
Tahniah NONA ucapkan kepada Aizat Amdan, seorang penyanyi dan komposer terkenal yang menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hati Elyssa Alia Ilias yang selamat diijabkabulkan hari ini.

Tepat jam 9.17 pagi, penyanyi popular berusia 33, sah bergelar suami kepada pasangannya, dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang berlangsung di A-Park, di sini, hari ini.
Pasangan tersebut dikatakan sudah bercinta sejak tiga tahun yang lalu. Tahniah! Mereka dinikahkan bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (B) Illias Moideen disaksikan jurunikah, Ustaz Idrus Mohd Shahlan dengan mas kahwin RM300.
Mungkin semua sudah mengenali siapa Aizat Amdan, namun siapakah gerangan wanita yang berjaya menambat hatinya ini. Sudah pasti bukan calang-calang apatah lagi Aizat sebelum ini melancarkan lagu berjudul Hanya Kita Dua yang dihasilkan dan didedikasikan buat isterinya. Sweetnya!!
NONA sempat menyelidiki dan ini dia beberapa fakta menaik tentang Elyssa Alia Illias yang pasti anda ingin tahu.
- Elyssa berumur 34 tahun dan sebelum ini pernah bertugas sebagai kakitangan kerajaan.
- Elyssa kini bekerja sepenuh masa sebagai pengurus seni Aizat.
- Elyssa juga pernah bekerja sebagai penyampai radio Rakita dan berkhidmat di HITZ FM, malah pernah mengacarakan program hiburan, Jom Wayang
- Elyssa juga pernah mengacara sebuah rancangan TV terbitan HYPP TV bersama Mira Filzah
- Menurut profil Linkedin nya, Elyssa merupakan graduan Limkokwing University of Creative Technology dalam jurusan Senibina (Architecture)
- Elyssa merupakan pencinta kucing. Jika dilihat di laman sosialnya, dia banyak berkongsi gambar kucing-kucingnya. Salah satu kucing kesayangannya bernama LUNA.
- Elyssa juga seorang kaki travel. Ini dapat dilihat menerusi pelbagai hantaran di Instagramnya, @elyssalia.
Apa-apa pun, NONA mendoakan semoga ikatan perkahwinan dan jodoh keduanya berpanjangan sehingga ke jannah. Selamat pengantin baharu!!
Kredit foto: Instagram (@elyssaalia & @aizatamdan)
Kagumi Datuk Seri Dr Wan Azizah & Neelofa, HANI NAZRINA Mahu Jadi Contoh Terbaik Buat Generasi Muda

Kehebatan dua ikon wanita ini tak perlu disangkalkan lagi. Kedua-duanya punya kekuatan tersendiri yang cukup luar biasa sehingga menjadi inspirasi oleh seluruh wanita.
Tak ketinggalan selebriti popular tanahair, Hani Nazrina Hanizar atau Hani yang menjadikan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Neelofa sebagai sumber inspirasi untuk sukses dalam kehidupan.
Hani kini berusia 24 tahun serta berketurunan Melayu, India dan Parsi. Antara lakonan popularnya dalam drama bersiri Red Velvet dan pernah menyertai program realiti TV, Clever Girl musim ke-2.
FAKTOR PENCETUS USAHA
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia, YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seorang wanita yang sangat tabah, bersemangat tinggi dan positif kerana mampu berjuang selama hampir 20 tahun. Dengan menginspirasikan beliau, saya sentiasa membaiki diri agar dapat menjadi inspirasi buat wanita lain khususnya generasi muda.
Neelofa pula sangat berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan berani. Saya masih ingat lagi ketika kami sama-sama berada di set penggambaran drama, Neelofa pernah berkongsi dengan saya catatan tentang perancangan masa depannya untuk 10 tahun akan datang. Ia ditulis pada satu helaian kertas.
Catatannya itu telah menyedarkan saya agar sentiasa merancang masa depan dan meletakkan target pada diri sendiri. Secara tak langsung ia menjadi pencetus buat saya untuk berusaha lebih jauh dan sentiasa mencari peluang.”
MENJADI CONTOH KEPADA GENERASI MUDA
“Apabila bergelar public figure ia mematangkan diri saya untuk bijak dalam membuat keputusan. Selain itu, ia banyak membaiki personaliti diri saya agar menjadi contoh yang baik dan dihormati.
