Hari ini viral di negara jiran, kisah sedih seorang isteri yang menjaga suaminya, seorang pesakit kanser lidah hingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Arwah meninggal dunia pada tanggal Sabtu, 22/7/2017 lalu pada usia 29 tahun iaitu kira-kira seminggu selepas hari jadinya.
Menurut balunya, arwah Andre Kurnia Farid hanya mengadu mengalami ulser di dalam mulut, tapi setelah berlarutan selama tiga minggu, ujian mendapati ia kian parah dan positif kanser lidah.
Secara anatomi, lidah manusia terdiri kepada dua bahagian iaitu bahagian depan di dalam mulut dan bahagian pangkal di kerongkong leher.
Kanser lidah dapat berkembang pada kedua-dua bahagian ini tapi biasanya kanser di bahagian depan termasuk dalam kategori kanser mulut.
Alkohol dan tembakau dikenal pasti sebagai penyebab utama kanser lidah kerana kedua-duanya memiliki sifat karsinogenik atau mudah menyebarkan kanser.
Gejala
Sakit kerongkong yang berlarutan.
Timbul tompok-tompok putih atau merah, benjol atau ulser di dalam mulut yang sukar pulih.
Sakit semasa menelan.
Sering rasa kebas dalam mulut.
Pendarahan tanpa sebab pada lidah.
Kadang-kadang sakit telinga.
Sekiranya gejala ini berlarutan selama lebih tiga minggu, terutamanya bagi seorang perokok tegar atau selalu mengamalkan minuman keras, anda WAJIB membuat pemeriksaan segera di hospital.
Faktor
Rokok
Minuman keras (alkohol)
Human papillomavirus (HPV)
Kebersihan mulut yang rendah
Bagaimana kisah arwah Andre yang viral kerana dibunuh kanser lidah? Baca selengkapnya luahan si isteri (telah dialih bahasa) menerusi Facebook Rezy Selvia Dewi. Norzalina Mohd Alias
Selamat Jalan Suamiku
“Mii, ulser dalam mulut abbi ni buat hilang selera makan.” Sepulangnya dari kerja, suamiku menolak untuk makan walaupun terhidang lauk ayam kegemaran.
Setiap hari suami selalu mengeluh sakit ulser di atas lidahnya yang tak pernah sembuh. Sudah 2 minggu, tapi aku kurang menghiraukan keluhannya kerana fikir ia sekadar ulser biasa.
“Mii, tadi di pejabat ada medical checkup, ini hasilnya…” sambil menunjukkan selembar kertas hasil pemeriksaan. Aku ingat betul saat itu, bulan April 2016.
“Kesihatan abbi ada masalah, cuma kata doktor, abbi kurang nutrisi, abbi kurang gizi ni. Ummi sibuk sangat dengan Zuma, hehehe,” gurau suamiku saat itu.
Memang anak kami baru berusia 1 tahun, jadi sebagai ibu, akulah orang yang paling sibuk kerana anakku mulai aktif.
Aku memang terlalu sibuk, sampai tak sempat memerhatikan suami. Aku diam saja ketika dia merokok tanpa henti. Aku tak pernah marah.
Dan aku pun tak pernah tahu, apa makanan yang dimakannya di pejabat. Makanan sihatkah? Atau bukan? Itulah kesalahan terbesarku.
3 minggu kemudian, ulser di mulut suami masih lagi belum hilang. Malah katanya sampai sakit di kepala dan telinga.
“Abbi… esok periksa doktor ya, biar diberi ubat sepatutnya.” Suamiku pun mengangguk.
Keesokan harinya, pemeriksaan doktor mendapati dia hanya kurang makan sayur dan buah. Ubat yang dibekalkan pula hanya balm khas untuk disapu pada ulser.
“Kalau 2 minggu lagi belum sembuh, periksa lagi ya,” pesan doktor tersebut.
Ads
2 minggu kemudian, sakit ulser itu masih juga tak sembuh. Doktor hanya menambah antibiotik tapi sampai habis pun belum juga ada tanda-tanda sembuh.
