Sejak menjuarai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, makin mencurah-curah rezeki Nor Farhatul Fairuzah Panut. Daripada menjadi tetamu jemputan di stesen televisyen dan menerima undangan di majlis-majlis sekolah sehinggalah berniaga tudung, Nor Farhatul Fairuzah atau mesra disapa Farha mengembangkan bakat sebagai hos di saluran Astro Oasis.
Alhamdulillah, tumpang bangga dengan pencapaian Farha saban tahun dan pastinya kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mengikut jejak langkah qariah termuda negara ini yang tidak hanya berbakat. Malah memiliki keperibadian yang hebat!
Meniti usia 21 tahun, kemenangan Farha di pentas Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 nyata meraih perhatian masyarakat. Mutu bacaan yang diperdengarkan Farha telah berjaya memikat hati panel juri sekaligus menjadikan anak kelahiran Selangor ini sebagai qariah termuda negara yang mengungguli majlis berprestij itu.
Dedah Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula saya didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan arwah ayah banyak mendidik saya sejak kecil sebab mereka berdua bekas qari dan qariah. Arwah ayah jadi qari tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar qariah pula tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.”
Jelas anak kepada Allahyarham Haji Panut Haji Markum dan Hajah Jaliah Haji Simin ini, dia sama sekali tidak menyangka mampu melakar pencapaian terbesar sebagai johan qariah dalam usia muda.
Berpeluang menemu bual perkembangan terkini Farha, Tokoh Belia Negara 2019 ini mengakui sedang melanjutkan pengajian di universiti. “Buat masa sekarang, alhamdulillah saya masih belajar dan penuntut di universiti. Doakan saya jadi pelajar berjaya dunia dan akhirat.
Bisnes sebelum ini saya ada keluarkan tudung di bawah jenama Farha Looks, tapi buat masa sekarang saya lebih banyak tumpu kepada pelajaran. Memang ada keinginan untuk keluarkan produk yang baru, apa-apa pun doakan saya jadi usahawan berjaya satu hari nanti.
Waktu PKP ini juga saya masih aktif dan inovatif. Sentiasa belajar ilmu-ilmu baru walaupun secara online dan banyak benda saya belajar. Selain itu, saya juga ada kongsi ilmu tarannum atau Al-quran di platform media sosial saya di samping turut memenuhi program-program online daripada stesen TV dan sekolah-sekolah.
Ads
Tahun ini juga saya telah diberi tanggungjawab jadi pengacara di Astro Oasis. Tapi memandangkan situasi pandemik Covid-19, semuanya terpaksa dilakukan secara online,” terang Farha yang sebelum ini menjadi hos Geng Ngaji dan kini mengacarakan program Berbicara Tentang Bidadari di Astro Oasis.
Terkesima mendengar Farha membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan pasti ramai yang hendak tahu masa yang diperuntukkan anak bongsu daripada lima beradik ini untuk mengaji dalam sehari.
“Sebenarnya saya tak letak syarat berapa lama dan berapa jam. Cuma saya akan mengaji selepas solat fardu at least 1 page. Bercerita tentang surah kegemaran pula, saya suka surah Al Mulk yang dituntut baca sebelum tidur dan kelebihan surah akan jadi penyelamat di alam kubur nanti. Selain akan meringankan seksa kubur. Pembaca surah ini juga akan dipancarkan cahaya. InshaAllah.”
Tambahnya lagi, “Nak kuasai Al-Quran banyakkan mendengar dan cuba mencari guru. Sebab ilmu tak akan datang kalau kita tak cari. Cari guru Al-Quran dan inshaAllah, Allah akan permudahkan kita untuk belajar Al-Quran. Sebenarnya memang sangat dituntut untuk kita bertalaqi. Maksud talaqi ini ialah berhadapan dengan guru.
Ads
Belajar Al-Quran tak boleh satu hala perlu dua hala dan berhadapan dengan guru. Jadi guru tu akan tahu dan tegur mana salah kita dalam pembacaan Al-Quran. Saya tau bukan mudah nak kuasai, ia perlukan usaha tapi kalau ada keinginan tinggi, Allah akan permudahkan urusan kita.
Di sini juga saya ingin berpesan dan ajak anak muda di luar sana tak kira siapa kita, cuba jadikan Al-Quran sahabat kita di dunia sebab bila kita jadikan Al-Quran sahabat di dunia, ia akan jadikan kita sahabat di akhirat nanti dan semoga dengan berkat kita sentiasa bersama Al-Quran ini akan bantu kita di alam kubur nanti.”
