
Umum sedia maklum pelakon, pengacara dan ahli perniagaan Neelofa bakal menginjak usia 30 tahun esok ( 10 Februari) Tahun ini, Neelofa memilih untuk menyambut hari ulangtahun kelahirannya dengan menganjurkan majlis keagamaan bertempat di Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail.
Dihadiri oleh ahli keluarga, rakan rapat dan hampir 150 peminat, majlis yang diberi jolokan Light and Love Saturdate tersebut dikelolakan oleh Imam Muda Asyraf.
Uniknya, majlis kegamaan ini berkonsepkan perkongsian ilmu yang memberikan fokus terhadap cara untuk mengerjakan solat dengan lebih sempurna.
Selain kelas teori, aturcara majlis juga merangkumi sesi soal jawab, demo solat, serta cara bacaan dalam solat yang betul. Lebih menarik, Neelofa juga sudi untuk melakukan demo solat dan cara bacaan solat dengan maksud dalam Bahasa Melayu. Ia dilakukan untuk menambah pemahaman dalam bacaan solat. Ternyata para hadirin kagum dengan kebolehan Neelofa menghafal setiap rukun dalam solat dalam Bahasa Melayu bagi menunjukkan bahawa aspek pemahaman dalam setiap pergerakan atau bacaan solat penting untuk menambahkan rasa kusyuk dalam solat. Selain itu, para tetamu turut berpeluang membetulkan bacaan surah Al Fatihah sambil dibimbing oleh guru agama bertauliah serta Imam Muda Asyraf.
Ditanya mengenai majlis pada hari ini, Neelofa berkata: “Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar. Rata-rata mereka yang hadir nampak begitu bersemangat untuk mendalami ilmu.
“Lofa sendiri tidak sangka, majlis yang dirancang agak lambat ini mendapat sambutan yang sangat baik. Hampir 500 orang memohon untuk menghadirkan diri. Bagaimanapun, pihak kami hanya mampu menyediakan tempat untuk 150 orang sahaja.
Katanya lagi: “Melihatkan pada sambutan baik yang diterima, insya-Allah, Lofa akan cuba menganjurkan majlis sebegini dengan lebih kerap untuk manfaat bersama. Seronok melihat peserta begitu bersemangat menghabiskan kelas pada hari ini.”
Light and Love Saturdate bukanlah acara keagamaan pertama yang dianjurkan oleh pihak Neelofa. Sebelum ini mereka juga aktif menganjurkan beberapa kelas berbentuk kerohanian. Sebelum menghadiri majlis, Neelofa turut meluangkan masa bersama para peminat yang membuat surprise ke hari jadi buat Neelofa yang ternyata terharu dengan ingatan serta doa para peminatnya. Selamat ulang tahun Neelofa!
Penghafaz Al-Quran Adalah VVIP Allah SWT Di Dunia, Ini Panduan Lengkap Untuk Ibu Bapa Yang Ingin Menghantar Anak Ke Sekolah Tahfiz

Sejak dulu lagi, pelbagai reaksi dan pandangan timbul tentang keputusan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz. Ada yang bersuara,
“Kesian pula tengok masa depan anak Rogayah, dihantarnya ke sekolah tahfiz, kerja apalah yang akan dia buat nanti.”
“Tolonglah ikut perkembangan dunia, macam tak ada sekolah lain yang nak pilih. Kita sekarang perlu mendidik anak dengan pendedahan pelbagai teknologi baru.”
“Hari-hari kena mengaji dan hafal al-Quran, tak boring ke? Tak ada life! Sian anak muda ni tak boleh membesar dengan merasai kenikmatan dunia remaja.”
Pandangan sinis dan negatif daripada sebilangan masyarakat, kadangkala membuatkan hati anak-anak di sekolah tahfiz juga merasa sedih. Namun, itu dulu. Mungkin ramai yang memandang serong dan sinis tetapi kini semua telah berubah.
Semakin ramai ibu bapa mempunyai kesedaran dan berlumba-lumba menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz.
Puan Salmiah menghantar kedua-dua anak lelakinya, Asraf dan Anas berusia 18 tahun dan 14 tahun di salah sebuah sekolah tahfiz di Jitra, Kedah. Ketika diajukan soalan apakah beliau tidak bimbang dengan laporan akhbar mengenai pelbagai kes yang berlaku di sekolah agama, Salmiah menegaskan kesemua itu, ketentuan Tuhan.
“Saya inginkan anak saya memiliki ilmu agama dunia dan akhirat dengan seimbang. Biarlah mereka dibimbing ke syurga dan saya percaya ramai ibu-bapa inginkan keadaan begitu. Saya percaya jika dari awal pendidikan dan pendedahan, anak yang masih mentah dan kosong itu akan mudah menghayati perjalanan hidup ini dengan begitu indah apabila mempelajari ilmu agama sebetulnya.
