Melangkah masuk ke galeri seni milik YM Sharifah Bahiyah Jamalullail yang terletak di Desa Sri Hartamas, mata terpaku dengan hasil kerja tangannya yang penuh berseni. Elemen alam semulajadi menjadi elemen utama yang diketengahkan di dalam koleksinya. Tema flora seperti bunga mawar menjadikan ianya nampak begitu ‘hidup’ dan menyerikan segenap ruang.
Terhasil daripada terjemahan rasa dan ekspresi artis di atas kanvas, lukisan abstrak ekspresionis yang ditampilkan bukan saja menampilkan nilai estetika tersendiri malah turut mengajak anda untuk berfikir lebih jauh. Malah tidak salah jika dikatakan, koleksi lukisan yang ditampilkan oleh YM Sharifah Bahiyah memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan karya bermula daripada karya awal ketika pembabitannya.
Terkenal dengan lukisan bermotif flora, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan unsur bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni. Sambil berkongsi beberapa lukisan yang pernah dihasilkan, YM Sharifah Bahiyah sememangnya menggemari keindahan flora sebagai elemen utama lukisannya.
Ads
“Sememangnya motif bunga amat sinonim dalam kehidupan sehari-hari. Bayangkan bagaimana gembiranya seseorang sekiranya menerima jambangan bunga sebagai hadiah daripada yang tersayang. Ia sekaligus dapat menceriakan seseorang terutamanya untuk hari-hari istimewa seorang wanita. Jadi, saya mengabadikan signifikasi bunga dan wanita dalam lukisan yang dihasilkan kerana bunga melambangkan kebahagiaan untuk setiap wanita,” jelas Sharifah Bahiyah yang anggun dengan persalinan menawan dari Syomirizwa Gupta.
Ketika ditanya mengenai bagaimana minat dalam dunia lukisan mula bercambah di dalam dirinya, wanita anggun ini berkata sejak zaman kanak-kanak lagi dia sudah didedahkan dengan minat melukis dan mewarna oleh bonda tersayang, Almarhum YAM Tunku Mudziah bte Tuanku Munawir.
Ads
“Sejak kecil saya mempunyai hobi melukis dan mewarna. Ketika itu, di tangan pasti akan ada scatch book untuk membolehkan saya melukis apa juga yang dilihat seperti melukis pokok, bunga dan apa sahaja yang menarik untuk dilukis. Hanya kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini saya mula mengambil serius mengenai seni lukisan ini dengan mengambil peluang mendaftarkan diri di kelas-kelas lukisan. Selain itu, mungkin dek kerana minat terhadap bidang ini terlalu mendalam, saya banyak belajar sendiri melalui latihan dan pembacaan mengenai hasil karya pelukis-pelukis ternama yang boleh dijadikan sumber inspirasi,” ujar Sharifah Bahiyah yang menghargai karya agung Monet dan Van Gogh.
Ads
Ditanya mengenai pandangannya mengenai industri seni terutamanya lukisan di Malaysia, beliau berpendapat Malaysia telah berjaya melahirkan ramai pelukis yang mempunyai bakat yang besar dan boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Namun jika diberi ruang yang lebih untuk masyarakat Malaysia lebih menghargai keindahan seni, sudah tentu hasil kerja artis tempatan mampu setanding dengan karya antarabangsa.
“Hasil seni sebenarnya adalah salah satu bentuk pelaburan untuk sampai ke pemikiran dan hati seseorang manusia. Bayangkan jika sebuah kediaman tanpa sebarang lukisan, sudah tentu ia akan terasa kosong dan tidak bermaya. Hasil seni ini memberikan anda satu dimensi baru dan suasana yang lebih nyaman. Jadi, saya melihat konteks ini sebagai salah satu kombinasi kehidupan yang memberikan sumber ketenangan buat seseorang,” ujar Sharifah Bahiyah lagi.
Hampir 10 tahun berada dalam industri, karya terbarunya banyak memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan dan nyata berbeza daripada karya ketika awal pembabitan. Secara peribadi, karya yang dihasilkan olehnya kini adalah penanda aras bagi perjalanan kerjaya seni sejak 10 tahun yang lalu sehingga kini. Sisi kematangan bukan saja menjelaskan pengalaman dan perjalanan karya seni tapi turut diterjemahkan dari sudut penghasilan karya itu sendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ogos lalu, ikon Youtuber, Asyalliee Ahmad pernah mengumumkan di media sosial kisah dukanya keguguran namun keajaiban dari Allah, kandungan Asya kini sedang membesar dengan baik. Rezeki Asya Semakin luas apabila produk supplemen Hello Peach Please mendapat pengiktirafan daripada majalah kecantikan Singapura.
