Sejak mula berkahwin dengan Rene Angelil, Celine Dion sudah merancang untuk memiliki anak yang ramai. Mana tidaknya, dia dilahirkan dalam keluarga yang besar dan sebagai anak bongsu daripada 14 orang beradik… Celine sentiasa mendapat tumpuan dan perhatian mereka semua.
Meskipun secara luaran, Celine disifatkan sebagai seorang wanita yang sukses, kaya, ternama dan mampu memiliki apa saja yang dihajati… namun jauh di sudut penyanyi berkelas dunia ini, perjalanan hidupnya tidak berjalan begitu lancar.
Terutamanya apabila melibatkan soal anak. Dia dan suami dikurniakan anak lelaki sulung ketika berusia 33 tahun dan berjaya hamil selepas menjalani rawatan kesuburan IVF.
Bersama anak sulung, Rene-Charles
Ads
Baik Celine mahupun Rene, kedua-dua tidak menyangka akan menghadapi masalah untuk mempunyai anak sehinggalah selepas bertahun-tahun mencuba untuk memiliki zuriat… usaha mereka masih gagal.
Pada tahun 1999, Rene disahkan menghidap kanser tekak dan sebagai langkah pencegahan, pasangan romantis ini sepakat membekukan sperma Rene kerana khuatir kualitinya boleh terjejas akibat kesan kemoterapi.
Celine pula melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kesuburan di New York pada Mei 2000 dan menjalani dua pembedahan kecil sebagai usaha meningkatkan peluangnya untuk hamil. Pada 25 Januari 2001, anak sulung mereka bernama Rene-Charles selamat dilahirkan secara pembedahan.
Ads
Di samping Nelson & Eddy
Ads
Selepas kelahiran Rene-Charles, suami isteri ternama ini menyimpan hasrat untuk menambah anak dan mereka sekali lagi menjalani rawatan kesuburan IVF. Pun begitu, Celine gugur pada tahun 2009 dan setelah enam kali berusaha akhirnya pada percubaan ketujuh… Celine disahkan hamil anak kembar ketika usianya mencecah 42 tahun pada 2010.
Dia terpaksa melahirkan bayi kembar Nelson dan Eddy secara pembedahan ketika usia kandungan baru mencecah 33 minggu. Bagaimana pun kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Hasrat Celine untuk menimang cahaya mata perempuan tidak kesampaian apabila suami tercinta akhirnya meninggal dunia akibat kanser yang dihidapi pada tahun 2016. Penyanyi kelahiran Canada ini bakal meniti usia 51 tahun pada 30 Mac ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Comel sungguh Abeer Widad, satu-satunya anak tunggal Ustazah Sharifah Khasif yang cukup terkenal dengan kemerduan suaranya tatkala mengalunkan kalam suci Al-Quran.
Abeer atau nama penuhnya Abeer Widad Muhammad Hizal yang kini berusia 5 tahun sangat rapat dan manja dengan Ustazah Sharifah Khasif. Apa yang paling membanggakan Abeer sudah pun menunjukkan kecenderungannya untuk menjadi seorang qariah yang hebat suatu masa nanti.
Sebagai ibu pastinya menjadi impian Ustazah Sharifah Khasif untuk melihat Abeer menjadi seorang anak yang solehah dan berjaya di dunia mahupun akhirat. Apatah lagi, besar cabarannya apabila bergelar ibu tunggal. Atas faktor itulah wanita berusia 37 tahun ini mahu memberikan yang terbaik demi Abeer.
KEKAL POSITIF
“Selama bergelar ibu tunggal, alhamdulillah saya sentiasa dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Mungkin Allah SWT tahu yang saya perlu sihat untuk menjaga Abeer dan dan keluarga. Setakat ini masih diberikan kekuatan mental dan fizikal. Saya sentiasa positif dan bersangka baik dengan Allah SWT di samping menjaga pemakanan dan kesihatan.
Kalau nak dikenangkan momen-momen menyentuh hati tu memang banyak. Lebih-lebih lagi bila Abeer tanya “Kenapa kita dua je Ummi? Kenapa ayah tak ada?” Hal-hal macam ni lah saya kena jelaskan betul-betul kepadanya. Paling penting jangan meracuni fikiran anak, itu konsep saya.”
IBU SEBAGAI CONTOH TERBAIK
“Sebagai ibu sudah tentu saya nak Abeer lebih daripada saya. Kalau boleh saya nak Abeer menjadi seorang insan yang bukan sekadar cantik bahkan cerdik, setia dan terdidik. Abeer bebas memilih kerjaya namun asasnya haruslah dengan menjadi ahli Al Quran, menjadi mutiara yang sangat berharga di sisi Allah SWT, insyaAllah.
Kita cari akhirat dunia akan kejar kita. Saya yakin orang yang berilmu dan hidup dengan Al Quran, Allah SWT akan beri rezeki dan kehebatan yang luar biasa.
Saya menjadikan ibu sebagai contoh dalam mendidik anak. Ibu seorang yang sangat sabar dalam mendidik anak-anaknya. Ibu seorang yang tak banyak cakap, pendiam namun jujur. Susah sangat nak ikut, mungkin cara saya berbeza. Saya banyak ikut cara arwah walid (ayah) beliau seorang yang tegas namun sangat penyayang.”
LAYAN ABEER SEPERTI SAHABAT
“Tahun ini Abeer dah dihantar ke tadika. Untuk meluangkan masa bersamanya saya tidak mempunyai sebarang masalah kerana selalunya selepas waktu persekolahan saya akan bersama Abeer. Hubungan kami memang sangat rapat dan saya memanggilnya Kakak. Selain manja, Abeer juga seorang anak yang suka bercakap, mudah mesra dan suka senyum.
Saya suka membawa Abeer ke taman. Biasanya kami akan bersenam bersama-sama atau pun ke shopping mall untuk makan-makan sambil bercerita hal-hal sekolah dan juga hal semasa. Saya layan Abeer macam orang dewasa, macam sahabat. Adakalanya kami melawak dan adakalanya serius, tapi bertempatlah.
Saya juga ada mengadakan kelas khas yang saya atur untuk Abeer bersama 10 kanak-kanak lain bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran Al Quran sejak kecil.
Mengaji satu kewajipan untuk anak-anak kecil seperti Abeer. Namun saya tak terlalu menekan kerana saya menerapkan gaya santai dan fun. Ini jugalah pendekatan yang saya gunakan untuk kelas anak-anak di Akademi of Sharifatuna Quranic Arts (ASQA). Alhamdulillah mereka seronok tapi syaratnya tak boleh ponteng kelas.
Saya juga suka bercerita dengan Abeer seperti tentang masa depan, situasi semasa dan sebagainya. Walaupun anak-anak kecil nampak seperti main-main dan tak berapa nak dengar namun percayalah mereka sebenarnya sedang cuba untuk faham.”
IMPIAN
“Saya dalam usaha nak menjadikan Abeer seorang insan yang akan meneruskan legasi sebagai qariah negara. Amin Ya Allah.. Saya dah nampak kelebihannya dari segi suara. Bakat pun dah ada. Skill saja perlu diasah lagi. Makhraj serta sebutannya jelas dan bulat-bulat, ketepatan makhraj yang sedap didengar.
Saya turut bersyukur kerana Akademi of Sharifatuna Quranic Arts(ASQA) milik saya kian mendapat sambutan ramai sejak dibuka tahun lalu di Rampai Business Park Setapak Kuala Lumpur. Akademi ini mencari bakat-bakat baru dalam meneruskan legasi sebagai qari dan qariah masa depan. Satu lagi cawangan ASQA ialah di Damansara Perdana. Kelas diadakan pada setiap jumaat malam.
Impian saya seterusnya ialah ingin membuka ASQA di Melbourne pula. Niat saya untuk approach international market supaya dakwah dapat dikembangkan dengan lebih meluas, insyaAllah. Doakan yang terbaik untuk saya.”
Bagi mengekalkan kesihatan dan kecantikan luar dalam, Ustazah Sharifah Khasif mengamalkan jamu sejak usianya remaja di samping tamar dan air zam-zam yang sentiasa ada di rumahnya.
Kredit Foto: Instagram Sharifah Khasif
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekalung tahniah buat Shahrol Shiro yang berjaya menamatkan pengajian di menara gading dan menggenggam diploma baru-baru ini. Kejayaan pelawak kumpulan Shiro berkenaan pastinya menjadi suntikan inspirasi kepada masyarakat untuk mengejar ilmu tidak kira pangkat mahupun umur.
Walau sudah terkenal dan ada perniagaan sendiri tapi Shahrol tetap mementingkan ilmu. Komitmen yang ditonjolkan personaliti ini sewajarnya menjadi ikutan.
Meniti usia 41 tahun, Shahrol Shiro atau nama penuhnya Shahrol Azizie Azmi tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk menggenggam diploma.
Difahamkan usahawan restoran Ngepot Kabin ini merupakan graduan Diploma Profesional Perniagaan dan Pemasaran Digital, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menerusi foto-foto yang dikongsikan di media sosial, jelas terserlah wajah syukur dan gembira Shahrol saat menerima skrol pengajian pada Majlis Graduasi UTMSpace 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 26 November lepas.
Titip Shahrol Shiro, “Alhamdulillah selesai salah satu proses pembelajaran dalam jurusan perniagaan dan pemasaran digital. Sungguh bukan mudah jalan yang dilalui ini. Terima kasih ibu, adik-beradik, keluarga dan sahabat.
Istimewa buat anak-anak dan terutama isteriku Nor Farhanah aka Anna yang sentiasa memberi sokongan. Terima kasih buat pensyarah atas ilmu yang dicurahkan. Semoga dapat dimanfaatkan apa yang telah dipelajari.
InsyaAllah langkah ini akan diteruskan lagi.”
Pun begitu, kelibat isteri tercinta iaitu Nor Farhanah tidak kelihatan untuk meraikan hari istimewa tersebut bersama-sama Shahrol kerana masalah kesihatan.
Bagaimana pun, ibu kepada tiga cahaya mata itu meluahkan rasa bangga atas pencapaian akademik suami tersayang.
“Tahniah sayang, I bangga dengan you. Sedih I sebab tak ada waktu you konvo. Sorry sayang. Nanti belajar lagi ya.”
Shahrol Shiro mendirikan rumah tangga dengan Nor Farhanah Syamimi Shahri pada 18 Mac 2016. Hasil sembilan tahun hidup bersama, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Iskandar Rizqi, Ismail Rifqi dan Layla Sumayyah.
Shahrol menerusi perkahwinan terdahulu turut mempunyai seorang anak lelaki iaitu Muhamad Adam Danish.
Sebelum berkecimpung dalam bidang seni, Shahrol Shiro pernah bergelar penjawat awam di Jabatan Imigresen Malaysia. Dia kemudian meninggalkan kerjaya tetap berkenaan demi mengejar karier dalam industri seni sebagai pelawak kumpulan Shiro bersama Ajak.
Sepanjang menceburi bidang seni, Shahrol juga pernah terlibat dalam dunia lakonan dan menjadi penyampai radio.
Kini dia aktif menyertai arena politik dan mengusahakan perniagaan di samping isteri tercinta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam hidup ini tiada seorang pun yang sepi daripada ujian. Cuma bentuk ujian yang menimpa itu berbeza atas seorang daripada seorang yang lain. Ada yang Allah berikan ujian kecil, ada pula ujiannya besar.
Ada yang Allah pendekkan ujiannya dan ada yang berlarutan. Malah ada juga yang ujiannya datang bertimpa-timpa, bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga pula. Bagi yang nipis imannya, mereka pastinya akan mengeluh, merungut dan merintih.
Habis semua orang tahu yang dirinya itu sedang dilanda ujian. Semua orang dipersalahkan malah Allah juga turut dipersalahkan juga. Satu-satunya orang yang tidak dipersalahkan adalah dirinya sendiri.
Kualiti diri seseorang itu terserlah saat dia diuji. Ketika itu nampak berbeza antara kaca dengan permata. Waktu senang, bahagia, berharta, berkuasa, berdarjat, berpangkat dan berduit, kita boleh berkata apa sahaja. Kita boleh kata yang kita seorang positif, sabar, terbuka dan sebagainya.
Rasa down dan putus ada sememangnya ditolak ke tepi buat Izanasma Zaaba apatah lagi apabila berhadapan dengan dugaan Yang Maha Esa apabila disahkan menghidap barah payudara pada tahun 2013. Sebagai hambaNYa, Emma yakin setiap ujian yang datang ada hikmahnya dan ia sekaligus membawa dirinya ke satu tahap yang lebih baik dari sehari ke sehari.
“Perasaan sedih dan terkejut sememangnya reaksi awal saya apabila disahkan menghidap barah payu dara. Sudah tentu wujud perasaan sedih memandangkan ia adalah fitrah insani. Namun dengan sedih tidak semestinya saya rebah.
Saya yakin, kesedihan sementara itu adalah untuk menghapuskan dosa-dosa silam. Kesabaran menghadapi ujian ini juga adalah pahala yang takkan putus. Alhamdulillah, saya masih diberikan kekuatan oleh Allah,” ujarnya ketika penulis cuba menyelami perasaannya tatkala menerima perkhabaran doktor mengenai penyakit yang dialaminya itu.
