Mencabar sungguh bila terpaksa memandang juadah raya dari kejauhan. Irma Hasmie pun ada pengalaman berpantang ketika bulan Syawal. Orang lain sibuk makan rendang dan ketupat, Irma pula hanya makan menu-menu orang berpantang!
Itulah kisah Irma Hasmie 5 tahun lalu selepas melahirkan puterinya, Irma Nur Naylie.
“Dalam banyak-banyak Syawal yang disambut, tahun 2014 adalah kenangan yang paling saya ingat sehingga ke hari ini. Saya terpaksa berpantang semasa raya. Lemang dan rendang bagai ‘memanggil-manggil’ untuk dimakan. Tetapi apakan daya, tempoh berpantang itu masih lama lagi. Tetapi seronoknya kerana ramai yang datang untuk melawat saya dan baby,” kongsi Irma.
Sambutan Syawal kali ini seperti biasa anak-anaklah paling teruja. Kata Irma, Irfhan dan adiknya paling riuh untuk bersiap untuk mengerjakan solat hari raya.
Ads
“Dia yang akan kejut semua orang. Bila nampak Mummy dan Daddy masih belum bersiap, dia yang bising-bising minta kami bersiap cepat. Irfhan pula jenis yang suka berpakaian lengkap, dari songkok hingga samping. Jadi pagi tu memang kalut!” katanya.
Comel betul dua beradik ni. Bertuah Irma dan Redza dikurniakan anak yang comel dan bijak. Kata Irma, dua anaknya ini dijaga sendiri dengan bantuan ibu dan ibu mentua.
“Membesarkan anak-anak sendiri adalah satu kepuasan buat mana-mana ibu sekalipun. Mujur saya diberikan peluang untuk melihat mereka membesar di depan mata. Bila dah masuk umur 4 tahun, barulah saya hantar mereka ke sekolah. Sekarang ni jadi driver untuk mereka pula!”
Irma yang kini aktif dalam dunia pengacaraan juga sedang sibuk menjalankan tugasnya menjadi ikon untuk Islamic Relief Malaysia. Banyak misi yang sedang giat dijalankan dan dalam perancangan untuk dilaksanakan. Bacalah kisah Irma yang Nona paparkan di dalam edisi Jun 2019 ini. Mungkin ada yang terpanggil untuk turut menyertainya.
Di sebalik rupa paras cantik dan perwatakan happy go lucky, Suzana Zainan atau lebih dikenali sebagai Ana yang merupakan peserta Top 9 Program Realiti Digital Pencarian Make Up Artist Fabulous MUA Nona x FCC ini rupa-rupanya sudah pun bergelar nenek. Kelu lidah penulis saat mengetahui status sebenar Ana ditambah pula kisah hidupnya yang pernah menjadi ibu tunggal selama lebih sedekad! Ya Tuhan, sungguh kental jiwa dan semangat wanita ini.
Merupakan peserta paling berusia, tidak keterlaluan jika penulis mengatakan dia juga peserta paling ceria sepanjang pertandingan ini berlangsung. Bahkan sejak dari sesi ujibakat, Top 30 dan Top 9… Ana antara individu yang berjaya menarik perhatian juri serta menjadi pencabar utama kepada peserta-peserta lain. Mungkin kerana kematangan yang dimiliki selain pengalaman Ana yang sudah menceburi bidang kosmetik dan solekan lebih 13 tahun lalu.
Berkesempatan mendekati sisi peribadi Ana, wanita berusia 42 tahun ini nyata cukup terbuka berkongsi pengalaman hidup. Sambil tersenyum dan dengan nada tenang, dia menyusun bicara, “Saya ada empat orang anak. Tiga perempuan dan satu lelaki. Yang sulung dan kedua perempuan umur 25 dan 24 tahun, anak ketiga lelaki; lapan tahun, sementara anak paling kecil, perempuan… umur tujuh tahun.
Jarak umur anak pertama dan kedua tu jauh daripada anak ketiga sebab lepas berkahwin kali kedua, baru saya dapat anak lelaki. Sebelum perkahwinan kedua, saya dah jadi ibu tunggal selama 12 tahun. Pada saya, dunia solekan ni memang cukup dekat dengan jiwa saya sebab dengan kerjaya inilah saya besarkan anak-anak sepanjang bergelar ibu tunggal dulu.
Saya kahwin umur 17 tahun dan bercerai ketika 21 tahun. Iyalah, orang perempuan ni cepat rasa serik… jadi saya takut untuk kahwin semula lepas bercerai. Lagipun waktu itu dua anak perempuan saya masih kecil. Saya nekad untuk membesarkan mereka seorang diri sampailah usia 15 tahun. Bila mereka dah pandai bawa diri baru saya fikir untuk kahwin kali kedua. Alhamdulillah untuk perkahwinan kali kedua ini saya dikurniakan dua orang anak dan usia perkahwinan pun masuk tahun ke-10.”
