Jenama Honda tidak perlu diperkenalkan lagi perusahaan automotif. Merupakan salah satu jenama bukan nasional terlaris di Malaysia, Honda kini dalam perancangan untuk mengembangkan lagi portfolio mereka selepas berjaya melalui cabaran pandemik yang melanda global dengan perkembangan yang cukup positif.

Menerusi majlis pertemuan bersama dengan media baru-baru ini, Honda turut mengumumkan pelancaran 4 model baru beserta satu model SUV. Malah, Honda turut mensasarkan jumlah jualan sebanyak 80,000 unit dengan penguasaan peratus pasaran sebanyak 12.3%.

Presiden & Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Encik Sarly Adle Sarkum berkata, “2023 menandakan satu kejayaan besar bagi kami apabila Honda meraikan ulang tahunnya yang ke-75. Meneruskan Semangat Mencabar sejak penubuhan syarikat, Honda Malaysia berusaha untuk mempercepatkan momentum untuk tahun ini menerusi pelancaran model baharu dan aktiviti pemasaran.

Untuk mengukuhkan lagi identiti teras dan kehadiran jenama dalam industri, kami menumpukan pada memanfaatkan tiga tonggak utama untuk model kami, iaitu Teknologi Termaju, Tawaran Premium dan Lonjakan Sporty. Gabungan tiga tonggak utama ini akan menjadikan model Honda akan datang lebih unik di pasaran dan menaikkan status mereka dalam segmen masing-masing.

Salah sebuah model baharu yang bakal diperkenalkan adalah dari kategori SUV kompak. Menurut bellau lagi model tersebut dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga tahun 2023.

Selain itu, Honda Malaysia turut terus memperkasakan teknologi hibrid. Sebagai perintis memperkenalkan teknologi hibrid di negara sejak 19 tahun lepas ia berkembang bermula dengan Integrated Motor Assist (IMA) sehingga Sport Hybrid I-DCD dan terbaru dengan teknologi e:HEV.

“Kami adalah perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid sejak 19 tahun lalu. Teknologi ini telah berkembang begitu ketara bermula dengan IMA, Sport Hybrid 1-DCD, dan terkini, teknologi e:HEV,” tambah Sarly Adle lagi.

Selaras dengan usaha untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, Honda Malaysia akan memperkenalkan 2S (Servis dan Alat Ganti) Pit Stop dan mempromosikan aktiviti selepas jualannya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan semasa dan bakal pelanggan. Syarikat juga mempertingkatkan sistem Honda CONNECT yang merangkumi ciri ‘Safety, Secure & Connect’.

Honda Malaysia akan memperkenalkan Honda CONNECT dalam model lain selain City RS, City Hatchback RS, Civic RS, Civic e:HEV RS dan HR-V e:HEV RS bagi membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati pelbagai fungsi yang terdapat pada sistem.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI