
Ibu kepada pengacara dan pelakon jelita, Noor Neelofa Mohd Noor, Datin Noor Kartini Noor Mohamed sudah menjengah ke usia 53 tahun tetapi kelibatnya nyata lebih muda daripada usia yang sebenar.
Wanita yang mempunyai sembilan orang anak ini sentiasa tampil menawan dan mempunyai sejumlah 299 ribu pengikut di laman Instagram.
Rupa-rupanya minum air putih adalah rahsia kejelitaan wanita yang mesra disapa Datin Tini ini yang juga isteri kepada Dato’ Abdul Halim Khan.
“Sebenarnya, tiada sebarang petua yang saya amalkan. Saya hanya amalkan beberapa tip ringkas. Amalan penjagaan diri saya sungguh mudah. Setiap kali bangun tidur, saya akan terus menikmati secawan air putih.
“Saya pernah membaca satu artikel mengenai kebaikan minum air putih untuk penjagaan diri. Jadi saya mengamalkan untuk minum air putih sewaktu bangun tidur, sebelum mandi dan selepas mandi,” kata Datin Noor Kartini yang memiliki darah keturunan Pakistan-Arab.
Datin Noor Kartini juga mengamalkan sikap positif dalam kehidupan seharian. Tambahnya, “Saya tidak menyimpan sebarang perkara negatif di dalam hati. Saya anggap cerita negatif sebagai satu perkara yang tidak mustahak selain mahu sentiasa kekal positif.
Selain itu, bercakap mengenai elemen kecergasan, saya juga mengamalkan senaman ringan seperti pilates dan yoga. Saya juga sering berjalan-jalan di sekitar taman selama 30 minit untuk kekal aktif,” terang anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.
Sumber: Astro Awani
FAUZIAH NAWI & DJ DAVE Antara Pengiat Seni Terima Darjah Kebesaran Sempena Hari Keputeraan Agong

Pelakon hebat Fauziah Nawi antara penggiat seni yang menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.
Penganugerahan itu sempena sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut mStar, darjah kebesaran yang diberikan kepada pelakon veteran itu adalah Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM), iaitu bagi penggiat seni yang banyak berjasa sepanjang berkerjaya sebagai anak seni tanahair.
Fauziah memberitahu mStar bahawa beliau sangat bersyukur dan sememangnya tidak pernah mengimpikan penghargaan seperti ini.
“Dengan pingat ini, saya harap dapat memberi lebih banyak khidmat bakti,” katanya.
Fauziah memulakan kerjaya seni pada sekitar 1974 sebagai seorang penyanyi sebelum aktif berlakon, lapor mStar. Beliau membintangi puluhan drama dan filem sejak 1981 selain aktif membimbing para pelakon baru.
Selain itu, seorang lagi penggiat seni, DJ Dave atau Irwan Shah Abdullah, pula dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.
Beliau tersenarai bagi kategori sukarelawan atas jasanya sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.

Tahun ini menyaksikan seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 yang berlangsung di Istana Negara, antara lain Allahyarhim Nik Aziz dan Lim Kit Siang.
Sumber: Mstar
Rayu Kesembuhan Isteri Kanser Ovari Depan Kaabah, Suami Hebat Ini Tawakal Ujian-Nya!

Kehidupan rumah tangga itu seharusnya menguatkan. Isteri menampung kekurangan suami dan suami menampung segala keperluan isteri. Termasuklah ketika ujian menyapa, salah seorangnya rebah dibadai penyakit barah. Waktu inilah kejujuran sebenar terserlah.
Perbualan Nona dengan Perunding Hartanah, Muhammad Azizirrahim Mohd Yusoff, petang tadi ibarat mendengar sebuah kisah cinta abadi pada zaman moden ini. Bukan senang berjumpa seorang figura lelaki sehebatnya, seorang suami dan bapa yang tulus berkorban demi kebahagiaan keluarga tersayang.
Isteri Azizi, seorang pegawai diplomatik di Putrajaya bernama Farah Fazarina Mohamad tiba-tiba disahkan menghidap masalah kesihatan serius sekitar tiga tahun lepas. Tahun itu mereka sebenarnya merancang untuk menambah cahaya mata ketiga, namun rancangan Allah mendahului segala-galanya.
“Kami berkahwin pada tahun 2010. Hasil perkahwinan ini kami dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Amani Sofea (9 tahun) dan Amir Syahmi (6 tahun). Kalau ikutkan rancangan, tahun 2017 kami mahu tambah lagi anak. Isteri dah mengandung pun masa tu, tapi tiba-tiba berlaku jangkitan kuman ‘superbug’ dan dia terpaksa duduk tiga bulan di hospital.

