Ilmu mempertahankan diri sangat penting sekarang lebih-lebih seorang wanita. Siapa tahu, boleh jadi macam Kübra Dağlı atlet taekwondo dari Turki ini. Bukan sahaja boleh mengharumkan nama negara dalam sukan tetapi dapat ilmu mempertahankan diri untuk kegunaan sendiri.
Wanita yang lahir pada 17 Februari 1997 ini bukan sahaja dilahirkan cantik malah telah berjaya melonjakkan nama negaranya ke peringkat dunia. Nama Kübra Dağlı pernah tular suatu ketika dahulu apabila menjuarai kejohanan taekwando dunia World Championships di Lima, Peru.
Pertandingan bertaraf dunia yang berlangsung pada tahun 2016 itu telah menjadikan wanita yang berusia 25 tahun ini mendapat pujian dan penghargaan yang tinggi terutama daripada rakyat Turki.
Lebih manis, apabila Kübra Dağlı atlet taekwondo Turki ini tampil berhijab. Atlet cantik ini membuktikan bahawa hijab bukan alasan untuk wanita kekal aktif dan mampu bersukan dengan pakaian yang patuh syariah.
Tumpang bangga dengan kejayaan Kübra Dağlı dan kagum dengan sikapnya yang ingin membuktikan bahawa dengan hijab dirinya mampu mengharumkan nama tanah airnya sehingga ke persada antarabangsa. Nampaknya, impian atlet taekwondo ini bukan hanya mimpi dan telah berjaya direalisasikan olehnya.
Menyingkap kata-kata hijabis ini di laman sesawang redbull, “Seawal jam 5.00 pagi saya akan menjalani latihan. Saya akan berlatih dua kali sehari dan mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pertandingan yang terdekat.
Setiap orang takut dengan kegagalan dan atas sebab itu saya tidak akan patah semangat untuk menempuhnya dan sentiasa bekerja keras agar kejayaan menjadi milik saya,” kata Kübra Dağlı.
Kübra Dağlı juga bertuah kerana mempunyai kedua ibu bapa yang sentiasa menyokongnya. Kedua-dua ibu dan bapa atlet cantik ini merupakan jurulatih tinju menyokong penuh keterlibatan Kübra Dağlı dalam sukan.
Khabarnya selepas mencuba seni mempertahan diri karate, Kübra Dağlı beralih arah kepada taekwondo sewaktu usianya 13 tahun lagi. Pada awalnya wanita yang lahir di Isparta, Turki ini berlatih sukan taekwondo bersama pakciknya sebagai jurulatih taekwondo.
Wanita cantik ini telah berlatih secara berpasangan dengan rakan sepasukannya, Emirhan Muran sejak tahun 2014 lagi.
Kemiskinan selalu menjadi alasan untuk menyerah. Tapi tidak buat wanita berketurunan Moroccan-Muslim ini, dia menjadikan pengalaman hidup sebagai anak buruh binaan sebagai motivasi untuk mengubah nasib, sekaligus bertindak membela nasib bangsa yang susah sepertinya.
Najat Vallaud-Belkacem telah dilahirkan di sebuah kampung di Nador, Morocco pada tahun 1977. Mengimbau kehidupan miskinnya di Kg. Bni Chiker, anak kedua daripada tujuh adik-beradik itu dikhabarkan pernah melalui zaman sukar semasa kanak-kanak, termasuk menjadi penggembala kambing.
Bapanya seorang warga Perancis bekerja sebagai buruh binaan. Pada tahun 1982, Najat bersama ibu dan kakak sulungnya, Fatiha telah dibawa berpindah ke Perancis. Mereka tinggal di sebuah kawasan sub urban bernama Amiens di utara Perancis pada tahun 1982.
Disebabkan latar belakang, tempat kelahiran dan agamanya juga, Najat selalu menjadi sasaran para seksis dan komen-komen berbaur perkauman. Beliau diserang dengan pelbagai panggilan menghina termasuk caranya berpakaian.
Wanita ini belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya menjadi graduan di Paris Institute of Political Studies pada tahun 2002. Di situ juga dia mengenali Boris Vallaud dan mereka berkahwin pada tahun 2005. Pasangan ini memperoleh sepasang kembar.
Dari situ beliau menyertai parti Socialist dan mula memperjuangkan hak rakyat, perumahan mampu milik dan menentang diskriminasi. Seterusnya Najat diundi sebagai ahli majlis di Rhone Alpines dan bekerja sebagai pegawai di pejabat hingga 2008.