Kali ini, dia dirujuk ke pakar bedah mulut dan pemeriksaan kali ini mendapati ia mungkin berpunca akibat masalah gigi bongsu.
“Oh, ulser di lidah ni sebab ada gigi bongsu, tapi posisinya abnormal. Mungkin itu sebabnya susah nak sembuh. Gigi ni mesti dibedah dan dibuang,” kata mereka.
Bulan Jun 2016, saat awal Ramadan, suamiku tak puasa kerana bakal menjalani pembedahan gigi. Maka dicabutlah gigi bongsu yang dikatakan. Tapi anehnya selepas seminggu berlalu, ulser masih lagi terasa dan sakit di kepala kian menjadi-jadi. Lidahnya pula tidak boleh digerakkan ke kiri.
Dari situ, dia bertemu pula pakar saraf dan seterusnya membuat fisioterapi lidah. Selepas enam kali terapi masih tiada perubahan, doktor mengesyorkan pemeriksaan MRI.
Hari Aidilfitri, suami lebih memilih tidur dan tidak mahu beraya dengan saudara mara. Sakit di kepalanya semakin kerap, jadi aku biarkan dia beristirahat saja di bilik.
“Mii, ada benjol kat lidah abbi, cuba tengok.”
Benar. Aku terlihat sebiji benjol kecil sebesar biji jagung pada lidahnya yang sakit. Kata doktor, benjolan ini mungkin seketul tumor dan sekali lagi dia perlu menjalani pembedahan membuangnya.
Tanggal 13 Ogos 2016, kami kembali menemui doktor untuk mengetahui hasil makmal terhadap benjol yang dibuang.
“Suami usianya berapa tahun?”
“28 doc.”
“Sudah ada anak?”
“Sudah, baru usia setahun doc.”
Doktor pun menghela nafas panjang. Ada perasaan tak enak saat itu.
Ads
“Hasil pemeriksaannya kurang bagus. Suami puan positif terkena kanser lidah.”
Masa itu seolah detak jantungku berhenti. “Kanser?”
Tiba-tiba mataku jadi gelap, sebuah beban serasa berat menindih badanku. Aku diam tanpa berkata apa-apa. “Kanser?” tanyaku.
Kutatap wajah suamiku, dia hanya terdiam. Pucat.
Seluruh pemeriksaan sudah kami lakukan – ujian makmal, USG, CT Scan, Bone Scan.
“Dari hasil pemeriksaan, 3/4 lidah suami puan sudah terkena kanser. Dia mesti dibedah untuk membuangnya,” kata doktor yang merawat.
Ya Allah… apa lagi ni? Dibuang lidah? Kenapa harus suamiku yang mengalaminya? Kami pun pulang dengan perasaan tak menentu, nanti kita periksa lagi ya bii, dapatkan second opinion.
Esoknya kami periksa lagi. Doktor melakukan endoskopi dari lubang hidung dan daripada kabel kecil kamera itu, terlihat jelas gambar di monitor.
“Wah, kansernya dah merebak ke kerongkong.”
Masa itu terlihat banyak benjolan merah berhampiran peti suara.
“Boleh tahu sudah stage berapa doc?”
“Stage 4 puan.”
“Terus… bagaimana?” tanyaku perlahan.
Ads
Kata doktor, suamiku perlu menjalani rawatan kemoterapi 3 kali dan radiasi selama 30 kali.
Wajah suamiku yang putih bertambah pucat. Dia hanya terdiam. Aku terbayang beratnya derita yang harus dialaminya kelak.
Awal September 2016, kami pulang ke kampung selepas suami mendapat cuti sakit sehingga sembuh.
Kami tekad mahu berikhtiar dengan cara alternatif dan herba. Masa itu suami cuma mampu menelan ubat yang direbus atau cecair.
Pada masa yang sama, aku disahkan hamil dan berita tersebut cukup menggembirakan kami berdua. Semangat suami kelihatan kembali semula.
5 bulan berubat, tapi Allah seperti belum memberi jalan kesembuhan. Kondisi suami semakin teruk. Lalu akhirnya kami tinggalkan rawatan tradisional.
Berat badan suamiku mula turun dengan drastik. Daripada 65kg kini tinggal 40kg. Dia makin tenat dan kemuncaknya setiap hari dia muntah darah. Mukanya lemas dan sangat pucat.
Selepas itu, kami kembali membuat segala rawatan moden. Kemoterapi dan radiasi, semuanya dicuba satu persatu tanpa henti. Dalam pada itu juga, aku selamat melahirkan anak kedua kami yang ditunggu-tunggu selama ini.
Tiada tanda-tanda sembuh sehinggalah menjelang hari terakhirnya di sisiku. Kuhampiri suami yang terbaring lemah. Tubuh badannya penuh dikeliling segala peralatan hospital dan wayar yang berselirat.
Waktu itu tekanan darahnya sangat tinggi, nadinya terlalu cepat hingga menunjukkan angka 200 di skrin monitor. Berkali-kali doktor menyuntik ubat anti sakit tapi suamiku masih mengeluh kesakitan.
Melihatkan keadaannya yang cukup mencemaskan, doktor menenangkanku sambil berkata suamiku sudah tak dapat ditolong lagi.
Seluruh badanku terasa gementar. “Benarkah tak ada lagi harapan,” tiba-tiba aku merasakan ketakutan yang luar biasa.
Aku berbisik ke telinganya, “Aku tak mahu kehilanganmu bii.” Kupegang erat jari-jemarinya. “Buka matamu bii,” dan aku ingat dia cuma tersenyum lemah.
Pukul 4 petang, doktor menghulurkan surat persetujuan. Di situ tertulis agar aku tidak akan mengambil apa-apa tindakan pun jika sebarang perkara berlaku pada suamiku.
“Abbi… inilah yang terbaik yang diberikan Allah buat kita. Maafkan ummi, tak bisa menjagamu selama ini. Ummi ikhlas abbi pergi. Ummi terima semua dengan ikhlas.”
Kubimbing suamiku menyebut kalimah Laaillaha illallah muhammadur Rasullullah… kuulang berkali-kali sampai tepat jam 4.40 petang, dia pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Tak ada lagi yang bergerak di sana. Kudakap kemas tubuh suamiku, kukucup bibirnya dan kuusap matanya… Inna lillaahi wainna ilaihi raajiun.
Selamat jalan suamiku. Jemput aku dan anak-anak kita di pintu syurga-Nya.
Penyanyi Wany Hasrita yang cukup dikenali menerusi lagu Menahan Rindu dan Canggung selamat melahirkan bayi perempuan secara normal di sebuah pusat perubatan pada petang Sabtu.
Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, berkongsi khabar gembira itu menerusi laman Instagram miliknya pada Ahad dengan sebuah foto menyaksikan gambar anak perempuannya yang sedang mengenggam tangan Wany.
Walau bagaimanapun wajah dan nama anak masih belum ditunjuk dan dimaklumkan kepada umum.
Menerusi kepsyen berkenaan, Wany berharap agar anak sulungnya menjadi pengikat kasih sayang antara dia dan suami iaitu Muhd Al-Adib Fahmi Harun, 31.
Anak ibu semoga jadi anak solehah penyejuk mata, penenang jiwa, pengerat cinta ibu dan bapa.
“Membesar dgn sihat dan jadilah orang yang memberi manfaat pada yang lain kelak. Ibu lebiu,” tulisnya. Untuk rekod, Wany dan suami mendirikan rumah tangga pada 22 Julai 2022.
Di ruangan komen pula gambar berkenaan sudah mula dibanjiri dengan ucapan-ucapan dari rakan-rakan artis dan peminat Wany.
