Semakin berisi semakin menunduk. Itu kata-kata motivasi yang sentiasa menjadi pegangan selebriti dan usahawan terkenal Nubhan.
Pemilik nama penuh, Ahmad Nubhan Ahamad kini dilihat semakin ligat mengatur langkahnya sebagai seorang usahawan selebriti.
Selepas berjaya mengeluarkan produk kosmetik dan penjagaan wajah, Nubhan mencabar diri dengan menceburi perniagaan makanan pula bersama ibu tercintanya Badariah Omar atau terkenal dengan panggilan Mak Jenny.
Ternyata usaha itu tidak sia-sia apabila perniagaan makanannya itu mendapat sambutan yang sangat luar biasa.
Sehinggakan kisah keuntungan lima juta hasil jualan sambal Omak Jenny tular di media sosial serta menjadi bualan ramai hingga kini.
Memetik kata-kata penerima Nona Men’s Celebrity Business Award ini: –
“Dari buat suka-suka tak sangka sekarang jadi usahawan sambal. Rezeki tak salah alamat. Semua dengan izin-Nya.”
Ads
“Segalanya bermula apabila saya secara tak sengaja merakam video Mak Jenny dalam content yang biasa saya keluarkan di Youtube dan Facebook.
“Tak sangka respon terhadap karakter ibu saya sangat disukai penonton. Mereka sentiasa request nak lagi Mak Jenny.”
Bergelar seorang selebriti, usahawan dan pada masa sama menggalas tanggungjawab sebagai suami dan bapa bukan mudah bagi Nubhan.
“Perkara paling sukar dan struggle sebagai seorang ketua keluarga mahupun ketua sesebuah organisasi ialah membina persefahaman.
“Dalam perjalanan menuju kejayaan, sokongan dan kepercayaan yang kuat daripada insan-insan tersayang amat penting,” jelas Nubhan yang turut membuka sebuah klinik pergigian khas buat isteri tercinta Dr Afifah Tawfek yang merupakan seorang doktor gigi bertauliah.
Ads
‘ROLE MODEL’ KEPADA ANAK-ANAK
Sebagai ketua keluarga, turut meletakkan dirinya sebagai role model kepada anak-anak dengan mempamerkan sikap yang baik dan terpuji.
“Pertama, saya tekankan tentang akhlak. Keduanya ialah ilmu. Doa saya semoga mereka berjaya kelak, semakin berisi semakin menunduk,” luah bapa kepada tiga anak ini.
Bagi Nubhan, gelaran superhero wajar diberikan kepada individu yang disegani dan dihormati serta yang memberi inspirasi kepada orang lain.
“Superhero haruslah seorang yang bertanggungjawab, pemimpin dan ketua yang baik. Orang-orang yang ada bersamanya turut mendapat kebaikan sama rata,” kongsi Nubhan yang menyifatkan superhero sebagai insan hebat yang terpilih.
Ads
IMPIAN “Saya ingin melihat anak-anak membesar di hadapan mata seterusnya menjadi insan berguna, bertanggungjawab serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” tutur Nubhan.
Nubhan turut berkongsi impiannya terhdap perniagaan Omak Jenny yang semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi seluruh Malaysia.
“Saya juga ingin membawa produk Omak Jenny ke pasaran antarabangsa. Untuk pasaran tempatan, saya berharap agar produk ini menjadi salah satu top product di Malaysia untuk kategori ready to eat.
“Semestinya ia menjadi legasi untuk masa depan anak-asnak dan keluarga saya. Inilah salah satu usaha yang saya buat demi mereka.
“Impian saya seterusnya ialah ingin membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang-orang kampung. Tanpa mereka, perniagaan ini tak akan sampai ke tahap sekarang,” akhiri Nubhan.
Penulis & Penyelaras: AMY MOHD
Penata Gaya: KIFFY RAZAK
Konsep: AZNIZA AZIZ
Foto: FADHIL KAMARUDDIN (THE LOFT STUDIO ASIA)
Solekan: CHE WAN
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seakan terlalu banyak yang ingin ditanya pada Datuk Radzuan Radziwill, ahli perniagaan serta pereka fesyen tersohor yang menjadi pilihan golongan kerabat dan VVIP. Masih kekal mesra, tidak meninggi diri walau namanya cukup gah bahkan beliau masih mampu berjenaka saat temuramah ini diadakan. Benar-benar merendah diri, sama seperti maksud dan prinsip dipegangnya sejak menceburkan diri dalam bidang rekaan fesyen sejak 30 tahun lalu.
