Peningkatan kes jangkitan Covid-19 ketika ini amat membimbangkan. Kes harian jangkitan juga kebelakangan ini mencecah hampir 7 ribu dengan mencatatkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara melepasi angka separuh juta! Pastinya keadaan ini bukan hanya meresahkan banyak pihak terutama petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengekang penularan wabak maut berkenaan.
Prihatin dan bimbang dengan sikap segelintir rakyat yang tidak sedar bahaya yang menanti, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tampil menyuarakan keresahan di platform media sosial.
Dengan pengaruh dan followers yang ramai, usaha Datuk Chong Wei ini wajar menjadi ikutan atlet dan individu berpengaruh lain bagi mengajak orang ramai mengambil langkah pencegahan mengekang kes jangkitan.
Dalam perkongsian Datuk Chong Wei, beliau berkongsi foto-foto terkini keadaan para frontliners yang semakin keletihan. Ada di antara mereka terduduk rehat sambil masih lengkap berpakaian PPE, basah-kuyup sebaik menanggalkan PPE, kepenatan hingga tidur di kaki lima hospital sehingga ada berjauhan dari keluarga dalam tempoh lama kerana bimbang menjangkiti keluarga.
Pesan tokoh sukan ini, “Saya tahu semua orang penat, frust, takut, kecewa. Tapi cuba bayangkan perasaan frontliners yang tiap-tiap hari berpegang tangan, melekat pipi dengan virus Covid-19, dilindungi hanya sekeping plastik biru.
Apakah perasaan anak-anak mereka, ibu bapa mereka? They are sons, daughters, fathers and mothers too.
6,735 orang frontliners kita disah positif, 5 telah meninggal dunia akibat virus Covid-19, angka ini tidak termasuk mereka yang terkorban disebabkan kepenatan badan dan minda yang teramat. Saya harap kawan-kawan semua boleh membantu kurangkan beban mereka, stay home!
Asalkan semua duduk rumah, virus tidak dapat cari mangsa, virus akan mati! Menanglah kita! Marilah kita bersama-sama bagi kata-kata sokongan kepada frontliners kita.”
Sebagai bapa kepada dua anak kecil, sudah tentu situasi pandemik ketika ini merisaukan Datuk Chong Wei dan isterinya, Datin Wong Mew Choo. Walau sudah bersara dari dunia sukan namun Datuk Chong Wei aktif mengikuti perkembangan semasa dan aktiviti kebajikan.
Kredit: Instagram Datuk Lee Chong Wei
ASHRAF MUSLIM Bahagia Hidup Berpoligami, Isteri Kedua Hamil Lagi!
Dari mata kasar, dillihat kehidupan berpoligami ni sangat mudah dan menyeronokkan. Iya lah, lelaki mana yang tidak suka apabila dapat beristeri dua atau lebih. Cantik-cantik pula tu. Namun, hidup berpoligami bukan suatu perkara mudah kerana seseorang suami itu bukan sekadar perlu berlaku adil terhadap pasangan namun harus bijaksana dan disiplin dalam mengemudi rumah tangga.
Bertuah nasib badan pelakon lelaki kacak Ashraf Muslim apabila dia dilihat berjaya mengharungi kehidupan perkahwinan berpoligami dengan baik bersama kedua-dua isterinya.
Apa yang menariknya, bilangan ahli keluarga Ashraf Muslim akan bertambah lagi apabila isteri keduanya, Wan Sakinah kini sedang hamil anak ketiga. Ashraf berkongsi sendiri berita gembira itu kepada peminatnya di laman instagram miliknya. Ashraf turut dihujani dengan ucapan tahniah daripada peminat dan juga rakan artis.
Walaupun sudah masuk minggu kedua Syawal, Ashraf Muslim dan kedua-dua isterinya masih lagi dalam mood beraya kerana mereka sekeluarga masih berkesempatan pulang ke kampung halaman yang terletak di Serkam Pantai, Melaka. Untuk Syawal kali ini, Ashraf dan dua bidadari syurganya memilih busana raya sedondon berwarna coklat.
Ashraf berkahwin dengan isteri pertama, Dr Noor Dayana Lokman pada 30 Ogos 2011 di Makkah dan kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 di Selatan Thailand. Hasil dua perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Sarah Ashraf (4 tahun), Adam Ashraf (3 tahun), dan Anas Ashraf (2 tahun).
Gembira melihat pasangan ini boleh hidup dengan bahagia lebih-lebih lagi melihat hubungan antara Dayana dan Sakinah yang sangat akrab seperti adik-beradik yang tidak dapat dipisahkan walaupun terpaksa berkongsi suami dan hidup bermadu. Tidak semua wanita yang sanggup dimadukan. Diharapkan semoga hubungan baik antara mereka sekeluarga terus berkekalan dan terus dilindungi.
Kerana Aura & Skil Tarian Madhuri, KARISMA KAPOOR Akui Pernah Berkali ‘Reject’ Filem Dil To Pagal Hai
Bagi anda yang mengemari filem-filem Bollywood era 90-an, sudah pasti filem romantis tarian Dil To Pagal Hai menjadi filem kegilaan dan kegemaran. Dilakonkan oleh trio pelakon legenda dan hebat seperti Shah Rukh Khan, Madhuri Dixit dan Karisma Kapoor dengan alunan lagu-lagu yang mendayu serta mengasyikkan, padanlah filem Dil To Pagal Hai antara naskah terbaik indusrti Bollywood pernah ada.
Ditayangkan pada tahun 1997, filem Dil To Pagal Hai merupakan filem arahan Yash Chopra berjaya mengutip kutipan sebanyak ₹598 juta Rupee malah turut dicalonkan menerusi 8 kategori dan memenangi beberapa anugerah pada 43rd Filmfare Awards termasuk Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Namun tahukah anda, di sebalik kejayaan filem tersebut, rupa-rupanya Karisma Kapoor bukanlah pilihan utama untuk mengisi watak Nisha. Menerusi temubual bersama Hindustan Times, Karisma Kapoor mendedahkah bahawa dia pernah menolak tawaran untuk membintangi filem percintaan epik, Dil To Pagal Hai apabila mendapat tahu perlu ‘beradu’ skil tarian dengan Madhuri Dixit.
Bahkan bukan sahaja Karisma, malah beberapa pelakon wanita lain turut menolak tawaran tersebut kerana enggan mengambil risiko ditenggelami dengan kehebatan lakonan dan tarian Madhuri yang sememangnya cukup terkenal dan ‘digeruni’ ketika itu.
Kata Karisma, sebelum watak Nisha dalam filem tersebut ditawarkan kepadanya, beberapa pelakon lain terlebih dahulu ditawarkan memegang watak tersebut. Antara pelakon wanita yang diberikan watak tersebut sebelum Karisma adalah Manisha Koirala, Juhi Chawla, Kajol Raveena Tandon dan Urmila Matondkar. Semuanya memilih untuk tidak menerima tawaran tersebut atas faktor lebih kurang sama.
“Semua pelakon wanita ketika itu cukup gentar dan takut untuk bergandingan dengan Madhuri termasuk saya, apatah lagi saya perlu menari di sampingnya dalam filem tersebut. Saya tidak boleh bayangkan perasaan untuk berada pada tahap yang sama dengan pelakon sehebat dia (Madhuri),” katanya.
Niat Karisma menolak tawaran tersebut terbantut selepas dipujuk ibunya yang juga pelakon veteran, Babita memujuknya untuk menyahut tawaran itu sebagai satu cabaran. “Ibu memaksa saya untuk menerima role tersebut dan mengingatkan saya bahawa berlakon di samping Madhuri mungkin datang cuma sekali dalam seumur hidup. Jadi saya menyahut cabaran tersebut dan mujurlah ianya satu keputusan yang tepat” katanya.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
“Biarlah Allah Sempurnakan Takdir Yang Tertulis Untuk Saya” Luahan Pesakit Positif COVID-19
Setiap tangisan akan berhujung dengan senyuman. Ketakutan akan berakhir dengan rasa aman dan kegelisahan akan ada kedamaian… semuanya pasti dengan izin Allah SWT.
Janganlah kita merasa terhimpit walau sejengkal pun kerana keadaan pasti akan berubah, baik atau sebaliknya, hanya Dia yang tentukan.