Dengan pendedahan awal, InsyaAllah tidak akan ada rasa bosan dan menolak untuk menuntut ilmu di sekolah tahfiz. Saya inginkan pendidikan anak terbentuk dengan baik, secara tidak langsung akan melahirkan personaliti yang terbaik sebagai umat Islam.
Malah saya percaya satu hari, pastinya si anak akan berterima kasih kerana kita telah memilih yang terbaik untuk masa depan mereka. Mengenai kebimbangan lain, tak adalah… itu semua Allah jaga tapi kalau dah nak jadi nak buat macam mana, kita terimalah qada’ dan qadar Allah,” jelas Puan Salmiah.
Menurut Pengerusi Pengelola, Madrasah Tahfiz Al Furqan, Mohd Samudin Mohd Samian, kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan menghantar anak ke institusi tahfiz mulai meningkat saban tahun. Mungkin mereka sedar bahawa anak-anak perlu dibekalkan ilmu akhirat di samping cemerlang dalam akademik.
Memetik katanya dalam sisipan GPSBestari.com, “Cemerlang akademik saja tak cukup jika kita tak ada ilmu agama. Hidup sangat rugi.” Meskipun kebanyakan pusat tahfiz agak mahal dari segi yuran, namun ibu bapa juga tidak berkira tentang hal itu.
Apa yang penting bagi mereka, sekurang-kurangnya ada salah seorang dalam keluarga mempunyai didikan agama serta pengetahuan dan mendalami bidang berkaitan al-Quran, menjadi hafiz atau hafal al-Quran dan sebagainya.
Bagi Madrasah Tahfiz Al Furqan, yuran bulanan sebanyak RM550 merangkumi kemudahan asrama, makan minum, sebahagian buku diberi dan lain-lain.
“Yuran ini dikira murah terutama di kawasan bandar. Jika diikutkan memang tak cukup, tapi kami berusaha memberi keselesaan pada pelajar. Mujurlah dana dan sumbangan luar turut membantu, jika tidak kami juga berdepan masalah kewangan.
Konsep pengajaran dan pembelajaran di sini lebih kurang sama dengan sekolah lain. Cuma kami melebihkan kepada al-Quran. Pendek kata, akademik mereka cemerlang, al-Quran pun mereka cemerlang. Seimbang.
Nak sambung pengajian pun tak ada masalah lagi. Kini, banyak institusi pengajian tinggi menawarkan jurusan agama kepada pelajar tahfiz. Peluang pekerjaan juga terbuka luas. Jurutera, doktor atau peguam pun ramai daripada kalangan sekolah agama.
Sebagai bapa, sudah tentu kita menginginkan anak-anak berjaya di dunia dan akhirat. Walau mereka tidak cemerlang dalam akademik, sekurang-kurangnya mereka masih lagi ada ilmu agama.”
Kelebihan atau ganjaran itu terbahagi kepada dua iaitu di dunia dan di akhirat.
Persoalan Lazim
Adakah anak saya layak masuk ke sekolah tahfiz?
Layak atau tidak bergantung pada temuduga atau ujian yang dijalankan. Seeloknya mestilah pandai membaca Al-Quran, bukan baru nak belajar membaca al-Quran. Kerana sekolah tahfiz adalah melahirkan penghafaz al-Quran. Kalau baru nak belajar Iqra’, bila pula nak mula menghafal al-Quran?
Kebanyakan sekolah tahfiz swasta, TIDAK ADA belajar akademik macam sekolah biasa. Kalau anda mahu anak anda menjadi hafiz atau hafizah dalam usia muda tetapi akademik failed pun tak guna juga. Ini adalah risiko. Kesan buruk adalah anak tak pandai mengira (matematik), tak pandai buat karangan, surat rasmi atau tidak rasmi dan pelbagai masalah lagi.
Jadi sekurang-kurangnya anak mestilah bersekolah hingga darjah 3 atau sebaiknya darjah 6 agar dia tidak ketinggalan daripada segi penulisan dan pengiraan.
Paling baik, pastikan anak dapat ambil SPM agar senang untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana institut pengajian tinggi. Walaupun menjadi pelajar tahfiz, ilmu duniawi juga tidak boleh dipandang enteng.
Apakah ganjaran bagi anak-anak tahfiz di dunia?
(a) Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya: Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab Baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)
(b) Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin
“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)
(c) Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W
“Adalah Nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)
(d) Al-Quran menjanjikan kebaikan
“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimana pula dengan ganjaran di akhirat kelak?
Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan
Sesiapa membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud)
Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)
Dari Abi Umamah RA ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu Al-Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).” (Riwayat Muslim)
Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (Al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa ‘alif laam mim’ itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)
Nah, hebatkan ganjaran yang Allah berikan buat penghafaz al-Quran serta ibu bapanya? Marilah kita berdoa agar dalam keluarga kita mempunyai sekurang-kurangnya seorang penghafaz al-Quran.
PANDUAN MEMILIH SEKOLAH TAHFIZ YANG IDEAL
(1) Kedudukan atau Geografi
Dicadangkan supaya anda memilih sekolah tahfiz yang kedudukannya agak jauh dari kesibukan kota. Misalnya di kawasan kampung atau sedikit pedalaman. Keadaan ini akan membantu anak2 anda memberi fokus yang lebih maksima dalam usaha mereka menghafaz Al-Quran.
(2) Latar belakang
Apa yang dimaksudkan adalah latarbelakang sekolah atau madrasah tersebut. Sebaiknya carilah tempat yang lebih ‘veteran’ di mana telah banyak melahirkan huffaz yang berjaya. Tidak menjadi masalah jika lebih berminat kepada sekolah-sekolah tahfiz yang lebih baru, namun sebaiknya selidiklah prestasi sekolah tersebut terlebih dahulu.
Terutama sekali statistik bilangan huffaz yang berjaya dilahirkan saban tahun, juga statistik pelajar yang keluar masuk sama ada dibuang atau berhenti. Ini penting supaya anda tidak tersilap menghantar anak ke sekolah tahfiz yang tiada prestasi.
(3) Guru
Pilihlah sekolah tahfiz yang mempunyai guru tahfiz berpengalaman. Misalnya telah 10 atau 20 tahun mengajar tahfiz di sekolah tersebut. Sebuah sekolah yang mempunyai bilangan guru tetap lagi berpengalaman menunjukkan kecemerlangan serta iltizam sekolah yang tinggi dalam misi dan visi mereka.
Elakkan dari sekolah tahfiz yang tidak mempunyai guru tahfiz berpengalaman, guru sementara, guru kerap berhenti, berkonflik dan sebagainya. Jangan biarkan anak anda menjadi mangsa apabila hafazan mereka terhenti di tengah jalan akibat guru bermasalah.
(4) Sistem
Cadangan kepada anda supaya memilih sekolah tahfiz yang mempunyai sistem pengajian yang baik. Sistem yang dimaksudkan adalah sistem tahfiz yang tersusun dan konsisten, Sistem paling baik dan TERBAIK tetap adalah sistem tahfiz sepenuh masa.
Madah lain seperti fardu ain tetap perlu, tetapi hanya diperuntukkan masa yang sedikit. Sistem-sistem tahfiz bercampur akademik atau bercampur pondok rata-ratanya tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
Dengan kata lain, kesannya tidak menyeluruh. Mungkin ada yang mampu, tetapi sebahagian kecil sahaja. Justeru, pilihlah sekolah tahfiz yang benar-benar hardcore dalam bidang tahfiz jika anda mahu anak-anak anda menjadi al-hafiz.
(5) Bi’ah Tarbiyyah
Terakhir, berilah keutamaan untuk memilih sekolah tahfiz yang mempunyai suasana mendidik atau bi’ah tarbiyyah yang baik. Sekolah tahfiz terutamanya yang veteran, sudah sebati dengan keadaan ini. Para pelajar dibiasakan berjubah, berserban, wajib solat berjemaah dan sebagainya.
Ini penting bagi menjadikan jiwa anak-anak anda terdidik dan lembut seterusnya memudahkan Al-Quran mendiami hati mereka. Sebaiknya, 40 hari pertama jangan benarkan mereka balik ke rumah. Biarkan mereka benar-benar sebati dengan keadaan madrasah, InsyaAllah mereka akan lebih mudah melalui proses2 seterusnya. KR
Berkongsi Rezeki Ramadan, Pempengaruh ALIEFF IRFAN Dan Isteri Hadiahkan Kereta Buat ‘Pakcik Grab’

Tular baru-baru ini di media sosial seorang pakcik yang berusia gigih melakukan kerja penghantaran makanan atau Grab yang dikongsikan oleh seorang netizen. Kegigihan warga emas tersebut mencari rezeki walau dalam keadaan ‘bongkok’ dan uzur nyata menyentuh hati para netizen.
Isteri kepada Youtuber terkenal Alieff Irfan iaitu Bella turut menyatakan dia tersentuh hati dengan perkongsian tersebut. Dalam video tersebut, jelas memaparkan seorang lelaki warga emas tetap gigih mencari rezeki meskipun sudah berusia dan berada dalam keadaan ‘uzur’.
Atas dasar mengasihani keadaan pakcik tersebut, pemilik nama Nurul Nabilah Aliah Hamzan yang juga isteri kepada pempengaruh Alieff Irfan itu bertindak menghadiahkan sebuah kereta dengan tujuan memudahkan pakcik tersebut melakukan sebarang aktiviti harian termasuk mencari rezeki.
