Viral semalam apabila tersebar kisah tiga kanak-kanak ini yang dikatakan telah diabaikan tanpa penjagaan oleh ibu bapa mereka di rumah.
Kes yang berlaku di Larkin, Johor Bahru tersebut mendedahkan keadaan daif mereka yang tidak berpakaian dan menangis berjam-jam. Turut ditemui sebuah telefon bimbit yang uzur dan berbahaya tanpa penutup belakang sebagai ‘permainan’ kanak-kanak tersebut.
Lebih menyedihkan, kelihatan sebuah periuk nasi yang ‘disimbah’ kicap sebagai makanan mereka bertiga. Sisa yang hanya tinggal kerak nasi itu dipercayai menjadi makanan kanak-kanak tersebut ketika lapar.
Dalam perkembangan terbaru, dikatakan semua kanak-kanak ini telah mendapat pembelaan Jabatan Kebajikan Masyarakat apabila pihak berkuasa bertindak pantas selepas menerima aduan. Kini mereka telah dipindahkan ke pusat jagaan kanak-kanak di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Justeru sebagai anggota masyarakat, Nona ingin menyeru kepada semua pembaca yang prihatin supaya selalu memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Ambil tahu keadaan jiran tetangga dan ringankan tangan berbahagi rezeki.
Kita tak tahu nasib orang di balik pintu, kerana mereka yang tersenyum di hadapan kita mungkin juga sedang menangis saat kita berpaling meninggalkan mereka.
Walau bagaimanapun, masih terkesan di fikiran Nona kes arwah Muhammad Firdaus Dullah, seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 16 tahun yang ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak terurus. Arwah meninggal akibat sawan selepas diselamatkan.
Penemuan Firdaus pada Jun 2014 itu menggemparkan negara kerana ditemui dalam keadaan menyayat hati di kediaman keluarganya di Taman Semarak, Nilai. Dia ditemui oleh pasukan Imigresen yang menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan tersebut. Norzalina Mohd Alias