Tahniah NONA ucapkan kepada Wany dan suami. Semoga anak membesar sihat dan menjadi insan yang boleh dibanggakan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebagai menghargai kejayaan membanggakan Abdul Latif Romly yang membawa pingat emas di Paralimpik Tokyo 2020, pihak kerajaan negeri Perlis berbesar hati menyampaikan insentif kepada atlet para berkenaan hari ini. Bertempat di Pejabat Menteri Besar Perlis, Latif dilihat menerima Insentif Kemenangan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bernilai RM150 ribu bagi acara Lompat Jauh T20.
Hadir dengan menyarung kemeja Olimpik Tokyo, Latif turut ditemani kedua-dua ibu bapa tersayang. Bapanya, Romly Mat dilihat mengenakan kemeja corak batik berwarna maroon sementara ibu tersayang pula Salmah Yatim menyarung jubah biru lengkap bertudung polos rona senada.
Turut hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man dan beberapa pegawai dari Majlis Sukan Negeri Perlis.
Menerusi perkongsian di laman media sosial Latif, atlet para berusia 24 tahun itu menzahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan kerajaan negeri kelahirannya. “Syukur alhamdulilah terima kasih kerajaan negeri Perlis memberi imbuhan kepada saya sempena kejayaan saya di Tokyo baru-baru ni.”
Kejayaan Latif pada 4 September lepas bukan hanya mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia bahkan turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengucapkan tahniah atas pencapaian membanggakan tersebut di pentas dunia.
Seri Paduka berdua bertitah kejayaan Latif menjadi sumber inspirasi kepada rakyat dan atlet Malaysia untuk berusaha mencapai kejayaan sama ada di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga saya yang banyak mendoakan kejayaan saya. Tak lupa juga kepada coach Amri Suhaimi, Firdaus Salim yang banyak membantu persiapan saya sebelum ke Tokyo 2020.
Terima kasih juga kepada KBS, MSN, ISN, MPN serta sahabat-sahabat saya di atas bimbingan, usaha dan doa anda semua yang membantu saya untuk mendapatkan pingat emas dengan catatan 7.45m pada Kejohanan Paralimpik Tokyo kali ini.”
Abdul Latif Romly mengungguli acara Lompat Jauh T20 (kecacatan pembelajaran) di Paralimpik Tokyo 2020 dengan mencatat lompatan terbaik sejauh 7.45 meter. Dalam temasya sukan berprestij itu, Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas menerusi acara angkat berat dari atlet Bonnie Bunyau Gustin, badminton dari atlet Cheah Leik Hou dan lompat jauh, Abdul Latif Romly.
Latif sebelum ini telah memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 dan sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya mengulangi kejayaan sama di pentas Paralimpik Tokyo 2020.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pa&Ma sekali lagi melakar sejarah dengan mengiktiraf 40 jenama terbaik dan berkualiti di Majlis Anugerah Malam Gala Jenama Pilihan sempena sambutan ulangtahun yang ke-23. Majlis yang diadakan di Muzium Negara ini disambut dengan dengan meriahnya dengan bertemakan Nostalgia 60-an.
Pa&Ma sebuah portal keibubapaan No.1 di Malaysia yang menjadi rujukan mama papa menyambut ulangtahunnya yang ke-23 pada bulan Oktober yang lepas. Kejayaan Pa&Ma pada hari ini adalah hasil daripada sokongan penuh daripada setiap jenama yang menerima anugerah.
Dengan pelbagai tip perkembangan dan kesihatan anak serta ilmu parenting sudah cukup untuk membuktikan Pa&Ma sentiasa dekat dan relevan di hati papa mama milenial Malaysia.
Tahun ini merupakan pengiktirafan yang kelima diadakan selepas diadakan buat julung kalinya pada tahun 2019. Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, Pa&Ma memberi pengiktirafan kepada semua jenama berkualiti dan diyakini untuk dianugerahkan dengan Jenama Pilihan Pa&Ma 2023.
Kelainannya pada tahun ini, sambutan ulang tahun Pa&Ma disambut selama dua hari iaitu pada 24 dan 26 November dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang bersama Muzium Negara untuk memeriahkan lagi suasana di sana.