Kisah pilu yang diceritakan oleh Puan Ida, seorang pesakit positif COVID-19 dan kini masih dirawat di Hospital Sungai Buloh jelas menguji keimanan seorang manusia. Semoga wanita hebat ini kembali sembuh dan tidak serik berdoa untuk kesembuhan mereka.
Ini kisah saya menghadapi dugaan COVID-19. Penghujung jalan kisah ini, saya hanya serahkan kepada-Nya…
Saya Ida, berusia 36 tahun. Kini bertugas sebagai setiausaha di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 dan kami dikurniakan lima cahaya mata, berusia lingkungan setahun hingga 13 tahun.
Suami saya Adi, juga berusia 36 tahun dan dia baru sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam, sebelum kini berniaga sepenuh masa. Kami sekarang menetap bersama ibu saya dan 2 orang anak saudara berumur 19 dan 14 tahun.
Suami mula terlibat dengan aktiviti dakwah dan tabligh sejak tahun 2010. Alhamdulillah sejak itu, kehidupan kami sedikit demi sedikit mula berubah. Dari segi cara hidup, ibadat, keyakinan diri mengikut kesesuaian kehendak agama dan sunnah Nabi Muhammad SAW…. InsyaAllah. Itulah sedikit sebanyak kisah latar belakang saya dan keluarga.
Musibah
Secara umum mengetahui salah satu kluster besar yang terlibat dengan isu ini adalah daripada perhimpunan tabliqh Ijtimak Jord Qudama dan Ulama Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling pada 28 Februari hingga 2 Mac 2020. Suami saya salah seorang yang telah hadir pada ijtimak tersebut.
Selang beberapa hari pulang, sekitar tanggal 7 Mac, suami saya mula menunjukkan simptom demam panas dan sakit-sakit sendi. Saya sangka hanya demam biasa, cukup diberi Panadol saja. Tapi selepas tu dia mula batuk, sakit tekak, hilang deria bau dan rasa, malah tiba-tiba hilang selera makan.
Memandangkan keadaannya terus berlarutan, pada 10 Mac saya telah membawa suami ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan. Doktor menjalankan prosedur biasa dan ambil darah suami. Berdasarkan keputusan darah, doktor memberitahu, “Nampak macam denggi,” dan suami diminta untuk lakukan ujian darah pada hari berikutnya.
Pada malam tersebut saya pula demam dan sakit-sakit badan. Saya ambil Panadol dan keesokannya, demam saya hilang. Saya pergi ke pejabat macam biasa tapi separuh hari sebab nak bawa suami untuk repeat blood test. Waktu itu, saya tiba-tiba mula batuk dan sakit tekak. Terasa sangat sakit yang teruk sehingga suara menjadi serak.
Saya bawa suami ke klinik kesihatan pada waktu petang dan masa doktor review keputusan blood test suami, dimaklumkan keputusan darah semakin baik dan mungkin hanya terkena demam virus.
Pada masa yang sama suami bertanya kepada doktor, adakah benar sesiapa yang terlibat dengan ijtimak di Sri Petaling perlu ke hospital untuk menjalani saringan COVID-19? Doktor jawab ‘Ya’ dan atas nasihatnya, kami ke Hospital Putrajaya untuk melakukan prosedur tersebut. Saya bawa bersama keputusan blood test suami.
Tiba di hospital, doktor bertanya serba sedikit pada suami dan melihat keputusan blood test yang kami bawa. Katanya, “Likely not COVID-19.” Doktor nasihatkan suami supaya memaklumkan pada kawan-kawan lain yang terlibat dengan ijtimak tersebut jangan panik dan sekiranya ada simptom pergilah ke klinik kesihatan terdekat untuk dapatkan rawatan.
Kami pun pulang dengan perasaan tenang. Kesihatan suami juga sudah semakin baik daripada sebelumnya. Malam tersebut saya pula kembali demam menggigil dan lebih teruk dari malam sebelumnya.
Esoknya saya maklumkan boss, saya mohon cuti kerana tak sihat. Pada 13 Mac, saya masih demam, batuk dan suara saya sudah tiada, hilang deria bau dan rasa. Saya terus ke klinik kesihatan untuk dapatkan rawatan tetapi diminta untuk terus ke hospital kerana suami saya terlibat dengan ijtimak.
Terus terang memang saya agak geram dan rasa nak marah pada waktu itu. Perasaan bercampur baur dengan badan tak sihat, rasa macam kena tolak-tolak. Allahuakbar, sampai suami saya kata, “Sabarlah, jangan marah. Kita taat je…” Astarghfirullah.
Sampai di hospital, doktor ambil sampel darah. Masa doktor review keputusan blood test tu, dia mintak saya dan suami buat ujian COVID-19 (swab test) sebagai langkah berjaga-jaga.
Selepas tu doktor beritahu, “Kuarantin untuk orang yang buat test ni adalah 3 hari sampai keluar keputusan.” Dalam tempoh 3 hari ni, pihak hospital akan hubungi untuk maklumkan keputusan sama ada positif atau negatif. Kalau tak terima panggilan, keputusannya adalah negatif…” Doktor juga beri saya cuti sakit selama 3 hari sesuai dengan waktu kuarantin.
3 hari berlalu tanpa ada panggilan daripada pihak hospital. Saya beranggapan keputusan kami negatif dan keadaan kesihatan kami bertambah baik, tidak nampak develops symptom.
16 Mac, saya pergi ke pejabat seperti biasa. Waktu tu saya masih ada sedikit batuk dan suara masih belum pulih sepenuhnya.
17 Mac, setibanya di pejabat saya terima WhatsApp daripada bos, “Kepada pegawai yang kurang sihat diberi cuti tanpa rekod sehingga Jumaat.” Saya terus balik ke rumah, tanpa berfikir ape pun ketika itu, selain rasa syukur…. alhamdulillah.
Tanggal 18 Mac 2020, jam menunjukkan lebih kurang 1.40 tengah hari, saya menerima panggilan daripada doktor di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya. Waktu itu hati rasa berdebar dan berharap, “Ya Allah, janganlah ada berita yang tak baik…”
Positif COVID-19
Namun apa yang semua orang elakkan rupa-rupanya Allah rezekikan pada saya dan suami. Astagfirullah…. Setelah 6 hari baru saya dimaklumkan keputusan saya dan suami positif. Air mata tak boleh ditahan lagi. Allahuakbar, saya maklumkan pada doktor, mintak bagi saya masa untuk bertenang dan saya nak solat.
Waktu tu, macam-macam perkara bermain di fikiran. Macam mana dengan orang lain yang saya dah jumpa. Saya ke pejabat, keluarga besar saya, ipar duai, anak-anak dan ibu bapa mertua saya yang datang bertandang ke rumah. Adik saya sekeluarga daripada Ipoh datang ke rumah juga.
Allahuakbar, itulah perkara yang paling dirisaukan masa tu. Takut sayalah jadi punca orang lain dapat virus ni. Malam tu jugak saya dan suami dihantar ke Hospital Sungai Buloh, anak-anak bersama Ibu saya di rumah.
Namun saya sangat bersyukur, alhamdulillah selama saya dan suami demam, anak-anak dan ibu saya tak terkesan. Mereka semua sihat walaupun anak bongsu saya masih menyusu badan. Sesuai dengan prosedur KKM semua yang ada direct contact dengan kami perlu buat swab test.
Alhamdulillah, Maha Baiknya Allah. Semua mereka negatif. Bos, rakan-rakan di pejabat dan keluarga saya semua Allah pelihara daripada virus ni. Syukur alhamdulillah, itu saja sudah membuatkan saya kembali tenang.
Suasana Hospital
Dalam fasa ujian ini, suami saya lebih tenang dan sentiasa cuba menenangkan semua pihak. Suami beritahu saya, “Apa yang terjadi, ini semua dengan kehendak Allah. Walaupun kita dah berusaha pergi klinik, hospital dan ikut semua nasihat doktor tapi ini kehendak Allah.
Kita hanya mampu berusaha tapi keputusannya tetap apa yang Allah kehendaki,” kata-kata dia buat saya sedar yang saya kena redha dengan ujian ini. Suami bagi tahu lagi, “Umi, yakinlah apa sahaja yang Allah takdirkan terjadi pasti akan terjadi dan apa sahaja yang Allah takdirkan tidak terjadi pasti tidak akan terjadi.”
