Bergelar seorang isteri dan ibu bukanlah halangan buat Staf Sarjan Saidatul Husna Kamarudin yang tular kerana keberanian dan kehebatannya melakukan aksi ‘stunt’ pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 baru-baru ini.
Sepanjang 13 tahun penglibatannya dalam pasukan akrobatik, wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah ini melakar detik paling bersejarah apabila berjaya membuat aksi lompatan merentasi 66 buah motosikal Royal Enfield pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang diadakan di Dataran Putrajaya, Putrajaya.
Aksi tersebut turut disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta pimpinan negara.
Lebih bermakna lagi apabila detik bersejarah itu terlakar pada hari kelahirannya yang ke-35 tahun. Rezeki ibu kepada seorang cahaya mata ini.
“Ia merupakan detik bersejarah apabila buat pertama kali sepanjang 13 tahun penglibatan dalam pasukan akrobatik, saya berpeluang membuat persembahan di hadapan pasangan diraja tersebut.
“Lebih bermakna, tarikh keramat ini turut merupakan hari kelahiran saya. Ia sesuatu yang tidak akan dilupakan selagi hayat dikandung badan,” ungkap Sarjan Saidatul Husna kepada Sinar Harian.
Menurut Sarjan Saidatul Husna, beliau sendiri tak menyangka mampu melakukan aksi tersebut di hadapan puluhan ribu penonton walaupun pada awalnya diselubungi perasaan gemuruh.
Namun begitu, Sarjan Saidatul Husna bersyukur kerana akhirnya beliau bersama pasukan berjaya melakukan aksi yang terbaik.
“Berbekalkan doa dan semangat, saya kuatkan hati dan meletakkan sepenuh pergantungan kepada ALLAH agar segalanya berjalan lancar.
Ads
PERNAH ALAMI KECEDERAAN SERIUS
Anggota tentera Kor Polis Tentera Diraja, Kem Genting Klang, Setapak ini turut berkongsi di mana sebelum ini beliau pernah hampir berputus asa akibat kecederaan lutut yang dihadapi ketika menjalani sesi latihan.
Ketika itu, Sarjan Saidatul Husna terpaksa membuat pembedahan kecil dan atas nasihat doktor beliau dimintaa berehat buat seketika.
“Semangat saya ketika itu hampir saja jatuh, namun berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya nekad bangun semula dan berazam untuk terus mencipta kejayaan,” katanya.
TERSENARAI DALAM MBOR
Kejayaan lain yang pernah diraih oleh Sarjan Saidatul Husna ialah berjaya menempa nama untuk Malaysia Books of Record (MBOR) sekitar Mac 2023.
Ads
Beliau mencatatkan rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) ketika persembahan TATU Tentera Darat (TDM) bersempena Hari Tentera Darat ke-90 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Saya sering amalkan doa naik kenderaan sepanjang beraksi, dari situlah saya peroleh kekuatan.
“Selain itu, saya dan rakan sepasukan akan memberi semangat antara satu sama lain. Pada masa sama berserah kepada Allah SWT agar setiap aksi dipermudah,” kata Sarjan Saidatul Husna yang berkecimpung selama 15 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Bagi beliau, segalanya tidak mustahil asalkan mempunyai tekad selain sokongan keluarga dan rakan.
“Wanita juga mampu melakukan pelbagai aksi sebagai mana lelaki. Ini yang mahu saya buktikan kepada semua wanita di luar sana.”
Semoga Sarjan Saidatul Husna terus sukses dan menjadi inspirasi buat seluruh wanita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Itulah yang dinamakan, rezeki tak salah alamat! Itu janji Allah SWT kepada mereka yang rajin berusaha dan bijak menggunakan peluang demi memberi manfaat kepada masyarakat.
Berkongsi rezeki dengan menjual sambal, instafamous selebriti masakan yang juga Digital Creator ‘Dapur Lonely’ , Khairul Aming berjaya meraih jualan jutaan ringgit hanya dalam beberapa hari. Lebih membanggakan, dia kini berjaya membuka kilang kedua di Kelantan yang bakal beroperasi dalam masa terdekat.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman.
