Alhamdulillah, Makcik Kiah mampu tersenyum bila Perdana Menteri bagi contoh mudah agar seluruh rakyat Malaysia faham dan senang kira. “Makcik Kiah penjual gorang pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab.
Anak-anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isi rumah Makcik Kiah di bawah RM4,000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat,
Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500 dan bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500. Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3,400.
Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama enam bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama enam bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama enam bulan sebanyak RM120.
Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama enam bulan sebanyak RM1,200. Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600. Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.
Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864. Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, petang semalam.
Kebaikan Rakyat
Rasanya lebih daripada faham dengan penjelasan daripada Perdana Menteri tersebut. Rata-rata rakyat Malaysia telah menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi tersebut. Tahniah dan ucapan terima kasih rakyat buat kerajaan dan barisan pemimpin.
Terbaik Perdana Menteri kita dalam wajah tenangnya memberi ucapan yang penting dan serius tetapi disampaikan dengan cara yang begitu menarik untuk rakyat.
Ads
Sempat pula ada yang mencipta makna di sebalik nama Makcik Kiah, tersenyum sendiri membaca perkongsian ini:
M = Manfaatkan bersama keluarga
A = Ambil dan guna mengikut keperluan
K = Kawal perbelanjaan
C = Covid-19, perangi sehingga tamat
I = Ikut arahan PKP yang ditetapkan
Ads
K = Ketua keluarga sahaja yang keluar, bila perlu
K = Kendalikan kewangan dengan cermat
I = Ingat Allah
A = Awas, jangan boros
H = Home first, kekal dalam rumah
Selesai perkara berkenaan Makcik Kiah gorang pisang, kerajaan turut membantu masalah yang mungkin dihadapi Perusahaan Kecil dan Sederhana termasuk usahawan mikro. Puan Zakiah usahawan muda juga bisa tersenyum apabila kerajaan dan Bank Negara akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 billion yang merangkumi lima inisiatif utama iaitu:
Ads
Pertama: Menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas atau Special Relief Facility untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion. Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.
Kedua: Meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.
Ketiga: Menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah. Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2% sahaja tanpa cagaran.
Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi. Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan. Inisiatif ini adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.
Keempat: PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada 4 tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.
Kelima: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70% kepada 80% bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.
Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, kerajaan percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini.
Semoga semua bantuan ini dapat membantu semua pihak di setiap peringkat dan lapisan masyarakat, Pada masa yang sama, marilah kita terus memberi sokongan #dudukrumah #stayathome agar rantaian kuman virus COVID-19 dapat dihapuskan. Kiffy Razak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anda peminat pancaragam? Ini berita baik yang rugi jika dilepaskan. Ahli Pancaragam Sekolah Tun Fatimah akan bekerjasama dengan Orkestra Tradisional Malaysia untuk sebuah konsert satu malam yang diberi judul ‘A Night With The Stars’.
Antara acara yang telah ditetapkan untuk malam 27 April 2018 itu adalah persembahan artis seperti Amy Search, Jaclyn Victor, Fauziah Latiff, Dina Nadzir dan juga Anding Indrawani.
Objektif utama persembahan ini ialah untuk mengumpul dana TFBB membeli kelengkapan baru dan juga props untuk pasukan colour guards mereka. Kutipan dari persembahan ini juga akan digunakan untuk penyertaan TFBB dalam pertandingan Grand Prix Marching Band tahun ini di Jakarta.
Ia juga adalah untuk meraikan kejayaan cemerlang Sekolah Tun Fatimah sebagai Sekolah Berasrama Penuh yang memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia terbaik untuk tahun 2017.
TFBB yang dianggotai seramai 58 orang pelajar ini berlatih hanya selama tiga bulan untuk membuat persembahan ini di bawah pimpinan jurulatih TFBB, Esty Farrah Musa, yang juga merupakan bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah.
Menurut Esty, “Kami berasa amat bangga diberi peluang untuk membuat persembahan di Istana Budaya, tempat terunggul di Malaysia untuk melakukan persembahan teater dan persembahan antarabangsa.”
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato’ Muhamed Juhari bin Shaarani berkata, pihak Istana Budaya merasa amat berbesar hati dan mengalu-alukan kerjasama di antara TFBB dan OTM yang memaparkan peralatan muzik tradisional Malaysia.
“Kami berharap untuk meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai peralatan muzik tradisional, serta bagaimana gabungan di antara peralatan tersebut dengan peralatan muzik moden akan menghasilkan satu campuran yang unik dan berharap ia akan menjadi suatu pengalaman muzik yang sangat unik.”
Pada persembahan tersebut, ‘A Night with the Stars’ akan menampilkan lagu-lagu klasik di samping lagu-lagu terkini. Sebagai Sekolah Berasrama Penuh yang terbaik, anggota TFBB perlu mengimbangi tuntutan akademik dengan latihan pancaragam mereka dengan baik.