Tambah Ana lagi, “Perancangan Allah SWT sememangnya yang terbaik. Lepas kahwin semula, saya dapat mak mertua yang baik dan sokong apa juga yang saya buat. Hinggakan hendak masuk pertandingan ini pun dia support… fully support. Dan saya juga berterima kasih dengan mak saya sebab dia yang tolong jaga anak-anak bila saya pergi kerja. Masa tu, dua anak perempuan saya baru umur tiga tahun.
Alhamdulillah, kedua-dua anak perempuan saya tamat belajar sampai degree. Seorang bekerja dalam bidang retail, seorang lagi kerja perbankan. Oh, saya juga ada cucu seorang! Anak perempuan kedua saya dah kahwin dan sekarang cucu saya dah 10 bulan. Saya bersyukur sebab diberikan kehidupan yang penuh warna-warni. Orang tengok saya seorang yang fun, tapi dalaman… hanya Allah yang tahu sebab saya lebih selesa tak tunjuk suka duka yang pernah saya lalui dekat orang.”
Pernah berkhidmat dengan syarikat jenama kosmetik terkenal tidak lama dulu, Ana juga mempunyai Diploma dalam lulusan solekan dan dandanan. Sebaik diajukan pertanyaan mengenai harapannya dalam bidang ini, Ana dengan lantang menitipkan pesanan berikut.
“Harapan saya kepada semua yang ada niat nak jadi seorang make up artist… persiapkan diri anda dengan semua segi termasuk ilmu. Bila buat make up, bukan fikir tentang duit semata-mata. Paling utama kena ada minat, lepas tu kena tahu yang solekan ini melibatkan seni dan keyakinan orang terhadap diri kita sendiri.
Mahu atau tak, make up artist kena ada pengetahuan dari segi tentang macam mana hendak faham sikap dan gelagat orang yang kita mekap. Bukan dari sudut mekap saja tapi kena tahu bagaimana untuk handle emosi mereka. Kerjaya ini bukan main-main. Perbetul niat dan inshaAllah kita bukan saja dapat jana pendapatan tapi juga dapat penghormatan dari orang lain.”
Saksikan Ana dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian make up artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada Allah jua kita kembali. Baru beberapa hari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, Datuk Seri Bung Moktar Radin kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2025.
Pemergian tokoh politik dan Ahli Parlimen Kinabatangan ini ke pangkuan ilahi pada hari Jumaat, jam 1.46 pagi meninggalkan kesan mendalam bukan hanya dalam kalangan ahli keluarga. Bahkan rakyat negeri Sabah khususnya.
Memetik laporan Sabah Post, Setiausaha UMNO Sabah iaitu Datuk Jafry Ariffin memaklumkan Allahyarham mengalami keadaan kesihatan yang serius selepas kegagalan buah pinggang dan jangkitan teruk di bahagian paru-paru.
Berita kehilangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar pagi Jumaat ini nyata mengejutkan ramai pihak. Salah seorang sahabat politik yang turut terkesan dengan khabar berkenaan ialah Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah yang duduk bersebelahan Allahyarham di Parlimen.
Dalam perkongsian di media sosial, Dato’ Indera Mohd Shahar yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar menyifatkan suami kepada Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tersebut memiliki peribadi baik dan sentiasa mengingati Allah.
“Hari ini, seorang sahabat yang duduk di sisi saya dalam dewan berpulang pergi – Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar.
Hari ini, beliau kembali kepada Pencipta pada hari Jumaat yang mulia; hari yang dipilih, hari yang dijanjikan sebagai perlindungan dari azab kubur bagi insan yang Allah muliakan perjalanannya.
Ramai mengenal ketegasannya, tetapi saya mengenal sisi yang jarang terlihat. Jarinya sentiasa tergengam tasbih bila berada di dalam dewan.
Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami, zikir yang tidak kuat, tetapi cukup untuk membuat hati ini merasa damai. Itulah bunyi yang kini tinggal sebagai kenangan.
Dalam video ini, beliau sedang membetulkan pin saya; satu detik kecil, tetapi penuh makna. Begitulah beliau, membantu dalam senyap, hadir dengan ihsan, lebih banyak lembutnya daripada yang dunia sempat tahu.
Semoga Allah melapangkan perjalanannya, mengampunkan segala salahnya, dan menempatkannya di taman-taman yang tenang.
Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang, zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang. Budi yang kau tinggal, menjadi doa yang panjang, Semoga damai menjemputmu, dalam kasih Allah yang lapang. Al-Fatihah. Damailah Sahabatku di sana.”
Datuk Seri Bung Moktar Radin menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 pada 14 September lalu.
Rata-rata rakan politik Allahyarham turut mengagumi kepimpinan tegas dan lantangnya dalam membela nasib rakyat.
Kebaikan yang pernah dilakukan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar juga terungkap satu persatu selepas pemergiannya. Insan ini dikatakan memiliki hati yang lembut dan mudah didekati serta membantu masyarakat memerlukan.
