Nama Susi Susanti sememangnya tidak asing lagi bagi peminat sukan badminton dunia. Kejayaan demi kejayaan dilakar oleh Susi Susanti sepanjang karier dalam sukan badminton sememangnya amat membanggakan. Untuk rekod, Susi Susanti merupakan pemenang pingat emas pertama buat Indonesia di Sukan Olimpik 1992 di Barcelona.
Zaman kegemilangan Susi Susanti dalam sukan badminton
Susi Susanti atau nama sebenarnya Lucia Francisca Susy Susanti Haditono merupakan wanita yang banyak memberi sumber inspirasi buat wanita Indonesia apatah lagi apabila melihat kejayaan demi kejayaan yang berjaya direalisasikan sepanjang karier dalam sukan bulu tangkis itu.
Menyorot kehidupan peribadi Susi Susanti, dia mendirikan rumahtangga dengan Alan Budikusuma sekaligus merupakan salah satu pasangan paling terkenal di Indonesia. Sepasang emas di Sukan Olimpik Barcelona 1992 menjadi simbol ikatan mereka berdua.
Susi Susanti bersama suami tersayang Alan Budikusuma
Kisah cinta Susi dan Alan bermula sebelum temasya Sukan Olimpik Barcelona 1992 lagi tetapi kedua-duanya bijak merahsiakan hubungan mereka ketika itu.
“Kami berpacaran sejak tahun 1988,” ucap Susi mengingat. “Namun jangan diartikan pacaran seperti bagaimana layaknya remaja-remaja lainnya. Status kami saja yang pacaran, namun kami tetap sibuk dengan latihan masing-masing,” tutur Susi menjelaskan dipetik dari CNN Indonesia.
Susi Susanti masih aktif bersukan di usia 52 tahun. Kini dia dan suaminya mengusahakan jenama Astec
Meskipun pada peringkat awal hubungan Susi dan Alan mendapat tentangan dari keluarga, tetapi rasa cinta yang utuh menjadikan pasangan ini berjaya mendepani segala cabaran dengan sebaik mungkin. Apatah lagi kedua-duanya terlibat di dalam arena sukan yang sama, sebarang masalah peribadi yang melibatkan kedua-duanya bakal dijadikan asbab untuk perkara-perkara yang tidak diingini.
Namun buat pasangan ini, mereka saling menyokong antara satu sama lain dan menjadikan sesi latihan sebagai gelanggang berkongsi idea untuk memantapkan lagi mutu permainan. Tekad dan kerja keras pasangan ini ternyata menghasilkan momen indah buat Indonesia tatkala menghadiahkan pingat emas pertama di Sukan Olimpik. Sekaligus merupakan momen indah seluruh Indonesia merestui perjalanan cinta mereka.
Ads
Alan Budikusuma dan Susi Susanti sudah 26 tahun melayari bahtera perkahwinan.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 9 Februari 1997 dan hasil perkongsian hidup selama 26 tahun, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Laurencia Averina, Albertus Edward dan Sebastianus Frederick.
Bergelar pemain badminton professional, Susi Susanti pernah berhadapan dengan ujian getir apabila terpaksa membuat keputusan besar dalam perjalanan karier sebagai pemain badminton.
Ads
Selepas berkahwin pada 1997, Susi disahkan hamil lima minggu ketika bermain di Kejohanan Terbuka Singapura. Dalam situasi membawa misi negara ke Sukan Asia, Susi berada di persimpangan sama ada meneruskan kandungan atau melupakan Sukan Asia.
“Semua pihak menyerahkan keputusan di tangan saya. Setelah saya merenung, akhirnya saya memilih untuk meneruskan kehamilan karena saya fikir ini adalah anugerah dari Tuhan dan saya berdosa jika saya menggugurkannya,” ujar Susi.