Mujurlah sebagai salah satu tradisi Sekolah Tun Fatimah yang telah lama wujud, perkara ini diurus dengan baik oleh anggota pancaragam tersebut dengan sokongan padu yang diberikan oleh para guru terutamanya Pengetua Cemerlang, Puan Hajah Kamisah Aziz.
Trivia TFBB
TFBB mempunyai sebuah legasi yang lama iaitu sejak tahun 1973, apabila ianya ditubuhkan oleh seorang guru Bahasa Inggeris yang terunggul in Sekolah Tun Fatimah bernama Dr. Hyacinth Gaudart.
Buat masa ini, ianya merupakan satu-satunya pasukan pancaragam Sekolah Berasrama Penuh yang mempunyai pasukan Colour Guardnya sendiri.
Pasukan Colour Guard ini merupakan satu seksyen tanpa muzik yang memberi tambahan tarikan visual terhadap persembahan-persembahan pasukan pancaragam tersebut, dalam kes TFBB, mereka membuat putaran bendera.
Di antara pencapaian TFBB termasuk memenangi pelbagai anugerah berprestij termasuklah Johan pertandingan-pertandingan peringkat Negeri dan Kebangsaan tahun-tahun 2004, 2005, 2007, 2009, 2010, 2011, 2013
Selain itu, TFBB turut menjadi Johan pertandingan Colour Guards sempena Hari Wilayah 2016, Johan Street Parade peringkat Negeri 2015, Pasukan terbaik Drumline Street Parade peringkat Kebangsaan 2015, Anugerah Perak dalam Festival Red Sonata 2017.
Pernah mewakili negara di Grand Prix Marching Band Jakarta 2017 dan mendapat tempat ketiga dalam kategori Field Music. Selain itu TFBB mendapat tempat keempat keseluruhan, Grand Prix Marching Band Jakarta 2017.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Isu buka hijab dalam kalangan selebriti bukanlah perkara baru. Siti Sairah yang merupakan adik kepada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza sendiri mengakui pernah terpalit dengan isu tersebut dan kesal dengan apa yang terjadi. Menjadikan peristiwa itu sebagai asam garam kehidupan, Siti Sairah atau nama sebenarnya Siti Nursairah Tarudin masih mengharapkan doa terbaik dari orang ramai agar dia mampu menjadi wanita sebaik-baiknya kelak.
Bertentang mata dengan ibu kepada peserta Ceria Megastar Ministar, Ummi Ummairah ketika sesi fotografi bersama Nona… Sairah yang kembali bergelar ibu pada Disember tahun lalu kini dikurniakan seorang bayi perempuan comel hasil perkahwinan bersama Mohd Sharidan Johari pada Februari 2018. Meskipun sibuk menguruskan anak kecil, suami dan keluarga namun Sairah tetap mementingkan penampilan diri.
Sairah yang kembali mengenakan hijab sejak bergelar isteri, tanpa berselindung mengakui pernah tersilap langkah menanggalkan tudung yang dipakai suatu ketika dulu. Enggan menyalahkan sesiapa atas kesilapan tersebut, penyanyi berusia 35 tahun ini memberi reaksi positif saat diajukan pertanyaan tentang isu buka hijab.
Bersama kakak, Siti NorsaidaDi samping suami tercinta, Mohd Sharidan JohariSiti Sairah, Siti Saida & Datuk Seri Siti ketika sesi fotografi bersama Nona
“Saya pun ada pengalaman sebegitu juga. Pada saya, saya tak boleh cakap apa-apa. Yang penting kita istiqamah lah. Saya pun buat kesilapan tu… tapi alhamdulillah sekarang saya kembali bertudung dan inshaAllah doakan yang terbaik.
Paling penting orang di luar sana, kita jangan blame mereka (buka tudung). Mungkin ada sebab tertentu yang kita tak tahu. Doa kalian itu yang membuatkan mereka akan berubah sedikit demi sedikit. Jadi, kita kena sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka.”
Ditanya apa yang membuatkan Sairah kembali mahu bertudung, “Iyalah, kita ni bila dah berkeluarga kita taknak suami kita bertambah ‘beban’ dia. Jadi bila kita bertudung tu.. salah satunya adalah kerana sebagai umat Islam kita perlu bertudung. Kepada mereka yang buka tudung atau belum bertudung, kita doakan yang terbaik untuk mereka.”
Bercerita perihal hijab yang menjadi kesukaan Sairah, anak bongsu perempuan ini menjelaskan dia sebenarnya seorang wanita yang cukup ringkas. “Saya seorang yang sangat simple. Selagi ada tudung yang macam menyenangkan, saya akan pakai. Saya jenis pakai yang sarung dan terus siap!
Orang kalau follow IG saya memang tahu saya punya tudung macam mana. Sangat simple. Jenis material pilihan pula saya tak kisah. Yang penting senang dibentuk dan selesa. Macam chiffon… dan tudung bawal antara yang paling saya suka,” telusnya lagi.