Ternyata takdir tak menyebelahi kami. Sewaktu usia kandungan mencecah 28 minggu, doktor terpaksa ambil keputusan untuk selamatkan nyawa isteri kerana bimbang jangkitan kuman di tulang belakang. Dan berdekatan pula dengan bayi dalam kandungan. Maka dengan hati yang berat, kami berdua akur atas faktor kesihatan dan keselamatan si ibu.
Doktor kata, insyaAllah ada rezeki lain nanti. Tapi isteri kena tunggu sebab takut risiko terkena jangkitan kuman dan ia mungkin boleh membahayakan kandungan sekali lagi.
Memandangkan doktor anggarkan tiga tahun untuk sembuh, jadi isteri tak boleh mengandung disebabkan dia melalui major operation sebanyak empat kali. Pembedahan tu untuk membuang jangkitan dan pakar gunakan dos antibiotik paling kuat dalam rawatan.
Alhamdullilah selepas 4 bulan berikhtiar, isteri kembali sihat. Sepanjang tempoh pemulihan, saya berkali-kali bagi semangat padanya, sabarlah dengan ujian ini. Dan kami pun sama-sama rancang nak cuba dapatkan anak lagi pada tahun 2020.
Perasaan saya sebagai suami dan bapa tentulah sedih. Tak tergambar hati ini bila melawat kubur anak ketiga kami yang terpaksa ‘berkorban’ demi menyelamatkan ibunya.

Bermula saat itu, isteri saya mula memberi perhatian terhadap pemakanan dan gaya hidup kami sekeluarga. Atas nasihat pakar diet agar kurangkan berat badan, dia sendiri berusaha kurangkan karbo, makanan berminyak dan minuman manis, selain ambil madu asli sebagai suplemen. Kami juga makan banyak sayuran organik dan guna kaedah air frying untuk menggoreng.
Sempat juga kami bercuti bersama anak-anak selepas dia kembali sihat,” cerita Azizi sambil berkongsi foto-foto bahagia mereka.




HIDAP KANSER OVARI
Betapa tanggung jawab seorang suami itu tidak terhenti setakat menjaga keperluan zahir dan batin isteri sahaja. Seorang suami sepatutnya selalu memuji isteri, menghargai pengorbanan isteri dan sering mendoakan isterinya.
“Selepas tiga tahun episod jangkitan tersebut, kami pun mula merancang nak dapat baby baru. Pada Februari lepas, rezeki saya dapat bawa mak ayah tunaikan umrah mereka buat kali pertama. Berkali-kali isteri pesan, doalah kami dapat zuriat lagi tahun ni.
Selepas sehari sampai di Mekah, dia telefon untuk beritahu ada cyst. Tujuan dia buat check-up ketika tu sebab tiba-tiba sakit di bahagian rahim. Suspek juga mengandung, siap beli pregnancy test lagi.
Tapi bila check di hospital, doktor suspek kanser ovari dan sekiranya betul rahim perlu dibuang. Allahu, luruh jantung saya masa tu. Saya terlalu sedih dan menangis semahu-mahunya di depan Kaabah. Hati saya tak keruan memandangkan hanya isteri dan anak-anak saja di Malaysia.
Saya tadah tangan dan rayu bantuan Allah SWT. Minta doa supaya diselamatkan ovarinya. Dengan sekhusyuk-khusyuknya saya minta depan Kaabah, ‘Tuhanku, sihatkanlah isteriku.’
Saya doa bersungguh-sungguh. Walaupun terlalu sedih, tapi saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku terhadap kami. Paling saya kagum, isteri saya nampak lebih kuat daripada dulu. Dia menerima takdir ini dengan positif dan berusaha lawan penyakit dengan tenang.
Kadang-kadang menitik air mata tengok isteri bermunajat seorang diri. Saya nampak dia langsung tak pernah tinggal solat tahajud, solat dhuha dan khatam Al-Quran. Dia bina kekuatan dalaman dan tanam sifat syukur kerana diberi ujian ini. Jalan untuk ikhlaskan hati hanya dengan mendekati Allah SWT.


