
Berbicara tentang bulan madu, ramai pasangan suami isteri terutamanya yang baru mendirikan rumahtangga membayangkan suasana indah, duduk di tepian pantai sambil menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang menenangkan.
Ada juga yang menggambarkan bulan madu di luar negara seperti di Switzerland ataupun Paris. Begitulah impian suasana bulan madu. Namun anda perlu tahu, bulan madu boleh juga dicipta walau hanya di rumah.
Ia sebenarnya mampu menjadi tempat paling romantik untuk anda dan pasangan. 6 cara ini boleh dilakukan bagi menjayakan bulan madu di rumah. Sesuai juga buat pasangan yang sudah lama mendirikan rumahtangga.
CIPTA SUASANA ROMANTIK
Ubah suasana bilik tidur seperti pasang lampu yang malap dan tukar cadar yang baru. Untuk lebih romantik lagi, beli bunga mawar segar. Letakkan di bilik tidur atau meja makan. Bunga mawar memang terkenal sebagai lambang kasih sayang dan cinta.
BEBAS DARIPADA URUSAN KERJA
Sampaikan pesanan cinta lebih awal kepada pasangan bahawa anda berdua akan menikmati malam yang romantik. Pastikan malam yang anda pilih itu bebas daripada urusan kerja. Kalau boleh matikan telefon bimbit pada malam romantik itu. Ingat, jangan sesekali fikirkan tentang kerja yang belum selesai di pejabat.
HIDANGAN ISTIMEWA
Suasana romantik pasti tidak akan lengkap tanpa makan malam istimewa. Sediakan menu kegemaran pasangan. Lengkapi makan malam romantik anda dengan nyalaan lilin bersama kuntuman mawar merah di atas meja.
PENAMPILAN MENARIK
Pilihlah pakaian yang dapat memberikan kesan romantik selain cantik, baru dan ‘seksi’ untuk tatapan pasangan. Ingat, pakaian yang berbeza akan menambahkan kelainan suasana. Begitu juga suami, pilihlah pakaian yang menyenangkan di mata isteri.
IRAMA DAN LAGU
Tidak lengkap makan malam tanpa iringan muzik romantik. Tidak salah juga jika anda mengajak pasangan untuk menari. Apa hendak dimalukan, bukankah di rumah hanya anda berdua saja? Tetapi jika anda tidak sukakan muzik, carilah filem romantik untuk ditonton bersama.
PELUKAN ERAT
Selesai makan malam dan menonton filem romantik, berikanlah pelukan dan ciuman penuh bermakna buat pasangan. Secara tidak langsung, ia membuatkan anda terasa semakin dekat dan intim dengan pasangan.
Umur 57 Tahun, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim Rasmi Bergelar Pesuruhjaya Sumpah, Fokus Kerjaya Di Gombak

Teduh dan nyaman, suasana hijau di lingkungan mahligai Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim menebar ketenangan. Pertama kali berkunjung ke sini, tak lepas mata memandang keindahan banglo yang tersergam. Cukup segalanya, lengkap sebuah pejabat Pesuruhjaya Sumpah di tepi lot kediaman.
Dinamakan sebagai Beyt Sitte Elhabayeb 9922, di sinilah warga Gombak dipelawa mendapatkan perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah. Rupa-rupanya penceramah yang juga ahli politik disegani ini sudah pun memulakan karier barunya bermula 2 Februari 2022 lalu.
“Alhamdulillah setelah hampir setahun saya melalui kursus dan peperiksaan di bawah Mahkamah Persekutuan, akhirnya saya dilantik sebagai Pesuruhjaya Sumpah untuk berkhidmat di kawasan Gombak.