Ditanya impian yang masih belum tertunai, sambil tersenyum Farha memberitahu, “Cerita tentang impian ini, macam-macam yang saya fikir. Saya teringin sangat nak pergi umrah yang tertangguh. Sepatutnya awal 2020 pergi umrah tapi sebab pandemik Covid-19 tak dapat pergi sana. Impian yang lain juga, Farha teringin jadi usahawan yang aktif dan membantu orang di luar sana.
Ads
Selain itu, impian yang ingin dicapai ialah saya sebenarnya suka jalan-jalan dan pergi melancong. Pada saya di samping melancong, saya juga nak berkongsi keindahan Al-Quran dan alunannya serta berdakwah di luar negara. Pendek kata, saya mahu jadi wanita hebat dunia akhirat.”
Lebih mengagumkan, kelima-lima beradik Farha turut aktif mendalami Al-Quran dan menyertai pelbagai pertandingan tilawah. Difahamkan mereka pernah menjadi wakil negeri dan kebangsaan dan sebab utama lima beradik ini menyertai tilawah kerana ia impian arwah ayah dan mak. Tambahan pula, mak mereka merupakan guru mengajar Al-Quran.
MasyaAllah, kagum dengan kejayaan Farha dan adik-beradik. Moga pencapaian yang diraih mampu menjadi suntikan semangat untuk lebih ramai anak muda mengikut jejak langkah Farha.
Kredit foto: Instagram Farhatul Fairuzah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kematian yang menghidupkan jiwa. Itu ungkapan paling tepat untuk menggambarkan kisah hafizah dan pencinta al-Quran, Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman yang pernah tular sebelum ini.
Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman.
Kisah yang bukan hanya mencetuskan keinsafan bahkan menjadi inspirasi buat seluruh umat Islam agar menjadikan kalam suci Allah sebagai sahabat setia dan penyuluh jiwa sepanjang hayat.
Inspirasi
Kisah Allahyarhamah Nurly Sahirah turut dijadikan inspirasi oleh pelakon terkenal, Elfira Loy.
Dalam hantarannya di Instagram baru-baru ini, Elfira atau nama penuhnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri berkongsi momen ketika dia sedang mempelajari dan menghafaz al-Quran menerusi tulisan tangan.
Menurut Elfira, dia terinspirasi dengan kisah Allahyarhamah Nurly Sahirah sebagai seorang pencinta al-Quran.
“Kisah Allahyarhamah Nurly selalu menggetarkan jiwa saya, menjadi peringatan dan tanda yang tidak pernah terlepas daripada pandangan hati.
“Meskipun kita mungkin tidak mampu menjejak setinggi kebaikan yang dimilikinya, saya berdoa agar kisah hidupnya terus menjadi suluhan, membimbing kita menyusuri jalan yang beliau cintai. Jalan yang mendekatkan kita dengan al-Quran setiap saat.”
Jadikan Al-Quran Sahabat Setia
“Semoga al-Quran sentiasa menjadi sahabat setia perjalanan kita. Menerangi relung hati ini sebagaimana ia telah menerangi hatinya. Sama sama kita doakan.”
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata para pengikut dan peminat Elfira berterima kasih dengan perkongsian bermanfaat itu dan terinspirasi untuk mengikut jejak langkah ibu kepada dua anak itu.
“Thank you for always inspiring us all too El.”
“This may be the best way for me to hafaz balik surah2 lazim yang pernah hafal sebelum ni. InsyaAllah boleh teruskan menghafaz dengan izin Allah..”
Hantaran Elfira itu turut mendapat respon daripada adik ipar Allahyarhamah Nurly Sahirah yang menharapkan doa semua.
“Doakan adik ipar saya, Nurly Sahirah. Doakan jua buat Umi Abah kami untuk sentiasa kuat semangat waktu setiap kali merindui anak kesayangan mereka. InsyaAllah syurga tanpa hisab buat Nurly. اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا”
Penghormatan
Untuk info, Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman, seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dikenali sebagai seorang hafizah dan pencinta al-Quran.
Allahyarhamah Nurly Shahirah bukan sahaja menghafal al-Quran, malah beliau juga secara rutin meminta untuk diuji hafazannya. Menurut para guru di UPSI, Allahyarhamah Nurly Sahirah dikenali sebagai seorang pelajar yang sangat bersungguh-sungguh dalam menjaga hafazan.