Ia sekaligus melenyapkan peluangnya ke Sukan Asia 1998 dan menggantungkan raketnya secara rasmi. Selepas 19 tahun membina nama sebagai pemain badminton Indonesia, akhirnya Susi mengundurkan diri secara rasminya 30 Oktober 1999.
Ads
Simbolik acara persaraan Susi telah diadakan di Istora Senayan dan Susi turut menerima penghargaan berupa emas seberat 25 gram dari Persatuan Bulutangkis Indonesia. Susi turut diberi penghormatan menerima Badminton Hall Of Fame serta tanda penghormatan Republik Indonesia Bintang Jasa Utama pada tahun 1992.
Selain menjadi isteri dan ibu usai menggantung raket, Susi dan Alan menjalankan perniagaan berasaskan sukan diberi nama Astec serta sport massage center.
Meskipun kedua-duanya merupakan bekas medalis Sukan Olimpik, baik Susi mahupun Alan memberi galakan untuk anak-anak mereka mengejar karier yang berbeza dari kerjaya mereka. Pada usia 52 tahun, kegiatan olahraga menjadi salah satu aktiviti wajib buat jaguh dunia ini untuk mengekalkan stamina.
Juara All England di usia 19 tahun, meraih Piala Sudirman dan juga meraih emas Sukan Olimpik Barcelona, sememangnya wanita ini penuh dengan semangat yang luar biasa!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
dunia sedang menyaksikan bagaimana acuan tradisional tentang orang yang akan mempengaruhi kita sedang diubah. Hari ini, wanita merupakan golongan yang penting dalam membuat keputusan di dunia.
Ungkapan peribahasa tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia sebenarnya ialah satu realiti yang tidak boleh disangkal. Datang dari pelbagai latar belakang, wanita-wanita ini mempunyai naluri yang kuat dan menjadi orang yang berpegaruh di kawasan masing-masing.
Memandangkan sumbangan besar yang dibuat oleh wanita-wanita ini, senarai di bawah ini dianggap sama sekali tidak mengikut tahap pengaruh dan kepentingan mereka:
1. Hillary Rodham Clinton
Belaiu ialah Setiausaha Negara Amerika Syarikat sekarang. Walaupun beliau telah kalah dalam pencalonan sebagai presiden Parti Demokrat pada tahun 2008 kepada Barack Obama, beliau terus menjadi wanita yang paling berpengaruh pada abad ini.
Beliau telah membawa pelbagai inisiatif dan kempen politik termasuk kejayaan program kepimipinan dalam pembaharuan sistem pendidikan di Arkansas. Beliau berkhidmat sebagai Wanita Pertama Amerika Syarikat selama 10 tahun sepanjang suaminya Bill Clinton berkhidmat sebagai Presiden.
Beliau kemudiannya menjadi Senator wanita pertama mewakili New York pada tahun 2000. Beliau dipilih semula ke jawatan yang sama pada tahun 2006. Dalam pilihanraya presiden tahun 2008, beliau memenangi lebih banyak perwakilan berbanding wanita-wnaita lain dalam sejarah Amerika Syarikat.
Walaupun kalah kepada Barack Obama, beliau merupakan bekas Wanita Pertama yang pernah berkhidmat dalam cabinet presiden. Beliau berada di kedudukan yang tinggi sebagai ahli kabinet hari ini dengan sokongan beliau yang padu terhadap pengukuhan hubungan diplomatik, dan kemahiran berpidato yang ketara.
2. Benazir Bhutto
Benazir Bhutto merupakan anak perempuan bekas Perdana Menteri Pakistan, mendiang Zulfiqar Ali Bhutto. Bapanya seorang pemimpin yang diraikan rakyat Pakistan tetapi telah dihukum gantung. Benazir Bhutto mula muncul di arena politik global apabila beliau mengambil alih tampuk parti nasional bapanya (Parti Rakyat Pakistan).
Dalam perjuangan yang berterusan sepanjang hidupnya, beliau telah menganjur dan menggerak sokongan untuk kaumnya dan akhirnya beliau menjadi perempuan pertama untuk menyandang jawatan Perdana Menteri Republik Islam itu sebanyak dua kali.