Tahun 2008, kredibilitinya sebagai ahli politik mula bersinar dan beliau dilantik sebagai Menteri Hak Wanita dan jurucakap kerajaan di bawah Presiden Francois Hollande. Akhirnya sekitar 3 tahun lepas, Najat yang kini berusia 40 tahun dilantik sebagai Menteri Pendidikan di Perancis.
Kelantangan suara Najat seiring dengan semangat jitunya yang tak pernah goyah. Bagaimana mungkin mahu memecahkan tembok keyakinan itu, selepas wanita bernama Najat ini bekerja keras untuk sampai ke tahapnya sekarang?
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak dinafikan ramai di kalangan pengusaha produk pelancongan menghadapi masalah tatkala pendemik Covid 19 melanda bukan sahaja di tanahair, malah seluruh dunia. Ramai di kalangan pengusaha hotel, homestay dan produk berkaitan pelancongan terpaksa menanggung kerugian apatah lagi apabila Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP dilaksanakan bermula 18 Mac 2020 yang lalu.
Bagi pemilik Villa Tiga Datai Valley, Datai, Langkawi, Datin Aida Zulkarnain, setiap musibah yang berlaku tatkala seluruh dunia berhadapan dengan pendemik Covid19 mempunyai hikmah yang tersendiri.
“Pada minggu pertama dan seterusnya, Villa Tiga Datai Valley masih menerima tempahan dari pelancong luar yang ‘terperangkap’ di Pulau Langkawi semasa PKP dilaksanakan. Ia merangkumi pelancong-pelancong yang sudah pun berada di Langkawi sebelum PKP dilaksanakan. Memandangkan mereka tidak dapat pulang ke negara masing-masing, ada yang mencuba nasib untuk menginap di Villa Tiga Datai Valley. Namun begitu, pihak kami mematuhi arahan dari pihak berkuasa agar tidak menerima sebarang Check In dan kami terpaksa menolak tempahan demi memikirkan keselamatan semua pihak. Bagi saya, faktor keselamatan lebih penting berbanding wang ringgit,” ujar Datin Aida yang mengakui perniagaannya agak terjejas tetap sebagai majikan, sudah menjadi tanggungjawab untuk membayar gaji pekerja seperti yang telah ditetapkan.
“Walaupun perniagaan agak terjejas pada awalnya, namun kami tetap membayar gaji pekerja setiap bulan tanpa sebarang potongan dengan niat membantu keluarga pekerja.Alhamdulillah, hasil berkongsi rezeki bersama para pekerja, kini perniagaan semakin baik dan tempahan di Villa Tiga Datai Valley juga amat memberangsangkan,” ujar Datin Aida yang positif dan menganggap musibah serta ujian yang diturunkan untuk memberi peluang untuk dirinya menghabiskan banyak masa untuk bersama Yang Maha Pencipta dan keluarga tersayang.
Tidak menganggap musim Covid 19 sebagai sesuatu yang negatif, Datin Aida menyemai sifat positif dan menganggap apa yang berlaku sebagai hikmah yang banyak memberi pengajaran buat dirinya,
“Saya lebih gemar melihatnya sebagai satu hikmah yang mengajar seseorang bahawa kehidupan ini tidaklama dan apa yang berlaku mempunyai pengajaran yang tersirat dan tersurat. Saya sendiri mengambil peluang ketika itu untuk khatam Al -Quran, mempelajari tajwid dan memulakan hobi baru. Ia merupakan peluang untuk saya memulakan aktiviti baharu bersama suami dan anak-anak. Kami banyak habiskan masa memasak bersama dan bercucuk tanam.Suami dan anak-anak agak cerewet soal makanan dan lebih selesa menikmati hidangan di rumah. Jadi, kami gunakan masa tersebut untuk berkebun terutamanya sayur-sayuran. Hasilnya boleh dinikmati sendiri. Terjamin dari segi kebersihan dan keselamatan apatah lagi apabila kita sendiri yang menanamnya,” ujar Datin Aida lagi.
Bercerita mengenai kesibukan menguruskan Villa Tiga Datai Valley yang kini sudah memasuki tahun kedua, Datin Aida tidak pernah merungut walaupun terpaksa berasa di tiga tempat yang berbeza setiap minggu bagi memastikan kelancaran perniagaan yang diusahakan di samping tidak mengabaikan keluarga.
