Fasa tumbesaran kita dari alam bayi ke alam dewasa banyak mencorak tekstur dan rona hitam putih ke atas kanvas kulit. Masihkah kita teringat permukaan kulit yang rata dan licin sebelum mencapai akil baligh, kemudiannya perlahan-lahan ia ditimpa masalah berminyak dan berjerawat. Hingga kini, jika anda masih runsing dengan kondisi kulit kasar, cuba perhatikan rutin corak pemakanan barangkali yang ‘di dalam’ itu perlukan lebih perhatian!

IKLAN

LAKUKAN DETOKS

Sedar atau tidak, kebanyakan makanan di sekeliling kita telah dicemari dengan toksik. Bahan-bahan tercemar ini mudah larut dalam darah dan seterusnya diangkut ke seluruh tubuh. Berikan perhatian kepada kesihatan anda, sesekali lakukan detoks untuk ‘mencuci’ sistem penghadaman dengan cara bijak dan sihat. Selepas melakukan ‘cucian’ perut ini, anda dapat merasa perbezaan ketara pada kulit. Ia lebih segar dan bercahaya dari dalam. Yang penting, mulakan amalan ini dengan mendapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu jika anda sedang mengandung, menghidap diabetes, di bawah pengaruh ubat atau berpenyakit.

Detoks Hujung Minggu

IKLAN
  • Makan banyak buah-buahan segar sewaktu bersarapan. Pilihlah yang berwarna cerah seperti kiwi, anggur, mangga, betik, pic, beri, strawberi, pir dan epal.
  • Jamah segenggam kekacang sebagai snek sarapan bersama teh hijau, teh herba atau air suam.
  • Sediakan semangkuk salad istimewa untuk makan tengahari dengan campuran bunga kubis, tomato, timun, brokoli, lada hijau, hirisan lobak, avocado, sedikit rempah dan bawang. Tambah perisa dengan minyak zaitun secukupnya, hirisan herba, bawang putih, jus lemon dan cuka.
  • Waktu snek diisi dengan kuaci, gajus dan biji labu atau pek kecil yogurt tulen sambil menghirup teh hijau atau teh herba.
  • Buat stim kukus sayur-sayuran segar dan berwarna cerah seperti brokoli, bunga kubis, labu air, bawang perai dan kubis merah dengan herba untuk makan malam.

Detoks Harian

IKLAN
  • Minum banyak air mineral atau bertapis sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Tambahkan sedikit perisa dengan memerah jus limau nipis atau merendam hirisan lemon untuk kelainan.
  • Tukar amalan meminum kopi dengan teh hijau. Ia kaya dengan antioksidan dan boleh ‘mencuci’ usus.
  • Jus buah-buahan pekat dan segar seperti jus lobak, epal, tembikai, betik dan sebagainya sangat digalakkan tetapi jauhi gula dan ais.
  • Jauhi minuman beralkohol dan berkarbonat kerana ia tinggi acetaldehyde, yang menyebabkan kulit cepat tua dan tinggi kalori. Minuman keras lain seperti wiski, vodka dan gin pula boleh meninggikan kadar insulin.
  • Banyakkan makanan berunsur buah-buahan, sayuran hijau, berfiber dan cecair untuk memudahkan proses penyahtoksinan.

Gaya hidup rakyat Malaysia yang gemar menikmati makanan segera dengan air bergas, makanan sejuk-beku, makanan ringan, makanan berperisa dan bersantan sangat membimbangkan. Awas, santan merupakan lemak tepu. Ia boleh meninggikan kolestrol dan sekaligus menyempitkan saluran darah kerana terlalu berminyak dan berkalori tinggi!ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI