Kehidupan rumah tangga itu seharusnya menguatkan. Isteri menampung kekurangan suami dan suami menampung segala keperluan isteri. Termasuklah ketika ujian menyapa, salah seorangnya rebah dibadai penyakit barah. Waktu inilah kejujuran sebenar terserlah.
Perbualan Nona dengan Perunding Hartanah, Muhammad Azizirrahim Mohd Yusoff, petang tadi ibarat mendengar sebuah kisah cinta abadi pada zaman moden ini. Bukan senang berjumpa seorang figura lelaki sehebatnya, seorang suami dan bapa yang tulus berkorban demi kebahagiaan keluarga tersayang.
Isteri Azizi, seorang pegawai diplomatik di Putrajaya bernama Farah Fazarina Mohamad tiba-tiba disahkan menghidap masalah kesihatan serius sekitar tiga tahun lepas. Tahun itu mereka sebenarnya merancang untuk menambah cahaya mata ketiga, namun rancangan Allah mendahului segala-galanya.
“Kami berkahwin pada tahun 2010. Hasil perkahwinan ini kami dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Amani Sofea (9 tahun) dan Amir Syahmi (6 tahun). Kalau ikutkan rancangan, tahun 2017 kami mahu tambah lagi anak. Isteri dah mengandung pun masa tu, tapi tiba-tiba berlaku jangkitan kuman ‘superbug’ dan dia terpaksa duduk tiga bulan di hospital.
Farah Fazarina merupakan seorang Pegawai Diplomatik di Kementerian Luar Negeri
Ternyata takdir tak menyebelahi kami. Sewaktu usia kandungan mencecah 28 minggu, doktor terpaksa ambil keputusan untuk selamatkan nyawa isteri kerana bimbang jangkitan kuman di tulang belakang. Dan berdekatan pula dengan bayi dalam kandungan. Maka dengan hati yang berat, kami berdua akur atas faktor kesihatan dan keselamatan si ibu.
Doktor kata, insyaAllah ada rezeki lain nanti. Tapi isteri kena tunggu sebab takut risiko terkena jangkitan kuman dan ia mungkin boleh membahayakan kandungan sekali lagi.
Memandangkan doktor anggarkan tiga tahun untuk sembuh, jadi isteri tak boleh mengandung disebabkan dia melalui major operation sebanyak empat kali. Pembedahan tu untuk membuang jangkitan dan pakar gunakan dos antibiotik paling kuat dalam rawatan.
Alhamdullilah selepas 4 bulan berikhtiar, isteri kembali sihat. Sepanjang tempoh pemulihan, saya berkali-kali bagi semangat padanya, sabarlah dengan ujian ini. Dan kami pun sama-sama rancang nak cuba dapatkan anak lagi pada tahun 2020.
Ads
Perasaan saya sebagai suami dan bapa tentulah sedih. Tak tergambar hati ini bila melawat kubur anak ketiga kami yang terpaksa ‘berkorban’ demi menyelamatkan ibunya.
Kubur arwah Ainul Mardhiah, 14.02.2017
Bermula saat itu, isteri saya mula memberi perhatian terhadap pemakanan dan gaya hidup kami sekeluarga. Atas nasihat pakar diet agar kurangkan berat badan, dia sendiri berusaha kurangkan karbo, makanan berminyak dan minuman manis, selain ambil madu asli sebagai suplemen. Kami juga makan banyak sayuran organik dan guna kaedah air frying untuk menggoreng.
Sempat juga kami bercuti bersama anak-anak selepas dia kembali sihat,” cerita Azizi sambil berkongsi foto-foto bahagia mereka.
Niat kami berdua tertunai nak buat umrah tahun 2018 selepas isteri sembuh jangkitan kuman ‘superbug’Sempat ambil peluang melancong dengan keluargaGambar kami sekeluarga di KazakhstanBercuti di Bangkok hujung tahun 2019
HIDAP KANSER OVARI
Betapa tanggung jawab seorang suami itu tidak terhenti setakat menjaga keperluan zahir dan batin isteri sahaja. Seorang suami sepatutnya selalu memuji isteri, menghargai pengorbanan isteri dan sering mendoakan isterinya.