“Jika saya berada di Langkawi, saya dan suami akan sibuk menguruskan villa, memasak sarapan untuk tetamu villa, membantu pekerja membersihkan villa serta berkenalan dengan para tetamu yang menginap di villa. Jika saya berada di Ipoh pula, saya akan sibuk menguruskan persekolahan anak-anak dan menyediakan segala keperluan mereka. Saya juga memilih untuk belajar mengaji Al Quran di bawah bimbingan Ustaz melalui aplikasi zoom. Selain Langkawi dan Ipoh, Kuala Lumpur juga merupakan destinasi yang wajib bagi saya memandangkan ibubapa dan keluarga mentua menetap di ibukota. Jika pulang ke Kuala Lumpur, saya akan menyertai kelas latihan sukan lasak seperti Muay Thai dan pilates” ujar Datin Aida yang sememangnya tidak betah untuk duduk diam.
Ketika ditanya mengenai bagaimana industri pelancongan mampu bangkit kembali dan kembali meriah seperti dahulu, wanita yang sememangnya positif ini mempunyai perspektif yang wajar dijadikan panduan.
“InsyaAllah rezeki tidak pernah salah alamat. Kini kida dapat melihat lebih ramai pelancong tempatan pergi bercuti ke destinasi pelancongan tempatan kerana masih belum boleh bercuti ke luar negara. Umpama ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik lagi negeri sendiri.”
Apatah lagi Malaysia telah membuktikan dapat mengawal penularan Covid19 dengan baik.Industri pelancongan kini sudah banyak berbeza dengan pengamalan social distancing dan sebagainya. Pada pandangan saya, private villa seperti Villa Tiga Datai Valley sentiasa menjadi pilihan kerana ia lebih private dan tidak ramai berkumpul. Kami juga sentiasa melakukan kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman bagi memastikan setiap unit terpelihara dari sebarang kerosakan,” ujar Datin Aida seraya mengakhiri perbualan.
Foto: Credit @_azizulazman dan @villatigadataivalley
Solekan: @Za Zain
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehebatan generasi milenial sekarang bermain dengan duit tidak dapat dinafikan. Mereka rajin berusaha dan membina perniagaan bermula dari pusat pengajian lagi. Hidup berdikari tanpa bergantung bantuan daripada ibu bapa.
Tidak hairan dalam usia muda mereka sudah memiliki kereta sendiri dan membaluti tubuh dengan pelbagai barangan jenama mewah. Kegigihan dan peluang yang ada di usia muda digunakan sebaik mungkin dalam usaha memastikan masa depan yang lebih cerah.
Mendekati Aina Sophia dan Aini Sophie Binti Shamsol Zailan, berusia 21 tahun boleh dijadikan inspirasi kepada anak muda yang lain. Biarpun masih menuntut di UiTM Alor Gajah dalam Jurusan Pengurusan Perniagaan, pasangan kembar ini aktif dan gigih membina masa hadapan dalam bisnes online menerusi jenama GHADEEZ.KL.
Di bawah penubuhan syarikat DTWiNZ Legacy (Partnership) yang didaftarkan pada Mac 2020, GHADEEZ.KL dengan slogan ‘Explore Your True Style’ terus rancak memperkukuhkan penjenamaan dan branding secara bersama melaksanakan operasi Sales & Marketing.
Nyata, jiwa berniaga sangat dekat dalam kehidupan yang dilalui oleh mereka berdua. “Kami mula belajar berniaga sejak di tingkatan 4, membantu ibu (pegawai bank pencen) berniaga food kiosk di Melaka. Alhamdulillah, kami berterusan berniaga di kiosk sehingga habis SPM berselang-seli juga program mewakili Malaysia ke Korea (2016) Bulgaria dan Turki (2018) sebagai penari budaya Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) di bawah Tourism Malaysia.
Di Bulgaria, Aini menjadi Winner Miss Festival mengalahkan 14 negara lain semasa festival budaya berlangsung. Pada tahun 2018, selepas dimahkotakan sebagai Juara Miss Malaysia Kebaya, kami berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tuntutan aktiviti selepas kemenangan.
Seterusnya menjadi Juara Pencarian Wanita Melayu 2019, anjuran Plaza Shah Alam & Habib Jewels. Kami juga aktif sebagai dancers untuk RTM, TV3 & Astro. Aktiviti berniaga tetap diteruskan iaitu jualan kek dalam talian @bakedbyainaaini. Semuanya kami berdua buat sendiri, ‘baking’ dan menghantar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Aktiviti ini terhenti sementara setelah kami diterima masuk ke UiTM Alor Gajah.
Sekarang, sambil belajar dan dalam masa yang sama (cuti semester) kami mengambil kursus menjahit jangka pendek dari Kolej Komuniti Melaka dan juga di UPM Serdang untuk menambah ilmu dalam bidang jahitan,” jelas kembar muda yang memenuhi ruang masa mereka sebaik mungkin.
