Rezeki buat selebriti cantik, Noor Neelofa Mohd Noor apabila tercalon dalam salah satu anugerah berprestij di luar negara. Nampaknya, Lofa memang serius mengembangkan bakat dan namanya ke persada dunia. Satu persatu kejayaan diraih dan kali ini Neelofa bakal terbang ke Monaco bagi menghadiri Influencer Awards 2019 Monaco. Hebat!
Khabar gembira buat pengacara dan pengusaha hijab, Neelofa apabila dicalonkan menerusi kategori Entrepreneur dalam anugerah berprestij di peringkat antarabangsa, Influencer Awards 2019 Monaco.
Bakal diadakan di Monaco pada 5 dan 6 Oktober, Neelofa mengakui tidak menyangka tercalon dalam anugerah yang dipengerusikan oleh keluarga diraja Monaco.
“Sejujurnya, saya tidak menyangka tercalon dalam anugerah ini. Selain dikelolakan oleh keluarga diraja dan diadakan di luar negara, majlis anugerah ini juga bakal dimeriahkan dengan calon-calon lain daripada negara-negara berbeza.
Ads
“Tentulah, menang bakal menjadi satu yang besar kepada saya. Tetapi, saya mahu ke sana kerana merasakan ia masa yang sesuai untuk berjumpa dengan individu-individu berpengaruh lain dan mengembangkan rangkaian saya.
“Insya-Allah, saya akan terbang ke sana kerana segala pengangkutan dan penginapan telah disediakan. Peluang ini bukan datang selalu, jadi saya sangat menghargainya. Saya juga berharap agar pencalonan ini dapat memberi inspirasi kepada orang Malaysia lain untuk bermimpi lebih besar dan mencari lebih banyak peluang,” katanya lagi.
Ads
Influencer Awards 2019 Monaco merupakan anugerah yang berprestij. Ini merupakan penganjuran kedua selepas diadakan dengan jayanya pada tahun lalu.
Anugerah ini direalisasikan oleh Pauline Ducruet iaitu anak sulung kepada Puteri Monaco, Stephanie dan beberapa individu lain seperti Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.
Ads
Influencer Awards 2018 Monaco diadakan pada 7 Oktober 2018 di Hotel Meridien Beach Plaza. Sebanyak 27 anugerah telah diserahkan pada majlis tersebut.
Antara pemenang pada majlis tersebut termasuklah blogger fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Lifestyle) dan jurumekap Kim Kardashian, Mario Dedivanovic (kategori Make-Up Artist influencer).
Walaupun belum tahu siapa lagi pemenang bagi anugerah tersebut… sebagai rakyat dan wanita Malaysia, setinggi ucapan tahniah dan syabas buat Neelofa atas pencapaian ini. Moga tuah menyebelahi anak kelahiran Kelantan ini di bumi Monaco kira-kira empat bulan lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memang layak! Tahniah buat bekas atlet terjun negara, Leong Mun Yee yang menerima Pingat Mahkota Wilayah (PMW) sekaligus membawa gelaran Datuk dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Dalam istiadat berkenaan, atlet paralimpik negara Abdul Latif Romly turut menerima gelaran sama. Awal tahun ini, Datuk Mun Yee dikhabarkan bersara daripada arena terjun selepas 27 tahun menabur bakti dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi pentas terakhir buat dirinya.
Datuk Mun Yee pernah menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa di temasya dwi tahunan, Sukan SEA. Malah beliau berjaya merangkul satu pingat perak dan dua pingat gangsa di pentas Sukan Komanwel termasuk dua pingat perak dan lima pingat gangsa sepanjang menyertai Sukan Asia.
Menerusi laman web peribadinya, Datuk Mun Yee mendedahkan dia mula aktif dalam sukan tersebut seawal usia 10 tahun lagi. Sejak itu, dia diberi kepercayaan mewakili Malaysia. Jelas beliau, penampilan pertamanya dalam Sukan Olimpik adalah ketika menyertai temasya sukan terbesar berkenaan di Sydney, Australia pada tahun 2000.
Waktu itu beliau baru berusia 15 tahun. Bertitik tolak daripada pencapaian membanggakan, Datuk Mun Yee berjaya meletakkan standard yang tinggi dalam kerjaya sukannya sehingga melayakkan diri dalam lima penyertaan Sukan Olimpik iaitu di Sydney pada tahun 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.
Rentetan pembabitan aktif dan dedikasi serta minat mendalam dalam sukan akuatik, Datuk Mun Yee mendapat pengiktirafan yang menyaksikan namanya tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak lima kali.
Tidak hanya berbakat dan cantik, Mun Yee merupakan graduan Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM). Jelas atlet berusia 37 tahun ini, “Pendidikan adalah sangat penting. Ia ibarat perjalanan sepanjang hayat yang membantu mengasah kemahiran dan pengetahuan seseorang secara peribadi mahupun profesional.”
Bersandarkan kejayaan, bakat dan kecantikan yang dimiliki, Datuk Mun Yee turut menjadi buruan syarikat iklan yang mahukan wajahnya menghiasi kempen produk keluaran mereka.