Jangan pernah persoalkan kegagalan, sebaliknya belajar untuk bangkit semula dan terus berusaha. Sentiasa bersikap rendah diri. Saya juga sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri serta ikhlas dalam apa jua yang dilakukan. Hargai setiap peluang dan rezeki yang diperoleh.
Saya juga bangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh wanita-wanita muda hari ini. Mereka lebih berdikari dan matang dalam mengatur masa depan. Saya terinspirasi dengan semangat mereka untuk belajar dan berusaha lebih daripada kemampuan diri.”
Walaupun kini kerjaya utamanya dalam industri perbankan namun pada masa sama Hani menjadikan bidang lakonan dan komersil sebagai kerjaya sambilan.
Kredit Foto: Instagram Hani Nazrina, Dr Wan Azizah & Neelofa
Dugaan Bergelar Ahli Politik Cantik, DYANA SOFYA Kalis Kecaman!

Tidak ramai gadis seusianya mampu menggalas tanggungjawab yang besar dan berdepan dengan kritikan saban hari daripada pelbagai pihak. Biarpun punya pilihan kerjaya yang lebih sepadan dengan usianya, namun gadis yang dilahirkan pada 29 Disember 1987, Dyana Sofya Mohd Daud selesa dan komited terhadap kerjaya politik yang diceburi. Beliau bukan hanya seorang gadis yang memiliki rupa paras cantik, malah seorang yang berilmu. Maka, tidak hairanlah anak jati Perak ini berjaya menawan hati sebilangan masyarakat di negara ini.
Latar belakang pendidikan
Saya merupakan salah seorang pelajar di Sekolah Menengah Taman Melawati, Kuala Lumpur. Selepas tamat persekolahan di Tingkatan Lima, saya menyambung pengajian Pra Ijazah Undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Kemudian, saya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di universiti yang sama.
Karier dan pengalaman
Sejurus selepas tamat pengajian, saya telah menjadi pelatih dalam kamar di sebuah firma guaman di Bukit Bintang selama 9 bulan. Itu adalah kerjaya pertama saya selepas graduasi sekitar pada tahun 2010. Sejak dari kecil saya telah didedahkan dengan dunia politik dan kerana minat, saya menjadi Setiausaha Politik bagi Ahli Parlimen di Gelang Patah. Sepanjang memegang jawatan tersebut, saya bertindak untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat tempatan, membuat usul dan menasihati wakil rakyat tempatan berkaitan kebajikan rakyat. Dalam masa yang sama, saya juga adalah peguam di firma guaman Cyberjaya dari tahun 2012 hingga penghujung 2013.
Kekuatan anda terletak pada …
My passion and determination! Kalau buat sesuatu perlu ada keazaman yang kuat. In my profession, the challenge memang sangat mencabar. Bila-bila pun boleh give up. Tambahan pula, ahli politik perempuan di negara ini tidak ramai. Jadi saya perlu fikirkan kenapa saya memilih ‘jalan’ ini. Tujuannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. That is what keeps me going. Dengan adanya sokongan dan dorongan daripada orang sekeliling, saya percaya saya mampu merealisasikan impian yang didambakan selama ini.
Filsuf kecantikan?
Sebenarnya saya seorang yang ringkas. Untuk solekan harian, saya hanya mengenakan solekan asas seperti bedak, maskara, eye brow dan lipstik merah sahaja. Bagi memastikan kesihatan tubuh pula, saya mengambil supplemen B Complex dan menikmati khasiat ulam-ulaman. Sedari kecil lagi, ibu saya menggalakkan pengambilan ulam-ulaman. Hendak dapatkan tubuh badan yang sihat dan langsing perlukan disiplin dan keazaman yang kuat. Jadi saya akan pastikan untuk lakukan senaman setiap dua hari sekali.
