Tahniah NONA ucapkan kepada Aizat Amdan, seorang penyanyi dan komposer terkenal yang menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hati Elyssa Alia Ilias yang selamat diijabkabulkan hari ini.
Tepat jam 9.17 pagi, penyanyi popular berusia 33, sah bergelar suami kepada pasangannya, dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang berlangsung di A-Park, di sini, hari ini.
Pasangan tersebut dikatakan sudah bercinta sejak tiga tahun yang lalu. Tahniah! Mereka dinikahkan bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (B) Illias Moideen disaksikan jurunikah, Ustaz Idrus Mohd Shahlan dengan mas kahwin RM300.
Mungkin semua sudah mengenali siapa Aizat Amdan, namun siapakah gerangan wanita yang berjaya menambat hatinya ini. Sudah pasti bukan calang-calang apatah lagi Aizat sebelum ini melancarkan lagu berjudul Hanya Kita Dua yang dihasilkan dan didedikasikan buat isterinya. Sweetnya!!
NONA sempat menyelidiki dan ini dia beberapa fakta menaik tentang Elyssa Alia Illias yang pasti anda ingin tahu.
- Elyssa berumur 34 tahun dan sebelum ini pernah bertugas sebagai kakitangan kerajaan.
- Elyssa kini bekerja sepenuh masa sebagai pengurus seni Aizat.
- Elyssa juga pernah bekerja sebagai penyampai radio Rakita dan berkhidmat di HITZ FM, malah pernah mengacarakan program hiburan, Jom Wayang
- Elyssa juga pernah mengacara sebuah rancangan TV terbitan HYPP TV bersama Mira Filzah
- Menurut profil Linkedin nya, Elyssa merupakan graduan Limkokwing University of Creative Technology dalam jurusan Senibina (Architecture)
- Elyssa merupakan pencinta kucing. Jika dilihat di laman sosialnya, dia banyak berkongsi gambar kucing-kucingnya. Salah satu kucing kesayangannya bernama LUNA.
- Elyssa juga seorang kaki travel. Ini dapat dilihat menerusi pelbagai hantaran di Instagramnya, @elyssalia.
Apa-apa pun, NONA mendoakan semoga ikatan perkahwinan dan jodoh keduanya berpanjangan sehingga ke jannah. Selamat pengantin baharu!!
Kredit foto: Instagram (@elyssaalia & @aizatamdan)
“Saya Tak Perlu Tayang Kecantikan Untuk Dihormati,” Wardina Safiyyah Tentang MAKNA HIJAB Buat Dirinya
Apakah lagi yang mahu dibicarakan tentang hijab? Sehelai kain di atas kepala, dililit, disarung, dibungkuskan… aduh, sekarang memang sudah macam-macam! Macam-macam gaya, warna dan rupa. Tudung, hijab, skarf atau apa sahaja yang anda mahu panggil adalah ‘identiti diri’ buat wanita Islam.
Malah di dalam surah Al-Ahzab ayat 59, Allah berfirman agar wanita beriman (Muslim semestinya) untuk melabuhkan hijab supaya apa? Supaya ‘dikenali’ kerana ia lebih baik bagimu. Jadi pertamanya memakai hijab adalah ‘untuk dikenali’ sebagai wanita beriman dan keduanya kerana ia lebih baik bagi kita. Ya, LEBIH BAIK. Siapa kata? Allah Rabb kita!
Mari kita hafal dan ingat bahawa antara ayat yang menyuruh wanita berhijab adalah di dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang membawa maksud, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya (tudung/hijab) ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu.”
Saya sering memberi penekanan bahawa sebelum nak bercakap tentang tudung atau hijab… satu perkara yang perlu difahami oleh semua wanita berhijab adalah untuk mengetahui dengan sepenuh hati, menghafal dan memahami, untuk tidak lupa membaca dengan sendiri ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh kita berhijab.
Amat memalukan sekiranya ada yang bertanya, “Ayat mana yang menyuruh kita berhijab?” Dan tiba-tiba seorang wanita yang berhijab tidak tahu menjawabnya. Berhentilah kita dari terus-menerus ‘tidak tahu’, marilah mencari ilmu. Satu lagi ayat adalah dalam surah An-Nur ayat 30 dan 31.
