Melangkah masuk ke galeri seni milik YM Sharifah Bahiyah Jamalullail yang terletak di Desa Sri Hartamas, mata terpaku dengan hasil kerja tangannya yang penuh berseni. Elemen alam semulajadi menjadi elemen utama yang diketengahkan di dalam koleksinya. Tema flora seperti bunga mawar menjadikan ianya nampak begitu hidup dan menyerikan segenap ruang.
Berpeluang melihat dan menghayati hasil karya artis berdarah keturunan diraja ini antara pengalaman menarik buat diri penulis yang sememangnya kurang kemahiran dalam menilai sesuatu hasil seni. Ini kerana, setiap lukisan yang digantung pada dinding ruang pameran milik Sharifah bahiyah yang terletak di Desa sri hartamas ini seakan-akan ‘hidup’ dan penuh penceritaan.
Terhasil daripada terjemahan rasa dan ekspresi artis di atas kanvas, lukisan abstrak ekspresionis yang ditampilkan bukan saja menampilkan nilai estetika tersendiri malah turut mengajak anda untuk berfikir lebih jauh. Malah tidak salah jika dikatakan, koleksi lukisan yang ditampilkan oleh YM Sharifah Bahiyah memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan karya bermula daripada karya awal ketika pembabitannya.
Terkenal dengan lukisan bermotif flora, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan unsur bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni. Sambil berkongsi beberapa lukisan yang pernah dihasilkan, YM Sharifah Bahiyah sememangnya menggemari keindahan flora sebagai elemen utama lukisannya selain kini berjinak menghasilkan lukisan dalam bentuk abstrak selaras dengan perkembangan hasil seninya.
Menurut wanita berketurunan diraja Perlis dan Negeri Sembilan ini, motif flora sering menjadi pilihan di awal pembabitannya dalam dunia lukisan kerana gemarkan keindahan bunga yang membawa maksud kecantikan dan keceriaan.
“Sememangnya motif bunga amat sinonim dalam kehidupan sehari-hari. Bayangkan bagaimana gembiranya seseorang sekiranya menerima jambangan bunga sebagai hadiah daripada yang tersayang. Ia sekaligus dapat menceriakan seseorang terutamanya untuk hari-hari istimewa seorang wanita. Jadi, saya mengabadikan signifikasi bunga dan wanita dalam lukisan yang dihasilkan kerana bunga melambangkan kebahagiaan untuk setiap wanita,” jelas Sharifah Bahiyah yang anggun dengan solekan oleh Vee Muhammad dan persalinan menawan dari Syomirizwa Gupta.
BERMULA DARI HOBI
Ads
Sambil membelek beberapa koleksi yang dipamerkan di ruang pameran, penulis sempat diberi kesempatan untuk melihat sendiri ruang kerja di mana Sharifah Bahiyah menghabiskan masa menghasilkan karya seninya. Aroma cat akrilik, pelbagai jenis berus dan kanvas menjadi teman setia Sharifah Bahiyah menterjemahkan sesuatu melalui lukisan cat yang dihasilkannya.
Selain memilih motif bunga-bungaan, kini Sharifah Bahiyah turut menampilkan unsur abstrak dan sebagainya sebagai elemen utama hasil seninya. Tidak hairanlah mengapa hasil seninya amat halus memandangkan dirinya mengabadikan sepenuh minat dalam seni lukisan sejak kecil lagi.
Ketika ditanya mengenai bagaimana minat dalam dunia lukisan mula bercambah di dalam dirinya, wanita anggun ini berkata sejak zaman kanak-kanak lagi dia sudah didedahkan dengan minat melukis dan mewarna oleh bonda tersayang, Almarhum YAM Tunku Mudziah bte Tuanku Munawir.
“Sejak kecil saya mempunyai hobi melukis dan mewarna. Ketika itu, di tangan pasti akan ada scatch book untuk membolehkan saya melukis apa juga yang dilihat seperti melukis pokok, bunga dan apa sahaja yang menarik untuk dilukis. Hanya kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini saya mula mengambil serius mengenai seni lukisan ini dengan mengambil peluang mendaftarkan diri di kelas-kelas lukisan.
Selain itu, mungkin dek kerana minat terhadap bidang ini terlalu mendalam, saya banyak belajar sendiri melalui latihan dan pembacaan mengenai hasil karya pelukis-pelukis ternama yang boleh dijadikan sumber inspirasi,” ujar Sharifah Bahiyah yang menghargai karya agung Monet dan Van Gogh.
Ads
Ditanya mengenai pandangannya mengenai industri seni terutamanya lukisan di Malaysia, beliau berpendapat Malaysia telah berjaya melahirkan ramai pelukis yang mempunyai bakat yang besar dan boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Namun jika diberi ruang yang lebih untuk masyarakat Malaysia lebih menghargai keindahan seni, sudah tentu hasil kerja artis tempatan mampu setanding dengan karya antarabangsa.
