk agama Islam. Khabarnya, saat dirinya memeluk Islam merupakan ‘hari paling bahagia’ dalam hidupnya.
Difahamkan, Marine sudah memeluk Islam sejak beberapa bulan lalu dan tidak mendedahkannya kepada umum sehinggalah pada Rabu lalu. Beliau berkongsi berita gembira itu melalui laman Instagram miliknya dengan memaparkan beberapa foto dan video saat-saat penghijrahannya memeluk agama Islam.
Marine juga berkongsi beberapa foto lain memaparkan dirinya memakai tudung dan berjubah di sekitar Kaabah di Masjidil Haram. Beliau mengharapkan perjalanan rohani yang dilaluinya akan sentiasa membawanya kepada YANG MAHA BERKUASA dan berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka sepanjang penghijrahannya itu.
Ads
“Moga perjalanan rohani ini akan terus mendorong dan membimbing saya, insya-ALLAH. Saya tidak malu menukar agama dengan memilih Islam kerana percaya agama Islam memberi ketenangan fikiran, hati dan jiwa.
“Ia adalah pilihan yang datang kepada saya dengan jelas dan saya mengamalkannya dengan bebas serta berasa bangga tentangnya. Ketahuilah, saya tidak ada rasa malu untuk menukar agama lain. Ia adalah hak asasi bahawa setiap orang harus hidup (memilih haluan) dengan bebas,” katanya.
Ads
Berita penghijrahan Marine disambut baik oleh peminat-peminatnya dan mereka mengucapkan tahniah atas keputusannya yang berani berhijrah pada waktu ketika dirinya berada di puncak populariti.
Marine dilahirkan pada Julai 1993 di Bordeaux, selatan Perancis, dan berketurunan Maghribi-Mesir. Dia Mempunyai saudara kembar bernama Oceane El Himer, dan Marine merupakan salah seorang model, bintang Instagram dan pempengaruh media sosial(influencer) yang terkenal di Perancis. Beliau memiliki lebih 1.5 juta pengikut di Instagram. Marine muncul dalam rancangan televisyen realiti Les Princes et les Princess de l’Amour (Putera dan Puteri Cinta) di Perancis.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Sumber: Sinar Plus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menjadi satu cabaran bagi ibu-ibu di luar sana untuk memastikan pakaian dan sekolah anak-anak sentiasa putih dan bersih daripada sebarang kotoran.Tak sakit mata memandang dan anak-anak pun selesa belajar kalau pakaian bersih.
Mencuci baju sekolah berwarna putih dan memutihkan kasut merupakan satu nightmare juga kepada ibu di luar sana. Lagi-lagi kalau tiba part nak basuh kasut sekolah anak yang asalnya warna putih, tapi dua tiga hari pakai dah macam kena celup dalam lumpur.
Namun, petang tadi Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah akan bermula tahun hadapan.
“Ramai ibu bapa mengadu dan meminta supaya anak-anak mereka tidak memakai kasut putih. Baiklah, mulai tahun depan, murid-murid akan memakai kasut hitam, bukan kasut putih lagi,” katanya dalam sesi Bicara Minda Sihar Harian hari ini.
Jadi, tak perlu lagi para ibu di luar sana penat berus bersungguh-sungguh bersihkan kasut sekolah anak-anak.
sumber: Astro Awani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Luar biasa semangat Umirah Mohd Taib atau lebih dikenali sebagai Bonda Umirah Taib. Bukan sekadar bergelar isteri dan ibu kepada tujuh cahaya mata bahkan dia juga sukses sebagai usahawan yang menceburi pelbagai bidang.
Dalam kesibukan mengurus keluarga dan melaksanakan tanggungjawab terhadap suami serta anak-anak, Bonda Umirah bijak membahagikan masa dalam bidang perniagaan. Memang wajar dijadikan ikon!
Terbaharu, satu lagi pencapaian membanggakan berjaya dilakar wanita ini apabila dia akhirnya menggenggam Ijazah Sarjana dalam bidang Terapi Keluarga dan Perkahwinan. Difahamkan Bonda Umirah menyertai Mastership Program Counselling and Guidance di Management and Science University (MSU).
Perkongsian ibu muda berjiwa kental ini ketika Majlis Konvokesyen MSU Ke-35 pada 17 Mei lepas mendapat pujian warga maya. Hebat!
“Di balik jubah ini ada tangisan, peluh dan pelukan kecil yang menguatkan. Buckle up kids, ini hanya permulaan.