Sering juga dinasihatkan oleh guru saya, mengingatkan saya dan semua wanita di luar sana agar memahami satu hakikat ini. Kita tidak berhijab untuk lelaki atau suami atau ayah kita. Tidak. Kita berhijab kerana Allah semata-mata.
Kita juga tidak berhijab untuk menjaga iman para lelaki. Iman orang lelaki, maaf tapi mereka perlu urus dan jaga sendiri. Saya juga amat yakin mereka mampu menjaganya. Get that straightened out first! Kita berhijab semata kerana Allah sahaja.
Dan ya, ia sepatutnya satu simbol ketakwaan. Jika seorang rahib dibenarkan untuk menzahirkan cinta mereka kepada tuhan dengan berhijab, maka seharusnya wanita Islam juga begitu. Tidak, hijab ini bukan simbol kita di diskriminasi tapi satu simbol liberalisasi!
Saya bangga dengan sehelai kain ini, kain di atas kepala ini lambang saya cintakan agama saya. Saya tidak malu berjalan dan dikenali sebagai wanita Islam.
Namun saya mengingatkan diri bahawa kain ini mempunyai makna yang lebih dari hanya sekadar imej. Kain ini, sepatutnya menzahirkan satu kecantikan yang lain dari hanya kecantikan fizikal iaitu kecantikan dalaman, kecantikan intelek dan adab. Sekiranya dengan memakai hijab kita masih tidak beradab dan berilmu, maka ada sesuatu yang perlu diperbetulkan dulu.
Setelah memakai hijab saya mula memberi fokus kepada kecantikan dalaman saya, bukan hanya tertumpu pada kecantikan luaran semata-mata. Saya menutup badan saya, namun saya terpaksa mengeluarkan satu lagi kecantikan – itulah dia kecantikan dalaman.
Itulah yang seharusnya. Saya tidak lagi memfokuskan kepada kecantikan fizikal semata-mata. Seperti yang sering saya sebutkan, menghijabkan hati lebih sukar sebenarnya.
Kenapa saya kata hijab itu simbol liberalisasi? Kerana saya berjaya membebaskan diri dari menjadi mangsa fesyen! Dunia fesyen yang dikuasai industri fesyen yang hanya tertumpu pada kecantikan fizikal.
Saya sudah bosan dihormati hanya kerana saya cantik! Takkanlah itu saja yang ada pada saya? Takkanlah saya hanya disukai kerana fizikal saya saja! Maka bermulalah satu perjalanan menyelami kecantikan intelek dan rohani serta adab yang saya sebutkan tadi.
MasyaAllah saya tahu perjalanan saya masih jauh dan berliku. Saya pasti akan berbuat salah, namun akan saya bangkit kembali sehingga saya temui satu kebebasan yang baru. Satu kecantikan yang InsyaAllah akan kekal. My self worth… harga diri saya tidak bergantung pada barangan material, namun siapa saya tanpa barangan material itu.
Saya tidak perlu ‘buka’ dan tayangkan kecantikan zahir saya untuk membuatkan orang suka, sayang, bercakap dan hormat pada saya.
Al-Quran menyebut dalam surah Al-A’raf 7:26 bahawa kecantikan atau pakaian yang terbaik adalah takwa. Tapi malangnya takwa tidak diiklankan dan dijual merata-rata. Hanya orang tertentu yang bertuah akan menjumpainya! Dan InsyaAllah berhijab adalah permulaan untuk kita menyelami keindahan takwa ini.
Selamat menyelami dan mencari apa dia sebenarnya makna sehelai kain di atas kepala anda. Saya masih mencari… dan perjalanan ini amat indah sekali!
Salam sayang,
Wardina Safiyyah
Hanya Tegakkan Kebenaran, Ini Penjelasan Eksklusif DATIN SERI HAFLIN SAIFUL Yang Ditunggu-Tunggu!
Bulan lalu, kemelut yang melanda isteri Menteri Pelancongan & Kebudayaan iaitu Datin Seri Haflin Saiful tentang pergolakan keluarganya di Instagram begitu kecoh diperkatakan.
Perselisihan faham di antara mereka dilihat semakin kritikal apabila kedua pihak saling berbalas kenyataan di Instagram Stories. Sindir menyindir hingga melibatkan anak kecil Datin Seri Haflin, JP, menambah kebimbangan wanita ini terhadap isu keselamatan mereka.
