Masjidil Haram adalah satu di antara 3 destinasi yang sangat dituntut untuk dikunjungi oleh umat Islam selain Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.
Sebagai seorang yang beragama Islam pasti menyimpan hasrat dan cita-cita agar suatu hari nanti dapat menjejakkan kaki dan bersolat di Masjidil Haram. Bagi mereka yang sudah sampai ke masjid ini pula pasti mempunyai perasaan untuk datang berkunjung lagi dan lagi.
Bagi menyemarakkan lagi rasa rindu untuk bersolat di Masjidil Haram, kita mempunyai alternatif dengan berkunjung ke Masjid Razaleigh yang merupakan ikonik terbaharu di Gua Musang, Kelantan.
Ads
Berkeluasan 70,000 kaki persegi, Masjid Razaleigh ini direka dengan rekaan unik dan menarik menggunakan binaan berkualiti tinggi termasuk jubin dibina di atas tapak seluas 1.5 hektar.
Mula dibina pada akhir 2016, Masjid Razaleigh telah diilhamkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ini mampu menampung sehingga 3,500 jemaah pada setiap masa dengan dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah mirip Masjidil Haram.
Ads
Kerja-kerja akhir pembinaan masjid sejak tiga tahun lepas yang menelan belanja RM28 juta masih berjalan dan bakal siap hujung tahun ini ataupun tahun hadapan.
“Masjid Razaleigh adalah yang termoden di negara ini dan belum ada dibina di tempat lain. Ia bercirikan Masjidil Haram di Makkah termasuk disediakan ruangan belajar tawaf bagi bakal haji mengikuti kursus secara sebelum ke Makkah,” kata Tengku Razaleigh.
Ads
Tambah Tengku Razaleigh, beliau sendiri mengeluarkan idea untuk membina masjid baharu termoden dan tercanggih itu supaya dapat memberi keselesaan bukan sahaja kepada jemaah daripada penduduk tempatan tetapi juga pengunjung dari luar.
“Kita sentiasa pantau pembinaan masjid ini supaya ia dapat disiapkan ikut jadual dan mempunyai seni bina menarik seperti yang kita lihat Masjidil Haram di Makkah.
“Masjid yang terletak ditapak Balai Polis lama di bandar lama, disini, bila dibuka nanti ia akan menjadi mercu tanda baharu bagi mengantikan masjid lama kerana kerap tenggelami banjir,” kata Tengku Razaleigh.
Dunia seni tempatan semakin meriah dengan kehadiran pendatang dan wajah baharu. Tidak ketinggalan empunya nama Syerinie Myra, 17 tahun seorang pelakon muda yang cukup mencintai bidang seni. Walaupun usianya masih hijau, ia tidak menjadi halangan bagi Syerinie atau lebih mesra disapa Myra untuk mengejar cita-citanya dalam karier yang dicintainya. Antara drama yang pernah dibintangi Myra termasuklah Ti Amo Sweetheart 100 hari!, Semusim Rindu, Hantu Punya Bos dan Sedingin Cinta Antasya.
Sudah berada didalam industri seni selama 3 tahun menjadikan anak sulung daripada 4 beradik ini semakin matang. Walaupun masih di bangku sekolah dan bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini, Myra bijak membahagikan masa antara pelajaran dan minat dalam bidang lakonan. Baginya, tiada yang mustahil selagi dia mempunyai peluang untuk menggapai bintang dilangit sekaligus mencipta kejayaan di usia yang muda.
BAGAIMANA ANDA BOLEH BERKECIMPUNG DALAM BIDANG SENI?
Sejujurnya, permulaan karier saya bermula daripada laman Instagram. Saya mendapat DM (direct message) dari penerbit David Teoh yang mengajak saya untuk pergi ke casting daripada produksi beliau. Saya masih ingat ketika itu saya berada di tingkatan tiga. Bermula dari situ, saya mula berjinak-jinak dalam bidang seni. Saya mula dengan menjadi model untuk iklan dan seterusnya mendapat beberapa tawaran untuk berlakon.