Memandangkan berita tentang kanser ovari ini berlaku dalam tempoh PKP, nak taknak isteri terpaksa tangguhkan rawatannya. Seperti lumrah pesakit kanser lain yang sensitif dan sukar menerima kenyataan, isteri saya juga pernah menyuarakan ‘kerisauan’, dia takut kanser dah merebak ke tempat lain.
Tapi alhamdulilah, kini selepas treatment kemoterapi keempat, nampak semakin positif keadaannya. Inilah gambar raya kami sekeluarga baru-baru ini, isteri nampak ceria dan tenang.
Saya tahu perasaan isteri saya. Jauh di lubuk hatinya dulu, dia berada dalam keadaan paling lemah. Apa yang diharapkan tak dapat. Malah lain pula jadinya.
Walaupun mula-mula sedih disebabkan takdir ovari isteri terpaksa dibuang, tapi saya reda. Saya yakin isteri pun reda. Nak bina kekuatan tu yang paling susah kami rasa.
Apapun saya harap dia dikurniakan kesihatan sepenuhnya. Dan berharap rakan-rakan lain juga mendoakan kesihatan isteri saya pulih seperti sediakala,” akhiri Azizi dengan ikhlas.
Bekas Banker Kini Pengasas The Artisans Haven, Mahu Wujudkan Ruang Berniaga Online Untuk Penggiat Seni Wanita

Bersandarkan pengalaman bekerja di sektor perbankan, dua wanita ini bergabung menubuhkan The Artisans Haven. Jade Lee dan Rosalie Lin tekad mewujudkan platform membeli-belah online tersebut untuk membantu lebih ramai usahawan wanita menambah pendapatan mereka.
istilah Handmade is Heartmade membawa makna yang lebih mendalam pada bulan Mac ketika dunia meraikan Hari Wanita Sedunia. Ketika pandemik melanda, penggiat industri seni kreatif kebanyakannya mengeluh dengan hasil jualan yang tidak seberapa. Pasaran perniagaan yang majoritinya adalah golongan wanita ini juga berdepan saat-saat sukar.
Menyedari situasi ini, usaha Jade Lee yang merupakan pesara Pengarah Urusan Perbankan Runcit di Ambank untuk menubuhkan The Artisans Haven dilihat sangat membantu.
“Selepas tamat perkhidmatan di bank, saya mula menulis blog untuk berkongsi kisah dan tip kejayaan perniagaan.
Ketika itulah saya menemui ramai artisan dan peniaga-peniaga kecil yang bergelut dalam memasarkan karya mereka, apatah lagi ketika negara dilanda pandemik.
Inilah yang mendorong saya dan Rosalie Lin mewujudkan The Artisans Haven pada Mei 2020, iaitu ketika wabak COVID-19 melanda,” ujarnya.

TAPAK JUALAN
Ruang digital The Artisans Haven bermula dengan hanya 30 penyewa dalam talian dan kini ia dilihat semakin berkembang dengan menyaksikan 120 penyewa, di mana 70% majoriti adalah dari kalangan wanita.
Kesemua penyewa ini dibantu oleh The Artisans Haven dalam bidang pemasaran digital dan perundingan perniagaan.

“Di The Artisans Haven, kami dapat memperkasakan para pengkarya tempatan dalam menghasilkan produk kreatif dan unik agar mudah diakses oleh rakyat Malaysia, seterusnya menyokong kelangsungan perniagaan mereka agar terus maju,” tutur Rosalie Lin yang juga merupakan bekas banker.
Selain menyokong pengkarya tempatan, The Artisans Haven turut mempromosikan #ShopForGood di mana sebahagian dari hasil penjualan dari ruang maya beli belah digital disalurkan kepada lima NGO yang terpilih iaitu Beautiful Gate, Community Excel Services (CES), Latihan Autistik, Komuniti Pekak dan Penan Healing Hands.


Usaha kedua-dua wanita ini dilihat selari dengan tema Hari Wanita Sedunia 2021. Antaranya bertanggungjawab terhadap pemikiran dan tindakan diri sendiri, memilih untuk mencabar isu ketidakadilan dan ketidaksamaan gender serta membantu mewujudkan dunia yang inklusif.
Baik Jade mahupun Rosalie, mereka secara tidak langsung telah menerapkan tujuan murni dalam organisasi ini untuk mewujudkan persekitaran perniagaan inklusif untuk penyewa wanita di The Artisans Haven. Syabas!