Meskipun masyarakat sekadar mampu menjadi penonton, namun kebanyakan netizen mula mempersendakan tindakan Datin Seri Haflin sebagai seorang isteri menteri, berkongsi segalanya di media sosial.
Tindakan itu dikatakan boleh ‘mencalar reputasi’ lelaki kesayangannya, siapa lagi kalau bukan Datuk Seri Nazri Aziz?
Lalu berpegang dengan pendirian tidak memihak pada sesiapa, Nona terpanggil untuk bertandang ke kediaman Datin Seri Haflin di Kuala Lumpur bagi mengetahui perkembangan terkininya.
Malah rezeki kami juga dapat bertemu JP, 2 tahun, permata sulungnya yang disembunyikan daripada tatapan umum.
Bagi menjawab persoalan beberapa pihak tentang status perkahwinan Datin Sri Haflin, beliau melalui Instagram turut berkongsi sekeping nota deklarasi perkahwinan daripada Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan di bawah.
Dengan kenyataan tersebut, maka terbuktilah secara rasmi bahawa beliau adalah satu-satunya isteri Datuk Seri Nazri Aziz yang sah dan layak memangku gelaran Datin Seri, seperti yang pernah dipertikaikan oleh beberapa pihak sebelum ini.
Malah bagi menjernihkan keadaan, Datin Seri Haflin tampil memberi penjelasan melalui temu bual di bawah.
Wah, sempat Editor Nona berbual soalan panas dengan Datin Seri Haflin!
Sebagai teman hidup Datuk Seri Nazri juga, kelibat figura jelita berusia 36 tahun ini sering dilihat menemani suaminya ke pelbagai acara rasmi. Selain turut membantu mempromosikan Malaysia, beliau juga mempunyai tugas khas setiap kali mengekori suami tercinta di luar negara.
https://www.instagram.com/p/BbNV_zdA5G4/?hl=ms&taken-by=dshaflins
Yang jelas Datin Seri Haflin adalah lambang wanita hari ini yang berani menyuarakan pendapat sendiri. Kematangannya ini jauh berbeza daripada suatu ketika dahulu, iaitu sewaktu Datin Seri Haflin sering menghiasi ruangan fesyen majalah Nona.
https://www.instagram.com/p/Bd0CKo7g3pn/?hl=ms&taken-by=dshaflins
Teringat beliau pernah mempunyai jenama fesyen sendiri iaitu HAFLINS, namun ia hanya bertahan selama beberapa tahun setelah suami memintanya untuk memberi sepenuh perhatian pada keluarga. Sebelum ini Datin Seri Haflin juga pernah menjadi pengacara Astro untuk program Salam Bollywood serta bergelar model popular.
Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang aktif dalam perniagaan, jangan terkejut kerana beliau sebenarnya mempunyai tali pinggang hitam dalam sukan taekwondo! Datin Seri Haflin juga merupakan graduan Universiti Multimedia dan pernah menuntut ilmu di MRSM Muadzam Shah dan MRSM Kuala Terengganu. Wow, bijaknya!
Biarpun puas ditohmah dengan pelbagai kata-kata negatif netizen, Datin Seri Haflin tidak mudah melatah dan sentiasa berfikiran positif. Baginya, setiap keputusan diambil dengan alasan tertentu demi mempertahankan hak serta kebenarannya.
Ibarat menarik rambut di dalam tepung, marilah kita berdoa yang baik-baik untuk keluarga ini. Nona juga berharap agar segala yang tersimpul di antara mereka itu akan terlerai tanpa menyakiti sesiapa, insyaAllah.
Foto: Instagram @dshaflins
Tersentuh Lihat Penderitaan Wanita Di Syria, Syafinaz Yunus Jumpa Mangsa USUNG JENAZAH ANAK SENDIRI Yang Terkorban
Hidup dalam sebuah negara yang aman daripada peperangan wajar disyukuri dengan penuh nikmat. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan wanita dan kanak-kanak yang hidup dalam pelarian akibat peperangan yang melanda tempat tumpah darah.
Hidup dalam ketakutan dan sentiasa waswas dan tidak mempercayai orang di sekeliling. Lebih sedih lagi apabila melihat kanak-kanak terbiar tanpa menikmati keriangan seperti kanak-kanak yang lain dan tertinggal dalam pelajaran.