Ads
“Selepas tiga tahun episod jangkitan tersebut, kami pun mula merancang nak dapat baby baru. Pada Februari lepas, rezeki saya dapat bawa mak ayah tunaikan umrah mereka buat kali pertama. Berkali-kali isteri pesan, doalah kami dapat zuriat lagi tahun ni.
Selepas sehari sampai di Mekah, dia telefon untuk beritahu ada cyst. Tujuan dia buat check-up ketika tu sebab tiba-tiba sakit di bahagian rahim. Suspek juga mengandung, siap beli pregnancy test lagi.
Tapi bila check di hospital, doktor suspek kanser ovari dan sekiranya betul rahim perlu dibuang. Allahu, luruh jantung saya masa tu. Saya terlalu sedih dan menangis semahu-mahunya di depan Kaabah. Hati saya tak keruan memandangkan hanya isteri dan anak-anak saja di Malaysia.
Saya tadah tangan dan rayu bantuan Allah SWT. Minta doa supaya diselamatkan ovarinya. Dengan sekhusyuk-khusyuknya saya minta depan Kaabah, ‘Tuhanku, sihatkanlah isteriku.’
Saya doa bersungguh-sungguh. Walaupun terlalu sedih, tapi saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku terhadap kami. Paling saya kagum, isteri saya nampak lebih kuat daripada dulu. Dia menerima takdir ini dengan positif dan berusaha lawan penyakit dengan tenang.
Ads
Kadang-kadang menitik air mata tengok isteri bermunajat seorang diri. Saya nampak dia langsung tak pernah tinggal solat tahajud, solat dhuha dan khatam Al-Quran. Dia bina kekuatan dalaman dan tanam sifat syukur kerana diberi ujian ini. Jalan untuk ikhlaskan hati hanya dengan mendekati Allah SWT.
Ketika saya balik umrah, sempat bawa isteri jalan-jalan di Putrajaya sebelum menjalankan rawatan
Gambar selepas pembedahan 2020
Memandangkan berita tentang kanser ovari ini berlaku dalam tempoh PKP, nak taknak isteri terpaksa tangguhkan rawatannya. Seperti lumrah pesakit kanser lain yang sensitif dan sukar menerima kenyataan, isteri saya juga pernah menyuarakan ‘kerisauan’, dia takut kanser dah merebak ke tempat lain.
Tapi alhamdulilah, kini selepas treatment kemoterapi keempat, nampak semakin positif keadaannya. Inilah gambar raya kami sekeluarga baru-baru ini, isteri nampak ceria dan tenang.
Saya tahu perasaan isteri saya. Jauh di lubuk hatinya dulu, dia berada dalam keadaan paling lemah. Apa yang diharapkan tak dapat. Malah lain pula jadinya.
Walaupun mula-mula sedih disebabkan takdir ovari isteri terpaksa dibuang, tapi saya reda. Saya yakin isteri pun reda. Nak bina kekuatan tu yang paling susah kami rasa.
Apapun saya harap dia dikurniakan kesihatan sepenuhnya. Dan berharap rakan-rakan lain juga mendoakan kesihatan isteri saya pulih seperti sediakala,” akhiri Azizi dengan ikhlas.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mungkin ada yang sudah terlupa dengan kisah berdarah yang melanda bumi Christchurch. Namun, kisah mangsa yang terkorban dan mangsa terselamat masih segar di ingatan penduduk Christchurch. Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, telah berkongsi cerita dalam sesi lawatannya ke bumi Christchurch, New Zealand baru-baru ini;
SEJENAK DI CHRISTCHURCH SIRI I
?Hati mula disinggah rasa hiba sebaik kaki melangkah keluar daripada Chrischurch International Airport. Suhu yang mencapai 16°C sedikit pun tidak terasa dek membuak-buak perasaan ingin bertemu dengan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tembakan dalam kejadian berdarah di Christchurch.