Semakin menjadi-jadi perniagaan ikon Youtuber ni. Kejayaan dan rezeki diterimanya bukan hanya untuk diri sendiri tetapi dikongsikan bersama ibu dan bapa mentuanya. Rasa sebak menonton video yang dikongsikan Asya di laman instagramnya tidak lama dahulu.
https://www.instagram.com/p/CBXpnavlbX8/
Peredaran zaman kadang-kala membuatkan generasi ‘lama’ seakan terkebelakang. Dari segi teknologi sudah tentulah jauh berbeza dan kini idealogi anak-anak muda juga sangat dilakar jauh dari pemikiran kita dahulu. Mereka lebih berdikari, lebih bijak mengatur kehidupan dalam mencari rezeki bukan hanya untuk diri, tetapi keluarga yang dibina.
Mengenali ikon Youtuber yang merangkul salah satu anugerah ASEAN Outstanding Business Award 2019, Asyalliee Ahmad atau nama sebenarnya Siti Syasya Rosaelmi Baba membuka luas minda penulis mengenai anak-anak muda kini.
Dikenali melalui video-video tutorial solekan serta berjaya menarik 400,000 subscribers di Youtube sehingga dia digelar Beauty & Make Up Guru, Asyalliee kini hidup selesa bersama keluarga.
Walaupun masih lagi aktif berkongsi tips-tips solekan dan penjagaan wajah, dia kini sudahpun bergelar usahawan melalui perniagaan kecantikan dan kesihatan Loveliee. Meminjam Love dan gabungan Lliee dari namanya sendiri, Asya kini sudah boleh menarik nafas lega kerana impiannya untuk menjadikan setiap wanita cantik dan lebih berkeyakinan tinggi sudah terlaksana.
“Saya memang cintakan bidang solekan. Saya sudah terbiasa bersiap cantik untuk menghadiri majlis atau untuk sekadar content di dalam Instagram. Bila dah bersolek, tentulah kita rasa diri kita cantik dan ketika itulah keyakinan kini makin melonjak.
Nak buat apa pun kita yakin, waima hanya untuk berada di rumah. Disebabkan itu, ia memberi inspirasi kepada saya untuk menjalankan perniagaan ini. Bukan hanya untuk saya, tetapi setiap wanita di dunia,” katanya penuh semangat.
HIDUP MISKIN
Perjalanan yang dilaluinya bukanlah semuanya indah. Wanita kacukan Thailand-Melayu ini pernah terjah ke dunia modelling namun itu bukan ‘jiwanya’.
“Saya mula dengan perkongsian video solekan di Youtube. Kemudian saya masuk ke dunia modelling dan baru mulakan perniagaan. Saya pernah ditipu, dijadikan kambing hitam, difitnah dan tidak dibayar dulu. Mungkin kami suami isteri tidak ada pengalaman dalam bisnis ini tambahan pula saya masih muda, mungkin itu yang menyebabkan orang mengambil kesempatan.
Waktu kecil dulu pun saya digelar budak miskin. Arwah ibu hanyalah seorang tukang masak yang sering berpindah-randah. Kalau nak tahu, saya pernah menetap di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka dan Kedah kerana mengikut ibu. Jadi saya tak ramai kawan. Sewaktu di Kedah, arwah ibu dapat menjadi tukang masak di kedai dan diberikan sebuah hostel kecil untuk kami tiga beranak.
Di situlah kami tidur dan makan. Kawan-kawan di sekolah gelarkan saya budak miskin, budak kotor, tak mandi malah mereka jauhkan diri dari kami. Hendak ke sekolah pun terpaksa berjalan kaki sejauh 2km. Lepas ibu meninggal dunia, saya dan adik terpaksa berpisah kerana kami tinggal berasingan bersama kakak-kakak yang sudah berkahwin,” ceritanya.
PERKAHWINAN
Masih kekal cantik dan bertubuh langsing, surihati kepada Eboy Arbaain dan ibu kepada dua cahaya mata, Haider Mikhael dan Siti Helena Adrianna ini terus diuji dalam kehidupan. tidak pernah berputus asa, Asya dan suami terus bangkit mencari rezeki halal.
“Sebelum berkahwin, saya memang hidup hasil daripada review yang dibuat di Instagram. Itulah perbelanjaan untuk makan, membeli keperluan seperti barang solekan, baju dan mungkin beg tangan. Selepas berkahwin, saya masih mencari pendapatan dengan hasil review tetapi di bawah satu pengurusan. Saya menjadi duta produk dan aktiviti modelling juga. Namun, upah yang diterima sangat sedikit berbanding percentage yang diambil pihak pemgurusan.