“Hasil seni sebenarnya adalah salah satu bentuk pelaburan untuk sampai ke pemikiran dan hati seseorang manusia. Bayangkan jika sebuah kediaman tanpa sebarang lukisan, sudah tentu ia akan terasa kosong dan tidak bermaya. Hasil seni ini memberikan anda satu dimensi baru dan suasana yang lebih nyaman. Jadi, saya melihat konteks ini sebagai salah satu kombinasi kehidupan yang memberikan sumber ketenangan buat seseorang,” ujar Sharifah Bahiyah lagi.
Hampir 10 tahun berada dalam industri, karya terbarunya banyak memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan dan nyata berbeza daripada karya ketika awal pembabitan.Secara peribadi, karya yang dihasilkan olehnya kini adalah penanda aras bagi perjalanan kerjaya seni sejak 10 tahun yang lalu sehingga kini. Sisi kematangan bukan saja menjelaskan pengalaman dan perjalanan karya seni tapi turut diterjemahkan dari sudut penghasilan karya itu sendiri.
Terkenal dengan lukisan campuran media cat minyak di atas kanvas, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan warna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni.
Ads
Menyentuh pula mengenai kedatangan Ramadan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, anakanda kepada YAM Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail ini tidak terkecuali dari merasai keseronokan menyambut kedatangan Ramadan kerana ia merupakan antara momen indah yang dikenang sepanjang hayat.
Menurutnya, setiap kali kedatangan Ramadan, dia dan keluarga akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk sama-sama menyertai umat Islam mengerjakan solat sunat terawih di masjid ataupun di kediaman saudara-mara terdekat untuk mengeratkan ukhwah persaudaraan.
“Namun begitu, malam ke 20 Ramadan lebih istimewa kerana seluruh keluarga akan berkumpul di Istana Besar Seri Menanti dan menunaikan solat sunat terawih bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan kerabat diraja yang lain,” ujar YM Sharifah Bahiyah yang juga merupakan anakanda saudara kepada Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selain menunaikan solat sunat terawih, Ramadhan merupakan bulan yang istimewa untuk melihat refleksi diri dan muhasabah diri serta bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diperolehi. Selain itu, Sharifah Bahiyah juga menjadikan bulan istimewa ini untuk lebih bertenang dan sumber ketenangan tersebut membolehkan dirinya menghasilkan hasil seni yang lebih dekat di hatinya.
Selain menantikan kedatangan Ramadan, bulan Syawal juga menjadi momen yang ditunggu olehnya memandangkan ia membolehkan kebanyakan kaum kerabat berkumpul. Kesibukan dengan tugas seharian pastinya membataskan waktu untuk bertanya khabar.
“Sememangnya sambutan Hari Raya merupakan saat paling dinantikan kerana ia merupakan momen untuk berkumpul bersama keluarga. Kebiasaannya, saya akan mengambil giliran menyambut Hari Raya sama ada di Perlis dan Negeri Sembilan. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, seluruh kaum kerabat akan berkunjung ke Makam Diraja sebelum meneruskan tradisi memenuhi jemputan rumah terbuka di istana.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan supaya masyarakat Malaysia lebih berhati-hati dalam memilih juadah untuk berbuka puasa agar pembaziran tidak berlaku. Tambahnya lagi, Ramadan sewajarnya menjadi bulan untuk setiap insan bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan soal pembaziran dari segi makanan tidak seharusnya berlaku.
“Ramadan adalah saat yang istimewa kerana nikmat dan syukur seharusnya melebihi dari segalanya. Usah terlebih berbelanja, ingat kepada umat islam lain yang berpuasa dalam keadaan serba kekurangan. Semoga Ramadan dan Syawal ini lebih diberkati untuk setiap umat Islam,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tugas Frontliners ketika penularan wabak COVID-19 ini memang sangat mencabar. Mereka bertarung nyawa dan bertungkus-lumus menunaikan tanggungjawab sebagai Frontliners, bekerja 24 jam mengadap COVID-19 demi menyelamatkan dunia.
Tugas mereka memang tiada tolok-bandingnya dan mujur ada insan berhati mulia seperti Puan Sri Shariffa Nisa atau lebih mesra disapa Puan Sri Nisa Bakri sudi menghulurkan bantuan menyediakan makanan untuk mereka yang bertugas.