BAGAIMANA ANDA MEMBAHAGIKAN MASA ANTARA BELAJAR DAN BERLAKON?
Sejujurnya ia agak susah bagi saya. Apabila saya terlibat dengan penggambaran, saya terpaksa mengambil cuti dari sekolah. Namun, jika saya ada sesi penggambaran pada waktu pagi hingga petang, saya akan mengambil kesempatan pada belah malam untuk mengulangkaji pelajaran. Selain itu, saya ada mengambil kelas tambahan bagi menggantikan semula sesi pembelajaran yang saya terlepas di sekolah.
KONGSIKAN KENANGAN MANIS DAN PAHIT YANG SUKAR DILUPAKAN SELAMA BERADA DIDALAM BIDANG SENI
Kenangan manis, saya dapat berlakon Bersama Datuk Awie. Beliau mempunyai nama yang besar dalam industri seni dan saya berasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan beliau. Selain itu, saya amat teruja dapat digandingkan bersama pelakon yang amat berbakat iaitu Syukri Yahya. Kenangan pahit yang boleh dikatakan disini ialah saya pernah berada dibawah pengurusan yang tidak sistematik. Ia sedikit sebanyak memberi kesan pada perjalanan karier saya.
BAGAIMANAKAH ANDA MELIHAT INDUSTRI SENI BUAT MASA SEKARANG DAN APAKAH CABARANNYA?
Pada pendapat saya, sebagai pendatang baharu, kita harus bijak dan tidak menyalah guna kelebihan yang kita ada. Sebagai contoh, sekarang ini zaman digital. Kita lebih terdedah dengan teknologi seperti media sosial yang boleh dijadikan platform untuk menonjolkan diri hingga boleh menjadi viral sekaligus dikenali ramai. Apa yang penting, kita harus bijak menggunakan sosial media dan harus menyeimbangkan dengan kehidupan kita. Dari segi cabaran dalam bidang seni, saya boleh katakan persaingan dengan wajah-wajah baharu. Apa yang saya lakukan ialah be different.
APAKAH PRINSIP HIDUP YANG DIPEGANG SELAMA INI?
Prinsip yang saya pegang selama ini ialah sentiasa percaya dengan diri sendiri. Saya boleh dikatakan kurang mempunyai keyakinan diri dan masih rendah. Saya selalu letak dalam diri saya bahawa saya boleh lakukannya walaupun kadang-kadang saya rasakan ia susah. Saya bersyukur kerana mempunyai support system seperti kawan-kawan saya dan paling menyokong saya untuk terus aktif dalam bidang ini ialah ibu saya sendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ratu cantik datang dan pergi, namun berapa ramai saja yang tetap meneruskan misi kemanusiaan mereka demi “world peace” yang dicanang-canang ketika sesi soal jawab di atas pentas, namun tidak bagi Deborah Henry.
Walaupun sudah tidak terlibat dalam bidang ‘pageantry’ sejak 2011, sewaktu beliau mewakili Malaysia pada pertandingan Miss Malaysia World 2007 dan Miss Universe Malaysia 2011, namun siapa menyangka empunya badan masih lagi aktif dengan aktiviti kemanusiaan.
Berkelulusan University of Queensland, Australia; Deborah yang mula berkecimpung dalam dunia peragaan seawal usia 14 tahun lagi, dilahirkan di Dublin dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Kini, Deborah dilihat sibuk mengurus dan mengusahakan Fugee School, sebuah badan atau organisasi sosial tanpa keuntungan yang memberikan perlindungan dan bantuan seperti tempat tinggal dan pendidikan kepada anak anak pelarian atau ‘refugees’.