Baru beberapa minggu usia kandungan pertama, saya difitnah meniru rekaan fesyen seorang pereka. Tidak ada sesiapa yang menegakkan kebenaran dan saya menjadi mangsa kambing hitam! Duit dalam bank hanya tinggal tak sampai RM500 untuk kami hidup. Saya terlalu stress dan emosi saya sangat terganggu ketika itu. Saya jual baju K-Pop yang saya gemari, beg-beg tangan walaupun tak berjenama hanya untuk beli makanan.
Mujur kakak-kakak dan kawan-kawan sedia membantu. Di rumah merekalah tempat kami menumpang makan. Saya sentiasa berdoa agar Allah mengubah hidup kami menjadi lebih baik dan menunjukkan kepada kami kebenaran. Kami rasa sungguh teraniaya!”ujarnya.
CABARAN DAN MATLAMAT
Di sebalik setiap kesukaran, tentunya terbit hikmah di hujung jalan. Ujian dari Allah tak pernah surut. Dalam perniagaan juga ada kalanya kuat juga dugaan dihadapi.
“Menjadi seorang influencer, susah juga untuk sentiasa nampak ‘sempurna’ di mata orang. Sedangkan saya juga sama seperti orang lain yang melakukan kesilapan. Saya sendiri masih mencari ruang untuk memperbaiki diri yang serba kekurangan tetapi terpaksa hadam setiap kecaman. Jujurnya ia memang menambahkan tekanan tetapi itulah cabaran seorang influencer.
Setiap kali saya jatuh, saya anggap diri saya kalah. Untuk bangkit semula, saya letakkan dua BIG WHY iaitu untuk memberikan anak-anak saya hidup senang. Saya tak mahu mereka hidup susah seperti kami dulu. Dan, saya juga ingin memberi peluang pekerjaan kepada orang lain. Kesusahan dalam hidup dulu memang banyak mengajar saya mengenai hidup. Betullah kata orang, kalau asyik memandang ke langit, sesekali perlu juga menjenguk rumput di tanah.
Memilih posting yang sesuai untuk tatapan viewer setiap hari juga mencabar. Saya pentingkan feed yang bermakna serta aesthetically pleasing to the eyes kerana dalam industri ‘influencer’ ini, kita perlu berikan value dalam setiap posting untuk kekal relevan. Kalau setakat tayang gambar cantik sahaja tidak mampu untuk membuatkan kerjaya anda tahan lama,” katanya.
Pada usia 23 tahun, Asyalliee sudah memiliki beberapa buah kereta mewah dan koleksi beg berjenama. Segala kepayahan yang dihadapi sudahpun dibayar dengan kesenangan masa kini. Apakah perasaan anda?
“Ini semua pinjaman dari Allah. Saya tak boleh rasa terlalu happy atau bangga dengan kurniaan ini kerana ia hanya bersifat sementara. Saya kira, ini adalah rezeki anak-anak dan perlu digunakan sebaik mungkin. bila Allah dah berikan ilmu serta pengalaman, saya mahu kongsikan bersama orang lain. Niat saya, untuk membantu orang.
Saya kuat berangan. Macam-macam saya mahu tetapi Allah itu lebih mengetahui. Dia memberi apa yang saya perlu, bukan apa yang saya mahu. Matlamat saya adalah untuk naikkan perniagaan orang Islam dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada kaum wanita.
InsyaAllah, tak lama lagi saya akan mengeluarkan single sulung. Dari seorang ahli perniagaan, saya juga akan mula menceburi bidang nyanyian. Doakan ini menjadi salah satu peluang untuk saya kembangkan lagi bakat dan kurniaan Allah kepada saya.” Katanya mengakhiri perbualan.
Kredit foto dan video: Instagram Asyalliee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam membuat pilihan, biarlah menggunakan akal dan fikiran. Jangan buat sesuatu yang nampak ‘hodoh’ dan tidak cantik dipandang mata. Akhlak Nabi Muhammad begitu indah, apa salahnya jika kita jadikan panduan hidup seharian.
Islam itu sangat indah. Sudah dinyatakan dengan terang di dalam al-Quran apa yang boleh dilakukan untuk berbuka puasa malah Nabi Muhamad S.A.W sendiri dah ajar kita cara Baginda berbuka puasa. Ada juga yang masih buat benda-benda pelik kononnya untuk memudahkan cara.
Dalam perkongsian yang divideokan Ustaz Muhamad bin Abdullah Al Amin atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Amin, beliau menjelaskan bagaimana Rasulullah S.A.W berbuka puasa:
“Cara Nabi S.A.W berbuka adalah dengan meminum air sejuk, bukan bermakna air di dalam peti sejuk kerana pada zaman dahulu tidak ada peti sejuk. Bermaksud ia bukan air panas beserta buah tamar. Bilangan tamar pula sunnahnya adalah yang ganjil”
Biasanya, apabila berbuka puasa, apa yang kita akan cari dulu? Tentu air dan nasi kan? Tetapi dalam post lain di Instagram Ustaz Amin menjelaskan mengapa kita perlu memilih juadah ringan untuk berbuka puasa?
“Kerana jika kita kenyang lepas solat maghrib, kenyang adalah makhruh. Tapi tak cacatkan pahala puasa. Tetapi apabila kita terlalu kenyang sangat ketika berbuka puasa, makhruh itu mencacatkan pahala puasa kerana urusan berbuka sebahagian daripada puasa.”
Oleh itu, pilihlah juadah ringan dan ringkas ketika berbuka dan sambung kembali selepas mengerjakan solat Maghrib.
Lain pula halnya dengan orang yang memilih untuk berbuka puasa dengan mengorek hidung. Kedengaran jelik dan geli tetapi masih ramai yang menggunakan kaedah ini kononnya untuk berbuka puasa tetapi tidak ada makanan dan minuman untuk di ambil ketika itu.
Kata Ustaz Amin, jika boleh sediakan di dalam kereta air kosong dan buah tamar sekurang-kurangnya dua tiga biji. Memandangkan ketika bulan puasa kesesakan lalu lintas lain macam keadaannya jadi sekurang-kurangnya apabila terkandas, boleh juga berbuka dengan air kosong dan buah tamar.
Namun, mengorek hidung bukanlah pilihan yang terbaik. Kata Ustaz Amin:
“Mengorek hidung bukan berbuka puasa. Ia hanya membatalkan puasa.”
Cukup jelas dan ringkas penjelasannya. Untuk anda yang sering berhadapan dengan kesesakan jalanraya sehingga terpaksa berbuka di dalam kereta, sediakanlah apa yang patut. Amalan sunnah banyak ganjarannya terutama di bulan Ramadan.
Penghidap autisme dari Filipina, Karla Majam diumumkan sebagai Miss UniWorld 2023 dalam Pertandingan Miss UniWorld yang diadakan baru-baru ini di sebuah hotel di ibu kota.
Kredit foto: Instagram @criticalbeautyph
Gadis berusia 17 tahun itu yang berasal dari Santa Rosa, Laguna itu juga turut mencipta rekod sebagai wanita pertama dari Filipina yang memenangi gelaran Miss Uniworld. Karla disarungkan dengan mahkota bergemerlapan Ratu Kilimanjaro selepas panel juri sebulat suara menobatkannya dengan gelaran tersebut.
Pertandingan ini menyaksikan 25 peserta mewakili negara masing-masing berentap bagi merangkul gelaran Miss UniWorld. Dalam pusingan akhir Top 5, Majam berdepan saingan sengit daripada empat rakan pencabarnya dari Turkiye, Jerman, Latvia dan Georgia.
Bagaimanapun ketika sesi soal jawab yang menguji topik isu semasa dan komunikasi peserta, Majam yang juga penghidap autisme ternyata menonjol, memperlihatkan kebijaksanaannya menjawab soalan dengan begitu tenang sekaligus memberi kesan di hati penonton, terutama sekali juri.
Misi pertandingan Miss UniWorld diadakan bagi meningkatkan keunggulan pertandingan ratu dunia itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Walau pun memiliki sedikit ketidakupayaan berbanding peserta-peserta lain, kejelitaan, keanggunan, kepintaran dan ketabahannya sepanjang menyertai pertandingan ini ternyata menambat hati juri sekaligus memutuskan Majam paling layak dipakaikan mahkota Ratu Kilimanjaro. Pada malam itu, Majam menerima hadiah serta wang tunai bernilai RM460,000.
Kredit foto: Instagram @drewfranciscow
“Saya amat berbesar hati menyandang gelaran Miss UniWorld 2023 dan memakai mahkota Ratu Kilimanjaro. Kemenangan ini bukan setakat pencapaian peribadi tetapi lebih besar maknanya. Ia juga menjadi satu janji untuk mengangkat martabat Miss UniWorld dan menawarkan khidmat dalam usaha membawa perubahan positif,” jelasnya menerusi sumber Mstar.
Tahun lalu, Niousha Roohbaksh dari Iran diumumkan sebagai pemenang. “Walaupun didiagnosis secara klinikal menghidap autisme, perjalanan hebat Karla menepis halangan sekaligus membuktikan impian boleh menjadi kenyataan tak kira apa jua dugaan yang mendatang,” kata organisasi Miss Uniworld Filipina dalam satu kenyataan yang disiarkan di Instagram.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!