Syabas dan tahniah buat Datuk Mun Yee. Moga terus mengangkat martabat kaum wanita di mata dunia dan menjadi inspirasi ramai.
Kredit foto: Instagram Leong Mun Yee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menempa nama sebagai seorang penyanyi terkenal bukan tiket untuk Mila Jirin duduk bergoyang kaki. Sikap yang tidak pernah kenal putus asa dan berani mencuba, sehingga kini berbangga dengan kekukuhan Bizmilla Catering sebuah pakej perkhidmatan lengkap perkahwinan.
“Pada mulanya saya hanya terlibat dalam perniagaan berasaskan makanan sahaja. Pada tahun 2010 saya telah membeli sebuah restoran dekat Tasik Prima Puchong yang dikenali sebagai Restoran Embun Urai. Alhamdulillah sehingga ke hari ini restoran tersebut masih beroperasi dan banyak berjasa kepada kami suami dan isteri.
Kami menyediakan segala kelengkapan perkahwinan bakal mempelai hanya perlu menyediakan door gift dan kad undangan perkahwinan sahaja. Sebenarnya saya sangat terhutang budi dengan suami yang tidak pernah jemu mengajak dan mengajar saya tentang selok-belok perniagaan. Ingat lagi ketika saya berusia 19 tahun, suami (ketika itu teman lelaki) mengajak saya berniaga. Dia kata you should start. Namun ketika itu, saya masih tidak matang dan bersifat keanak-anakan dan mahu enjoy dunia remaja. Namun, alhamdulillah suami banyak memberi bimbingan dan motivasi diri saya agar tidak terus hanyut dalam dunia remaja yang tanpa arah tuju.
Sampai ke hari ini saya masih belajar sebab saya tidak mahu terleka. Saya juga banyak membaca buku-buku motivasi, kisah kejayaan orang-orang ternama, keusahawanan dalam negara dan juga luar negara. Kebanyakan pengalaman yang dikongsi oleh orang-orang berjaya ini adalah sentiasa belajar untuk menjadi yang terbaik,” jelas penyanyi yang telah menghasilkan sebuah album kompilasi yang bertajuk Best of Mila.
Dalam semua perniagaan pasti terdapat persaingan, begitu juga dengan perniagaan perkhidmatan perkahwinan ini, “Bagi saya untuk kekal relevan perlu sentiasa upgrade our service dan jaga perkhidmatan kita. Misalnya dewan perkahwinan kami setiap suku tahun kami akan tukar mengikut trend yang popular. Tidaklah tetamu yang hadir melihat dewan yang sama sahaja sepanjang zaman. Kami juga akan come out dengan new package dan sebagainya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam kehangatan filem Sangkar mula ditayangkan minggu ini, pasti peminat sukan MMA teruja untuk menyaksikan filem yang dilakonkan oleh Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah ini. Selain penglibatan kaum lelaki, wanita juga tidak kurang hebatnya apabila memasuki ‘sangkar’.
Bukan mudah melihat wanita yang fizikalnya gagah dan perkasa. Tiada istilah wanita lemah, itu persepsi baru penulis sebaik menyaksikan sendiri aksi Ann Osman bertarung di gelanggang MMA Fighting. Ketangkasan wanita ini menangkis serangan bertubi-tubi dan menyerang balas pihak lawan secara lebih taktikal mengangkat dirinya sebagai di antara atlet MMA wanita yang terkenal di seluruh dunia.
Kehebatan Ann Osman tatkala menyertai kejohanan seni mempertahankan diri atau Mixed Martial Arts (MMA) pada tahun 2015 lalu mendatangkan rasa teruja dan semangat patriotik yang kental di kalangan penonton yang hadir. Masakan tidak, Ann merupakan satu-satunya wanita Muslim dan antara wanita pertama di Malaysia yang tersenarai dalam kejohanan berstandard dunia itu. Persis dewi perang Greek, dia digelar Ann ‘Athena’ Osman kerana reputasi bertempur yang cemerlang!
Pertemuan Nona dengan wanita lasak ini diatur pantas setibanya Ann dari Sabah. Seorang wanita putih melepak dengan rambut ikal yang didandan kemas mesra menyambut salam penulis. Seperti tak percaya… inikah wanita sama di gelanggang tempoh hari? Ann yang berbadan dua cuma tertawa kecil. Dia mengangguk tanda mengiyakan.
Empat tahun lalu, nama Ann Osman dijulang dan disorak peminat meskipun bertubi-tubi dilayang tumbukan padu daripada pihak lawan. Hasilnya beliau berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori tersebut. Bermula tahun 2018, Ann akhirnya mengambil keputusan untuk tidak lagi berlawan di dalam ‘sangkar’. Pun begitu, dia masih lagi bergiat aktif di arena MMA dan menjadi salah seorang jurulatih yang memilih atlet-atlet di dalam negara.