Namun tidak semuanya mudah buat Deborah apatah lagi dirinya perlu berhadapan dengan stigma masyarakat terhadap pelarian atau pendatang. Jelas Deborah dalam satu temubual media, “ Bagi sesetengah rakyat Malaysia, pelarian dianggap komuniti yang menakutkan. Rakyat Malaysia tidak tahu siapa mereka, dari mana mereka berasal, atau apa yang mereka mahu lakukan apabila mereka berada di sini”.
Sejak memenangi gelaran Miss World pada 2007, Deborah kekal dan masih memperjuangkan nasib pelarian apatah lagi ia dianggap satu tanggungjawab “untuk melakukan sesuatu” selepas melihat sendiri apa yang mereka lalui.
“Saya mula menyedari tentang situasi sukar yang dilalui pelarian di Malaysia apabila menjadi hos dokumentari berhubung pelarian untuk Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada 2008.
Semasa penggambaran, saya bertemu dengan keluarga pelarian Somalia dengan empat anak berusia 10 hingga 14 tahun. Kanak-kanak itu hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Mereka tidak pergi ke sekolah dan hampir tidak boleh bercakap, membaca atau menulis dalam bahasa Inggeris.
Selepas lebih sedekad memperjuangkan nasib pelarian di Malaysia, Deborah berkata disinilah Fugee School serta Fugeelah berfungsi. Fugeelah berhasrat memperkasakan perniagaan dan jenamanya untuk mewujudkan kesedaran mengenai nasib kanak-kanak dan belia pelarian dalam transit di Malaysia, dan pada masa yang sama memberi inspirasi kepada individu untuk mengambil tindakan dalam apa jua cara yang mereka boleh dan akhirnya melaksanakan perubahan, menerusi perusahaan barang kemas dan hiasan wanita.
“Jadi pada tahun 2014, saya mula menceburi perniagaan yang mampan untuk Fugee School bagi menjamin sumber untuk sekolah ini agar kami dapat menumpukan sepenuh masa dalam menambah baik program pendidikan kami dan membangunkan pendekatan yang lebih inovatif”, jelas Deborah dalam temubual bersama majalah Prestige.
Wajahnya sering kelihatan di majlis-majlis rasmi. Dengan penampilan sederhana dan tidak lekang mengukir senyuman, keperibadian Datin Seri Shamshida Taharin cukup menyenangkan. Bertentang mata dengan isteri kepada Menteri Besar Selangor ini ketika menjayakan sesi fotografi bersamanya dan ahli keluarga sekitar tahun 2017 ternyata satu pengalaman yang cukup manis. Melewati usia perkahwinan selama 29 tahun di samping Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pasangan ini telah dikurniakan enam cahaya mata iaitu Farah Shazliyana (27), Mohamed Ameer Shazrin (25), Farah Amira (24), Farah Afifah (22), Mohamed Basheer Noor Al-Haq (17) dan Mohamed Yusuf Al-Sadiq (15).
Hampir 3 dekad berkongsi hidup bersama Dato’ Seri Mohamed Azmin yang kini menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sudah pasti Datin Seri Shida cukup masak dengan sikap suami tercinta. “Dia di mata saya, seorang lelaki yang sangat beradat, beradab, pengemas dan sangat terperinci. Mungkin kerana terlalu mahir dalam matematik, dia mempunyai skil ketepatan dan ingatan yang amat kuat. Contohnya kalau dia bertugas di luar negeri, semua baju yang dipakai akan dilipat kembali, begitu kemas sampaikan saya keliru mana satu yang bersih atau kotor!
Pernah seorang pegawai Dato’ maklumkan pada saya, dia ni seorang yang sangat kemas dan kuat ingatan. Di atas meja, dia akan susun dokumen dengan cermat dan jika dia telefon dari luar negara, dia akan ingat di mana sesuatu dokumen itu disusun sebelum bertolak. Baris ke berapa, ditindih dengan apa. Tepat. Sebab tu kita tak boleh suka-suka alihkan barang dia.
