Gaya hidup selebriti Indonesia ini memang ibarat kehidupan seorang puteri raja. Apa tidaknya selain mengenakan persalinan dan aksesori jenama mewah dari hujung rambut ke hujung kaki, selebriti kaya dan usahawan Syahrini juga kerap menaiki jet peribadi untuk bercuti ke luar negara!
Bukan calang-calang tempat pelancongan pula tu, kebanyakan destinasi percutian Syahrini adalah mahal dan eksklusif. Malah ada ketika juga dia dilihat menggunakan khidmat limosin mewah tatkala melawat ke negara asing.
Makin anggun sejak berhijab, penampilan Syahrini yang mengenakan jenama mewah antarabangsa dari hujung rambut ke hujung kaki sering raih perhatian.
Kebelakangan ini, penampilan selebriti kaya Syahrini yang mempunyai lebih 40 juta followers di Instagram mengundang persoalan dalam kalangan peminat.
Ads
Dilihat gemar mengenakan persalinan besar dan bergambar dengan menutup bahagian perut, peminat membuat spekulasi figura berkenaan sebenarnya sudah berbadan dua.
Akhirnya, 22 Mei Syahrini membuat pendedahan mengenai khabar tersebut beserta gambar terkini di samping suami tercinta, Reino Barack.
“Bismillahirrahmannirrahim, we made one wish, and it came true,” kongsi jelitawan berusia 42 tahun ini.
Ads
Difahamkan kandungan Syahrini sudah pun mencecah usia tujuh bulan. Sementara itu, Reino turut tidak ketinggalan mendedahkan berita gembira tersebut di laman sosial miliknya.
“Our greatest adventure is about to begin.”
Ads
Menerusi foto terkini itu, jelas kelihatan kandungan Syahrini yang kian membesar. Dia yang mengenakan dress putih tampil berseri-seri. Apatah lagi dijaga rapi dan ditatang bagai minyak yang penuh oleh suami tercinta yang segak dalam tuxedo kelabu.
Syahrini dan Reino sah bergelar suami isteri pada 27 Februari 2019. Lima tahun melayari alam rumah tangga, pasangan romantis ini tidak ubah seperti kekasih yang sedang hangat bercinta.
Meskipun sudah lima tahun majlis persandingan selebriti ini berlalu namun kegemilangan resepsi Syahrini dan Reino masih terpahat di ingatan peminat.
Mana tidaknya, busana perkahwinan Syahrini dihasilkan pereka fesyen bertaraf antarabangsa yang juga pereka ternama Indonesia, Sebastian Gunawan yang turut pernah menghasilkan busana selebriti Hollywood, Halle Berry.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bait-bait lagu Tan Sri P Ramlee menyergah petang yang damai, “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa, hampa”. Ahh, rindu aku pada Zaleha, aku rindukan gelak tawanya, gurau sendanya, lebih-lebih lagi keletah manjanya. Masih aku ingat saat perkenalan kami di rumah terbuka seorang teman. Dia kelihatan begitu anggun berbaju kebaya merah, rambutnya yang diikat rapi menyerlahkan lagi wajah mulusnya. “Cantiknya dia ni.” getus hati kecil ku. Siapa sangka perkenalan kami di situ membawa aku ke mahligai cinta. Saat awal perkahwinan semuanya indah, namun satu perkara yang aku tidak pernah tahu tentang dia, kompetitif! Suka membanding-bandingkan. Lama aku bersabar dengan sikapnya yang tidak suka kalah dari segala segi, penampilan, gaya dan apa sahaja yang dilakukan. Kesabaran aku sampai ke kemuncak dan aku menangis saat jatuhnya talak! Allahuakbar!
Segala-galanya bermula Ramadan tahun lalu, satu bulan yang amat aku nanti-nantikan. Umat Islam menadah syukur kerana dipertemukan dengan bulan penuh keberkatan ini. Aku? Bukan bulan biasa, bulan ini memberi aku satu ujian yang maha besar. Tibanya Ramadan, Zaleha bukan sibuk menggandakan ibadah, puas aku mengajaknya ke masjid namun ditolak mentah-mentah. “Alah abang malaslah saya nak pergi masjid, abang pergilah seorang. Bukannya saya ada kawan pun kat masjid tu. Saya solat kat rumah je.” Ujar Zaleha.
Bak kata lirik, kerana sayang aku turutkan, itulah aku. Namun jika ada majlis di masjid, Zalehalah yang paling berkobar-kobar, namun bukan kerana ibadah, semuanya untuk menunjuk-nunjuk juadah yang disediakan, segala-galanya over the top. Dari baju ke persalinan sembahyang semuanya berlebih. Bila ditegur dia melenting. “Alah abang ni, saya pakai cantik-cantik buat makanan yang mahal-mahal nak hidang ni abang juga yang bangga, orang puji saya.” Rungut Zaleha. Sayang, tahukah engkau aku mahu engkau seperti isteri-isteri yang lain, bersederhana dari segala segi. Tahukah engkau ramai yang merungut dan meluat dengan sikap mu yang suka menunjuk-nunjuk?