“Jangan rasa hebat, kena selalu down to earth. Kalau kita rasa kita saja hebat, cakap pelanggan pun kita tepis, mungkin orang berurusan sekali saja dan kemudian kita akan ditinggalkan. Mereka punya duit dan mampu membeli apa yang dihajati tetapi yang rugi adalah kita,” katanya membuka bicara.
Jelas Datuk Radzuan, dirinya mengambil contoh kepada dirinya sendiri yang sanggup belajar tentang protokol istana, cara berjalan, cara bercakap, cara berpakaian, cara makan, pergerakan, lenggok badan dan sebagainya ketika diberi kepercayaan mereka busana buat kaum kerabat diraja.
“Saya belajar semua itu iaitu cara pembawaan diri dan kesesuaian mengikut tempat di mana bumi saya berpijak ketika itu. Alhamdulillah, dengan sentiasa berpaksi dan mengamal prinsip down to earth, saya diberi kepercayaan mereka busana kerabat diraja di beberapa buah negeri seperti Selangor, Kelantan, Perak, Pahang dan lain lagi sejak 20 tahun lalu hingga kini.
Tidak mahu terus melabelkan dirinya pereka kesukaan, jelas Datuk Radzuan pelanggannya terdiri daripada pelbagai golongan. “Memang benar rekaan saya banyak ditempah oleh golongan kenamaan, VVIP dan sebagainya tetapi masa yang sama sebagai seorang ahli perniagaan, saya perlu memikirkan peluang yang ada.
“Koleksi ready-to-wear yang menampilkan helaian rekaan saya tetapi dijual pada harga berpatutan dan mampu dibeli oleh orang ramai adalah cabang bisnes yang saya lahirkan. Alhamdulillah, butik ini mendapat sambutan orang ramai sejak ia dilancarkan,” katanya yang sememangnya terkenal dengan rekaan busana pengantin yang cukup indah.
PENGALAMAN
Pernah belajar di Universiti Bunka, Jepun sebelum pulang ke Malaysia pada tahun 1994, Datuk Radzuan Radziwill yang turut memiliki Sarjana dalam bidang fesyen di UiTM menjelaskan, hingga ke hari ini, dirinya masih kuat bekerja.
“Tidak ada istilah saya yang terbaik. Saya tak pernah letak diri pada kedudukan istimewa tetapi saya sentiasa memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Saya bukan nak bekerja sehari dua dengan pelanggan tetapi lama. Ada kala ketika pelanggan meminta pandangan tentang rekaan busana, saya akan cadangkan apa yang sesuai dengan diri mereka.
Dalam masa yang sama, alhamdulillah saya direzekikan pasukan yang baik. Ada sekitar 30-40 orang pekerja yang saya kena jaga. Janji saya dapat bayar gaji, mereka sekolahkan anak-anak titik peluh bekerja dengan saya, itu satu kepuasan buat saya,” katanya sambil melontarkan senyuman.
Nama pereka ini dijulang ketika musim pandemik tiga tahun lalu selepas beliau mengambil inisiatif memulakan projek amal menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan jururawat serta petugas barisan hadapan di hospital. Usaha dilakukannya ini amat dihargai apatah lagi dirinya adalah seorang pereka fesyen terkenal.
Dalam pada itu, saat ditebak apakah peristiwa manis sepanjang 30 tahun dalam industri ini, kata Datuk Radzuan Radziwill, saat diberi kepercayaan mereka busana untuk isteri-isteri ketua negara. Antaranya isteri bekas Presiden Amerika Syarikat, Michelle Obama, isteri Presiden Russia dan ramai lagi adalah kenangan paling manis buat dirinya.
“Bertemu tetamu kehormat ini dan mengambil ukuran badan mereka sendiri adalah peristiwa sukar saya lupakan. Saya dengan rasa bangga memasukkan elemen songket yang menjadi kebanggaan negara pada rekaan baju yang dipakai mereka pada acara rasmi. Alhamdulillah, itulah kenangan tak boleh saya lupakan hingga kini.
Berpatutan
Ditanya peristiwa pahit pula, kata Datuk Radzuan Radziwill ia berkaitan tekanan pada harga bahan mentah yang melambung tinggi.
“Kadang jadi serba salah untuk maklum pada pelangggan. Kalau kita nak charge mahal, takut pelanggan persoalkan ditambah ada banyak fabrik-fabrik campuran yang boleh didapati pada harga rendah.
Tapi untuk mengekalkan kualiti, kos fabrik memang melambung. Jadi saya mengambil pendekatan ‘dua-dua menang’ dalam isu ini. InsyaAllah pelanggan faham tetapi inilah pahit manis dalam dunia perniagaan.