Buat suami yang ada di saat jatuh dan bangun, yang percaya di saat orang lain meragukan, yang terima di saat diri tiada apa-apa, yang meraikan walaupun sekecil pencapaian. Terima kasih untuk segalanya.”
Kisah kehidupan Bonda Umirah Taib yang mendirikan rumah tangga seawal usia 19 tahun ketika sedang mengikuti pengajian di UNIKL Royal College of Medicine Perak (RCMP) Ipoh sarat dengan pengalaman dan pengajaran hidup.
Dia juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan di RCMP dan pernah berkhidmat sebagai doktor di Hospital Sungai Buloh.
Namun demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan anak-anak tersayang, dia nekad melepaskan kerjaya berkenaan.
Kini, Bonda Umirah mengusahakan syarikat ByBonda, pemilik Le Maream iaitu perniagaan baju tidur, pengusaha Villa Bonda dan terapi kekeluargaan.
Bukan itu saja, Bonda Umirah juga penulis buku ‘Ibu Penat, Tapi Ibu Sayang’ yang mencatatkan jualan mencecah ribuan naskhah.
Bonda Umirah Taib berkahwin dengan suami tercinta iaitu Shakib yang juga usahawan pada 4 Disember 2010. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tujuh orang cahaya mata iaitu Muhammad Mujahid, Maryam Lathifa, Maryam Azizah, Maryam Khadija, Maryam Fatimah, Muhammad Musthafa dan Maryam Sumayyah.
Semoga usaha murni yang diimpikan Umirah Taib berjaya direalisasikan dan kejayaan yang dikecapi saat ini memberi suntikan semangat serta inspirasi kepada masyarakat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti kata pepatah Melayu, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu’. Memang benar tuah manusia tiada siapa yang mengetahuinya kerana nasib yang baik dan rezeki yang murah semuanya bergantung kepada usaha kita sendiri, sebelum ikhtiar itu kita serahkan kepada yang Maha Esa.
Bagi Irah Sukri, penglibatannya dalam alam perniagaan bermula di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan, dengan menjual kain pasang. Wanita dari negeri yang digelar Negeri Cik Siti Wan Kembang ini hanyalah peniaga biasa yang pernah merasai kehidupan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Saban hari kehidupannya hanya tertumpu di pasar tersebut, menantikan dengan penuh harapan pelanggan akan mengunjungi kedainya untuk membeli-belah. Namun, Rokiah sedar, beliau juga perlu berdepan dengan peniaga-peniaga lain yang menjadi saingannya, yang turut mencari rezeki untuk sesuap nasi buat keluarga mereka.
Menurut Irah, hasil jualannya di Pasar Siti Khadijah tidak menentu dan ada pasang surutnya. Apa yang lebih menyesakkan hatinya ialah ramai peniaga yang turut menjual produk yang sama sepertinya.
Ekoran itu, Irah terpaksa melipat gandakan usaha bagi menarik pengunjung masuk ke dalam kedainya, atau barang-barangnya tidak akan dapat dijual, yang akhirnya menyebabkan beliau menanggung kerugian.
“Kami peniaga di Pasar Siti Khadijah ini rata-ratanya menjual barangan yang hampir serupa. Di pasar ini ada beratus peniaga. Jadi hasilnya sudah tentulah tidak seberapa,” katanya mengimbas kisah hidupnya berjualan di pasar itu.
“Saat yang paling dinanti-nantikan oleh setiap peniaga ialah semasa cuti sekolah. Kehadiran pelancong khususnya dari luar Kelantan biasanya membawa limpahan rezeki berbanding hari-hari biasa.”
“Saya dah berniaga kat pasar itu selama 10 tahun. Banyak yang sudah saya lakukan untuk tingkatkan jualan tapi tiada kemajuan yang boleh dibanggakan. Hidup saya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.
Menyedari keadaan perniagaan yang tidak begitu memberangsangkan, beliau nekad mahu melakukan sesuatu kerana jika tidak, nasib perniagaannya tidak akan berubah dan dia sendiri tidak tahu berapa lama ia akan kekal begitu.
Suatu hari pada tahun 2017, beliau menonton sesi Live seorang usahawan wanita yang tidak berpendidikan serta tidak tahu membaca atau menulis, tetapi mampu mencapai hasil jualan berjuta-juta ringgit.
Kejayaan usahawan itu, Halimah Muda, pengasas Nur Idaman Eksklusif, dicapai setelah beliau menyertai program-program RichWorks, kendalian Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman.
“Sesi Live itu membuka mata saya kerana kalau Puan Halimah boleh berjaya, kenapa saya tidak? Saya kemudiannya, mendaftar dan menyertai program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) anjuran RichWorks,” katanya.