Dibuang dalam lewat tahun 1990, beliau kembali berjuang di landskap politik Pakistan yang huru-hara untuk menggerak semula rakyat jelata. Walau bagaimanapun, beliau terbunuh dalam serangan pengganas pada tahun 2007 ketika melawat sekumpulan besar penyokongnya di Rawalpindi.
Ini telah menyebabkan kejutan di seluruh alam politik global yang menganggap beliau sebagai seorang ahli politik legenda dan seorang pemimpin yang mengutamakan hubungan diplomatik dan sentiasa berusaha untuk menegakkan demokrasi dan memperkasakan wanita.
3. Sonia Gandhi
Beliau adalah anak kepada Presiden Kongres Kebangsaan India yang merupakan parti politik paling popular di India. Bapanya dilahirkan di Itali. Parti tersebut dipengerusikan selama 55 tahun oleh ahli-ahli keluarga Nehru.
Sonia Gandhi terlibat dalam bidang politik selepas kematian suaminya, mendiang Rajiv Gandhi iaitu bekas Perdana Menteri India. Beliau terkenal dari segi kedudukan dan pengaruh dalam politik India yang merupakan satu pencapaian yang hebat untuk mewakili parti kepada penduduk pelbagai agama dan budaya.
Beliau telah dua kali dicalonkan oleh majalah dunia seperti Forbes dan Times sebagai salah seorang wanita yang paling berpengaruh tahun ini.
4. Condoleezza Rice
Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat ini merupakan seorang profesor, diplomat, penulis dan juga berkhidmat sebagai pakar keselamatan Negara. Peranan beliau di kalangan orang-orang yang berpengaruh dalam bidang membuat dasar amatlah kuat.
Beliau adalah Setiausaha Negara perempuan yang pertama yang berbangsa Afrika-Amerika dan pernah berkhidmat sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan di bawah pemerintahan George W. Bush.
Penekanan beliau untuk menyokong kerajaan di seluruh dunia yang dipilih secara demokrasi dan usaha untuk keamanan di Timur Tengah, yang dikenali sebagai Dasar Transformasi telah dihalang oleh golongan penyokong kerajaan Amerika di pelbagai kerajaan autoritarian seperti Mesir dan Arab Saudi.
Semasa memegang jawatan sebagai Penasihat Keselamatan Negara kepada Presiden Bush, beliau menerima kritikan ke atas dasar peperangan di Iraq dan Afghanistan. Beliau kini telah kembali ke Universiti Stanford sebagai seorang profesor dalam bidang Sains Politik.
Beliau terus mempengaruhi minda dan dasar-dasar bukan sahaja pelajar tetapi ramai pembuat dasar yang datang dan merujuk kepada beliau mengenai pelbagai isu keselamatan nasional.
5. Oprah Winfrey
Seorang penggerak, mogul media, dan penerbit majalah yang mencapai kemasyhuran melalui program bicarawara Oprah di saluran telivisyen. Memenangi pelbagai anugerah dan beliau membincangkan segala isu dari hal peribadi kepada isu-isu sosial.
Beliau sangat terkenal sebagai individu yang boleh mengajukan kepada orang ramai pelbagai soalan dan pendapat politik dengan cara yang amat berhemah dan bertanggungjawab.
Disenaraikan sebagai salah seorang individu yang berbangsa Afrika-Amerika terkaya dan telah berkali-kali menyandang gelaran individu berbangsa Afrika-Amerika yang paling berpengaruh oleh beberapa sumber. Beliau telah merevolusikan suatu bentuk komunikasi dan pengakuan yang lebih mesra melalui media.
Setelah lebih satu dekad bersiaran, rancangan bicarawaranya masih terus popular dan mempunyai pengaruh yang agak besar melalui aktiviti-aktiviti amalnya dan pengaruh dalam lingkungan politik termasuk berkempen untuk Presiden Barack Obama.