Bila menyebut golongan VIP, duit bukanlah masalah utama mereka. Baju harga puluhan ribu, beg tangan berharga ratusan ribu, semua itu perkara biasa bagi golongan berduit. Tapi bagi yang biasa-biasa, pasti mereka teringin memakai busana rekaan Datuk Radzuan Radziwill.
“Sebagai pereka, kita perlu melihat kehendak masyarakat. Saya tak boleh reka busana ikut apa saya fikirkan tetapi akhirnya tak boleh jual sebab harga terlalu mahal. Rekaan mesti affordable. Masih berpaksi pada adat ketimuran. Tapi saya bersyukur koleksi ready-to-wear mendapat sambutan masyarakat. Tak timbul isu, orang biasa-biasa tak mampu membeli di butik saya. Boleh dikatakan, semua koleksi sesuai untuk semua golongan,” katanya seraya mengukir senyuman.
Trend
Fesyen dan trend, perlukah ia sentiasa diikuti?
Menjawap isu ini jelas Datuk Radzuan, secara peribadi dirinya tidak mengikut trend semasa pada setiap rekaannya.
“Industri fesyen ini berubah seiring dengan masa. Perubahan dalam industri fesyen tidaklah terlalu mendadak sangat tetapi boleh saya katakan, cara pengiklanannya saja yang berbeza. Pasaran dan style masih sama.
“Boleh dikatakan setiap 20 tahun, pereka akan membuat come back pada rekaan baju-baju lama seperti tahun 60-an tetapi dengan siluet,cutting dan style yang berbeza mengikut zaman ini. Boleh dikatakan lebih kepada kretiviti pereka tersebut.
“Tapi secara peribadi, dalam rekaan saya masih tetap menekankan kepada kreativiti, keasilan, warisan tradisional dan lain lagi. Saya tak terlalu mengikut trend semasa. Pada masa masa yang sama, saya tidak mahu terlalu jauh ketinggalan jauh kerana setiap tahun ramai pereka muda lahir.
“Mereka hari ini beruntung kerana terdedah kepada media sosial yang begitu meluas. Peluang mereka juga besar tidak seperti zaman saya mula naik dulu. Dulu, pereka akan ikut sekali ke lokasi, baik dengan model, makeup artist, editor majalah dan lain lagi untuk baju kita terpampang dalam majalah. Tapi hari ini berbeza sama sekali kerana adanya Instagram, Tik Tok dan banyak lagi dan semua ini peluang melonjak ke peringkat antarabangsa.
“Seronoknya pengalaman-pengalaman begini mematangkan diri kita. Sama jugalah dalam rekaan, dulu-dulu saya buat juga rekaan bahu yang terdedah tapi bagi peredaran zaman masa kini, biasanya saya akan beri sedikit panduan buat mereka yang menempah pakaian dengan saya kerana kita masih terikat dengan tatasusila.
“Sebabnya fesyen khususnya untuk pasaran Malaysia, kita tak boleh reka keterlaluan sangat. Sebab itulah, pelanggan-pelanggan saya masih boleh mengenakan busana yang mereka tempah 3-4 tahun sebelum ini kerana ia masih releven dengan suasana semasa.
Terpilih bagi kategori Nona Men’s Fashion Brand Award dalam anugerah Nona Superhero 2023, jelas Datuk Radzuan Radzwill ia satu pengiktirafan dalam hidupnya. “Dari dulu kita bekerjasama dalam industri media dan anugerah ini satu pengiktirafan buat saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Satu persatu perkongsiannya memasuki FYP. Nama Boss James mula meniti bibir sekaligus mengangkat diri usahawan ini sebagai pempengaruh media sosial yang terkenal. Siapa sangka, kefasihan jejaka berbangsa Cina ini menggunakan medium penghantar Bahasa Melayu untuk mendekati penonton berjaya mencuri hati jutaan rakyat Malaysia yang meminati konten berbentuk inspirasi.
Bijak menggunakan media sosial untuk menyampaikan mesej positif, Boss James memilih pendekatan menghasilkan video-video pendek yang menerapkan nilai moral dalam pengisiannya. Tidak hairanlah mengapa Pengarah Urusan Berjaya Mega Motor Ent Sdn Bhd ini terpilih sebagai penerima Nona Men’s Inspiring Awardyang disegani ramai.
Ketika ditemui sewaktu sesi fotografi baru-baru ini, Boss James atau nama sebenar Ng Yee Sheng mengungkap zaman kecilnya yang berasal dari keluarga penjual motosikal.
“Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga berpendapatan sederhana di mana ibu bapa hanya mampu memperolehi pendapatan sekitar RM500 untuk menyara keluarga. Ibu bapa saya tidak pernah berhenti berusaha untuk meningkatkan kehidupan keluarga dan memastikan
anak-anak mempunyai masa depan yang lebih baik.
Melihat perit jerih kedua ibu bapa dalam mengubah kehidupan keluarga, saya menetapkan matlamat untuk memperolehi pendidikan dan sekaligus meningkatkan kehidupan yang lebih baik,” ujar Boss James yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Pemasaran dari Universiti Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat.
Usai menamatkan pengajian, Boss James pernah mendapat tawaran bekerja di sektor perbankan namun selepas beberapa tahun berkhidmat, beliau membuat keputusan untuk membantu perniagaan motosikal milik keluarganya.
“Ketika itu, bisnes permotoran masih dianggap sebagai perniagaan tradisional kerana ia masih mengekalkan corak perniagaan konvensional. Jadi, saya perlu memikirkan bagaimanakah caranya untuk memenuhi menarik pasaran terutamanya di kalangan masyarakat moden,” ujar Boss James yang mempunyai pelbagai misi dan visi untuk melakar kejayaan.
Tidak lengkap untuk mencipta pembaharuan tanpa memenuhkan ilmu di dada dalam bidang keusahawanan. Pada tahun 2019, beliau menerokai dunia keusahawanan dan memilih menggunakan platform media sosial sebagai landasan terbaik untuk mencipta kelainan.
“Siapa sangka dalam tempoh yang singkat, saya berjaya mengumpul lebih daripada 3 juta pengikut di platform media sosial,” ujar Boss James yang pernah meraih tontonan sebanyak 70 juta dalam tempoh 28 hari selain mendapat lebih daripada
124,000 pengikut organik dalam tempoh 30 hari.
Mengakui fenomena tersebut memberi sinar baharu dalam perniagaan milik keluarganya, langkah Boss James jelas membuka rezeki dalam perniagaan motosikal. Beliau juga turut
melakar nama dalam Malaysian Book Of Records hasil usahanya menjadikan media sosial sebagai lubuk rezeki.
“Saya mengambil masa selama empat tahun untuk berada di tahap kini. Proses pembelajaran juga merupakan sebahagian dari perjalanan yang saya lalui. Jadi, ia bukanlah satu perjalanan yang mudah,” ujarnya yang berpandangan ilmu pengetahuan antara faktor yang banyak membantu menghasilkan kandungan yang lebih berkualiti selain
menetapkan hala tuju bagi mencipta kandungan yang berkualiti.
“Ramai orang akan tengok dan nilai perkara yang kita buat dan ia jadi contoh untuk generasi muda. Saya melihat usaha ini perlu dilakukan secara berterusan dan menjadi impak positif untuk golongan muda. Saya merupakan seorang usahawan dan berkongsi inspirasi dengan golongan muda untuk meningkatkan keupayaan dan potensi diri. Saya berterima kasih terhadap kepercayaan yang diberikan oleh pihak universiti dan sekolah yang sudi memberi peluang untuk saya berkongsi ilmu dan pengalaman.
Saya anggap perkongsian tersebut sebagai jihad kecil saya membantu masyarakat Malaysia mengenali potensi diri. Saya berharap pengalaman yang dikongsikan mampu dijadikan inspirasi kepada para pelajar agar mereka menjadi anak muda yang berjaya pada masa hadapan,” ujar Boss James lagi.
Penglibatan Boss James memenuhi undangan pihak sekolah untuk berkongsi pengalaman dan inspirasi kejayaannya mendapat reaksi positif kerana kelayakan akademik dan pengalaman yang dimiliki oleh jejaka berusia 31 tahun tersebut.
Pernah tercalon untuk kategori Tik Tok Creator Of The Year di Tik Tok Awards Malaysia
2023 yang lalu, Boss James sempat menitipkan pesanan berguna untuk individu yang
ingin menjadi pempengaruh.
“Setiap individu mempunyai pilihan sama ada untuk menjadi pencipta kandungan yang memberi manfaat kepada orang ramai atau sebaliknya. Tetapi menjadi pencipta kandungan bukanlah semudah yang disangka kerana ia memerlukan komitmen yang sangat tinggi.
Nak pastikan apa yang kita buat itu menjadi, memang ada caranya. Nak jadi terkenal pun boleh melalui cara yang baik atau buruk. Tetapi, bila nak buat sesuatu, pastikan destinasi terakhir akan membantu anda untuk jangka masa yang panjang,” ujar Boss James penuh bermakna.