Semakin hampir dengan Ramadan, satu perkhabaran buruk singgah di meja. Syarikat mengalami masalah kewangan dan perlu ditutup. Satu perkara yang tidak aku sangka akan terjadi sebelum tibanya hari lebaran. Pulang ke rumah, aku khabarkan perkara ini kepada Zaleha. “Sayang, I just lost my job, everybody in my company. Syarikat I akan ditutup.” Luah aku pada Zaleha, mengharap suntikan semangat darinya. “What? U kene berhenti? Habis tu macam mana? Ehh kita ada duit lagikan? Siapa nak beli barang-barang persiapan raya. U jangan buat hal. Tahun ni I nak buat rumah terbuka besar-besaran. I dah bagi tahu kawan-kawan I semua tau!” Tegas Zaleha.
Tersentak jantung mendengar kata-kata Zaleha, bukannya tiupan semangat yang aku peroleh, malah amaran pula yang aku terima. Aku menerangkan kepada Zaleha, jangan risau kerana masih punya simpanan, namun harus berjaga-jaga kerana sekarang aku menganggur dan bukan mudah untuk mencari pekerjaan pada zaman yang mana ekonomi tidak menentu.
Lebaran hampir tiba, Zaleha hampir setiap hari keluar mencari barangan untuk rumah terbuka. Dengan hiasan rumah baru, tempahan perabot baru. Aku bertanya, “Sayang, kenapa membazir sangat, kan masih elok semua barang-barang yang sedia ada?” Dia hanya menjawab “Abang, saya guna duit saya tau, nak harapkan abang tak merasalah saya nak buat rumah terbuka besar-besaran. Dah la tu, bila saya suruh keluarkan wang simpanan abang tak mahu. Jadi jangan ambil tahu mana saya dapat duit ini semua.” Ya, semestinya itu duit yang aku berikan setiap bulan sebagai duit poket mu.
Lebaran tahun ini di sambut meriah di kampung, tiba sahaja hari kedua, Zaleha tidak senang duduk. Dia mahu pulang cepat ke rumah bagi menyiapkan persiapan rumah terbuka impiannya. ‘’Sayang, I tak puas lagi beraya kat kampung,” ujar ku kepada Zaleha. “Eh abang ni, macam budak kecil, lain kali kita balik lah lagi.. Lagipun dah rimas dah saya kat kampung ni. Saya nak balik, nak siapkan segalanya untuk rumah terbuka kita,” bebel Zaleha.
Tiba hari rumah terbuka, khemah dipasang seperti kenduri. Zaleha menjemput rakan-rakannya yang terdiri daripada kalangan VIP. Memang segala-galanya sempurna, hidangan yang begitu panjang mengalahkan bufet di hotel. Hati sedikit hairan memikirkan bagaimana Zaleha boleh mengadakan majlis sebesar ini. “Banyak sangat ke duit yang aku berikan setiap bulan sampai boleh buat majlis besar seperti kenduri?” Zaleha begitu bangga mendabik dada, bermegah-megah dengan teman-temannya yang kagum dengan majlis yang diadakan.
Aku tahu, Zaleha mahu menunjuk kepada teman-temannya yang rata-rata anak-anak orang kenamaan. Usai majlis aku sekali lagi bertanya lembut kepada Zaleha, “Sayang boleh abang tanya? Banyak sangat ke duit yang sayang simpan sampai boleh buat rumah terbuka macam kenduri ni? Paling tak makan belanja dua puluh ribu ni.” Zaleha hanya menjawab ringkas, “Alah abang, abang tak tengok ke semua orang kagum dengan kita? Maruah kita juga yang jadi tinggi kan? Kalau saya ambil duit abang pun tak salahkan? Bukannya habis pun!” Aku hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata sinis isteri ku itu.
Hujung bulan tiba, seperti biasa bil-bil mendatang dan aku terkejut melihat bil kad kredit yang melambung tinggi. Bulan lepas penggunaan mencecah 22 ribu ringgit!! Mata aku seakan berpinar dan terkejut, tidak pernah aku menggunakannya seperti itu. Lantas aku teringat kata-kata Zaleha. Aku seperti orang gila dan terus menyergah isteriku itu, “Leha, u guna kad kredit I untuk rumah terbuka?” Dia hanya menjawab selamba, “Eh, salah ke saya nak guna, sayakan isteri abang! Lagipun abang dah ada kerja kan.. Bayar je la!”
Saat itu tahap kesabaran telah meninggi dan dengan lancarnya mulut ini berkata “ Zaleha binti Zaidi, aku ceraikan engkau dengan talak satu!” Saat itu wajah Zaleha berubah dan dia terjelepok ke lantai seperti orang meroyan. “Abang gila ke ceraikan saya, mana saya nak pergi. Saya sayangkan abang!!”