6. Permaisuri Rania dari Jordan
Beliau telah dikurniakan dengan kecantikan dan dikenali sebagai salah seorang wanita yang paling cantik di dunia. Beliau juga menjadi salah seorang wanita paling berpengaruh di dunia Arab.
Sebagai isteri kepada Raja Jordan, Permaisuri Rania adalah seorang aktivis yang mempopular pendidikan untuk semua dan telah terlibat dalam inisiatif untuk memperkasa wanita dan meningkatkan golongan celik huruf.
Usaha-usaha beliau untuk melibatkan diri dengan belia dan menyatukan perjuangan agama Islam dan negara beliau, melalui media seperti saluran YouTube sendiri, telah membuat beliau sangat popular bukan sahaja kepada belia di negara-negara Islam tetapi juga di seluruh dunia. Beliau juga berperanan sebagai ikon fesyen dengan cara tersendiri.
7. Shirin Ebadi
Peguam Iran yang telah dianugerahkan Anugerah Nobel Keamanan untuk meneruskan perjuangan keadilan dan hak asasi manusia di negara itu. Beliau terkenal sebagai salah seorang individu yang sentiasa berjuang menentang Rejim Islam untuk mengekalkan serpihan yang tinggal dalam sistem keadilan di Iran selepas Revolusi 1979.
Dalam buku beliau menulis penglibatan dan perjuangan menentang pihak berkuasa untuk melindungi kanak-kanak dan wanita yang didera, dan penglibatan beliau melawan kes-kes terhadap kerajaan.
Beliau telah berkorban untuk mengenepikan keselamatan peribadinya demi semangat nasionalisme dan ini telah meletakkan beliau di tengah-tengah masa depan Iran seperti yang disebut oleh ramai orang. Beliau memenangi Hadiah Nobel Keamanan sebagai penghargaan.
8. Christiane Amanpour
Kesediaan beliau melaporkan isu-isu dari tempat yang paling berbahaya dan yang paling kontroversi telah melonjakkan Christiane Amanpour untuk menyandang jawatan Ketua Perunding CNN Antarabangsa.
Pujian yang kritikal dan meluas diberi atas ulasan keras beliau terhadap isu politik di Timur Tengah. Analisis kajian semula terhadap proses damai yang dibuat oleh beliau menerima tentangan hebat. Sejak memulakan kerjaya dengan CNN, beliau diiktiraf untuk membuat laporan dari pelbagai zon perang termasuk Bosnia.
Selain itu, beliau juga dilanda kontroversi yang berkaitan dengan wawancara beliau dengan tokoh-tokoh seperti Yasir Arafat dan tokoh politik utama dari negara Iran. Iran merupakan negara asal yang beliau tinggalkan semasa kecil bersama keluarga.
9. Indira Nooyi
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo , Indira Nooyi telah memenangi pencalonan yang berulang-ulang dalam senarai Wanita Paling Berkuasa di dunia. Beliau bertanggungjawab untuk menaplikasi kemahiran perniagaan beliau kepada penubuhan jenama seperti Taco Bell dan KFC.
Antara lain, Indira Nooyi telah membawa kepada peningkatan yang ketara dalam margin keuntungan syarikat itu. Merupakan bangsa India asli yang pertama menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.
10. Cristina Fernandez De Kirchner
Presiden wanita pertama Argentina, Kirchner memimpin dan menguruskan negara itu dengan cara luar biasa dan menarik semasa pergolakan politik dan ekonomi . Beliau berjaya mengurus dan membawa Argentina ke tahap ledakan ekonomi.
Pada masa itu, Argentina mencatat rekod ekonomi yang paling pesat berkembang. Walaupun begitu, kerajaan beliau menerima kritikan tegar kerana tidak menangani isu rasuah dan tidak meguruskan masalah pengangguran dan kemiskinan.