Puan Sri Shariffa Nisa atau lebih mesra disapa Puan Sri Nisa Bakri gemar memasak dan menjamu rakan-rakan dengan pelbagai masakan tradisi. Prinsip Puan Sri Nisa Bakri hanya satu sahaja iaitu memasak makanan dengan penuh kasih sayang dan ikhlas kerana ia menghubungkan jiwa sesama manusia selain memberi kepuasan kepada diri sendiri.
Puan Sri Nisa Bakri juga telah berkongsi resipi signature iaitu Nasi Briyani Ayam Yemen. Nasihat Puan Sri Nisa Bakri, ‘cuti’ dua minggu ini ambil peluang untuk memahirkan diri masak Nasi Briyani Ayam Yemen ini.
BAHAN-BAHAN;
1 kg beras basmathi – basuh, toskan dan masak
1 ekor ayam (perap bersama rempah briyani selama 1 jam)
Rempah Briyani
3 helai daun pandan
7 biji buah pelaga
7 biji bunga cengkih
2 batang kulit kayu Manis
3 helai daun bay (Bay leaves)
2 biji bawang merah – hiris
3 ulas bawang putih -kisar
1 inci halia -kisar
5 biji Tomato -potong kecil
3 biji cili
135gm yogurt
1/4 cawan jus lemon
3 sudu besar santan
*sukatan mengikut 1 ekor ayam
CARA MEMBUAT;
1. Panaskan minyak dalam periuk.
2. Masukkan bawang merah, kulit kayu manis, buah pelaga, cengkih dan daun pandan. Tumis sehingga naik bau.
3. Masukkan halia dan bawang putih yang telah dikisar.
4. Bila tumisan sudah garing masukkan ayam yang telah diperap.
5. Masukkan yogurt dan biarkan seketika.
6. Masukkan perahan lemon.
7. Masukkan garam dan cili yang dah dipotong.
8. Akhir sekali masukkan santan dan daun ketumbar.
CARA MENYUSUN;
1. Masukkan nasi untuk dijadikan 1 lapisan dalam periuk.
2. Kemudian masukkan ayam yang telah dimasak tadi.
3. Tutup lapisan ayam dengan lebihan nasi untuk dijadikan lapisan kedua.
4. Masukkan lebihan ayam dan akhir sekali tutup dengan lapisan nasi.
Terserlah sifat keibuan dalam diri Tunku Kaiyisah saat berbicara tentang dua orang putera kesayangannya. “Menjadi seorang ibu banyak mengajar saya erti perkataan sabar. Mungkin dulu kita cepat melatah ketika muda, tetapi sebaik sahaja menimang cahaya mata kesabaran benar-benar diuji. Bayangkan sudah biasa tidur lena tiba-tiba jururawat datang bawa masuk bayi kita untuk menyusu.
Itu adalah antara cabaran saya apabila masuk ke usia 30an dan dianugerahkan menjadi seorang ibu. Sudah tentu nikmat bergelar seorang ibu hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Bila anda bukan bergelar seorang ibu sukar hendak mengekspresikan perasaan ini.
Kadang-kadang timbul rasa bersalah apabila sering keluar bekerja dan terpaksa meninggalkan mereka di rumah tetapi teknologi telekomunikasi membuat kehidupan lebih mudah dan kita sebagai ibu boleh berkomunikasi dengan anak-anak bila-bila masa sahaja. Anak-anak merupakan sumber inspirasi saya dalam hidup ini.
Apabila ada hari tertentu saya rasa down, all I have to do is sit with them. Apabila bermain bersama anak-anak dan bergelak-ketawa bersama, hilang semua masalah,” bicara Tunku Kaiyisah, merupakan anakanda sulung YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Hajah Tengku Aishah Binti Sultan Ahmad Shah.
Tunku Kaiyisah bersama sepupu, Natasha Ozeir, menubuhkan PrettySuci merupakan laman membeli-belah atas talian yang menjadi hab produk kecantikan dan penjagaan diri halal pertama di dunia. Sebagai seorang wanita yang mempunyai beberapa perniagaan sendiri dan dalam masa yang sama menyandang gelaran sebagai isteri dan juga ibu terdetik untuk bertanya tentang pengurusan masanya.
“Sebagai seorang isteri dan ibu serta mempunyai kerjaya kena pandai membahagikan masa untuk menyeimbangkan tugasan tersebut. Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang sangat bertolak-ansur dan memahami. Suami mengizinkan saya melakukan apa sahaja yang saya mahu tetapi kena bijak mengagihkan masa.
Kadang-kadang ada satu hari saya mempunyai tugasan di luar dan malam baru balik ke rumah suami tidak pernah menghalang dan bertindak menjaga anak-anak di rumah. Namun saya juga memberi kebebasan kepada suami jika ada program yang mahu diikutinya, saya pula akan bergilir menjaga anak-anak.
