26 Julai lepas merupakan ulang tahun kelahiran ke-48 bagi Datuk Nora Ariffin. Makin anggun dan bahagia di samping keluarga tersayang, kehidupan pelantun yang pernah popular menerusi lagu Di Persimpangan Dilema ini kian bermakna sejak kehadiran cucu sulungnya, Ayden Johan.
Datuk Nora yang gemar berkongsi aktiviti harian dan seninya baru-baru ini turut memuat naik momen di samping Ayden sempena hari lahir yang pertama pada 26 Ogos lepas. Menerusi gambar-gambar yang dikongsikan jelas terserlah wajah comel Ayden tatkala berada di samping nenda tersayang. Sweet!
Bersyukur dengan nikmat kesihatan dan berpeluang menyambut ulang tahun pertama cucu kesayangannya hujung Ogos lalu, Datuk Nora memberitahu, “Alhamdulillah, cucu kita dah genap setahun dah. Syukur dapat menyambut first birthday Ayden Johan, cucu pertama saya bersama keluarga tersayang yang serba sederhana.
Ayden dilahirkan waktu PKP dan sambut birthday pun still dalam PKP. Apa pun syukur di atas kurniaan dan kasih sayang ini. Sederhana tapi sempurna. InshaAllah. Wan doakan Ayden membesar menjadi anak yang baik dan soleh kepada mummy dan daddy.”
Meskipun sambut serba sederhana bersama keluarga di rumah namun tetap meriah dengan dekorasi hiasan kek dan belon comel.
Datuk Nora yang masih aktif memenuhi undangan nyanyian juga kini ligat menjalankan bisnes sebagai pengusaha makanan. Mengambil jenama ‘Secukup Rasa’ by Nora, pelbagai menu menarik disediakan buat penggemar makanan.
Antaranya Nasi Tomato, Nasi Briyani, Nasi Kerabu Ayam Percik, Nasi Ayam Berempah, Rendang Tok, Karipap pelbagai perisa dan sebagainya. Kecur tengok aneka menu Secukup Rasa by Nora!
1 Februari lalu bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2021, Datuk Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin menjadi salah seorang penerima pingat kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Beliau dilaporkan menerima pengurniaan Pingat Panglima Mahkota Wilayah (PWM) yang membawa gelaran Datuk!
Bagaimanapun Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran berkenaan tidak dapat diadakan pada tarikh tersebut memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan situasi pandemik Covid-19. Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 (Sesi Pertama) kemudian berlangsung pada 23 Mac di Istana Negara.
Dalam majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 143 individu termasuk Datuk Nora Ariffin. Jelas pelantun lagu popular ‘Hanya Satu’ ini, “Alhamdulillah syukur pada Allah SWT. Satu anugerah yang cukup istimewa dan bermakna sepanjang 30 tahun di dalam bidang seni dan budaya.”
Mendahului senarai penerima istiadat ialah Menteri Kewangan Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berbahagia Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Penganugerahan tersebut pastinya menjadi semangat kepada Datuk Nora yang tidak terlepas berdepan pelbagai dugaan hidup. Pada 24 Mac 2017, beliau kehilangan suami tercinta yang merupakan komposer terkenal Johan Nawawi akibat serangan jantung.
Kira-kira dua tahun kemudian, beliau sekali lagi diuji apabila anak keduanya, Muhammad Syakir Alif Johan meninggal dunia disebabkan faktor genetik pada 15 Disember 2019.
Selain menyanyi, Datuk Nora turut dilantik sebagai duta produk kecantikan Prettian. Moga Datuk Nora terus kuat mengharungi hari-hari mendatang dan menjadi sumber kekuatan buat ramai wanita.
Kredit foto: Instagram Nora