Selama setahun setengah beroperasi, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berjaya menempa kejayaan tersendiri. Contoh anak muda yang hebat!
Menerusi perkongsian di laman sosial rasminya iaitu akaun Instagram dan Twitter, dia telah menyuarakan kegembiraannya apabila berjaya meraih satu juta botol Sambal Nyet dengan jumlah jualan sebanyak RM14 juta. Hebatnya!
“Selepas setahun setengah beroperasi, alhamdulillah hari ni jualan Sambal Nyet telah mencecah 1,000,000 botol dan menjadikan total sales sambal Rm 14 juta ringgit.
“Pada hari pertama kita jual Sambal Nyet, kita cuma dapat jual 200 botol sehari. Tetapi Alhamdulillah kita dapat jual 5,000 botol sambal sehari. Team kita juga dah berkembang daripada 8 orang, kini sudah naik ke 50 orang.
Selain itu, dia juga memaklumkan baru saja menambah kilang keduanya di Kelantan dan bakal beroperasi tidak lama lagi. Segalanya berjaya dicapai hanya dalam masa setahun setengah!
“Kita juga baru tambah kilang kedua seluas 22,000 sqft di Kelantan yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Khairul Aming masih belum berkongsi kepada umum apakah produk kedua yang bakal dihasilkannnya itu..
“Kilang kedua ini akan jadi tempat untuk naikkan lagi produksi Sambal Nyet dan jadi tempat persediaan untuk produk kedua nanti,”
Bersama ibu tersayang.
Rata-rata para pengikutnya menyatakan kesyukuran atas pencapaian tersebut dan mendoakan agar Khairul Aming sentiasa dimurahkan rezeki.
Semoga Khairul Aming terus sukses dan terus memberi inspirasi dengan penghasilan video-video masakan yang santai dan bersahaja tetapi menghiburkan.
Begitu juga dengan perniagaan sambal ‘terlarisnya’ agar dikenali sebagai salah satu produk buatan Malaysia yang terunggul bukan hanya di dalam negara bahkan juga luar negara.
Kredit Foto: Instagram Khairul Aming
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemesraan hubungan antara aktres jelita, Fasha Sandha bersama suami, Aidil Aziz yang dipaparkan di media sosial, sememangya merupakan refleksi kehidupan nyata perkahwinan mereka yang sering diulit rasa cinta dan bahagia di samping keluarga.
Menurut Fasha, dia berbesar hati selain mengakui bahawa untuk menjamin gaya hidup yang baik, dia sebagai wanita dan juga ibu perlukan suatu energi terbaik demi keluarga tersayang.
Fasha Sandha Akui Tak Mudah Jadi Wanita ‘Serba Boleh’
“Bukan mudah untuk menjadi isteri, ibu dan pada masa sama wanita berkerjaya. Saya perlu mengimbangkan kehidupan harian saya.
“Saya juga perlu menjaga hubungan bersama suami. Alhamdulillah Beunita banyak membantu saya dalam memberi tenaga maksima menjadi wanita yang serba boleh.
“Sebagai duta Beunita, saya mahu membantu ramai para para wanita yang mempunyai masalah masalah yang membuatkan mereka hilang keyakinan diri,” katanya.
Bintang drama Scammer ini berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Beunita di Willow Hall, Forest Valley, Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur.
Terlalu ‘Fokus’ Dengan Kerjaya, Punca Hubungan Suami Isteri Hambar!
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Inayah Beauty, Dini Qistina binti Latifi tidak menafikan masalah kebanyakan suami isteri sekarang yang sentiasa sibuk dengan kerjaya membuatkan ramai yang berdepan dengan kehambaran dalam perkahwinan.
“Nak bercinta, mudah. Nak kahwin pun mudah. Tapi nak menjaga keharmonian rumah tangga memerlukan usaha dan kesungguhan daripada pihak suami dan isteri.
“Dan pihak Inayah melihat Fasha antara selebriti yang masih ada ‘spark’ dengan suaminya Aidil. Dan itu perkara yang sangat bagus kerana tidak semua pasangan yang sudah lama berkahwin mempunyai rasa itu.
“Beunita merupakan salah satu konsep produk kami juga, iaitu merapatkan hubungan intim antara suami isteri. Paling penting, kami juga memilih atas dasar Fasha seorang yang sangat komited,” katanya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kisahnya cukup menyentuh hati dan memberi pengajaran buat seluruh wanita. Ia membuktikan bahawa wanita bukanlah makhluk Tuhan yang selamanya lemah.
Tidak mahu terus meratapi kesedihan serta nasib malang yang menimpa dirinya, wanita ini bangkit semula bersama semangat yang cukup luar biasa biarpun kini beliau terpaksa berkerusi roda seumur hidupnya.
Dialah wanita besi Pakistan, Muniba Mazari yang merupakan seorang artis, model, aktivis, hos televisyen serta motivator. Muniba dilahirkan pada 3 Mac 1987 dan merupakan graduan dalam jurusan Seni Halus.
Muniba dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat konservatif dan berkahwin pada usia muda iaitu ketika 18 tahun atas kehendak bapanya. Demi melihat bapanya gembira Muniba terpaksa akur. Namun, Muniba tidak pernah merasa bahagia sepanjang perkahwinannya itu.
TRAGIK
Selepas dua tahun perkahwinan, bermulalah episod duka dalam kehidupannya. Muniba terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang sangat tragik. Ketika kejadian suaminya mengantuk sehingga menyebabkan kereta yang mereka naiki terjatuh ke dalam parit.
Semasa dalam keadaan cemas itu, suaminya sempat melompat keluar dan meninggalkannya seorang diri di dalam kereta. Muniba benar-benar terkedu dan gagal menyelamatkan diri. Apa yang terlintas di fikirannya saat itu hanyalah kematian! Muniba mengalami kecederaan yang amat serius melibatkan tulang belakang.
Kesan kecederaan itu Muniba bukan sahaja disahkan tidak dapat berjalan seperti sediakala bahkan peluang untuk memiliki zuriat juga musnah. Luluh hatinya tatkala mendengar kenyataan pahit itu daripada doktor yang merawatnya.
Kemalangan itu mengubah kehidupannya secara total. Secara perlahan-lahan, Muniba berjaya mengatasi ketakutannya yang terbesar iaitu perceraian. Muniba kini memegang status sebagai seorang ibu tunggal serta memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Neil berusia 6 tahun. Muniba meneruskan minatnya dalam seni lukis kerana itulah terapi jiwa buat dirinya untuk meneruskan hidup.
BANGKIT
Berkat sokongan doktor serta insan-insan yang prihatin, Muniba bangkit dengan semangat baharu lantas menjadi inspirasi buat seluruh wanita. Muniba berjaya memberi kesedaran sekaligus membuka mata masyarakat supaya menghargai diri sendiri.
Dalam setiap sesi motivasinya, Muniba yang juga merupakan wakil nasional Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wanita Pakistan, beliau sering menyatakan di sebalik ketakutan dan kebimbangan dalam kehidupan adakalanya manusia terlupa akan keistimewaan hidup yang Tuhan kurniakan.
“Kehidupan ini akan sentiasa ada dugaannya di mana-mana, pada bila-bila masa namun apa yang pasti semuanya berbalik kepada diri kita sendiri. Bagaimana untuk menghadapi, mengatasinya bahkan bagaimana untuk mengubah sesuatu kekurangan kepada kelebihan.
Kita juga tidak boleh menghakimi penderitaan orang lain kerana kekuatan itu pasti akan kembali kepada diri kita,” ungkap Muniba.
Menurutnya, apa yang boleh kita lakukan ialah membawa cerita inspirasi buat masyarakat meskipun kesukaran melanda sehinggalah ‘kesenangan’ itu tiba. Apa yang penting bagi Muniba ialah konsisten melakukan yang terbaik atas apa yang dimiliki. Hanya diri sendiri yang mampu mengubah kehidupan seseorang. AMY MOHD
Sumber & Foto: Instagram Muniba Mazari
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!