Malah, turun padang bertemu penduduk setempat dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang berada dalam kesusahan secara senyap-senyap. Tanpa kehadiran media mahupun lensa kamera.
Sepanjang pembabitan dalam arena politik, Allahyarham yang berasal dari Sukau, Kinabatangan memiliki Ijazah Sarjana Falsafah (Analisis Polisi dan Keselamatan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) serta Presiden Bola Sepak Sabah.
Bersandarkan komitmen, perjuangan buat rakyat Sabah dan kemenangan dalam PRN Sabah ke-16, Allahyarham diberi kepercayaan seterusnya menerima pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah.
Slogan ‘Radu Tatap Radu’ atau ‘Lawan Tetap Lawan’ cukup sinonim dengan perjuangan pemimpin ini.
Semoga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Juga, ahli keluarga Allahyarham diberi ketenangan, kesabaran dan tabah menerima dugaan ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekali terpandang wajahnya, mesti nak tengok berkali-kali! Masih ingat lagi tak aktres cantik rupawan yang membintangi telenovela popular Maria Mercedes, Marimar dan Rosalinda sekitar tahun 90an ini? Kecantikan luar biasa yang dimiliki selebriti Mexico tersebut nyata memberi impak kepada peminat drama bersiri berkenaan hingga ke hari ini.
Tahun ini, Thalia atau nama sebenarnya Ariadna Thalia Sodi Miranda meniti usia 50 tahun pada 26 Ogos nanti. Tapi dari susuk tubuh dan raut wajah, sedikit pun tak menggambarkan umur sebenar Thalia bahkan pesona yang ada pada dirinya tetap menarik pandangan!
Jelitawan ini juga sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga bersama Tommy Mottola yang merupakan CEO Sony Music. Hasil perkongsian hidup selama 2 dekad, pasangan romantis ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Sabrina Sakae Mottola Sodi berusia 13 tahun dan Matthew Alejandro Mottola Sodi, 10 tahun. Tommy yang memiliki kerjaya sebagai penerbit muzik dan buku serta usahawan berjaya dalam industri seni Amerika ini juga sebenarnya bekas suami kepada penyanyi terkemuka, Mariah Carey.
Namun perkahwinan bersama pelantun lagu My All itu hanya bertahan selama lima tahun sebelum kedua-duanya dilaporkan berpisah pada tahun 1998. Dua tahun kemudian, Tommy menamatkan zaman duda bersama Thalia dan berkahwin pada 3 Disember 2000 dalam sebuah majlis perkahwinan gilang-gemilang.
Bersandarkan kejayaan Tommy dan kemasyhuran Thalia sebagai penyanyi, pelakon dan ahli perniagaan kosmetik, tak hairanlah pasangan ini mampu menikmati kehidupan serba mewah. Selesa menaiki jet peribadi untuk bercuti, Thalia dilihat kerap memuat naik gambar percutian bersama keluarga di media sosial miliknya selain berkongsi cita rasa fesyen buat tatapan lebih 17 juta peminat! Nama Thalia turut terukir di Hollywood Walk of Fame pada tahun 2013 sementara suaminya pula menerima pengiktirafan sama pada tahun 2019.
Alahai, sudahlah cantik… kaya dan ternama pula tu. Patutlah dia mendapat gelaran ‘Queen of Latin Pop’. Dua tahun lalu, Thalia hadir dengan lagu duet ‘No Me Acuerdo’ bersama Natti Natasha yang memperoleh lebih 1 bilion tontonan di YouTube! Terbaharu, klip videonya berjudul Tick Tock pula mencatat lebih 12 juta tontonan meskipun baru 2 bulan dimuat naik. Pendek kata, apa sahaja video atau aktiviti Thalia pasti mencecah jutaan perhatian daripada peminat!
Mengintai Instagram Thalia, wanita cantik ini rupa-rupanya seorang yang aktif bersukan lasak dan mengamalkan gaya hidup sihat. Sebelum ini Thalia dan keluarga telah berkunjung ke Utah untuk mengikuti aktiviti rock climbing. Tidak cukup dengan itu, dia juga gemar melakukan rutin senaman pilates demi mengekalkan susuk tubuh langsing dan fleksibiliti badan.
Lepas ini kalau ada yang berhajat hendak memiliki tubuh menawan seperti Thalia, boleh amalkan sukan mendaki dan praktikkan pilates. Dengan usia 50 tahun dan mempunyai dua orang anak, kecantikan dan aura Thalia sememangnya tiada tandingan. Sudah pasti segala kecantikan, kemasyhuran dan kemewahan yang dimiliki Thalia menjadi impian setiap wanita.
Kredit foto: Instagram Thalia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Potret Cheryl Samad bersama ibunya mencuri perhatian ramai, menampilkan kisah genetik Melayu, Eurasian dan Portugis serta perjalanan hidup penuh nilai kekeluargaan.