?Destinasi pertama kami adalah rumah En. Nazril yang tidak jauh daripada lapangan terbang. Sebaik sampai, Puan Zurinawati menyambut kami di muka pintu. Masuk ke bahagian dalam rumah, kelihatan En. Nazril sedang menunggu kami di atas kerusi roda dengan senyuman yang terukir.
?Masa yang terluang, kami penuhi dengan perbualan seputar tragedi berkenaan. Alhamdulillah, kelihatannya beliau sudah hampir pulih sepenuhnya daripada trauma berkenaan. Sesekali bergenang air mata di kelopak mata kami apabila En. Nazril menceritakan situasi semasa berlakunya tembakan tersebut. Mayat bergelimpangan di mana-mana. Masih terngiang-ngiang di telinga seorang jemaah yang menyebut “Allah…Allah…” sehinggalah nyawa di hujung tenggorok dan akhirnya kematian pun menjemput. Terlalu pedih untuk digambarkan.
?Pertemuan diakhiri dengan sedikit penyampaian sumbangan daripada Yayasan Taqwa MAIWP kepada En. Nazril dan Puan Zurinawati sekeluarga. Kami mendoakan beliau segera sembuh dan kembali sihat seperti sediakala.
Teruskan memberi sokongan moral dan motivasi buat mereka kerana itulah sumber kekuatan bagi mangsa-mangsa ini.
SEJENAK DI CHRISTCHURCH SIRI II
?Deretan jambangan bunga menyambut kehadiran kami di Masjid al-Noor. Hati tetap berdebar-debar walaupun kejadian berkenaan sudah berlalu sekian lamanya. Langkahan awal ke dalam masjid membuatkan kami terkesima. Lihatlah apa yang tertulis di papan putih itu. Subhanallah, besarnya jiwa umat Islam di sini!
?Pintu utamanya mengingatkan kami kepada seorang tua yang menyambut pengganas berkenaan dengan ucapan “Hello Brother” sebelum ditembak tanpa belas kasihan. Begitulah keindahan Islam yang meraikan sesiapa sahaja, meletakkan toleransi dan sangka baik, tanpa mengira bangsa dan warna kulit.
?Usai menunaikan solat jamak dan qasar, kami mengambil kesempatan berbual dengan beberapa warganegara Malaysia yang tinggal berhampiran dengan masjid. Mereka menunjukkan kawasan timbunan mangsa tembakan di beberapa sudut masjid.
?Alhamdulillah, dengan kuasa Allah SWT, jemaah Muslimah terselamat kerana pengganas berkenaan tidak menjumpai bahagian solat Muslimah. Begitu juga imam terselamat kerana beliau bersembunyi di belakang mimbar.
?Masjid al-Noor kini dalam proses pembaikan semula. Dinding sudah dicat semula bagi menghilangkan kesan darah yang berhamburan. Karpet dalam proses untuk ditukar. Terselit rasa bangga apabila ada juga beberapa risalah dakwah yang dikeluarkan oleh IPSI Malaysia ditempatkan di sini. Tahniah Tuan Haji Kamaruddin!
? Kami sempat berbual dengan seorang Muslim Maori bernama Muhammad yang hadir untuk solat. Raut wajahnya tegas, tubuhnya sudah pasti sebagaimana umum bangsa Maori yang terkenal dengan kegagahan dan postur fizikal yang sasa. Namun, kelebihan beliau sudah pasti pada iman yang tersemat di dada. Itulah keindahan Islam, agamaku. Semua sama di sisi-Nya kecuali iman dan taqwa yang membezakan.
Gambar hiasan
?Tidak lupa kepada anggota polis New Zealand yang sentiasa berkawal 24 jam di hadapan Masjid al-Noor. Walaupun keduanya bukan Muslim, semangat perpaduan yang ditunjukkan amat mengharukan. Kami menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Taqwa MAIWP kepada Bilal Israfil selaku Jawatankuasa Masjid al-Noor
Ketabahan dan kekuatan jiwa mangsa-mangsa ini amat wajar kita contohi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Orangnya masih bertenaga dan kekal jelita walaupun di usia 54 tahun. Terkenal, sukses serta tidak pernah kalah dalam berfesyen itu antara kelebihan yang ada pada wanita berdarah campuran Melayu-Pakistan ini.