Mengimbas kembali detik tatkala permata kali disahkan menghidap kanser pada tahun 2013, menurut Emma perkhabaran doktor mengenai penyakit tersebut telah banyak menganggu emosinya memandangkan dia mempunyai anak-anak dan keluarga yang amat memerlukan dirinya pada ketika itu.
“Pertama kali saya disahkan menghidap kanser adalah pada tahun 2013. Ketika itu, emosi saya amat terganggu dan saya kerap bersedih. Mana tidaknya, saya memikirkan soal anak-anak dan timbul pelbagai persoalan bersarang di benak.
Sempatkah mereka membesar dan berjaya di depan mata saya? Sempatkah saya menyaksikan semua itu dan menikmatinya. Sekalian bentuk over thinking kerap mengganggu emosi,” ujar Emma yang banyak membuat kajian melalui rujukan buku dan internet mengenai penyakitnya untuk menambahkan ilmu bagi berhadapan dengan situasi getir itu.
Emma menjalani rawatan termasuklah membuang payudara kirinya pada tahun 2013 selain mastectomy pada tahun 2017. “Ditakdirkan pada tahun 2017, sel kanser kembali menyerang, dan kali ini ia lebih sulit.
Pada ketika itu, saya berhadapan dengan ujian apabila bercerai dengan suami dan menghadapi dugaan ini sambil disaksikan oleh anak-anak. Saat saya berhadapan dengan masalah kesihatan ini sudah pastinya saya amat memerlukan sokongan tetapi sebagai wanita dan ibu tunggal, saya gagahkan juga kerana saya sudah tekad untuk keluar dari belenggu menjadi mangsa dalam keganasan rumahtangga,” ujar Emma yang sememangnya mempunyai semangat yang kuat untuk merubah nasibnya walaupun sedang bergelut dengan masalah kesihatan. Dalam situasi bergelut masalah rumahtangga dan kesihatan, wanita tabah ini banyak belajar mengenai kehidupan.
Perasaan redha dan pasrah menjadi kekuatan untuk dirinya menerima ketentuan dan musibah. Malah, dalam mencari kekuatan, sokongan dari keluarga tersayang menjadi azimat untuk dirinya kekal positif dan berani berhadapan dengan apa jua situasi yang mendatang.
“Saya amat positif dalam menjalani kehidupan seharian. Untuk memastikan kekal positif, harus ada semangat. Semangat saya tentulah keluarga. Saya juga berazam untuk hidup dengan lebih bermakna kerana masih banyak perkara yang belum saya selesaikan.
Apabila kita mempunyai target atau tujuan, kita bersemangat dan enjoy untuk laksanakannya sehingga kita lupa segala masalah yang berlaku. Itulah kunci rahsia positivity perjuangan hidup saya. Saya juga tidak menjadikan sakit sebagai alasan untuk tidak fokus terhadap kerjaya dan minat,” ujar Emma penuh ceria.
Sebelum mengakhiri perbualan, Izanasma sempat menitipkan pesanan yang berguna untuk direalisasikan dalam kehidupan seharian. Menurutnya, kunci kehidupan yang positif yang dimilikinya hari ini bertitik tolak dari perasaan sabar dan yakin terhadap segala hikmah yang terjadi terhadap dirinya.
“Disebalik kesusahan ada kesenangan, itu janji Allah. Bertawakkallah dan rujuk pakar perubatan yang diiktiraf jika terdapat sebarang perubahan kesihatan. Apa yang penting, jauhi tekanan kerana ia merupakan musuh utama sikap positif.
Jika seseorang itu stres, ia akan membangkitkan aura negatif, punca segala penyakit. Percaya atau tidak namun begitulah rutinnya.Segalanya terletak pada pemikiran kita. Hindari stress, sihatkan juga mental dan emosi. Selain merawat kesihatan fizikal dengan kaedah rawatan moden, tubuh yang sihat datang dari minda yang sihat juga.Insyaallah kita mampu menghadapinya,” ujar Emma.
Perkhabaran terbaharu dari wanita cekal ini sedikit sebanyak membuatkan penulis dapat merasakan betapa kuatnya keluarga ini menghadapi dugaan. Selain bekerja dari rumah, Emma kini menjaga bonda tersayang yang disahkan menghidap barah payu dara sejak januari lalu.
” Ibu disahkan menghidap barah payu dara sejak Januari lalu. Kini masih meneruskan rawatan kimoterapi. Pada usia 68 tahun, saya dapat melihat kekuatan ibu melawat penyakit apatah lagi sudah lima kali menjalani rawatan kimoterapi. Semoga Allah memberikan kesembuhan buat ibu tersayang,” seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.