Makan hati tengok susuk tubuh penyanyi bersuara lunak, Syura Badron sekarang. Bukan sahaja makin ramping malah wajah Syura juga makin cantik berseri-seri. Apalah agaknya yang dilakukan anak kelahiran Johor ini hingga kelihatan menawan macam anak dara. Walhal, Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Memetik pengakuan Syura dalam temubual program Mingguan Wanita pada awal Mac lalu, wanita yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 6 Oktober lepas ini mendedahkan rahsia dia lebih sihat dan cantik hari ini adalah disebabkan amalan gaya hidup yang sihat. Malah, tanpa berselindung Syura memberitahu, suatu ketika dahulu dia pernah mengalami masalah berat badan hingga mencecah sehingga 80 kilogram!
“Selepas bersalin berat badan Syura cecah 80kg dan berat memang tak turun-turun lepas tu. Risau, sampailah Syura tercari-cari apa agaknya diet yang baik yang boleh diamalkan untuk turunkan berat. Puas Syura scroll dekat google dan ternampaklah satu diet ni. Sejujurnya, Syura mula nekad untuk turunkan berat badan dalam empat tahun lepas.
Niat hendak kurangkan berat bukan saja sebab rasa badan tak sihat. Lebih menyedihkan, sampai kalau pergi mana-mana pun Syura pernah terdengar orang cakap, ‘Syura ke tu? Eh, bukanlah. Besar sangat tu,” ujarnya sambil tertawa.
Tambahnya, sebelum memiliki berat badan ideal sekarang iaitu 49 kilogram, Syura juga telah melakukan pelbagai jenis diet sepanjang empat tahun dia berjuang untuk mendapatkan bentuk tubuh idaman. “Sebelum ini, Syura pernah amalkan intermittent fasting dan juga diet Atkins. Mula-mula dulu Syura buat Keto Diet yang dalam masa sama ‘potong’ gula habis.
Menjadi jugaklah sebab Syura perasan yang Syura dapat turun 500 ke 600 gram dalam seminggu. Waktu tu Syura amalkan makanan yang berprotein contohnya seperti sayur, ikan, daging, telur dan juga keju.
Kalau dulu memang Syura suka minuman manis tapi sekarang dah tak ambil langsung. Paling tak sangka, dari seorang yang jenis tak minum pun air masak kini dah boleh minum air masak sebab bila dah start Keto diet, secara automatik Syura dah tak lalu minum air manis dah. Rasa manis sedikit pun dah tak boleh. Cuma kalau teringin sangat, Syura hanya akan ambil sehirup dua.”
Yang pasti, perubahan yang dirasai sekarang benar-benar telah mengubah kehidupannya selama ini. “Apa yang saya dapat sekarang ialah amalan gaya hidup lebih sihat sebab bila kita diet, kita dah tak makan apa yang tak elok. Syura pernah secara tak sengaja tak makan sampai 23 jam. Sekarang, Syura mengamalkan Warrior Diet yang mana 20 jam ‘berpuasa’ daripada makan sementara empat jam lagi membolehkan kita makan.
Walau apa pun, nasihat saya sebelum hendak amalkan apa-apa jenis diet… pastikan anda tahu kemampuan badan sendiri. Dalam masa sama kaji apa yang kita ambil dan makan. Sebelum ini kalau beli makanan Syura akan terus ambil masuk ke dalam troli. Tapi sekarang berbeza, Syura akan teliti dahulu ingredient dan nutrition dalam makanan tersebut.”
Syura dengan bekas suaminya, Mohd Fadhly Md Yassin berpisah pada Ogos 2015 selepas sembilan tahun bersama. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nurul Dania Irdani, 13 tahun; Nurul Qaisara Sofia, 11 tahun; dan Muhammad Irfan Ayyan 9 tahun.
Kredit: Instagram Syura