Peminat K-Pop pasti tidak terlepas pandang kehadiran salah seorang bintang Blackpink ini. Memiliki wajah yang menawan, pesona Kim Jisoo mampu memikat hati siapa sahaja yang memandang.
Bersama-sama dengan anggota Blackpink, Lisa, Jennie dan Rose wanita yang berusia 27 tahun ini cemerlang dalam sesi jelajah dunia untuk berjumpa dengan BLINK.
Teruja melihat tour mereka menjelajah dunia dan bagaimana mereka berlatih tanpa henti demi menghiburkan peminat di seluruh dunia dalam Blackpink The Movie.
Bukan sahaja mencipta nama sebagai salah seorang anggota nyanyian lagu How You Like That, Jisoo juga semakin mendapat tempat di hati penggemar drama Korea yang melakonkan watak sebagai Eun Young-ro dalam drama Snowdrop yang ditayangkan di Disney Hotstar.
Melakonkan watak seorang pelajar Universiti Hosoo yang mengambil jurusan Kesusasteraan Inggeris dan jatuh cinta dengan Jung Hae-in (Im Soo-ho) yang melakonkan watak sebagai agen Korea Utara.
Drama ini merupakan drama pertama lakonannya dan nyata bakat lakonan yang ada dalam diri wanita yang lahir pada 3 Januari 1995 ini memang menyinar. Drama ini telah diterbitkan oleh JTBC.
Gandingan pasangan ini memang comel dan ramai peminat mendoakan agar mereka benar-benar bercinta di alam realiti. Melalui drama ini juga lagu One Way Ticket dendangan Eruption popular semula.
Ads
Foto: Instagram @sooyaaa__
Karier wanita yang gemar tersenyum ini tidak tertakluk kepada dunia nyanyian dan lakonan semata-mata. Kejelitaan dan populariti yang ada padanya telah menjadi pilihan Dior Beauty sebagai duta jenama tersebut.
Pada bulan Mac 2021, Dior telah menyenaraikan Jisoo sebagai duta global mereka. Ini menjadikan penyanyi ini salah seorang daripada 3 orang duta antarabangsa Dior. Dua daripada mereka ialah selebriti Natalie Portman and pelakon-model Cara Delevingne.
Malah, Jisoo juga terlibat dalam industri kosmetik negara asalnya iiatu Korea. Sebagai contoh wanita yang hebat menari ini merupakan Wajah atau Juru Cakap kepada jenama Kiss Me.
Hasil pendapatan yang diperoleh oleh wanita yang mempunyai 54.9 juta pengikut di laman Instagram ini khabarnya mencecah USD$10 juta setahun.
Memecah dominasi patriarki dalam bidang sains kimia dan nanoteknologi, pencapaian Academician Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan ini jelas amat membanggakan.
Eksklusif sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, Nona mengatur bicara dengan Saintis Akademik berusia 65 tahun itu demi meresap aspirasi dan semangat berbaktinya.
Lembut dan bersahaja. Begitulah personaliti Prof Halimaton, anak Johor dan ibu kepada dua cahaya mata ini. Siapa sangka di sebalik senyuman manis yang terukir di bibirnya, beliau memegang pelbagai portfolio penting di Malaysia.
Jika mahu disenaraikan segala anugerah, pencapaian, pengiktirafan, penulisan mahupun penyelidikan akademik Prof Halimaton di peringkat nasional dan antarabangsa, barangkali terlalu panjang untuk ditulis.
Selain bergelar Profesor Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Halimaton juga merupakan Pengerusi Malaysia Institute for Innovative Nanotechnology (NanoMITe), Pengerusi Lembaga Pentadbiran International Science, Technology and Innovation Center (ISTIC) di bawah UNESCO, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin serta Senior Fellow Akademi Sains Malaysia.
Tengoklah senarai tu, bukan calang-calang wanita mampu menggalas jawatan sehebat Prof Halimaton!
HARI WANITA
Tanggal 8 Mac setiap tahun diangkat sebagai hari istimewa untuk meraikan wanita di seluruh dunia. Bagi Prof Halimaton, beliau berbangga dengan pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains.
“Sebenarnya jika dibandingkan dengan negara membangun dan maju sekali pun, pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains hari ini sangat baik.
Wanita Malaysia bebas memilih bidang pengajian semenjak Malaysia merdeka dan telah menerima gaji dan sokongan yang sama.
Jadi melalui pengalaman dan pemerhatian saya, wanita dalam bidang sains di Malaysia telah membuktikan kebolehan mereka dalam penyelidikan, pembelajaran dan industri yang mereka ceburi.”
Bersandarkan falsafah hidup, ‘Tanya diri sendiri dan buat apa yang termampu tanpa menyusahkan orang lain,’ Prof Halimaton menjadikan arwah ayahnya sebagai sumber inspirasi. “Arwah seorang yang tegas, berintegriti dan mengutamakan pendidikan dalam kehidupan.”
Sedekad kebelakangan ini, nama Prof Halimaton cukup masyhur dengan gelaran ‘Prof Maerogel’ susulan penemuan beliau mencipta aerogel daripada sekam padi. Bagaimana agaknya perkembangan penemuan tersebut setakat ini?