Datin Dr. Kamsiah G. Haider atau lebih mesra disapa sebagai Dr. Kam merupakan pemilik kepada Klinik Pergigian Dr Kam yang terletak di Taman Tun Dr Ismail.
Beliau seorang yang sangat menitikberatkan soal kecantikan dan kesihatan. Bagi Dr. Kam apabila tubuh kekal sihat dan cergas secara tidak langsung dapat menyerlahkan kecantikan asli seorang wanita.
“Semasa usia mencecah 30 tahun, saya sudah mula menjaga makan. Saya sudah mula memilih makanan yang lebih seimbang serta menyihatkan. Antara menu sihat kegemaran saya ialah sup, steak serta buah-buahan.
Sebagai motivasi diri agar tidak makan sewenang-wenangnya saya mengamalkan cara ini. Selalunya saya akan ambil gambar-gambar makanan yang menarik. Saya akan tatap sampai puas hati.
Secara tidak langsung saya akan merasa kenyang dengan sendirinya. Suami turut menggalakkan pengambilan makanan sihat kerana beliau seorang yang mementingkan kesihatan. Saya juga mengamalkan meminum air kosong secukupnya setiap hari.
Dari segi penjagaan kecantikan pula, cukup sekadar saya konsisten dengan rutin mencuci wajah dan pemakaian krim mata setiap hari. Sejujurnya, saya tidak pernah memakai krim malam. Sebagai seorang doktor, perlu cukup tidur sekurang-kurangnya tujuh ke lapan jam sehari. Jika tidak ia akan menjejaskan prestasi kerja.
Begitu juga dengan soal penampilan yang sangat penting buat saya antaranya sentiasa mengikuti perkembangan fesyen terkini. Sekurang-kurangnya dapatlah saya mengetahui trend terkini sesuai dengan usia dan imej. Saya juga seorang pencinta beg tangan berjenama Chanel,” bual Dr. Kam yang juga meminati seni dekorasi kediaman.
Dr. Kam merupakan pengamal klinikal prostodontik selama 29 tahun. Beliau merupakan graduan Bachelor of Dental Surgery (BDS) dari Universiti Malaya, dan Master of Dental Science (MDSc) dari University of Dundee, UK.
Selain prostodontik, Dr. Kam turut mempunyai perakuan kelayakan ortodontik di samping mengendalikan pelbagai prosedur pergigian estetik.
“Bukan mudah sebenarnya apabila bergelar isteri dan ibu pada masa yang sama harus memikul tanggungjawab yang besar kepada masyarakat. Suami dan anak-anak menjadi kekuatan buat saya. Untuk berjaya dalam lapangan kerjaya perlu ada minat yang tinggi di samping berusaha untuk melakukan yang terbaik.
Sebolehnya jauhkan daripada rasa tertekan kerana ia boleh menjejaskan prestasi. Kerjaya saya sentiasa bertemu dengan masyarakat yang pelbagai karenah. Saya perlu sentiasa tenang, tersenyum dan tidak mudah mengikut emosi,” kongsi Dr. Kam yang turut berkebolehan dalam sukan lasak. Beliau pernah meraih kemenangan dalam sukan berkuda dan tersenarai dalam The Malaysia Book of Records. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Meskipun popularitinya tidak sehebat Serena Williams, namun nama atlet sensasi Jessica Pegula kini heboh meniti bibir peminat sukan tersebut. Masakan tidak, beliau merupakan pewaris bapanya, Terry Pegula yang merupakan individu ke-434 terkaya di dunia dengan nilai kekayaan dianggarkan mencecah AS$4 billion hasil pembangunan gas asli.
Berusia 28 tahun, kekayaan bintang tenis Amerika itu dikhabarkan 10 kali ganda melebihi bintang bola sepak dunia Lionel Messi, malah dikatakan senilai dengan kekayaan tiga atlet tenis legenda jika digabungkan iaitu Roger Federer, Serena Williams dan Maria Sharapova.
Meskipun dilahirkan sebagai anak jutawan dan tidak perlu pun berhempas-pulas memenangi sebarang kejohanan tenis, Jessica Pegula tetap komited memberikan yang terbaik untuk sukan yang sangat diminatinya itu.
5 FAKTA JESSICA PEGULA
1. Anak jutawan Terry Pegula
Jessica Pegula lahir pada 24 Februari 1994 di New York, Amerika Syarikat. Beliau merupakan anak perempuan Terry Pegula dan Kim Pegula yang berketurunan Korea.
Berdasarkan sumber Bloomberg, bapanya merupakan ahli perniagaan sukses di Amerika Syarikat. Terry Pegula merupakan pemilik pasukan gergasi NFL – Buffalo Bills dan pasukan hoki Buffalo Sabre yang dibelinya pada tahun 2014.
2. Meminati tenis sejak kecil
Jessica memulakan karier sukannya pada usia tujuh tahun kerana mengikut jejak langkah kakaknya – Laura Pegula yang terlebih dahulu bermain tenis.
“Saya selalu menonton latihan dan pertandingan Laura di gelanggang tenis. Pada saat itu, fikiran saya selalu berputar alangkah baiknya jika dapat memukul sekuat dan sebagus mereka.
Kemudian saya sendiri mula mempelajari sukan ini sepulangnya dari sekolah dan berlatih tiga atau empat hari seminggu.” Jessica Pegula
3. Pemain tenis profesional pada tahun 2009
Kemampuannya dalam sukan tenis tidak perlu diragukan. Sejak 2009, Jessica berjaya meletakkan dirinya sebagai atlet tenis profesional serta tersenarai di posisi tiga terbaik di dunia.
Namun pada tahun 2014, Jessica Pegula mengalami kecederaan lutut, diikuti kecederaan di pinggul pada tahun 2017. Proses pemulihan itu menjadi momen paling sulit buatnya untuk kembali aktif bermain tenis.
4. Usahawan penjagaan kulit
Sebagai anak usahawan berjaya, Jessica juga menurut jejak langkah bapanya dalam dunia bisnes. Walaupun terkenal sebagai atlet tenis hebat, beliau tidak pernah mengabaikan rutin penjagaan kulit.
Menerusi NBC, Jessica merupakan pengasas produk Ready 24, rangkaian produk penjagaan kulit yang dirumus untuk wanita yang kerap berpergian. Ini terhasil daripada pengalaman dirinya sendiri yang sering berdepan masalah kulit ketika muda akibat stres.
“Akhirnya saya belajar tentang apa yang perlu dilakukan untuk merawat kulit. Saya mengembangkan Ready 24 dengan menggunakan bahan-bahan yang saya sukai yang membuat kulit saya lebih siap.” Jessica Pegula
5. Kekayaan melebihi Lionel Messi
Sumber kekayaan Jessica bukan hanya dinilai daripada sukan tenis, tetapi juga perniagaannya. Mengutip The Sun, setelah berhasil mengalahkan Marta Kostyuk untuk mara ke pusingan keempat Australia Open, beliau memperoleh bayaran AS$348,000.
Hadiah kemenangan itu pastinya tidak begitu lumayan buat Jessica. Ini disebabkan nilai kekayaan bersihnya sendiri dilaporkan mencecah lebih daripada AS$6.2 billion. Jelas sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada atlet bola sepak Lionel Messi yang menjadi atlet dengan bayaran tertinggi 2022!
Foto: Instagram @jpegula
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terinspirasi dengan kesungguhan Hazlin Hussain dalam menimba ilmu dan berusaha menjadi hambaNya yang lebih baik. Nama wanita serba boleh ini dikenali ramai selepas dia menyertai pencarian bakat ‘Gadis Melayu’ Musim Kedua pada tahun 2009 dan kemudian ...