Dia masih terus menjadi seorang tokoh politik dalam liga tersendiri dan telah membuat sumbangan yang patut dipuji dengan dasar awam Argentina.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Isteri kepada vokalis band Indonesia, Pasha Ungu iaitu Adelia Wilhelmina atau lebih mesra disapa sebagai Adel yang juga merupakan bekas pramugari Lion Airlines ini nekad mengubah penampilan dan memberi sepenuh tumpuan kepada keluarga sejak berumah tangga 14 tahun yang lalu.
Adelia yang meniti usia 35 tahun pernah menjadi sorotan dan ‘buah mulut’ netizen dek kerana raut wajahnya yang cantik terutamanya ketika muncul dalam klip video nyanyian duet ‘Penghujung Cintaku’ sebelum mereka bernikah.
Waktu itu, Adelia belum lagi berhijab namun pesona dan rupa paras menawannya menarik perhatian ramai. Dia juga dilapor berketurunan Sunda, Belanda dan Cina.
Kini selepas 14 tahun mendirikan rumah tangga dan memiliki anak, suri hati Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said masih menawan. Malah penampilannya lebih sopan sejak memakai tudung.
Pastinya ramai yang turut terpegun dengan kecantikan asli Adelia. Mana tidaknya, walau sudah dikurniakan empat orang anak namun tetap ramping. Ditambah pula penampilan Adelia yang anggun berhijab bagai tidak puas mata memandang!
Tampil lebih matang dan sopan, ibu berusia 35 tahun ini dilaporkan membuat keputusan untuk berhijab kira-kira tujuh tahun lalu. Sejak itu, jelitawan ini dilihat selesa menyarung busana labuh dan bertudung litup setiap kali berada di khalayak.
Pernah berkhidmat sebagai pramugari, Adelia bagaimana pun nekad berhenti daripada kerjaya di awan biru semata-mata mahu memberi sepenuh tumpuan menguruskan keluarga dan anak-anak.
Pasangan romantis ini bernikah pada 23 Mac 2011. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Dewa Hikari Zaidan Ibrahim, Sakha Dyandra Sultan Yusuf, Aliyan Akhtar Raja Sulaiman dan Kayla Mutiara Pasha.
Terdahulu Pasha pernah berkahwin dengan Okie Agustina dan mereka mempunyai tiga anak iaitu Kiesha Alvaro, Shakiena Azalea Putrina, Nasha Anaya Putri Valentina.
Adelia nyata seorang sosok ibu penyayang. Dia tidak hanya mengasuh dan menjaga semua anak-anak dengan baik bahkan akrab dengan tiga lagi anak Pasha hasil perkahwinan sebelumnya.
Pasha kini aktif menceburi bidang politik Indonesia dan turut mempengaruhi isteri tercinta untuk turut berkecimpung dalam kerjaya berkenaan.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Pada usia 59 tahun dan ibu kepada 3 anak, YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Bank Islam yang baharu, berkuat kuasa 1 April 2026.
Pelantikan itu menggantikan Datuk Mohd Muazzam Mohamed yang bersara awal pada Disember 2025 selepas lebih sedekad menabur bakti bersama Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam).
Sebelum menyertai Bank Islam, Raja Datin Paduka Teh Maimunah merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AEON Bank (M) Bhd, sekali gus menerajui pelancaran bank digital Islam pertama di Malaysia. Sepanjang tempoh itu, beliau menjadi perancang utama pembangunan infrastruktur teras natif awan bank berkenaan, meletakkan penanda aras baharu inovasi digital patuh Syariah.
Kerjaya beliau selama hampir 30 tahun merangkumi pelbagai jawatan kanan dalam institusi kewangan terkemuka, termasuk sebagai Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank serta CEO Hong Leong Islamic Bank.
Pendidikan
Menelusuri latar pendidikan, Raja Datin Paduka Teh Maimunah memulakan pengajian dalam bidang undang-undang di University of East London atas nasihat ayahanda tercinta. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dan kemudiannya dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang oleh universiti yang sama.