Sejak menyertai program tersebut, beliau mula sedar dengan potensi perniagaan yang diusahakannya. Beliau juga percaya, dengan teknik perniagaan dan pemasaran yang betul, perniagaannya masih boleh dikembangkan.
Tidak cukup menyertai IMKK, Irah menyertai pula program Millionaire Marketing Master (MMM) dan dalam program itu, beliau diajar dengan lebih mendalam tentang pemasaran luar talian (offline) dan atas talian (online).
“Selepas mempraktikkan ilmu yang diajar, perniagaan saya nampaknya semakin maju dan pelanggan juga semakin ramai. Saya juga mengguna pakai teknik pemasaran online untuk perniagaan saya.”
“Di peringkat awal, saya guna media sosial untuk membina follower. Saya perkenalkan juga jenama sendiri iaitu IrahSukri kepada rakyat Malaysia dan hasilnya, perniagaan saya semakin dikenali,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Irah Sukri Global Sdn Bhd itu.
Ditanya maksud di sebalik nama Irah Sukri yang dipilih, beliau memberitahu, Irah adalah nama panggilannya semasa kecil manakala Sukri adalah nama suaminya. Beliau bersyukur gabungan nama Irah Sukri yang dipilihnya benar-benar membawa tuah.
Pada tahun 2018, perniagaan Irah semakin maju dan pencapaian jualannya pada tahun itu adalah sebanyak RM969 ribu. Tahun berikutnya pula iaitu 2019, hasil jualan IrahSukri terus melonjak naik ke RM2.4 juta, peningkatan sebanyak 149.52%.
Pada 2019 itu juga, perniagaannya mula 100% dijalankan secara atas talian dan beliau turut mendapat pelanggan dan tempahan dari Singapura dan Brunei. Beliau juga sudah mampu memiliki sebuah unit rumah kedai dan pejabat pengurusan, dengan 20 kakitangan.
Namun demikian, tahun 2020 memberi cabaran yang lebih besar kepada Irah apabila pandemik Covid-19 menjejaskan jualan kain pasang syarikatnya. Tetapi, beliau terus memanfaatkan teknologi untuk tujuan pemasaran dan membentuk pasukan jualan serta melantik key leaders.
“Kami masih kekal konsisten melaksanakan perniagaan di atas talian pada tahun lalu. Fokus kami masih dengan bisnes dan produk yang sama. Pasukan kami semakin berkembang dan ramai,” kata Irah.
Pada tahun 2020 itu, syarikatnya berjaya mencatat keuntungan jualan sebanyak RM3.46 juta manakala di antara Januari sehingga September 2021, syarikat itu telah pun mencecah jualan sehingga RM5.32 juta.
Kini, Irah mula menyimpan impian yang lebih besar. Beliau mahu berkongsi rezekinya bersama golongan suri rumah yang berminat untuk memiliki pendapatan sendiri.
“Saya bercita-cita untuk membantu suri rumah menjana pendapatan yang stabil. Kalau boleh saya mahu membantu mereka daripada zero iaitu tidak memiliki apa-apa hinggalah menjadi seorang hero,” jelas Irah.
Setelah tiga tahun berlalu, Irah kini sudah mampu mengukir senyuman bangga menyaksikan perniagaan yang diusahakannya itu memberi pulangan yang cukup lumayan.
Beliau bukan sahaja berjaya mengubah kehidupannya yang susah sebelum ini, malah mampu membeli kediaman dan kereta sendiri. Beliau juga membuka banyak peluang pekerjaan menerusi program dropship yang dijalankan oleh syarikatnya.
Beliau mengingatkan usahawan atau bakal usahawan di luar sana agar tidak mengalah dengan cabaran yang terpaksa ditempuh, dan mesti sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan ilmu dan mentor yang boleh memajukan perniagaan yang dijalankan.
Jika Irah boleh berjaya dan menjadi jutawan walaupun terpaksa melalui pengalaman pahit semasa mula-mula menjalankan perniagaan, bagaimana pula dengan anda?
Artikel ini juga diharap dapat memberi manfaat kepada golongan wanita yang ngin membuktikan bahawa mereka juga boleh menjana pendapatan sendiri.
Kejayaan Irah sehingga mampu menjana pendapatan jutaan ringgit, mungkin boleh menjadi contoh dan pendorong kepada masyarakat untuk mengikut jejak langkahnya bergelar usahawan berjaya.
Sumber: Buku 100 Usahawan Jutawan (Satu Misi Bantu The Nation) Terbitan Richworks
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.