“Jadi, Bella membuat keputusan di bulan puasa yang mulia ini, Bella nak kongsi rezeki, hadiahkan pakcik sebuah kereta untuk raya. Jadi pakcik dah boleh bergerak dengan kereta lebih selesa dan selamat. Tapi apapun, pakcik tetap kena jaga diri,”ujarnya.
Sementara itu, Bella juga turut sempat berkongsi perkembangan terkini keadaan pakcik tersebut yang memaklumkan, doktor tidak menyarankan pakcik berkenaan untuk menunggang motosikal atas faktor kesihatannya yang kurang mengizinkan.
“Pakcik ni sakit belakang, jadi doktor sarankan tidak galakkan bawa motor dah…Saya doakan semoga pakcik disihatkan tubuh badan dan murah rezeki.. harap raya ni pakcik akan lebih happy. Terima kasih atas perjuangan pakcik selama ni,” tulisnya lagi.
Melihat pada ruangan komen di Instagramnya, ramai pengikut menitipkan rasa kagum dan terharu dengan keikhlasan Bella dan Alieff menyantuni warga emas tersebut.
Semoga mencurah-curah rezeki Alieff dan Bella.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Peluang Dalami Bidang Kecantikan Terbuka Luas, L’OREAL Malaysia Tandatangan MoU Dengan KPM!

Diasaskan 28 tahun lepas, L’Oreal Malaysia terus melangkah memenuhi keperluan kecantikan rakyat Malaysia. Lebih dari sekadar berniaga, syarikat ini juga komited untuk meningkatkan impak sosio-ekonomi yang positif dengan memperkasakan wanita, membantu komuniti yang memerlukan, serta memacu komitmen kelestariannya.
Terbaharu, syarikat ini menyahut seruan kerajaan dalam kerjasama industri untuk menangani isu ketidakserasian kemahiran bakat dalam kalangan graduan hari ini dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV).
Memorandum Persefahaman itu bakal menyaksikan L’Oréal Malaysia dan TVET bekerjasama bagi memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk 17 kolej vokasional tempatan yang menawarkan pengkhususan dalam bidang kosmetologi.


Kerjasama ini menyasarkan untuk melatih pelajar kosmetologi yang dipersiapkan untuk masa depan keperluan pasaran kerja menerusi latihan dan peningkatan kemahiran, memudah cara pemindahan ilmu pengetahuan, serta menyediakan peluang latihan industri.
Dikenali menerusi 12 jenama ikonik dan berteknologi tinggi seperti L’Oréal Paris, L’Oréal Professionnel, Garnier, Maybelline New York, Lancôme, Yves Saint Laurent Beauty, Armani Beauty, Kiehl’s, shu uemura, IT Cosmetics, Kérastase dan La Roche-Posay, peluang untuk mendalami bidang kecantikan di kalangan rakyat tempatan kini terbuka luas.
“Dengan Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang dinamik antara Kementerian Pendidikan dan L’Oréal Malaysia, kami akan melaksanakan langkah-langkah bagi melengkapkan para guru dan graduan dengan kemahiran terkini dan menguasai kemajuan teknologi terbaru untuk menangani ketidakpadanan kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Kami percaya bahawa kerjasama jangka panjang ini akan memberikan manfaat besar kepada pelajar dan guru kosmetologi kami, terutamanya dalam memastikan bahawa mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran yang memenuhi keperluan industri kecantikan. Kami turut memuji L’Oréal Malaysia kerana sokongan mereka.
Ini adalah kerjasama menang-menang untuk negara apabila sektor awam dan swasta saling berganding bahu. Kami juga berharap di masa depan, kerjasama ini turut merangkumi peluang untuk pelajar dalam bidang perniagaan kami mendapatkan ilmu pengetahuan dan latihan perniagaan yang tidak ternilai daripada industri kecantikan.” Zulkernai Fauzi

Selari dengan matlamat L’Oreal untuk Mencipta Kecantikan Yang Menggerakkan Dunia, Pengarah Urusannya iaitu Tomas Hruska tekad mengembangkan perniagaan mereka dengan cara yang bertanggungjawab, mampan dan inklusif.
“Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya diukur pada prestasi ekonomi sahaja, ini kerana sumbangan dari segi sosial dan alam sekitar juga adalah penting.
Kerjasama kami selama lima tahun dengan Kementerian Pendidikan Malaysia menjadi bukti komitmen kami dalam membantu komuniti dan memperkasakan industri dengan bakat-bakat yang berkemahiran.” Tomas Hruska
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/margot-robbie-sebagai-barbie-manusia-bongkar-rahsia-cantik-cuma-suka-ketawa-tidur/