“Aerogel daripada sekam padi (Maerogel) yang ditemui telah menerima paten Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Penghasilan Maerogel telah dibangunkan di peringkat pasca-makmal dan pra-komersial.
Melalui kajian lanjutan yang telah dijalankan, berasaskan permintaan industri, teknologi penghasilan aerogel silika telah dipertingkatkan, yang mampu menyelesaikan masalah keselamatan dan penggunaan tenaga yang tinggi.
Penghasilan aerogel silika menggunakan teknologi Renewable Silica (RenSil-A) ini telah diuji untuk penggunaan oleh industri penebat haba (insulation blanket), sarung tangan, kabel elektrik dan paip gas dan minyak.
Dengan kerjasama daripada industri, projek penghasilan RenSil-A yang pertama akan dibangunkan dalam masa terdekat,” cerita Prof Halimaton panjang lebar.
Terkini, saintis akademik hebat ini sedang dalam fasa akhir projek penyelidikan NanoMITe (2015-2020). Mereka sibuk membangunkan sistem pirolisis pasca penyelidikan bagi penghasilan bahan api jet (jet biofuel) daripada biojisim kelapa sawit.
“Kami juga dalam proses komersial produk dan teknologi penyelidikan, merancang hala tuju strategik dan pengurusan ISTIC, memperbaiki perlaksanaan pembelajaran atas talian pasca COVID-19 di UTM, melaksanakan program pemerkasaan ilmu STEM kepada guru bersama ISTIC dan Pusat STEM serta merancang hala tuju strategik penyelidikan nanoteknologi (NanoMITe).”
Sebagai ahli akademik, Prof Halimaton tidak menafikan turut bimbang dengan masa depan pendidikan sains pasca COVID-19.
“Pendidikan sains sangat terjejas oleh pandemik. Seperti yang kita maklum, pendidikan sains di Malaysia sedang dalam proses pemerkasaan dengan menerapkan pendekatan belajar memahami dengan melakukan eksperimen.
Pandemik COVID-19 telah memaksa pembelajaran atas talian dijalankan secara tiba-tiba yang merencatkan pembelajaran sains khususnya. Justeru, kita menghadapi cabaran yang sangat besar untuk memastikan pembelajaran sains yang telah tertinggal di semua peringkat dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Pelajar perlu mampu mengubah ilmu sains alam maya ke alam nyata sebaik sahaja mereka bersekolah semula,” luahnya sambil menyatakan alangkah baik jika rakyat Malaysia telah dibekalkan dengan ilmu sains yang menyeluruh sebelum ini.
Generasi zaman ini lebih cenderung belajar secara visual, kurang kemahiran motor, jauh sekali minat terhadap sains. Komen Prof?
“Kecenderungan ini bukan atas dasar keperluan tapi kemudahan. Sekiranya pembuat polisi memahami keperluan asas pembelajaran sains adalah melalui pendekatan membuat dan mengalaminya secara nyata dan diberikan keutamaan, minat terhadap sains pasti dapat dikekalkan.
Sebagai contoh, dengan melihat video orang memasak sesuatu resipi tidak menghasilkan makanan yang sedap jika kita tidak memasak sendiri dan memahami ilmu yang terlibat.”
YAYASAN MYPRIHATIN
Selain bidang pendidikan, Prof Halimaton juga aktif dalam bidang amal kebajikan. Antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin.
“MyPrihatin telah ditubuhkan oleh sekumpulan pemuda untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan dan sihat.
Badan amal ini berhasrat melaksanakan program tertentu, menggunakan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat untuk dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.
Pengalaman saya dalam akademik dan bidang sains mendorong saya untuk membantu Yayasan menyumbang ke arah tersebut. Kita mahu membantu golongan yang memerlukan untuk mendapatkan ilmu yang sesuai untuk membantu kehidupan masa hadapan.
Banyak pengalaman berharga yang ditimba sepanjang bergelar Pengerusi Yayasan MyPrihatin. Namun salah satu yang paling bermakna bagi saya adalah sewaktu kami bekerjasama dengan Yayasan IJN.
Ketika itu MyPrihatin telah membantu melalui proses logistik yang membolehkan ramai pesakit kanak-kanak untuk menjalani pembedahan di IJN. Ramai pesakit kanak-kanak daripada golongan keluarga B40 dapat dibantu untuk mendapatkan rawatan di IJN.
Pengalaman itu cukup-cukup berharga bagi saya,” akhirinya.
Syabas Prof Halimaton! Nona mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia 2021 buat seluruh wanita yang sentiasa berbakti, berkorban masa dan keringat demi masa depan anak pertiwi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa cukup beruntung kerana dikurniakan aura luar biasa menerusi ceramahnya hingga mampu membuatkan para pendengar tersentuh hati dan kembali ke jalan kebaikan. Dengan raut wajah sejuk mata memandang dan pertuturan penuh nasihat serta kelembutan, tidak hairanlah hasrat seorang suami yang mahu menceraikan isterinya… berubah sekelip mata tatkala dia mendengar ceramah Datuk Dr Ustazah Norhafizah sepanjang perjalanan bertemu suri hatinya itu.