Saya jadi macam pelajar balik, saya pun tak tahu kenapa saya cabar diri saya begitu (ketawa). Ramai orang tanya, ‘kenapa nak ambil ya, berapa sen je orang bayar Pesuruhjaya Sumpah ni? Satu surat akuan sumpah baru RM4 je.’
Saya jawab, ia bukan tentang RM4 tapi tentang mencabar diri untuk belajar semula dan mengetahui lebih banyak tentang undang-undang.
Saya pernah menjadi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kini saya nak mencabar diri saya dalam bidang kehakiman dan perundangan pula.
Sebagai seseorang yang datang daripada latar belakang keagamaan dan syariah, ia langsung tak sama dengan bidang kehakiman.
Saya cuma belajar secara cepat untuk jadi Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen yang baik, mengikut basic requirement.
Jadi sekarang bila dah bukan siapa-siapa, saya ambil keputusan dalam waktu PKP – ‘Kenapa tidak saja belajar untuk menjadi Pesuruhjaya Sumpah?’ Sebab saya rasa itu sesuai untuk seseorang yang dah ada latar belakang ini.” Dato’ Dr. Mashitah
Mengenali peribadi hebat isteri kepada Dato’ Abdul Shakur Abu Bakar ini, Dato’ Dr. Mashitah sebenarnya bukanlah insan yang asing dalam arena pendidikan tinggi negara kerana pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 16 tahun bermula 1988 hingga 2004.
Anak kelahiran Kedah yang mendapat pendidikan menengah di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah (1977-1982) tersebut mempunyai latar belakang pendidikan tinggi yang cemerlang iaitu merupakan lulusan Sarjana Muda Tafsir dan Hadis dari Universiti Al-Azhar Mesir (1984-1987) serta memiliki Ijazah Sarjana Shariah Islamiyyah (1994) dan Doktor Falsafah (PhD) Shariah Islamiyyah (1997) dari Darul Ulum, Universiti Kaherah, Mesir.
Malah, beliau turut memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Revealed Knowledge and Heritage dari UIAM (1991). Dato’ Dr. Mashitah mula menceburi bidang politik apabila memenangi kerusi Parlimen Baling pada Pilihanraya Umum 2004 dan terus diberi kepercayaan oleh Kerajaan untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri selepas itu (2004-2008).
Pada 2008, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Dato’ Dr. Mashitah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui lantikan sebagai Senator.
CABARAN
Ditanya bagaimana timbulnya minat untuk kembali mentelaah dan mendalami buku undang-undang pada usia begini, Dato’ Dr. Mashitah sempat tertawa kecil.
“Memang sangat mencabar. Saya terpaksa menghadapi peperiksaan, 1 soalan 1 minit untuk jawab, sebanyak 60 soalan. Saya kata – ‘Biar betul at the age of 57 ni! Kuat lagi ke memori nak ingat ni!’ (ketawa)
Alhamdulillah dalam banyak-banyak beratus orang tu, akhirnya berjaya. Ada orang yang sampai 10 kali peperiksaan pun tak berjaya. Sebab peperiksaan ni agak sukar, banyak buku yang kena dibaca dan lebih lagi tentang undang-undang ni kita kena ‘sharp’.
Saya duduk dalam bidang politik, saya dilatih untuk membolehkan apa saja. Yang tak boleh pun kita kena bagi boleh, sebab kita politician. Iyalah, nak bagi rakyat seronok. Itu kita punya latihan dulu. Tapi duduk dalam undang-undang, it’s a big NO. A is A. Tidak ada tolak-ansur. Ia melatih saya kepada satu bidang baru.

Menjadi Pesuruhjaya Sumpah, saya perlu lebih precise, sharp, tepat, tidak boleh tersilap. Kena tepat betul, kalau orang datang, kena periksa dulu latar belakang sebelum nak tanda tangan.
Pastikan betul ke dia ni tanpa dipaksa untuk sumpah dia, apa afidavit yang dibawa, kita ni sebagai pembantu Mahkamah apa exhibit dia… A lot of things yang saya belajar dalam satu dunia baru.” Dato’ Dr. Mashitah
KERJAYA
Dato’ Dr. Mashitah turut berkhidmat dan menyumbang dalam pelbagai lapangan lain berkaitan institusi agama Islam, pendidikan dan industri antaranya Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (2012-kini); Pengarah Grand Commerce Network Sdn. Bhd (2014-kini) dan Panel Perunding Majlis Perundingan Islam (MPI) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (2015-2018).
Beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 28 September 2020 hingga 27 September 2022. Pelantikan beliau dibuat oleh YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi adalah selaras dengan Seksyen 17(1)(f) Perlembagaan USIM (Wakil Swasta).
Mengakhiri pertemuan singkat kami, Dato’ Dr. Mashitah turut berkongsi perasaannya dengan kehidupan yang dijalani kini.
“Alhamdulillah saya rasa kini saya juga dah menetap langsung di Gombak. Kalau dulu saya berpolitik di Baling, agak sukar. Jadi bila bermula PKP hari tu, saya dah tak boleh balik. Susah nak bergerak ke luar kawasan.
Selepas bincang dengan Presiden Parti untuk bertukar, menumpukan kerjaya politik saya di Gombak supaya tak menyusahkan saya untuk berulang-alik. Akhirnya mendapat restu.
Jadi saya banyak menumpukan karier politik di Gombak sekarang. Anak-anak pun alhamdulillah, ketiga-tiganya sudah berkahwin. Saya rasa penumpuan pada keluarga tu, dapat lebih banyak berbanding dulu.
Di peringkat-peringkat umur ni, saya mahu kestabilan. Dulu kita tak stabil, terpaksa berulang-alik. Di sini tinggal, di sana kena tengok. Sekarang saya rasa diri saya lebih stabil.
Saya ada karier, saya masih lagi boleh berpolitik dan dalam masa yang sama, saya ada pejabat yang kondusif dengan rumah saya. Saya boleh bagi semua orang hak masing-masing.” Dato’ Dr. Mashitah
Corat Coret Di Sebalik NONA SUPERWOMAN AWARD 2022. Siapa Paling “Dicari” Di Malam Penuh Berprestij itu?