“Saya tidak meneruskan kerjaya dalam bidang undang-undang kerana minat yang lebih mendalam terhadap dunia perbankan dan kewangan,” ujar tokoh korporat berusia 59 tahun ini, mengenang perjalanan awal kariernya.
Pengalaman lebih tiga dekad dalam industri perbankan dan kewangan menyaksikan perjalanan yang tidak mudah, namun sarat dengan pembelajaran dan ketabahan.
“Saya mula memberi fokus serius kepada kerjaya perbankan selepas melahirkan anak pertama pada 1996. Anak saya menjadi inspirasi utama untuk bekerja keras. Ketika itu, saya seorang ibu tunggal dan matlamat utama adalah membesarkan anak serta menyediakan kehidupan yang stabil,” katanya sewaktu temu bual eksklusif sempena Nona Superwoman Award 2024.
Susur Galur
Keberanian serta kredibiliti Raja Datin Paduka Teh Maimunah berakar daripada latar keluarga dan perjalanan hidup yang membentuk jati dirinya. Beliau memiliki darah diraja Perak di sebelah ayahanda, manakala bondanya berasal daripada susur galur kerabat diraja Kelantan.
Ayahandanya ialah YM Raja Abdul Aziz Ibni Almarhum Raja Musa, anak kepada YM Raja Musa bin Raja Mahadi, sementara bondanya, YM Raja Zabidah binti Raja Ahmad, merupakan puteri kepada YM Dato’ Raja Haji Ahmad bin Raja Endut. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 1966 dan membina sebuah keluarga berteraskan nilai, disiplin serta empati.
Raja Datin Paduka Teh Maimunah ialah anak sulung daripada tiga beradik dan kini merupakan ibu kepada tiga cahaya mata perempuan.
“Ayahanda dan bonda banyak menanamkan nilai kemandirian, disiplin serta empati. Pesanan bonda yang paling saya ingat adalah untuk sentiasa berpegang pada kejujuran, tanggungjawab dan bekerja keras tanpa mengira status,” ujarnya.
FASA BARU
Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkata kepimpinan Raja Datin Paduka Teh Maimunah dalam industri kewangan serta inovasi digital selari dengan aspirasi strategik kumpulan. Menurut beliau, sebagai peneraju perbankan Islam di Malaysia, Bank Islam sentiasa berevolusi seiring keperluan negara dan landskap kewangan global.
Pelantikan ini turut menandakan fasa penting dalam usaha Bank Islam mempercepat transformasi bagi mengukuhkan kedudukan sebagai institusi kewangan Islam terunggul.
“Lembaga Pengarah yakin di bawah kepimpinan beliau, kumpulan akan terus memperkukuhkan kedudukan pasaran, memacu inovasi serta menyampaikan nilai mampan kepada semua pemegang taruh, sambil menjunjung standard tertinggi Syariah dan integriti.
Raja Datin Paduka Teh Maimunah akan memacu fasa penerapan serta transformasi digital kumpulan seterusnya dengan menggabungkan kepakaran digital bersama pengalaman perintis Bank Islam dalam industri kewangan Islam,” kata Tan Sri Dr Ismail Bakar dalam satu kenyataan.
Menurut Bank Islam, pelantikan tersebut adalah hasil proses pencarian yang rapi dan menyeluruh, melibatkan penilaian teliti terhadap barisan calon berkelayakan tinggi. Setelah pertimbangan mendalam, Lembaga Pengarah memutuskan Raja Datin Paduka Teh Maimunah sebagai calon paling tepat untuk memimpin kumpulan ke fasa pertumbuhan seterusnya.
Selain rekod kukuh dalam kepimpinan strategik dan kecemerlangan operasi, beliau juga secara konsisten menzahirkan keserasian dengan nilai teras Bank Islam, termasuk pematuhan prinsip Syariah yang menjadi asas operasi dan tadbir urus institusi tersebut.
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.