Sebelum mengakhiri perbualan, penulis tertarik dengan kronologi kejayaan Boss
James yang berjaya mengubah perniagaan runcit motosikal secara tradisional ke peringkat
yang lebih besar dan menggunakan teknologi media sosial untuk mengembangkan
perniagaan.
“Sebagai usahawan muda yang juga merupakan barisan pelapis baharu, saya ingin berkongsi inspirasi bukan sahaja untuk perniagaan yang saya ceburi, malah berkongsi
ilmu dan impak dengan sesiapa sahaja yang berusaha lebih untuk meningkatkan diri.
Saya percaya perniagaan tidak menjadi usang, tetapi pengurusan yang boleh menjadi usang,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nadir Al-Nuri dinobatkan sebagai penerima anugerah utama di majlis makan malam pengiktirafan Nona Superhero Award 2023. Beliau merupakan seorang aktivis kemanusiaan dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia.
Majlis anugerah yang diadakan oleh majalah Nona buat kali kedua ini disampaikan kepada 18 individu ikonik yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan kerjaya yang mencetus revolusi Malaysia sepanjang tahun 2023.
Malam kemuncak Nona Superhero Award 2023 yang bertemakan James Bond 007 ini berlangsung di Hotel Grand Millennium Kuala Lumpur turut diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu YAM Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin YAM Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj dan Yang Berbahagia Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (KUSKOP).
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Syamil Fahim berkata, “Majlis Nona Superhero Award 2023 ini menjadi satu platform penting untuk menghargai individu ikonik yang telah mencetus revolusi dalam pelbagai bidang dan menyumbang kepada pembangunan negara.“
Beliau turut menyatakan kebanggaannya terhadap semua penerima anugerah, menyebut mereka sebagai wira-wira negara yang memotivasikan generasi muda untuk terus berusaha dan memberikan yang terbaik untuk Malaysia.
Menurut Kiffy Razak, Head of Business Woman Segment, “Sepanjang 37 tahun di pasaran, kami di Majalah Nona terpanggil untuk menghargai golongan lelaki hebat yang berpengaruh dan menjadi wira sebenar sepanjang menempuhi tahun 2023.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, namun mampu bertahan dengan semangat yang kuat serta menyuntik inspirasi kepada pengikut masing-masing. Tahniah buat barisan lelaki unggul yang diiktiraf dalam Nona Superhero Award 2023!”
1. Nona Superhero Award: Nadir Al-Nuri
2. Nona Men’s Motivator Award: Prof Dato’ Dr Noordin Darus
3. Nona Men’s Fashion Brand Award: Datuk Radzuan Radziwill
4. Nona Men’s Legend Award: Anuar Zain
5. Nona Men’s Active Award: Mohd Al Jufferi Jamari
6. Nona Men’s Inspiring Award: Boss James
7. Nona Men’s Celebrity Business Award: Nubhan Ahamad
8. Nona Best F&B Business Award: Azrain Mohamad
9. Nona Men’s Style Icon Award: Hun Haqeem
10. Nona Men’s Social Media Influencer Award: Ryan Bakery
11. Nona Men’s Paralympic Award: Muhammad Ammar Aiman
12. Nona Best Innovative F&B Business Award: Cef Nazri Jameson, Beard Brothers
13. Nona Best Medispa Award: Dr Abdul Haq Ab Wasa, Estika Medispa
14. Nona Best Future Education Fund Award: Ahmad Dasuki Abdul Majid, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
15. Nona Best Aesthetician Award: Dr Abdullah @ Maliq Alias, Dr Cute International
16. Nona Best Community Dakwah Centre Award: Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof, Yayasan Murtadha (MADAD)
17. Nona Best Hair Service & Product Award: Chez Hamdan, ChezKamya Professional
18. Nona Best Edupreneur Award: Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff Ibrahim, Al Kauthar Eduqids
MOMEN RED CARPET
Persembahan pembukaan majlis diserikan dengan acara fashion show daripada pereka duo terkenal Razman Razmi.
Selebriti Aliff Aziz dan Dato’ Sri Vida turut diundang membuat kemunculan khas dalam pertunjukan eksklusif tersebut.
Lokasi Millennium Ballroom di Grand Millennium Kuala Lumpur tambah happening apabila pengacara Haziq Hussni menggamatkan suasana.
Majlis Nona Superhero Award 2023 turut diserikan dengan persembahan artis-artis terkemuka antaranya Azharina, Nubhan Ahamad serta pasangan Bella Astillah dan Aliff Aziz. Majlis anugerah berkenaan turut mendapat tajaan cenderahati dari jenama wangian eksklusif AROMBAY dan tudung dari DOA by AZ Pemurah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.