Kemudahan teknologi sekali lagi memudahkan kerja saya. Walaupun berada di rumah, tapi saya masih boleh mengakses, membuat laporan mahupun pembentangan kertas kerja. Ada juga masanya saya akan memberitahu rakan perniagaan untuk bekerja dari rumah untuk meluangkan lebih masa bersama anak-anak dan juga suami,” tutur Tunku Kaiyisah yang merupakan isteri kepada Wan Putera Shahril dan ibu kepada YM Tun Putera Shakeel Abdullah Shah, 4 tahun, serta YM Tun Putera Khyrie Ahmad Shah, 2 tahun.
Walaupun sibuk menguruskan perniagaan sendiri namun Tunku Kaiyisah secara diam-diam menyimpan hasrat untuk menjadi Pereka Hiasan Dalaman. “Kalau ada rezeki dan masa memang saya mempunyai impian untuk menjadi pereka hiasan dalaman. Ini kerana saya suka perabot, kemasan dinding, fabrik dan apa sahaja yang melibatkan hiasan dalaman. Saya merealisasikan impian tersebut dengan mereka hiasan dalaman kediaman sendiri. Saya suka, walaupun mengambil masa yang lama bagaimana nak susun perabot, garapan warna hiasan dan segala-galanya tetapi saya puas melihat hasil tangan diri sendiri,” ujar Tunku Kaiyisah yang menggemari kediaman berkonsepkan moden kontemporari juga penerima anugerah Nona Royal Award di malam gilang-gemilang Nona Superwoman Awards baru-baru ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kehadiran penyanyi yang begitu popular dan menguasai industri muzik di era 2000-an ini kembali menyengat setelah muncul semula dalam program realiti Gegar Vaganza (GV) musim keempat yang lalu. Hampir 10 tahun lamanya menyepi dalam industri seni kelibat figura yang menyanyikan lagi Siapa Menyangka Siapa Menduga ini benar-benar mencuri tumpuan.
Pada 25 Januari yang lalu Liza Hanim telah selamat melahirkan anak kelimanya. Kini Liza Hanim gigih untuk mengembalikan berat badan seperti mana yang telah dikongsinya di laman media sosialnya. Kongsi Liza, “Dah masuk 4 hari pantang….Masa mengandung alhamdulillah dapat semua yang saya teringin. Jadi sekarang pantang la ketat ketat ye,” katanya.
Liza Hanim juga mengamalkan sauna untuk mengembalikan berat badannya. “Dah turun berat 8kg pada hari 16 pantang…. lagi 7kg to pre pregnancy weight… jom gigih bersauna,” katanya.
Tambah Liza Hanim, “Lepas bersalin, banyak muscles yang lemah especially the core, exercise yang saya buat dalam video tu menggerakkan otot-otot perut dan core. Di @myfirstphysiotherapy setiap exercise yang dibuat dipantau sepenuhnya agar badan dapat pulih seperti sedia kala. Badan nak pakai lama,” kata Liza Hanim.
Sebelum mengandung anak kelima ini dahulu Liza Hanim pernah berkongsi tip dengan Nona bagaimana dia boleh menguruskan badannya. Menurut Liza Hanim apa yang telah dicapainya dahulu tidak datang dengan mudah tanpa usaha yang gigih.
Portion Makanan Liza Hanim
“Saya belajar dan memahami apakah itu cara untuk menguruskan badan. Saya tidak mengambil cara short cut dengan mengambil ubat-ubatan atau crash diet. Saya memahami bagaimana tubuh berfungsi dan perlu menjadikannya sebagai gaya hidup yang berterusan.
Saya belajar maksud kalori, kalori defisit, makanan apa yang sesuai dan portion makanan. Senaman dapat membantu memantapkan otot-otot dan pembentukan badan. Jadi saya kena faham apa yang nak dibuat dan perlu betul-betul konsisten. Kalau nak buat kena buat betul-betul kerana cabarannya besar terutama apabila kita tinggal di Malaysia yang mempunyai kepelbagaian makanan yang lazat.
Selepas saya berhenti menyusukan badan anak, saya menyukat kalori dan saya mengamalkan 1200 kalori diet. Dengan 1200 kalori itu saya makan ikut portion. Saya makan nasi dan sebagainya tetapi kena pastikan makan tidak melebih 1200 kalori. Saya potong lagi kalori dengan melakukan senaman.
Bila ada kalori defisit yang dibakar menjadi tenaga serta-merta boleh turun berat badan secara semula jadi,” jelas Liza Hanim. Semoga Liza Hanim boleh mengembalikan berat badan ideal yang diidamkannya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rezeki aktres Hollywood ini pada usia 62 tahun, Demi Moore muncul sebagai wanita tertua dinobatkan gelaran 'Orang Tercantik Di Dunia' oleh Majalah People.