Sayang-sayang buah kepayang, tidak akan aku makan Zaleha. Aku berlalu pergi meninggalkan rumah demi mencari kedamaian. Kini lebaran tiba lagi, dan aku pasti teringat peristiwa itu. Dengarnya Zaleha ligat mencari kekasih baru, tetapi sayang semuanya tidak setia padanya. Selamat tinggal Zaleha, semoga Allah memelihara kesejahteraan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tidak mengenali pelakon berbakat besar Fasha Sandha yang cukup popular dengan aura serta mutu lakonannya. Baru-baru ini Fasha Sandha ada memuat naik sebuah video anak perempuannya, Aisha Amaira di laman Instagramnya nyata mencuri tumpuan ramai pengikut di laman Instagram.
Manakan tidaknya, menerusi video tersebut, pelakon berusia 38 tahun itu merakam momen Aisha yang dilihat sedang menikmati biskut di dalam ‘stroller’ ketika mereka sekeluarga membeli makanan di restoran Subway.
Rakaman tersebut memaparkan pelakon tersebut mengusik anaknya yang berusia dua tahun itu namun tidak diberikan kanak-kanak berkenaan.
Ternyata telatah bersahaja kanak-kanak tersebut mencuri tumpuan, apatah lagi dengan kecomelannya apabila warga maya lebih tertumpu kepada kecomelan Aisha. Kelentikan bahagian matanya cukup menawan sekali walaupun baru berusia 2 tahun, buatkan ramai tidak jemu memandang dan memuji wajahnya.
Mengintai ruangan komen, rata-rata rakan artis dan peminat terpesona dengan raut wajah wajah anak pelakon drama Dendam Seorang Isteri itu. Malah, tidak kurang ada juga segelintir individu mengatakan wajah Aisha sememangnya mirip seperti anak perempuan kepada pelakon Puteri Sarah Liyana iaitu Sumayyah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lari dalam bendang pun segak, rakyat teruja tengok DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, serta DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan memeriahkan acara termasuk pakai kain pelikat.
Pada usia 78 tahun, stamina DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berkenan berangkat menyertai Larian Kebajikan dan Inklusiviti Teras Inspirasi (KITA) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap, Sungai Besar dekat Sabak Bernam jadi perhatian rakyat.
Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, serta DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Baginda bertiga turut berkenan memakai kain pelikat dan kain batik bagi menepati tema dan memeriahkan acara Larian KITA yang diadakan.
Baginda tiba kira-kira jam 7.30 pagi dan melepaskan seramai 2,500 peserta larian 3km dan 5km merentasi kawasan sawah padi di kampung berkenaan, sebelum Sultan dan Raja Muda Selangor turut serta menyertai para peserta.
Tengku Amir Shah juga berkenan menyertai larian sejauh lima kilometer bersama rakyat jelata. Putera tunggal Selangor berusia 34 tahun tersebut tampil segak memeriahkan acara sambil pakai selempang kain pelikat di bahu dan berbaju sukan.
Pelbagai acara sampingan rancak diadakan sepanjang program seperti permainan tradisional, pembukaan gerai makanan di kawasan aktiviti dan cabutan bertuah.
Paling menarik tentulah apabila melihat pakaian Baginda dan ahli kerabat diraja Selangor. Bukan senang dapat tengok konsep sukan tradisional lari dalam bendang, rakyat teruja tengok DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, serta DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan memeriahkan acara pakai kain pelikat dan kain batik!
Dalam perjalanan pulang dari Sabak Bernam selepas menyertai Larian KITA, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk berangkat singgah ke Sekinchan.
Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan untuk melawat ke ke Kapal Terbang Sekinchan atau lebih dikenali sebagai Terminal Sekinchan.
Terminal Sekinchan yang terletak di Parit 5, menempatkan sebuah pesawat Boeing 727 yang sedang dibangunkan untuk menjadi sebuah restoran premium sebagai daya tarikan terbaharu di dalam bendang.
Baginda berdua turut dibawa masuk ke ruang cabin dan kokpit pesawat berkenaan diiringi oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor serta Ahli Dewan Negeri Sekinchan, YB Dato’ Ng Suee Lim.
Paling menambat hati, tentulah melihat kemesraan baginda berdua yang sentiasa sweet and loving. Sultan Selangor kini berusia 78 tahun, sementara Tengku Permaisuri Selangor mencecah usia 53 tahun.
Kongsi Tengku Zafrul, program itu julung kali diadakan di daerah Sabak Bernam dengan penyertaan seramai kira-kira 2,500 peserta.
“Terima kasih kepada Tuanku Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangor dan Raja Muda Selangor yang hadir pada hari ini.
Insya-Allah, program yang sama akan diadakan selepas ini di daerah Klang,” katanya sambil menambah dana yang dikutip menerusi Larian KITA untuk penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya.
Beliau berkata, objektif program itu adalah untuk memupuk budaya inklusif dan sihat serta menyemarak kesedaran mengenai kawasan seperti Sabak Bernam yang terkenal dengan pelancongan dan pertanian.
Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim dan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail.