Kepentingan menuntut ilmu sehingga ke menara gading memang sesuatu yang dituntut. Tidak kira apa jua bidang pekerjaan termasuklah membina empayar perniagaan sendiri, semuanya memerlukan ilmu. Kata orang untuk membina perniagaan sendiri memang mudah tetapi untuk melestarikan perniagaan tersebut memerlukan ilmu.
Belajar dalam bidang lain dan bekerja dalam bidang lain adalah perkara biasa. Pengarah Urusan, Kayman Beauty ini terjun dalam bidang perniagaan pada asalnya, semata-mata mencari duit poket ketika meneruskan kuliah. Namun, akhirnya ‘terjatuh cinta’ dengan dunia perniagaan kosmetik.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Wanita yang diberi nama Nabella Anuar, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak pernah bermimpi untuk terjun ke dunia perniagaan kosmetik namun cita-citanya untuk kaya dan berjaya telah merealisasikan penubuhan produk kosmetik buatan Malaysia ini.
Wanita yang baru berusia 29 tahun ini di luarnya nampak lembut, tetapi memiliki kekuatan luar biasa dan tidak mudah menyerah kalah serta mampu melakukan apa sahaja walau dihalang pelbagai rintangan.
Ads
Foto: Koleksi Majalah Nona
“Saya mula menyertai dunia perniagaan kosmetik secara total apabila mula mencari produk penjagaan kulit yang selamat dan berkualiti tinggi serta mempunyai kesan terbaik terhadap kulit.
Langkah saya makin deras apabila menjadi peminat setia program realiti Shark Tank. Dalam program tersebut turut menampilkan pemilik rangkaian produk kecantikan Glow Recipe yang benar-benar menyuntik inspirasi dan menjadi anjakan paradigma untuk saya menjadi seperti sekarang.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Walaupun saya tidak mewarisi latar belakang keluarga dalam bidang perniagaan namun itu bukan alasan untuk saya berundur ke belakang malah menguatkan semangat untuk terus mengatur langkah,” terang wanita yang dibesarkan di Sungai Petani, Kedah ini serta mengangkat Sarah Lee dan Christine Chang selaku Pengasas Jenama Kosmetik Glow Recipe sebagai idolanya.
Ads
Foto: Koleksi Majalah Nona
Berasaskan perniagaan secara peruncitan melalui laman sesawang, vendor, agen dan stokis, Nabella mampu tersenyum bangga dengan apa yang telah dicapainya.
Namun, setiap kemanisan yang telah dicapainya sudah pasti menempuh pelbagai cabaran sebelum berada di peringkat ini. “Kejayaan ini bukan hasil usaha saya seorang. Saya bangga mempunyai team yang sanggup berkorban demi Kayman Beauty.
Ads
Foto: Koleksi Majalah Nona
Masakan tidak, kerana team perintis Kayman Beauty ini merupakan rakan rapat saya sejak belajar lagi,” bicara Nabella yang beruntung mempunyai sahabat sejati sebagai tulang belakang perniagaannya dan bersungguh-sungguh mengusahakan jenama kosmetik ini.
Usia muda bukan menghalang wanita ini untuk terus maju dan bercita-cita mahu melihat wanita lain berjaya sepertinya. Menurut wanita yang gemar menghabiskan masa dengan membaca ini, beliau mahu meningkatkan diri ke tahap yang lebih tinggi dengan menjadi seorang pelabur kepada jenama kecantikan dalam masa lima tahun akan datang.
Foto: Koleksi Majalah Nona
“Nasihat saya kepada usahawan kosmetik yang baru menapak dalam bidang ini, percaya kepada setiap proses. Jika kita mahu untung RM1 juta, cabaran yang akan kita hadap juga akan bernilai RM1 juta begitu juga sebaliknya,” tegas Nabella yang mendapat khidmat nasihat perniagaan daripada Sifu Jamal.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon hebat Fauziah Nawi antara penggiat seni yang menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.
Penganugerahan itu sempena sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut mStar, darjah kebesaran yang diberikan kepada pelakon veteran itu adalah Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM), iaitu bagi penggiat seni yang banyak berjasa sepanjang berkerjaya sebagai anak seni tanahair.
Fauziah memberitahu mStar bahawa beliau sangat bersyukur dan sememangnya tidak pernah mengimpikan penghargaan seperti ini.
“Dengan pingat ini, saya harap dapat memberi lebih banyak khidmat bakti,” katanya.
Fauziah memulakan kerjaya seni pada sekitar 1974 sebagai seorang penyanyi sebelum aktif berlakon, lapor mStar. Beliau membintangi puluhan drama dan filem sejak 1981 selain aktif membimbing para pelakon baru.
Selain itu, seorang lagi penggiat seni, DJ Dave atau Irwan Shah Abdullah, pula dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.
Beliau tersenarai bagi kategori sukarelawan atas jasanya sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.
Kredit foto: Green Media
Tahun ini menyaksikan seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 yang berlangsung di Istana Negara, antara lain Allahyarhim Nik Aziz dan Lim Kit Siang.
Sumber: Mstar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, siapa yang tidak kenal dengan usahawan muda berusia 31 tahun, Nur Liyana Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Yaana Lee ini. Tidak berseorangan menggemudi empayar perniagaan, Yaana Lee turut dibantu oleh suaminya, Muhammad Hafiz Abdul Hamid yang merupakan tulang belakang utama di sebalik jenama Leeyanarahman.
Bukan mudah menjadi seorang public figure apatah lagi dikenali dalam dunia perniagaan. Ada saja dugaan yang menerpa. Pantang silap sedikit pasti menjadi ‘buah mulut’ khususnya di kalangan warga maya (netizen). Antaranya isu fashion show dan rentas negeri. Pun begitu, bagi Yaan Lee dia punya alasan tersendiri pada setiap perkara yang dilakukan. Apa yang penting dia dan suami menyelesaikan setiap isu yang berbangkit secara profesional.
“Bercakap tentang dugaan memang tidak pernah habis. Saya sendiri tidak nafikan setiap tahun kami pasti akan berdepan dengan dugaan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang musim perayaan. Seperti mana isu yang tular baru-baru ini tentang fashion show Leeyanarahman sehingga dikecam teruk oleh warganet. Majlis tersebut dikatakan gagal mengikut SOP seperti mana ditetapkan.
“Sejujurnya perkara ini berlaku di luar jangkaan. Sebagai manusia biasa adakalanya kita akan terlepas pandang dan di luar kawalan kami. Namun saya sendiri tidak ambil mudah dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Bohonglah kalau tidak rasa tertekan. Saya ambil masa dalam beberapa hari untuk bertenang dan berfikir. Kemudian saya da suami sepakat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana itulah yang terbaik demi menjernihkan keadaan. Alhamdulillah isu tersebut beransur reda.
Saya ambil pengajaran dan sedar bahawa dalam berniaga kita perlu bersikap profesional. Di samping itu, kita juga perlu ada sikap realistik iaitu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat. Sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan memandang kepada keadaan semasa.
BISNES
Mula menerajui dunia perniagaan pada usia 23 tahun bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi ketika itu masing-masing mempunyai komitmen sebagai pelajar di salah sebuah universiti tempatan. Pun begitu, kerana minat dalam dunia perniagaan kedua-duanya dapat menyeimbangkan komitmen sebagai pelajar dan usahawan dengan baik. Impian bergelar graduan ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan serta usahawan sukses berjalan seiring.
“Kami memulakan perniagaan sekitar tahun 2012 secara online. Ketika itu kami sedang menuntut di universiti yang sama dan belum bergelar suami isteri. Permulaannya agak mencabar juga kerana perlu seimbangkan antara belajar dan berniaga. Namun kami anggap cabaran itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.
Segalanya bermula apabila saya mereka busana hari raya yang saya reka dan jahit sendiri, kemudian memuat naik gambar busana tersebut di laman sosial. Tidak sangka pula ramai yang bertanya dari mana saya membelinya. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan berjumlah RM1500 dan kami berjaya menghasilkan 14 helai busana.
Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Dari keuntungan tersebut kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit bermula dari 14 kepada 28. Kemudian menjadi 36 helai sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar. Selepas itu kami menghentikan rekaan tersebut dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain,” kongsi ibu kepada Tyara Luthfia yang kini berusia dua tahun.
Menurutnya, dia dan suami menggunakan duit pinjaman PTPTN sebagai modal permulaan. Berkat kesungguhan mereka akhirnya jenama Leeyanarahman semakin terkenal.
Pada tahun 2014 pasangan ini mendirikan rumahtangga sekaligus memudahkan lagi urusan mereka dalam perniagaan. Langkah menjadi lebih jauh terutama atas urusan kerja. Dua bulan berkahwin mereka membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sental. Bermula hanya berada di tingkat satu, setahun kemudiannya mereka berjaya memiliki bangunan sendiri setinggi lima tingkat atas nama Leeyanarahman.
KESAN PANDEMIK COVID-19
Langit tidak selalunya cerah. Begitulah juga dunia perniagaan, tidak selamanya indah belaka. Ada onak dan duri yang harus ditempuh. Pandemik COVID-19 telah menjadi cabaran utama ketika ini khususnya terhadap ekonomi dunia. Segalanya berubah secara total sehinggalah tercetusnya norma baharu.
Jenama Leeyanarahman turut merasai impaknya sehingga Yaana Lee terpaksa menutup butik fizikalnya dan hanya memberi tumpuan terhadap perniagaan online. Pun begitu, di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Tidak dinafikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu ia benar-benar memberi tamparan hebat terhadap jenama Leeyanarahman. Impaknya sangat besar sehinggalah kami terpaksa menutup butik fizikal. Kini kami hanya memfokuskan kepada perniagaan online sahaja. Insha-Allah, andai pandemik ini berakhir kelak kami mungkin akan membuka semula butik tersebut.
Kesan lain ialah impian kami untuk membuka butik di Jakarta pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan gara-gara COVID-19. Permintaan sangat tinggi di Indonesia, itulah salah satu punca kami berhasrat untuk membuka butik di sana. Namun belum ada rezeki lagi buat masa ini. Semoga pandemik ini segera berakhir dan dapatlah kami meneruskan impian yang masih belum tercapai ini.
Apa pun kami tetap bersyukur kerana sejak memperkukuhkan perniagaan online, kami dapat membantu ramai orang terutama yang hilang pekerjaan. Antaranya dengan menawarkan untuk menjadi reseller dan personal shopper Leeyanarahman. Kami turut membuka peluang kepada mereka untuk menyertai program Usahawanita Leeyanarahman. Untuk program ini mereka hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 dan dapat menjana pendapatan sampingan serta diberikan komisyen.
NASIHAT BUAT USAHAWAN
Prinsip saya, semua orang boleh berniaga pakaian tetapi pentingnya ada minat. Kalau ada kemahiran menjahit itu satu bonus. Selain itu, kalau berniaga pakaian perlu ada identiti sendiri contohnya menghasilkan rekaan yang unik dan tersendiri. Saya sendiri ada kemahiran menjahit maka saya akan buat semuanya sendiri bermula dari melukis, menghasilkan embroidery dan sebagainya. Idea baru, ada identiti sendiri. Orang boleh ceduk rekaan kami tetapi mereka tidak boleh tahu idea-idea baru yang bakal menyusul.
\
Semua koleksi Leeyanarahman adalah ready-made dan custom made. Walaupun ketika ini keadaan ekonomi sangat mencabar namun alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat bagus lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
Bagi mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan, perkara paling utama ialah minat atau fokus. Ini kerana ianya akan memudahkan perjalanan perniagaan kita di kemudian hari. Jangan sekadar mengikut trend atau terpengaruh dengan yang indah-indah sahaja kerana bimbang perniagaan anda itu tidak kekal lama. Bila ada minat, walau sebesar mana pun cabaran yang datang kita pasti kuat menghadapinya kerana kita ada matlamat yang jelas.
Sebab itulah minat saya terhadap fesyen tidak pernah pudar walau apa pun cabaran datang termasuk kecaman-kecaman dari luar. Sejujurnya, apabila kita berada di atas tidak semua senang melihat kita berjaya. Namun, itulah sebenarnya yang menjadikan saya dan suami lebih kuat dan bersemangat,” akhiri Yaana Lee yang sentiasa turun padang bersama team Leeyanarahman dalam setiap urusan perniagaan. Jelas membuktikan bahawa dia seorang ketua yang sentiasa ambil tahu akan kebajikan staf.
Selain fesyen, Yaana Lee turut mengusahakan 2 lagi jenama miliknya yang masih baharu iaitu Ynalee Beaute dan Tepung Pengaseh.
Kredit Foto: Instagram @yaana.lee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tumpang bangga dengan kejayaan yang diraih Tomok dan isterinya, Ayu. Bermula daripada bawah, mereka kini mampu tersenyum gembira apabila segala usaha dan kerja keras selama ini membuahkan hasil.
Dalam kesibukan mengurus kerjaya seni dan anak-anak, kedua-duanya bijak mengurus masa depan. Hasilnya, Tomok dan Ayu kini bergelar pemilik beberapa buah cawangan francais hanya dalam masa lima tahun! Tahniah.
Difahamkan Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail mula menceburi perniagaan francais Chatime pada tahun 2017. Cawangan pertama yang dibuka Tomok waktu itu ialah di AEON Mall Shah Alam, Selangor.
Melihat bisnes makin kukuh, bekas penyanyi kumpulan New Boyz ini berjaya membuka satu lagi cawangan Chatime pada bulan ini di Setia Alam City Mall, Selangor.
Tidak cukup itu, menerusi perkongsian Tomok di media sosial miliknya baru-baru ini, dia memuat naik gambar isteri tercinta di satu lokasi yang dipercayai cawangan terbaharu milik mereka kelak.
Kongsinya, “Assalamualaikum selamat pagi semua. Satu lagi berita gembira saya nak share dengan korang semua.
InshaAllah outlet seterusnya di Petron Setia Alam akan mula beroperasi November ini. Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Terima kasih atas sokongan semua.”
Melimpah ruah rezeki pasangan suami isteri ini. Makin rancak nampaknya Tomok dan Ayu merencana masa depan keluarga mereka.
Selain mengusahakan perniagaan francais Chatime, mereka turut menjadi pemilik satu lagi jenama francais pemanis mulut popular iaitu Street Churros. Tomok dan isteri tercinta memiliki cawangan tersebut di AEON Mall Seremban 2.
Sebelum menceburi kedua-dua perniagaan berkenaan, mereka pernah menjalankan bisnes tudung jenama Arriandra. Namun perniagaan yang sudah lima tahun diusahakan tersebut terpaksa dihentikan pada tahun 2020.
Sebelum mendirikan rumah tangga, isteri Tomok iaitu Rahayu Abbas merupakan pramugari MAS. Ayu dan Tomok berkahwin pada tahun 2011 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Arrianshah Akid, Andrashah Iman dan Siti Khadijah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!