NONA SUPERWOMAN AWARD 2022 telah melabuhkan tirainya minggu lalu. Biarpun sudah seminggu berlalu, namun ia masih hangat diperkatakan di media sosial apatah lagi dengan kehadiran bukan sahaja selebriti tempatan, malah ia turut dihadiri oleh usahawan wanita berjaya serta kerabat diraja yang dekat di hati rakyat jelata.
Majlis gilang gemilang itu telah diadakan pada 11 Januari 2023 bertempat di President Ballroom, M Resort Hotel Kuala Lumpur.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra mencemar duli sebagai tetamu kehormat majlis merupakan satu penghormatan buat Majalah NONA sempena edisi NONA Superwoman Award 2022 kali ini. Che Puan Mahkota merupakan penerima NONA Royal Award pada edisi NONA Superwoman Award 2020 yang lalu.
Berikut NONA senaraikan corat-coret sepanjang majlis berprestij itu.
1. Kereta Pink Fazura
Dinobatkan sebagai penerima Anugerah NONA Hijab Business Award, Fazura memuat naik sekeping foto kereta Proton Perdana rona merah jambu yang digunakannya ketika menghadiri majlis tersebut. Rata-rata peminat memuji sifat humble Fazura yang menaiki kereta buatan Malaysia itu ke majlis tersebut. Menurut info, kereta tersebut merupakan pemberian Proton kepada Fazura ketika aktress berkenaan menjadi duta jenama berkenaan.
2.Juliana Evans Hamil Anak Kedua?
Pelakon jelita, Che Puan Juliana Evans dikatakan sedang hamil anak kedua selepas perhatian peminat tertumpu pada keadaan perutnya yang kelihatan seperti bentuk ‘baby bump’. Perkara tersebut disedari peminat selepas Juliana berkongsi hantaran dalam Instagram apabila tampil menggayakan baju gaun berwarna kuning menghadiri NONA Superwoman Award 2022 baru-baru ini. Che Puan Juliana Evans menerima anugerah NONA Beauty Award. Namun tiada pengesahan dari empunya diri mengenai spekulasi tersebut.
3. Busana KUBIS Rozita Che Wan.
Penampilan Rozita Che Wan di atas karpet merah Nona Superwoman Award 2022 turut mengundang perhatian. Busana KUBIS dress rekaan @behati.my itu mengambil inspirasi ‘Chinese Flower Ball Dress’ yang secara tradisinya melambangkan kemakmuran. Memang memukau dan lain dari yang lain. Mentang-mentanglah perayaan Tahun Baru Cina bakal menjelma tak lama lagi!
4. Marion Caunter, Ziana Zain & Dato Sri Siti Nurhaliza ‘Kirim Pesanan’ Dari Jauh.
Meskipun nama-nama besar seperti Dato Sri Siti Nurhaliza, Marion Caunter dan Ziana Zain tidak dapat menghadiri majlis berprestij berkenaan kerana berada di luar negara dan mempunyai komitmen lain, tetapi selebriti kesayangan ramai ini sempat menitipkan pesanan istimewa untuk Majalah NONA. Major love!
5. Ustazah Asma’ Harun Paling Di Cari-Cari Sepanjang Majlis
Penampilan Ustazah Asma’ Harun di malam NONA Superwoman Award 2022 sememangnya menjadi tumpuan di kalangan media dan wanita-wanita usahawan. Penerima NONA Motivator Award ini melayan mesra setiap permintaan media yang meminta dirinya mengulas isu-isu semasa berkaitan agama serta bergambar dengan penerima anugerah NONA Superwoman 2022 yang lain.
6. Anak Lelaki Toh Puan Ragad Kurdi Taib Jadi Perhatian
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib menerima anugerah NONA VIP Award yang disampaikan oleh Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra. Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ini diiringi oleh anaknya, Nizar Madi ke atas pentas untuk menerima anugerah tersebut.
Anak Perempuan Pengasas Kosmetik Dnars Skincare Bertunang, Cantik Siap Pelamin Morocco Style!