Cara anda menghargai diri
Shopping, food and eat chocolate all the time! Kebiasaannya saya gemar membeli baju dan buku tiap 2 ke 3 bulan sekali. Terbaru, saya sudah membeli 4 buah buku, tulisan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman. Walaupun jadual saya padat dengan pelbagai program, namun saya akan pastikan untuk mengisi masa yang terluang biarpun hanya dalam tempoh yang singkat untuk beriadah bersama keluarga. Kalau terpaksa bertugas di luar negeri atau negara pula, saya akan pastikan masa yang ada dimanfaatkan untuk diri sebaiknya dengan bercuti sambil bekerja mahupun membeli-belah.
Definisi kecantikan?
Kecantikan datang dari dalam. Misalnya seperti cara kita berfikir, percakapan dan pelakuan. Apabila personaliti seseorang itu baik dan disenangi, pastinya ia menjadi daya tarikan. Bagi saya, orang yang pandai itu adalah seksi, terutamanya apabila mereka pandai berkata-kata. When you’re beautiful inside, kecantikan itu akan terpancar ke luar. Kecantikan juga boleh datang daripada senyuman. Senyuman yang ikhlas mampu menyerlahkan kecantikan seseorang. Paling penting, it must come from your heart.
5 pelajaran berharga menceburi politik
Pertama, sentiasa kuat fizikal, mental dan emosi atau dalam erti kata lain bersedia menghadapi apa jua cabaran. Kita tidak dapat duga apa yang bakal berlaku. Oleh itu, perlu ada perancangan yang teliti.
Kedua, tahu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan situasi.
Ketiga, bersifat terbuka untuk berdepan dengan kritikan daripada pelbagai pihak.
Keempat, pengurusan waktu. Saya suka buat dua tiga kerja dalam satu-satu masa. Jadi, saya perlu bijak menguruskan masa yang ada dan saya percaya pengurusan waktu yang baik dapat memberi kejayaan dan mencapai potensi maksima.
Dan kelima, perlu ada rasa hormat. Bukan hanya hormat pada individu bahkan pada pandangan yang dikemukakan juga samada baik mahupun buruk sebab semua orang berhak untuk bersuara.
Jika anda seorang lelaki, siapakah anda?
Saya tidak mampu menjadi seperti lelaki terhebat yang ada di muka bumi ini. Seperti ungkapan Oscar Wilde, “Be yourself. Everyone else is already taken”. Tapi saya amat mengagumi tokoh negarawan yang juga Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman, a true Malaysian. Karisma yang dimiliki beliau, berpendirian teguh dan semangat kekitaan yang ditonjolkan melambangkan seorang pemimpin berkaliber. Walaupun mempunyai tanggungjawab yang berat dan kerjaya yang serious, Tunku adalah seorang yang periang dan cintakan kehidupan.
Tip fesyen
Keselesaan itu penting. Ikut kesesuaian dan mood untuk berfesyen. Yang penting, kena sesuai dengan bentuk badan. Adakalanya, saya gemarkan gaya grungy dengan memakai jeans, t-shirt and sneakers. Kadang kala juga saya suka untuk bergaya feminin dengan memakai gaun klasik dan kasut tumit tinggi. Pendek kata, saya suka melihat fesyen yang dipakai Kate Middleton. Cukup anggun dan menawan.

Pada pandangan anda, siapakah perempuan yang patut dikatakan sebagai strong woman?
My mother. She has gone through so much. Biarpun terlibat dalam dunia politik sejak berpuluh tahun dahulu dan mempunyai anak yang berlainan ideologi politik, tetapi beliau tenang menghadapi cabaran dan kritikan. Ibu saya seorang yang berkarisma, easy to talk to, open minded and supportive. Beliau yang mengajar dan menyokong saya untuk terlibat dalam bidang politik. Cara beliau menjaga kami empat beradik dengan kesibukan dan pancaroba dunia politik membuatkan saya kagum. Beliau merupakan satu inspirasi kepada saya.
Gambarkan diri anda pada masa hadapan
Seorang wanita yang dapat memberi inspirasi kepada orang muda terutama wanita untuk ambil bahagian dalam pembangunan negara bangsa. Saya juga berharap pada masa depan, saya dapat berada dalam satu gerakan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu-padu, mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dan mengungguli carta negara paling gembira dan bahagia yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
3 kata yang menggambarkan keperibadian anda
Determined, positive and eager to learn.