Selain itu, Dato’ juga seorang yang pandai memasak, malah mungkin lebih handal daripada saya. Saya fikir dengan cara dia dibesarkan, banyak ilmu kepakaran memasak ibu mertua diturunkan kepadanya. Teringat ketika kami belajar di Amerika Syarikat dulu, dia juga yang memasak dan hantar juadah itu ke rumah saya. Bayangkan juga kaedah orang dulu-dulu buat nasi impit, tekan padat-padat dengan buku… Hah, macam itulah dia buat,” imbau Datin Seri Shida sambil tertawa.
Momen perkenalan pasangan genius ini menjadi perbualan kami seterusnya. “Sebagai anak guru, saya memang sentiasa didedahkan tentang pentingnya pelajaran oleh ibu bapa. Terutama sekali ibu saya, Puan Siti Rahmah Ismail (80). Alhamdulilah, ketika di Sekolah Menengah Sains Bukit Mertajam, Pulau Pinang, saya selalu menjadi top student dan mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester. Saya juga pernah ditawarkan untuk mendalami bidang perubatan tapi akhirnya saya menolak.
Saya masih ingat pertemuan dengan Dato’ buat pertama kali. Hari itu dia datang ke tempat saya di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Bukit Gambang, bersama wakil universiti bagi memilih pelajar terbaik ke University of Minnesota. Tanpa disangka, saya terpilih dan menerima biasiswa MARA untuk ke American Degree Program. Maka bermulalah kisah hidup saya sebagai anak perantau di Amerika.
Sayangnya ketika tiba di sana, bagasi saya hilang. Pihak syarikat penerbangan pula mengambil masa yang lama untuk mencari dan memulangkan bagasi itu. Maka secara tidak sengaja, bermulalah perkenalan kami dengan lebih rapat. Dia sebagai ketua pelajar, bertanggungjawab untuk mencarikan apartmen kami termasuk menguruskan hal ehwal pelajar baru Malaysia.
Pensyarah kami pernah mengusik. Katanya suami saya telah memilih saya dari awal untuk dijadikan isteri. Mungkin kerana selepas saya menamatkan baki pengajian dua tahun di Malaysia, tidak lama kemudian Dato’ pun masuk meminang. Tapi sebenarnya kami percaya pada jodoh dan alhamdulilah berkekalan sehingga ke hari ini,” kata Datin Seri Shida yang berbeza usia hanya setahun lebih muda daripada Dato’ Seri Azmin.
Selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat, Datin Seri Shida seterusnya bergelar pelatih di syarikat pembinaan EMKAY selama enam bulan dan di Malaysia Airlines sebagai management trainer selama enam bulan. Selepas mendirikan rumah tangga dengan Dato’, beliau menyertai Phileo Allied Bank sebagai konsultan. “Kini selain menumpukan perhatian pada anak-anak, masa saya lebih banyak terisi dengan program sendiri. Saya merupakan Pengerusi di Rumah Puteri Arafiah (di bawah kelolaan PEKAWANIS) yang merupakan sebuah rumah pemulihan dan perlindungan remaja bermasalah di antara usia 12 ke 21 tahun.
Saya dan anak-anak juga aktif berhubung melalui grup Whatsapp. Itulah cara kami bersembang dan mengeratkan hubungan bila masing-masing jauh di mata. Dato’ pula tidak memiliki Whatsapp dan saya fikir tak perlu pun kerana dia sudah begitu sibuk dengan tugasnya.
Sebenarnya sepanjang hidup suami saya, dia memang seorang yang selalu sibuk. Dari seorang ahli politik, sehingga bergelar ADUN, Ahli Parlimen dan sekarang, Menteri Besar, tingkat kesibukannya semakin lama semakin tinggi. Sebagai teman hidup, saya cuma mengikut apabila kehadiran diperlukan. Tapi sebenarnya saya suka berjumpa rakyat dan melalui program-program tertentu, saya seronok dapat menyalurkan amal jariah serta membantu golongan susah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!