Suka bercampur rindu, itulah momen anak perempuan pengasas kosmetik Dnars Skincare ketika bertunang, cantik majlisnya siap pelamin Morocco Style!
Bersatu hati dalam satu majlis, ikatan pertunangan tanda janji yang manis. Mengintai kemeriahan majlis bertunang Irdina Hakim Jasman atau Dnar, terserlah riak wajah gembiranya menjelang hari bahagia yang berlangsung pada Jumaat, 11 Oktober 2024.
Bertempat di kediaman ibu, Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan, seluruh suasana mahligai itu bertukar wajah.
Selain dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat, majlis bertunang dan menyarung cincin ini dihias indah dengan panel kerawang ukiran kayu bercorakkan Timur Tengah dan bunga-bungaan putih.







Suka bercampur rindu, itulah momen anak perempuan pengasas kosmetik Dnars Skincare ketika bertunang, cantik majlisnya siap pelamin Morocco Style!
Persis majlis perkahwinan sebenar, perunding dekorasi majlis bijak menghias pelamin mengikut permintaan Dnar.
“Pelamin Dnar pilih ni ialah Morocco Style jadi takde yang dah ready untuk barang-barang ni sebab jarang orang buat.
Tapi Dnar request dengan Awie D Pesona Bridal dan mereka custom semua termasuk ukiran. Semua Dnar serahkan kepada mereka, cuma maklumkan tema dan warna.
Dnar dan pasangan bayar RM6,000 saja untuk pelamin ni sebab kami dah ada baju dan buat mekap sendiri. Sebenarnya pelamin ni sesuai untuk kahwin tau, cantik dan eksklusif,” kongsi Dnar sambil mempelawa bakal pengantin di sekitar Kelantan mendapatkan pelamin yang sama pada harga RM7,500 (pakej penuh).
Namun paling meruntun kenangan, adalah sekeping gambar Dnar disamping Allahyarhamah ibu tercinta yang dibingkai kemas berdekatan pelamin.
‘And I always need you till my last breath when I’m getting older.’



Ringkas tulisan Dnar menggambarkan rindu yang tertahan. Sebagai anak kedua dan anak perempuan sulung dalam keluarga, beliau diuji kehilangan figura seorang ibu ketika usia baru mencecah belasan tahun.
Kini berusia 21 tahun, Dnar bangkit daripada kesedihan menyambung legasi jenama kosmetik DnarsSkincare tinggalan Allahyarhamah Faziani Rohban. Pengasas hebat itu meninggal dunia pada Mei 2019 akibat nahas kemalangan jalan raya.
Memiliki raut wajah yang saling tak tumpah seperti ibu tersayang, adik kepada Iqbal Hakim itu aktif berniaga menggunakan platform media sosial.
Mengimbau kenangan sewaktu Allahyarhamah ibunya menjadi penghias kulit depan Majalah Nona edisi Mei 2016, mendedahkan nama jenama kosmetik Dnars dipilih bersempena singkatan nama Irdina sendiri.
BAHAGIA
Mengikat tali pertunangan selama 6 bulan, majlis pernikahan Dnar dan pasangannya dijangka berlangsung pada April 2025.
“Terima kasih untuk 5 tahun 9 bulan 12 hari perkenalan, my life isn’t complete but you did it perfectly.
Doa ini dilangitkan di tanah suci-Mu pada 17/8/2024 dan Kau mempermudahkan segalanya pada 11/10/2024. Alhamdulillah untuk fasa ini dan bismillah untuk fasa ke seterusnya.”



Menyifatkan jejaka pilihan hatinya sebagai lelaki terbaik dan paling memahami, Dnar sempat menitipkan pesan bahawa setiap manusia layak dicintai.
“Usah downgrade diri demi lelaki, usah juga merayu-rayu atau memilih lelaki terlalu kaya kerana dia akan membuang awak sesuka hati. Apa yang Dnar cerita ni ikut pengalaman sendiri.”
Sempena majlis pertunangan tersebut, Dnar memilih sepasang dress labuh rona krim dengan sulaman emas rekaan pereka fesyen Kashfi Zulkufli. Wajah ayunya di tatarias oleh jurusolek artis, Amy Hana bertemakan Arabic look, menyempurnakan tema majlis dengan konsep serupa.
Semoga bahagia mengiringi kedua-dua bakal mempelai. Adat berdarah manis, bersabarlah meniti pelbagai ujian semoga ikatan jodoh berpanjangan hingga ke jenjang pelamin. Tahniah Dnar!
Masih terkenang kemesraan Allahyarhaman Faziani Rohban sewaktu team Nona bertamu ke kediaman miliknya di Kelantan, jom saksikan video house tour ini…
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/hilang-figura-ibu-usia-15-irdina-bawa-semangat-faziani-rohban-sambung-legasi-dnars/