Ternyata Ann membuktikan sukan yang dianggap ekstrem itu tidak sesekali melenyapkan sisi kewanitaannya apatah lagi wanita berusia 33 tahun ini merupakan seorang wanita yang gemar bersolek dan berhias cantik. Wanita berdarah campuran Sabah dan Selangor itu lebih selesa berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris memandangkan dia pernah dibesarkan di Amerika Syarikat. Sesekali terdengar juga loghat Sabah yang pekat, memandangkan dia dan keluarga menetap di sana.
Turut mendapat jolokan Wonder Woman Malaysia, Ann masih mengekalkan ciri-ciri kewanitaan yang sejati apabila tidak berada di dalam gelanggang. Buktinya sewaktu sesi fotografi di studio Ideaktiv baru-baru ini, Ann yang sarat hamil enam bulan kelihatan berseri-seri dalam persalinan maternity.
“Selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2016, saya teruja untuk memulakan kehidupan berkeluarga. Walaupun hamil, tapi saya masih mengekalkan rutin senaman dan kecergasan hinggalah usia kandungan mencecah 8 bulan. Siapa kata orang mengandung tak boleh bergerak aktif? Sebenarnya bersenam amat baik untuk proses kehamilan. Tapi sebelum melakukan apa-apa senaman, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan fizikal serta memastikan senaman tersebut tidak membahayakan bayi di dalam kandungan,” terangnya.
Umum sedia maklum kejohanan seni mempertahankan diri memerlukan ketangkasan dan kemahiran yang tinggi. Menurut Ann, minat untuk mempelajari seni atau skil mempertahankan diri itu bermula sejak tahun 2012. Bersandarkan minat, dia fokus terhadap latihan hingga melayakkan diri ke peringkat profesional. Selain itu, rutin dan gerakan dalam seni mempertahankan diri juga ibarat senaman yang bagus untuk kesihatan.
“Walaupun saya bermula tanpa sebarang latihan formal, saya sebenarnya seorang yang aktif dalam sukan. Sukan seperti bola jaring dan bola keranjang merupakan kegemaran saya ketika di zaman persekolahan. Apabila saya diberi kesempatan untuk mencuba seni mempertahankan diri dan seterusnya mixed martial arts, saya teruja untuk mencuba sesuatu yang baru.
Tambahan pula, ketika itu saya sudah mula bekerja dan terpaksa berjalan seorang diri untuk berulang-alik ke tempat kerja. Suatu hari berlaku detik mencemaskan. Saya pernah berdepan situasi menakutkan apabila kereta diekori oleh orang tidak dikenali. Sejak peristiwa itu, saya nekad mengambil kelas seni mempertahankan diri dengan menyertai Muay Thai.
Minat terhadap sukan seni mempertahankan diri semakin mendalam dan saya akan berlatih sekerap mungkin. Selepas beberapa bulan menjalani latihan, jurulatih mencadangkan agar saya mengikuti pertandingan Amateur MMA di Petaling Jaya. Walaupun saya tewas dalam pertandingan tersebut, tetapi ia telah membuka jalan untuk saya terus mencuba.
Setahun kemudian, saya ditawarkan untuk bertanding di platform MMA terbesar di Asia iaitu ONE Championship dan menjadi wanita pertama Malaysia untuk bertanding di kejohanan sukan MMA pada peringkat antarabangsa,” ujar Ann yang beranggapan wanita sememangnya mempunyai dorongan adrenalin yang tinggi untuk mencuba sesuatu di luar batas akronim seorang wanita.
Kini Ann mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan berasaskan pelancongan lasak bersama suami tersayang. Selain itu, Ann turut menyandang jawatan sebagai Pengurus Atlet dan Bakat di One Championship. Walaupun telah mencecah usia 33 tahun, dia merasakan belum tiba masanya untuk bersara dari bidang sukan seni mempertahankan diri.
Atas inisiatif ingin melihat lebih ramai wanita menyertai sukan yang dianggap lasak ini, Ann sering berkongsi kelebihan serta perkembangan sukan tersebut bersama para pengikut di laman Instagram. Sesekali dia diundang ke institusi pengajian tinggi untuk menyampaikan ceramah serta berkongsi pengalaman yang dilalui.
“Ramai orang Asia tersalah anggap bahawa wanita itu lemah dan patut menjauhi sukan seperti seni mempertahankan diri. Tapi bagi saya, kaum wanita sebenarnya sangat kuat dan berpotensi luar biasa dari aspek kekuatan fizikal dan mental. Saya selalu percaya dengan kata kata ‘You never know your limits unless you push yourself to them.’
Seni mempertahankan diri bukannya sebuah sukan yang mudah tapi itulah yang menyebabkan saya jatuh cinta padanya. It teaches me so much. Bukan sahaja dari segi teknik tapi juga menghargai kehidupan seperti mempelajari rasa hormat terhadap rakan sepasukan dan tidak mudah putus asa. Ia juga membina karakter dan keyakinan diri agar kita tidak cepat mengalah. Saya yakin ramai wanita akan menikmati kepuasan dalam bidang sukan seni mempertahankan diri ini,” ujar Ann seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.