Kepada anak-anak yang ditinggalkan, saya minta mereka jaga diri dan kesihatan. Walaupn saya dan suami tiada di rumah, rutin harian terutamanya amalan agama mesti dihidupkan seperti biasa. Sebelum arahan masjid dan surau ditutup, menjadi amalan suami dan anak-anak lelaki saya akan solat 5 waktu berjemaah di surau tetapi kerana perintah PKP tersebut, rumahlah yang menjadi surau kami.
Laungkan azan menjelang waktu solat dan solatlah secara berjemaah. Bacaan Al-Quran dan hadis (taklim) perlu berjalan seperti biasa. Saya pesan kepada anak sulung saya, memandangkan dia lelaki yang paling besar ada di rumah, dia perlu jaga keluarga dan ambil tanggungjawab ini sementara kami di hospital.
Alhamdulillah selama di hospital ini, saya dan suami sihat dan semakin baik. Selera makan pun dah bertambah. Setiap 2 hari akan buat swab test, sehinggalah test negatif, baru boleh discaj. Memandangkan tiada rawatan yang spesifik untuk virus ni, doktor hanya beri rawatan Vitamin C dan ubat kumur.
Barisan frontliners di sini, masyaAllah… Syabas dan tahniah untuk mereka semua. Sentiasa sabar, tenang dan profesional walaupun wabak ini masih baru dan arahan kepada mereka juga sentiasa bertukar mengikut keadaan. Tapi mereka sentiasa positif dan bersemangat menggalas tanggungjawab. Kepada mereka, semoga bakti yang dicurahkan akan Allah terima sebagai amalan soleh dan dibalas dengan sebaik-baik balasan… Aamin.
Saya harus terus positif dan bersemangat berjuang dalam keadan ini. Cuma pada waktu mula-mula dapat tahu saya positif COVID-19, memang rasa sangat down. Keadaan sekeliling buat saya tertekan. Saya terfikir anak-anak yang nak ditinggalkan, stigma masyarakat khasnya di tempat kerja.
Saya rasa seperti penjenayah yang sengaja mendedahkan orang lain dalam situasi yang bahaya, padahal saya tak tahu pun yang saya positif. Keputusan pun hanya diketahui selepas 6 hari ujian dilakukan.
Suami ambil inisiatif untuk buat voice note, cerita serba sedikit tentang kronologi kes kami dan apabila mereka dah dengar, Allah mudahkan mereka faham akan situasi sebenarnya. Selepas tu, alhamdulillah mereka semua mula mendoakan dan memberi kata-kata semangat untuk saya terus kuat dalam menghadapi ujian ini.
Alhamdulillah setakat hari ini, Allah hadiahkan ketenangan dan ringankan beban perasaan saya. Allah angkat keluh-kesah saya dan ganti dengan ketenangan jiwa. Cantik sekali aturan-Nya. Selama saya dan suami di sini, sentiasa ada rakan-rakan yang membantu menghantarkan pelbagai makanan untuk ibu dan anak-anak di rumah. Hampir setiap hari pasti ada sahaja makanan di luar rumah. Hebat Allah, benarlah janji-janji Allah.
Apa pun keadaan kita sekarang, bersyukurlah. Baik atau tidak, Allah tak pernah zalim pada hamba-Nya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Itulah paling utama. Betulkan amalan kita kerana bersama-sama amalan agama itu ada janji-janji Allah. Kita ikut semua nasihat doktor dengan baik dan yakinlah yang menyembuhkan itu hanya Allah. Kepada masyarakat di luar sana yang Allah selamatkan daripad ujian ini, bersyukurlah. Doakan kebaikan kepada semua.
Saya sentiasa pujuk hati untuk redha, inilah yang terbaik untuk saya di sisi Allah. Saya selalu cakap pada diri sendiri “Biarlah Allah sempurnakan takdir yang Dia dah tulis untuk saya…” Alhamdulillah satu persatu kebaikan Allah zahirkan bila mana yakin kita itu betul.
Semoga Allah selamatkan saya, keluarga, seluruh rakyat Malaysia dan umat seluruh alam daripada azab-Nya. Semoga dengan ujian ini kita semua lebih dekat dengan Allah, lebih yakin dengan janji-janji-Nya. Semoga Allah bebaskan saya daripada virus ini dan saya dapat pulang kepangkuan keluarga secepat mungkin… Aamin.