Bertandang ke negeri Cik Siti Wan Kembang untuk memenuhi undangan ceramah bulan lalu, Datuk Dr Ustazah Norhafizah dikejutkan dengan panggilan telefon seorang pendengar setianya bergelar suami orang. Kongsi Ustazah Norhafizah, “Ada seorang suami hubungi ustazah, dengan air mata dia mengucapkan bebanyak terima kasih kepada ustazah kerana telah jadi jalan rumah tangganya diselamatkan (dengan izin Allah).
Dari Johor ke Kelantan dia memandu kereta mendengar ceramah-ceramah ustazah tentang rumah tangga dan tazkiyatunnafsi. Asalnya memang terasa bila jumpa isteri di Kelantan… nak akhiri hubungan suami isteri. Tapi jadi sebaliknya, sampai depan isteri… menangis minta maaf, dengan penuh kasih ajak isteri cuba sama-sama untuk baiki diri dan keluarga. Alhamdulillah.”
Allahu, besar ganjaran buat Ustazah Norhafizah kerana hanya dengan suara melalui ceramahnya saja dia dapat ‘menjernihkan’ semula keadaan yang sedia keruh. Pastinya tanpa keizinan Allah juga semua ini tidak mungkin akan terjadi. Mengakui terharu mendengar pengakuan suami tadi, Ustazah yang berasal dari Negeri Sembilan ini menzahirkan rasa syukur.
Tambahnya, “Mudah-mudahan 20 tahun lebih ustazah dalam persada dakwah ini akan jadi jariah dan pahala berlipat kali ganda untuk ustazah dan jadi jalan keampunan Allah kepada ustazah. Dosa ustazah bukan sedikit… banyak sangat. Bantulah ustazah dengan doa-doa baik kalian.”
Pada majlis ilmu tersebut, Ustazah Norhafizah turut menerima Anugerah Selebriti / Personaliti Dakwah Muslimah daripada Kerajaan Negeri Kelantan. Tidak meletakkan populariti sebagai tujuan utama, Ustazah Norhafizah dalam nada rendah diri menganggap dirinya belum cukup untuk diangkat sebagai ikon terbaik kerana masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
“Bukan mudah juga membawa diri sebagai pendakwah wanita ini. Tapi atas semangat amat kasih kepada wanita khususnya muslimah maka inilah jalan yang boleh ustazah hulurkan bantuan iaitu menghidupkan nasihat, tawasau bilhaqqi wa tawasaubissobri. Ustazah sayangkan para wanita dan ustazah ingin sekali kita hidup bahagia dan dapat melalui kehidupan dengan baik.”
Terima kasih Datuk Dr Norhafizah Musa kerana sangat mengasihi kaum wanita dan sanggup mengenepikan rasa lelah hanya untuk memastikan kehidupan wanita ‘ditiup’ dengan semangat positif dan dekat kepada Allah.
Kredit: Instagram Ustazah Norhafizah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, antara 31 selebriti dipilih untuk menerima bintang di Hollywood Walk of Fame bagi Kelas 2024 sekaligus menjadi pelakon wanita pertama kelahiran tanahair yang namanya dipahat di laluan ternama lagi popular tersebut.
Untuk pengetahuan anda, Laluan Kemasyhuran Hollywood (bahasa Inggeris: Hollywood Walk of Fame) adalah monument laluan jalan kaki di sepanjang Hollywood Boulevard dan Jalan Vine di Hollywood, Los Angeles, California, Amerika Syarikat, yang berfungsi sebagai muzium hiburan.
Laluan ini dipahat dengan lebih daripada 2,000 bintang berbucu lima yang memaparkan nama-nama selebriti dan watak rekaan yang diberikan penghargaan oleh Dewan Perdagangan Hollywood atas sumbangan mereka kepada industri hiburan.
Pengumuman itu dibuat Hollywood Chamber of Commerce hari ini di mana senarai pendek terbabit dinilai daripada ratusan pencalonan diterima pada 16 Jun lalu.
Antara nama lain yang turut tersenarai termasuk pelakon Black Phanter, mendiang Chadwick Boseman; penyanyi rap Dr Dre; dan pelakon, Gal Gadot. Turut dicalonkan ialah Presiden Marvel Studios, Kevin Feige; pelakon Maggie Gyllenhaal, Chris Pine, Ken Jeong; penyanyi, Gwen Stefani dan lain-lain.
Michelle melakar sejarah pada Mac lalu apabila menjadi pelakon Asia pertama memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di Academy Awards atau Oscar. Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu menang menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem Everything Everywhere All at Once.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari riak wajahnya jelas terserlah sinar kebahagiaan yang sedang mengulit kehidupan Datuk Seri Sheila Majid. Mana tidaknya, hasrat untuk bergelar nenek dan menimang cucu akhirnya dimakbulkan Allah SWT apabila anak lelaki kesayangan iaitu Megat Abdul Majid selamat menjadi bapa sekitar Julai lepas.