Idea untuk memberi pengiktirafan Jenama Pilihan Pa&Ma ini tercetus apabila melihat kerjasama yang baik dan mendapat sokongan daripada pihak terlibat dan ia menjadi inisiatif Pa&Ma untuk membantu mama papa di luar sana untuk memilih hanya yang terbaik buat si manja dan keluarga tersayang.
Anugerah berprestij ini telah diberikan kepada pelbagai jenama di bawah kategori Produk Ibu & Produk Anak, kategori Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Kategori Shopping, Libur & Servis dan Kategori Klinik & Hospital. Tahun ini, Pa&Ma turut memilih Ikon Pakar dan Ikon Parenting yang banyak berkongsi ilmu serta memberi impakpositif kepada para pengikut mereka di media sosial.
Istimewa untuk tahun ini, Pa&Ma juga akan memberi penghormatan kepada mama papa pempengaruh yang telah menguasai media sosial yang banyak menyumbang, memberi manfaat dan memberi kesedaran tentang dunia keibubapaan yang unik daripada realiti kehidupan sebenar mereka
Antara Ikon yang diberi pengiktirafan ialah Khairul Abdullah, Md Nor, Dr Wan, Aunty Purple, Wawa Shauqi, Mommy Yuyu, Mia Azahar, Bengah, Cikgu Zuraidi dan Dr Luqman Bukhari.
Pengarah Urusan Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim dengan tulus ikhlas mengucapkan tahniah kepada semua pemenang anugerah hari ini. “Kejayaan dan prestasi yang anda capai adalah pengiktirafan kepada komitmen dan usaha yang telah anda sumbangkan dalam menyumbang kepada bidang keibubapaan.
Anda semua adalah sumber inspirasi buat kami dan komuniti Pa&Ma. Setiap anugerah yang diterima adalah bukti kualiti dan kepercayaan yang telah anda bawa kepada orang ramai. Kami berharap ini merupakan satu permulaan kepada lebih banyak pencapaian yang bakal anda raih. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada keluarga Pa&Ma.
Kami berazam untuk terus menyokong dan membantu anda dalam perjalanan keibubapaan anda. Tahniah sekali lagi kepada semua pemenang, dan teruskan menyinari dunia keibubapaan dengan kecemerlangan anda!”
Wan Erni, Head of Business Parenting berkata, “Tahun ini kami berbesar hati untuk memberi pengiktirafan kepada semua jenama yang banyak bekerjasama dengan Pa&Ma. Kesemua jenama ini mempunyai kredibiliti mereka serta diyakini ibu ayah di luar sana. Paling menarik, kerjasama dengan pihak Muzium Negara menjanjikan pelbagai aktiviti menarik dan hadiahlumayan untuk ditawarkan kepada follower Pa&Ma.”
Sambutan ulangtahun Pa&Ma hari kedua iaitu pada 26 November dimeriahkan dengan aktviti Zumba Sarung di mana peserta yang terlibat dapat merasai pengalaman berzumba dengan memakai kain sarung. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyumbang kepada keseronokan, malah menambahkan elemen keunikan. Di samping itu IVF Metro juga berkongsi ilmu kepada mama papa yang berusaha untuk mendapatkan zuriat melalui program sesi sembang sihat.
Tidak lengkap sambutan ulangtahun ini tanpa penglibatan mama papa dan anak-anak. Oleh itu, Pa&Ma telah menganjurkan pertandingan mencari harta karun yang dinamakan “Kampung Hunt.”
Pertandingan ini melibatkan 200 peserta daripada 50 keluarga yang terdiri daripada mama papa dan dua orang anak. Pertandingan ini bukan sahaja membangkitkan semangat persaingan, malah memupuk semangat kerjasama dalam kalangan keluarga yang terlibat.
Petang itu juga dihangatkan lagi dengan Konsert Penyambung Warisan yang melibatkan bakat-bakat cilik yang akan menyanyikan lagu bertemakan tradisional dan klasik di samping persembahan kreatif Sabah dan Sarawak dari Muzium Negara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!