Sebagai seorang wanita yang prihatin terhadap keamanan negara, telah membawa Syafinaz Yunus bangun melakukan misi kemanusiaan di negara yang sedang bergolak.
Tidak mahu menoleh ke belakang kaki yang melangkah akan terus melangkah sehingga ke penghujung yang belum pasti masanya. “Terlalu banyak peranan yang boleh dimainkan oleh seorang wanita dalam setiap misi kemanusiaan.
Saya sendiri melalui pengalaman di Syria melihat seorang ibu sedang mengusung jenazah bayinya. Juga seorang ibu muda yang menangis kerana bayinya kelaparan akibat 3 hari tidak makan dan minum.
Selain daripada bantuan makanan, apa yang mereka paling perlukan adalah sokongan moral seorang wanita lain kepada mereka,” jelas Syafinaz yang bertugas di stesen TV Al-Hijrah sebagai pembaca berita.
“Penderitaan yang mereka dilalui membuatkan ada yang berputus asa dengan kehidupan yang dilalui. Justeru mereka sangat perlukan motivasi daripada wanita lain untuk lebih kuat dalam meneruskan kehidupan.
Itu juga yang sering saya lakukan sewaktu di lapangan di negara perang. Saya akan peluk mereka, comfort them and tell them that they’re our inspiration. Kekuatan mereka adalah sumber inspirasi kita wanita seluruh dunia. Jadi mereka perlu terus kuat menghadapi ujian Allah ini. Itulah peranan seorang wanita kepada wanita lain lebih-lebih lagi di negara yang sedang bergolak,” tutur Syafinaz lembut.
Menurut Syafinaz, pegangannya ketika sedang melakukan misi kemanusiaan adalah kerana Allah SWT semata-mata. “Ini adalah sumbangan kecil saya sebagai ‘bekalan’ untuk dibawa pulang kelak.
Ini sahaja yang dapat saya bantu sebagai saudara seislam yang sedang dalam kesusahan. Selain itu ‘pedang’ yang boleh saya hunus untuk melawan pihak yang menzalimi mereka iaitu melalui penulisan. Melalui penulisan saya boleh menyampaikan kisah yang sebenar buat rakyat Malaysia.
Sehingga ke hari ini saya memperjuangkan dan membantu sehabis daya saudara Islam yang sedang dizalimi seperti di Palestin, Rakhine dan Syria.
Kalau diizinkan Allah SWT saya mahu membantu membebaskan Al-Aqsa daripada cengkaman mereka yang tidak bertanggungjawab,” kata Syafinaz bersungguh-sungguh.
Tambah Syafinaz yang dapat dipelajarinya sepanjang terlibat dengan misi kemanusiaan adalah menjadi hamba yang bersyukur ketika menerusi misi-misi bersama Aman Palestin ke negara-negara perang.
Bersyukur dilahirkan sebagai umat Islam, bersyukur masih tinggal di negara yang aman, bersyukur dengan apa sahaja kurniaan-Nya tidak kira ujian mahupun rezeki. Namun, kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan masih kurang. Masyarakat kita lebih gemar dengan isu sensasi berbanding ambil tahu apa yang sedang berlaku pada dunia Islam.
Menyingkap pengalaman ibu kepada seorang anak lelaki ini dalam misi kemanusiaan, “Pengalaman yang paling tak mampu saya lupakan apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Kem Yarmouk di Syria.
Melihat puluhan ribu saudara Islam dizalimi dan saudara Islam iaitu rakyat Palestin seakan mayat hidup kerana kebuluran disebabkan sekatan tentera Bashar Al-Assad. Dalam hati ketika itu bertanya, dimanakah perginya nilai kemanusiaan?
Nasihat saya jika ada wanita lain yang turut sama mahu meneruskan usaha kemanusiaan, teruskan niat murni itu. Banyakkan membaca isu-isu dunia dan kemanusiaan.
Dapatkan informasi berkenaan misi kemanusiaan di NGO yang diyakini kredibilitinya seperti Aman Palestin dan lain-lain,” tutur Syafinaz penuh semangat mengakhiri perbualan kami pada petang itu. Hamizatul Maizan Mohamed