Kata Sairah lagi, dia selesa menjadikan kakak sendiri iaitu Datuk Seri Siti sebagai rujukan fesyen berhijab. “Bila tengok Kak Iti bertudung, saya suka tengok. Tapi kita ni jenis yang simple, apa yang ada sarung je. Cara Kak Iti bertudung juga beri inspirasi dekat saya untuk pakai tudung yang dia pakai.
Sejujurnya bila dapat berkumpul ramai-ramai dengan adik-beradik, kami memang suka berborak. Antara topik kami bila berjumpa ialah mekap. Kak Iti memang suka cerita bab mekap. Masing-masing ada minat sendiri tapi kami boleh kongsi berbual tentang apa saja. Jarang sekali ‘membawang’. Misalnya antara Kak Saida dan Kak Iti mereka akan lebih bercerita pasal kewangan sebab Kak Saida yang urus hal kewangan syarikat.”
Selain berbakat dalam bidang seni, adik-beradik Saida juga aktif dalam bidang sukan. Kakak mereka, Siti Norsaida dikatakan handal dalam sukan hoki. Sementara Sairah pula merupakan wakil negeri Pahang dalam SUKMA bagi acara menembak. Bagaimana pun, penglibatan Sairah dalam sukan tersebut terpaksa dilupakan selepas dia mengalami insiden gas masuk ke dalam mata dan membuatkan arwah bapa mereka meminta dia meninggalkan sukan menembak.
Kredit foto: Instagram Siti Nursairah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
9 Zulhijjah 1439 Hijrah atau bersamaan 21 Ogos 2018 merupakan Hari Wukuf Arafah yang menjadi kemuncak bagi ibadah haji tahun ini. Menjelangnya hari istimewa ini, seluruh umat Islam di seluruh dunia digalak memperbanyakkan ibadah memandangkan ganjaran yang bakal diterima sangat besar. Lakukanlah dengan penuh khusyuk, tawaduk dan hanya kerana Allah SWT.
Rahmat dan kasih sayang Allah itu sangat luas. Meskipun belum dikurniakan rezeki untuk menjadi tetamu Allah dan melaksanakan rukun Islam kelima berkenaan namun kita semua tetap diberi ganjaran besar walaupun hanya menghambakan diri kepada-Nya di negara sendiri ketika detik ini. Mohon panjatkan kesyukuran dan perlindungan Yang Maha Esa agar keselamatan para jemaah haji yang berdepan ribut di Arafah terpelihara daripada segala insiden yang tidak diingini.
Antara kelebihan bagi mereka yang melakukan Puasa Sunat Hari Arafah, segala dosa yang dilakukan setahun lalu dan setahun akan datang akan dihapuskan. MasyaAllah, sesungguhnya Dia Maha Pemurah dan Maha Pengampun.
Selain menunaikan Puasa Sunat Hari Arafah esok, bulatkan niat untuk turut melakukan amalan ini.
1. Tidur awal (pada malam Selasa) dengan niat bangun awal untuk beribadah.
2. Bangun awal beberapa jam sebelum fajar dan lakukan Solat Tahajud.Tasbih dan witir, lanjutkan dengan doa munajat disertai linangan air mata taubat dan keinsafan akan kefakiran diri
3. Perbanyak istighfar agar termasuk dalam kalangan orang yang beristighfar pada waktu sahur.
4. Makan sahur secukupnya disertai niat berpuasa sunat kerana Allah.
5. Solat Subuh berjemaah, jangan lupa ucapkan takbir selepas solat.
6. Duduk di tempat solat hingga terbit matahari untuk membaca zikir ma’thurat, doa dan bacaan al-Quran, lalu laksanakan solat sunat Syuruq dua rakaat.
7. Sepanjang hari itu, perbanyak ibadat dan zikir, kurangkan ucapan yang tak bermanfaat, dan jauhkan diri daripada maksiat.
8. Apabila masuk waktu Asar, laksanakan solat berjemaah, lalu sibukkan diri dengan doa dan zikir hingga Maghrib. Mintalah kepada Allah agar tidak terbenam matahari sebelum semua dosa kita diampunkan dan semua hajat kita dimakbulkan.
9. Bersegera berbuka puasa sejurus masuk waktu Maghrib. Pada waktu berbuka terdapat peluang doa mustajab bagi orang yang berpuasa. Jangan lupakan ahli keluarga kita yang telah meninggal dunia dan yang masih hidup, juga kaum muslimin yang tengah dalam kesusahan di seluruh dunia.
10. Memaafkan orang yang bersalah dengan kita.
11. Mendoakan orang yang menyakiti kita sama ada dengan kata-kata atau perbuatan.
12. Bersilaturrahim dengan orang yang cuba memutuskannya dengan kita.
Moga dengan amalan-amalan yang dilakukan ini mampu menghilangkan resah gelisah yang selama ini bersarang di dalam hati. Sekaligus mencetuskan rasa tenang, syukur dan gembira atas segala yang dikurniakan kepada kita semua. Semoga Allah menerima amal ibadah kita!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!