Pada 9 Jun 2025, Allahyarhamah Nurly Sahirah terkorban dalam sebuah nahas bas di Gerik, Perak. Lebih memilukan, ketika kejadian itu arwah ditemukan dalam keadaan memeluk erat al-Quran.
Bagi menghormati kecintaannya terhadap al-Quran, UPSI menubuhkan Galeri Nurly Sahirah di Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan).
Galeri ini dijangka siap sekitar 2027, dan akan menampilkan mushaf al-Quran tulisan tangannya bersama koleksi kitab-kitab lain sebagai sumber inspirasi.
Ia diharapkan menjadi sumber inspirasi kepada huffaz dan para pelajar untuk mendekatkan diri kepada al-Quran, khususnya melalui amalan menulis mushaf sendiri sebagai amalan penguat hafazan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siti Noor Radiah Ismail… satu-satunya wakil atlet paralimpik wanita yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia, tiga tahun lalu. Kejayaan empat atlet paralimpik negara iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah pada Sukan Paralimpik Rio 2016 nyata telah membuka mata rakyat tentang kebolehan atlet istimewa ini.
Mengimbas kembali pencapaian membanggakan mereka khususnya Siti Noor Radiah, meskipun sekadar meraih pingat gangsa dalam acara lompat jauh wanita kategori T20 (masalah pembelajaran), dia mengakui menerima tempias populariti yang tak pernah disangkanya selama ini.
“Kalau bercerita tentang diri saya, sejak kanak-kanak lagi sudah terbiasa dengan aktiviti lasak. Apa saja budak lelaki buat saya pun turut sama. Tapi sekarang dah kurang sedikit. Jadi lebih feminin mungkin sebab peningkatan usia dan naluri kewanitaan itu makin kuat,” selorohnya.
Daripada penampilan wanita yang lasak, Radiah tampak sangat menawan dalam persalinan gaun kembang kuning cair, Izz Ibrahim yang tersarung indah pada tubuh langsingnya. Potongan rambut lurus paras bahu Radiah menyempurnakan lagi sisi elegan gadis 25 tahun ini.
“Galakan untuk berjaya dalam sukan datang daripada diri sendiri tapi saya bersyukur kerana dapat dorongan daripada mak dan ayah. Memang dari kecil saya sudah menyimpan cita-cita untuk jadi atlet. Tak kisah dalam acara apa sekalipun asalkan ahli sukan.
Semasa di sekolah rendah saya kerap menemani ayah ke beberapa kejohanan sukan anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebab ayah merupakan bekas 21 Komando Gerak Khas di Kem Sungai Udang, Melaka.
Waktu di sekolah rendah juga saya sudah aktif dalam Sukan Paralimpiad dan dilatih Cikgu Huda untuk jadi wakil Melaka. Bila ayah bersara, kami berpindah ke Johor. Tahun 2006 saya jadi wakil negeri Johor pula.
Pertama kali saya jadi wakil Malaysia adalah pada tahun 2009 di Tokyo, Jepun tapi dulu tidak sepenuh masa. Tahun 2014 baru saya ditawarkan masuk ke MSN,” telus Radiah atau lebih dikenali sebagai Yaya dalam kalangan keluarga.
Radiah yang berkongsi jurulatih, Mohd Syahrul Amri Suhaimi bersama Latif dan rakan seperjuangan lain memberitahu latihan yang dijalankan terhadap mereka adalah sama. Namun jika terdapat kecederaan, setiap atlet akan ditugaskan menjalani latihan mengikut keupayaan fizikal dan kecergasan masing-masing.
“Dalam seminggu kami akan training enam kali sehari. Satu sesi latihan sebelah pagi bermula pukul 8 sampai 11 dan satu lagi pada waktu petang dari pukul 4 sampai 6.30 setiap hari sehingga Jumaat. Hari Sabtu pula cuma ada satu sesi pagi manakala Ahad kami cuti rehat.
Memang tidak lama tapi penat sebab kena berlatih lari saja untuk memantapkan stamina. Kami bukan hari-hari berlatih lompat jauh. Dalam dua ke tiga bulan sebelum perlawanan baru akan buat.
Kami juga ada pakar nutrisi yang mengawal diet pemakanan atlet. Selalunya kami akan makan apa sahaja. Walau bagaimana pun kena kawal makan lagi-lagi bila dekat hari pertandingan. Selain buat latihan bersama jurulatih, kadang-kadang saya akan keluar joging. Cabaran untuk jadi atlet terletak pada kekuatan mental. Sekalipun tidak boleh ikut latihan yang jurulatih sarankan tapi harus cuba.