Dyana Sofea pernah menghiasi ruangan Generasi Y Majalah Nona pada Oktober 2014. Meskipun tidak bertanding untuk mana-mana kerusi Dun dan Parlimen pada PRU lepas, namun ahli politik muda ini tetap setia berkhidmat untuk rakyat dan aktif turun padang membela nasib semua lapisan masyarakat termasuk kaum wanita. Selamat maju jaya, Dyana!
Sumber foto: Instagram Dyana Sofya
Matanya Buta Tapi Hatinya ‘Celik’ Al-Quran, AISYA HUMAIRAH Cancer Survivor Yang Luar Biasa

Biarpun ada kekurangan tetapi gadis ini dikurniakan satu kelebihan yang cukup luar biasa. Matanya buta namun hatinya ‘celik’ Al-Quran. MasyaAllah!
Aisya Humairah Mohd Sharizal, anak kepada pasangan jurutera dan suri rumah ini baru berusia 13 tahun. Biarpun cacat penglihatan, dia seorang yang sangat cintakan Al-Quran.
Meskipun hidup dalam ‘dunia gelap’ ia bukan penghalang bagi Aisya Humairah untuk sentiasa mendalami kalamullah.
Malah, anak kedua daripada empat adik beradik yang berasal dari Kedah ini boleh membaca dengan baik menggunakan Al-Quran braille.
Memetik perkongsian Sinarplus, baru-baru ini Aisya Humairah menyertai Majlis Khatam Al-Quran 2.0 anjuran Sinar Islam Plus. Sejak di bangku sekolah rendah lagi Aisya Humairah aktif menyertai pertandingan tilawah Al-Quran.
Katanya, dia telah banyak kali terpilih untuk menyertai pertandingan tilawah Al-Quran dan berjaya ke peringkat kebangsaan.
“Antara pencapaian terbaik saya, memperoleh tempat kedua semasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kategori masalah penglihatan tahun 2021,” ujarnya.
LAHIR SEBAGAI BAYI NORMAL
Aisha Humairah dilahirkan sebagai bayi normal pada 17 Disember 2010. Namun, Aisya Humairah disahkan menghidap kanser mata ketika usianya setahun dua bulan.
Dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi bagi mengelak tumor merebak ke otak. Pada usia tiga tahun, mata kirinya pula terpaksa dibuang.
Setahun kemudian, Aisha Humairah hilang mata sebelah kanan sekaligus menjadikannya orang kurang upaya kategori cacat penglihatan sepenuhnya.
CANCER SURVIVOR
Biarpun perjalanan hidupnya tak seindah kanak-kanak lain seusia, Aisya Humairah yang merupakan cancer survivor tidak menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk bergiat aktif dalam aktiviti kerohanian.
Seawal usianya lima tahun, Aisya Humairah dihantar oleh ibu bapanya untuk belajar Al-Quran dengan beberapa orang guru mengaji.
Dia mula mengenal huruf melalui buku Iqra braille sebelum mengaji secara berperingkat menggunakan Al-Quran braille yang dibeli ibunya secara second hand.
“Peringkat awal mengaji, saya berdepan kesukaran untuk menghafal,” imbaunya.
Aisya Humairah menjadikan guru taranumnya, Ustazah Norsyafirah Jusoh sebagai sumber inspirasai. Ustazah Norsyafirah ialah Johan Qariah dalam Pertandingan Tilawah dan Hafazan al-Quran 2023 peringkat negeri Perlis.
Aisya Humairah punya kenangan manis ketika menyertai Pertandingan Tilawah al Quran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia pada 2020. Dia merupakan peserta termuda mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
IMPIAN BERGELAR ATLET PARALIMPIK
Seperti insan lain, Aisya Humairah juga berimpian untuk menjadi seorang yang dapat memberi inspirasi. Dia bercita-cita ingin bergelar atlet renang paralimpik suatu hari nanti.
“Ketika hujung minggu saya akan pergi kelas berenang kerana saya mempunyai impian mahu menjadi atlet renang paralimpik, jadi saya perlu berlatih bermula dari sekarang.”
Pesan Aisya Humairah, jangan berputus asa ketika belajar mengaji walaupun orang lain sudah berada di peringkat yang lebih baik. Belajar mengaji memerlukan kerajian. Teruslah berusaha dan jangan putus asa.
Sumber & Foto: Sinarplus