“Biasanya seawal 8 pagi hinggalah 6 petang, kami fokus pada online class. Selepas solat Maghrib kami masuk ke home boutique untuk aktiviti perniagaan. Masa tidur adalah waktu REHAT untuk kami berdua.”
Sepanjang perjalanan dalam perniagaan pastinya ada peristiwa yang menjadi kenangan tidak dilupakan, terutama cabaran berniaga dalam keadaan PKP. “Ada. Kami terpaksa ‘menutup kedai’ apabila COVID-19 melanda negara. Angkut semua stok dan peralatan balik ke rumah. Perkara ini amat menyentuh hati kami namun kami kuatkan semangat dan tidak pernah berputus asa. Ini adalah kerana kami berdua tidak ambil pinjaman PTPTN untuk yuran IPTA kami. Kami cari duit sendiri untuk membeli buku-buku dan bayar yuran belajar.
Secara jujurnya jualan kami jatuh di musim PKP. Pergerakan juga terhad dalam urusan mencari bahan jualan dan direct sales. Namun Social Media begitu membantu di mana banyak posting jualan dibuat melalui Instagram & Facebook. Kuasa membeli juga jatuh di musim COVID-19 kerana pembeli lebih berhati-hati dan agak berkira dalam perbelanjaan. Berkemungkinan ramai yang hilang punca pendapatan atau pekerjaan.
Pada 3 bulan pertama perniagaan, kami masih mencari sasaran pelanggan dan memberi fokus kepada marketing seperti gift review kepada artis dan beberapa influencers. Selepas 3 bulan kami maintain pendapatan bersih sekitar RM5,000 ke RM7,000 ke atas.
Selepas beberapa kali MCO, jualan kami jatuh tapi kami masih boleh maintain pendapatan bersih hingga RM3,000 sahaja sebulan. Target kami untuk ada jualan bersih RM30,000 ke atas sebulan selepas pandemik ini berakhir, insyaAllah,” jelas Aina dan Aini. Keadaan ini mengajar mereka untuk terus berusaha lebih kuat dan gigih, serta bijak bertindak dalam menghadapi pelbagai dugaan atau cabaran.
Siapa yang menjadi pendorong atau tulang belakang di sebalik usaha kalian berdua, “IBU. Beliau manusia yang paling kuat, tidak pernah ada istilah penat dan putus asa. Ibu sentiasa ada dalam suka duka kami. Saat kami jatuh, ibu pimpin kami untuk bangun semula dan menghantar kami ke mana sahaja sebab kami belum ada lesen memandu. Ibu juga mengajar kami cara mengurus kewangan dan perakaunan dengan betul.
Kami juga bersyukur dipertemukan dengan idola kami, Mr Bon Zainal. Beliau adalah pendorong utama untuk penjenamaan jenama kami sendiri. Mr. Bon banyak mengajar selok belok perniagaan fesyen dan membuka ruang untuk kami menyertai Malaysian Bumiputera Designers Asociation (MBDA) dan mengenali pereka fesyen terkenal di Malaysia. Beliau juga menawarkan kami ruang jualan produk Ghadeez di dalam butik beliau di Plaza Damas, Sri Hartamas.”
Dalam kesibukan mencari ilmu dan berniaga, kembar muda ini turut melaksanakan aktiviti CSR. “Sumbangan dan aktiviti CSR kami turut laksanakan dalam membantu keadaan MCO yang lalu, kami bekerjasama dengan ahli MBDA menjahit pakaian PPE kepada frontliners. Kami juga menyalurkan sumbangan kepada rumah-rumah anak yatim pada bulan Ramadan yang lalu. Harapan kami semoga sumbangan kecil ini dapat membantu mereka yang memerlukan.”
Sedikit kata-kata motivasi kepada golongan muda dan impian anda berdua di masa hadapan? “Nasihat kami kepada golongan muda, jangan buang masa. Remaja hanya sekali. Lakukan perkara-perkara yang berfaedah. Gunakan media sosial untuk aktiviti yang bermanfaat. Jaga tata susila. Jaga solat. Sentiasa bersedekah.
Harapan dan impian kami agar suatu hari nanti, GHADEEZ.KL dapat berdiri sama tinggi dengan jenama terkenal di Malaysia. Kami mengharapkan juga agar dapat membuka butik kami sendiri dalam waktu yang terdekat. Target kami juga mahu melangkah membawa jenama GHADEEZ.KL ke luar negara, insyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.