Kalau tidak boleh juga baru maklumkan kepada jurulatih. Sebenarnya sejak di Incheon saya sudah mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan belakang. Baru-baru ini saya menjalani rawatan tulang belakang dan prosedur memasukkan gel dekat lutut. Bila rasa sakit sangat terpaksa makan ubat tahan sakit daripada doktor ISN.”
Tatkala ditanya pandangan beliau tentang perkembangan sukan tanah air, Radiah melahirkan rasa bangga kerana lebih ramai anak muda masa kini melibatkan diri dalam sirkit kejohanan.
Katanya, ia merupakan satu permulaan yang baik buat negara untuk mewujudkan persaingan sukan. Dalam masa sama berpeluang mencari pelapis baru. Semoga apa yang direncanakan atlet Paralimpik ini mampu direalisasikan seterusnya menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masih ingat kah lagi tentang pasangan kembar yang berasal dari Klang, Selangor yang mendapat perhatian dunia ini. Pasangan kembar ini dilahirkan bercantum pada bahagian dada dan punggung sebelum menjalani pembedahan pemisahan di Hospital King Fahd, National Guard di Riyadh, Arab Saudi pada September 2002 lalu.
Pasangan kembar Ahmad dan Muhammad menjalani pembedahan pemisahan yang memakan masa selama 22 jam 45 minit itu dibiayai sepenuhnya oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah Abdul Aziz, membabitkan kos RM1.7 juta.
Kini pasangan kembar ini telah menginjak ke usia 21 tahun dan meneruskan kehidupan sebagai pelajar di Management & Science University (MSU). Menemu bual adik kepada pasangan kembar ini tentang perkembangannya, “Saya (Muhammad) sekarang sedang belajar di peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Sains Komputer. Manakala abang saya, Ahmad, masih belajar di peringkat Diploma dalam jurusan Reka Bentuk Grafik.
Muhammad (berbaju oren) dan Ahmad
Saya baru sahaja mula belajar untuk pengajian Sarjana Muda ini pada bulan 7 tahun lepas dan berkemungkinan akan menantkan pengajian pada tahun 2020 nanti. Insyaallah, Ahmad pula akan menghabiskan pengajian di peringkat diploma pada akhir tahun ni,” jelas Muhammad Rosli dan kedua-dua pasangan kembar ini mendapat tajaan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Bercerita tentang kehidupan di kampus, tutur Muhammad, “Alhamdulillah kami berdua sihat. Kami pergi ke kampus dan ke kelas menggunakan kerusi roda. Setiap hari iaitu Isnin hingga Jumaat, kami ada kelas.
Setiap pagi, ayah atau mak akan hantar kami ke kampus dan lewat petang kami akan balik ke rumah. Satu lagi kelas kami berbeza kerana jurusan kami yang berbeza. Kalau saya habis kelas awal, saya akan tunggu Ahmad habis kelas baru kami akan balik rumah,” kata Muhammad.
Mempunyai kekurangan dari segi fizikal sudah tentu pasangan kembar ini mempunyai cabaran ketika menempuh hari pembelajaran di universiti. “Cabarannya ialah kelas kami agak jauh, so susah nak ke kelas tersebut dengan cepat jika jadual pada hari itu pack dengan kelas-kelas lain.
Selain itu, sesetengah orang yang tidak memberikan pengguna kerusi roda untuk masuki lif dahulu. Kadang-kadang saya dan Ahmad terpaksa menunggu hampir 30 minit untuk pergi ke kelas yang setinggi 10 tingkat atau kadang-kadang tingkat 12. Namun, tidak semua pelajar bersikap begitu. Ramai yang sanggup kosongkan lif untuk memberi laluan kepada kami masuk lif dahulu.
Belajar di universiti banyak mengajar kami berdua tentang erti kehidupan sebenar. Ada macam-macam perangai manusia yang kami jumpa,” ujar Muhammad yang gemar melayari internet di masa lapangnya.
Apabila ditanya tentang kehidupan alam pekerjaan selepas tamat pengajian kelak, jawabnya, “Kami berdua cuma berharap dan agar disediakan ruang dan kemudahan khas untuk OKU sahaja di tempat yang kami bakal bekerja nanti,” katanya mengakhiri perbualan.
Foto: koleksi Muhammad Rosli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.